Showing posts with label Master of Torque. Show all posts
Showing posts with label Master of Torque. Show all posts

Yamaha MT09 2018 terima banyak peningkatan

 Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) mula memperkenalkan model Yamaha MT-09 empat tahun lepas dan juga memperkenalkan model pemasangan dalam negara pada penghujung tahun 2014. MT09 merupakan siri model motosikal berkuasa tinggi kedua yang dipasang dalam negara di kilang Yamaha di Sungai Buloh selepas siri XJ yang terdiri dari model XJ6, XJ6 Diversion dan XJ6 Diversion F. Yamaha MT-09 merupakan model perdana HLYM dalam barisan model berkuasa tinggi mereka dan jentera 'Master Of Torque' ini merupakan konsep baru dalam reka bentuk keseluruhan motosikal sukan. Dari awal lagi Yamaha berhasrat untuk bukan sahaja menyampaikan sekadar sebuah lagi motosikal umum dari Jepun, tetapi sebagai sesuatu yang berbeza dan berdaya tarikan di dalam ciri ciri nya. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa  siri MT mula diperkenalkan dengan penampilan MT-01 pada tahun 1999 lagi.
 Salah satu topik yang paling banyak dibahaskan di kalangan penunggang adalah persoalan mengenai konfigurasi enjin motosikal yang paling sempurna untuk penunggang jalanan. Namun memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang akan bersetuju, walaupun dengan berat hati, bahawa konfigurasi enjin tiga-silinder adalah sesuatu yang berlainan dan amat menarik.
 Yamaha menghargai hakikat ini dan membekalkan jentera MT-09 ini dengan enjin 850 cc tiga-silinder dengan tork yang tinggi, berbekalkan kuasa 115hp yang berdaya 87,5 Nm sebagai jentera prestasi generasi baru yang direka untuk penunggang yang menghargai pecutan cemerlang. Ia menghasilkan daya kilas atau tork yang sekata atau linear bagi memberi pecutan penuh sensasi bagi memuncakkan aliran adrenalin ke jantung anda. Ia dikawal pendikit kawalan-dengan-wayar (fly-by-wire) dengan 3 mod menunggang, walaupun ramai pada mulanya mungkin mendapati dua mod awal adalah agak tangkas dan agresif untuk keselesaan menunggang dalam bandar, dan memerlukan sedikit penyesuaian diri.


 MT-09 ini didatangkan dengan casis yang padat bagi mendapatkan gabungan konsep keseluruhan yang segar sebagai sebuah motosikal sports. Tangkas dikendalikan, motosikal dinamik gaya motard ini dilengkapi dengan casis aluminium padat dan kedudukan menunggang tegak yang memudahkan tunggang harian dalam bandar mahupun tunggangan bebas santai mahupun tangkas pada hujung minggu.
 Tidak banyak perbezaan dibuat bagi model 2018 ini kepada kedudukan menunggang jentera yang agak kurus dan mudah dikendalikan ini. Perkara pertama yang anda sedari mungkin pelana berbentuk segi tiga: menirus di hadapan dan berkembang luas di belakang. Ia memudahkan capaian kaki kaki ke tanah semasa berhenti. Pembonceng motosikal anda juga akan menghargai bentuk pelana belakang yang tampak kecil tetapi cukup untuk menampung mereka dengan selesa.

Suspensi hadapannya kini bolehlaras sepenuhnya, dan sistem breknya kini dilengkapi ABS sebagai peralatan standard. Gantungan belakang monocross dengan penyerap-kejutan mendatar boleh disesuaikan dengan pelarasan mekanikal pra-bebanan spring yang maksimum untuk mengelakkan bahagian belakang dari membuai pada kelajuan tinggi.

Kotak gear nya kini dilengkapi dengan cekam atau klac gelincir dan berbantu (assisted & slipper clutch ASC) yang mengurangkan daya usaha yang diperlukan untuk operasi tuil klac, dan menghalang gelinciran roda belakang semasa penurunan gear yang mendadak. Selain turut dilengkapi kawalan daya cengkaman (traction control), ia juga kini dilengkapi pengalih gear tangkas (quickshifter), bagi memudahkan dan mempecepatkan peralihan gear dua dan ke atas selepas 2,500 rpm.
 Yamaha MT-09 ini diringankan dengan penggunaan kerangka aluminium tetuang CF yang nipis dan ringan, piston aluminium tempaan dan rim aloi ringan 10-jejari yang bergaya. Tidak hairanlah MT-09 adalah se ringan itu, dan ini secara efektif akan menyumbang secara positif kepada nisbah kuasa-ke-berat dan meningkatkan kecekapannya.

Kedatangan MT-09 merupakan lebih daripada sekadar lembaran baru dalam evolusi Yamaha. Ia adalah gelombang siri jentera 3-silinder motard yang menawarkan alternatif baru yang menarik untuk penunggang yang memahami keluk tork bermakna.
 Model 2018 ini dilengkapi lampu utama LED dari jenis projektor yang menyerupai lampu MT-10. Lampu belakangnya juga kini dari jenis LED yang disusun dalam dua baris.

Dua warna awal bagi 2018 iaitu kelabu Night Fluo dan hitam Tech Black ditawarkan dalam tahun ini pada harga RM47,388 termasuk GST. Jika dikira peningkatan yang telah dilakukan pada model 2018 ini, iaitu suspensi hadapan bolehlaras, serta brek antikunci ABS, kawalan daya cengkaman (traction control) dan pengalih gear tangkas (quickshifter) sebagai peralatan standard, yang mana kesemua ini benar benar memberikan lebih nilai dengan harganya yang tidak banyak naik berbanding model terdahulu.


SPESIFIKASI

ENJIN 3-Silinder, 4-lejang, sejukan Cecair, DOHC, 4-injap

SESARAN 847 cc

GEREK X LEJANG 78.0 mmX 59.1 mm

NISBAH MAMPATAN 11.5: 1

KUASA MAKSIMA 115hp (84.6 kW) @ 10,000 rpm

TORK MAKSIMA 87.5 Nm (8.9 kg-m) @ 8,500 rpm

SISTEM LUBRIKASI Wet Sump

KLAC Berbilang, basah

SUAPAN Suntikan Bahan Api

NYALAAN TCI

PENGHIDUP Elektrik

KOTAK GEAR 6-kelajuan

HANTARAN AKHIR Rantai

KERANGKA Bentuk permata

SUSPENSI HADAPAN Tupang teleskopik kembar, pergerakan 137 mm

SUDUT CAPAI 25 °

SUSPENSI BELAKANG Lenganayun berhubung

PERGERAKAN SUSPENSI BELAKANG 130 mm

BREK HADAPAN Cakera kembar Ø 298 mm

BREK BELAKANG Cakera tunggal Ø 245 mm

TAYAR HADAPAN 120 / 70ZR17 M / C (58W) (Tubeless)

TAYAR BELAKANG 180 / 55ZR17 M / C (73W) (Tubeless)

PANJANG 2.075 mm

LEBAR 815 mm

TINGGI 1.120 mm

TINGGI PELANA 820 mm

TAPAK RODA 1.440 mm

KELEGAAN BUMI 135 mm

BERAT BASAH 193 KG bahanapi penuh

KAPASITI TANGKI BAHANAPI 14 L

JUMLAH MINYAK PELINCIR 3.4 L

Yamaha MT-09 CKD kini ditawarkan di Malaysia


Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) hari ini memperkenalkan model Yamaha MT-09 pemasangan dalam negara. Motosikal 850 cc  4-lejang, cecair sejuk, enjin 3 silinder dengan suntikan bahan api ini merupakan model motosikal berkuasa tinggi kedua yang dipasang dalam negara di kilang Yamaha di Sungai Buloh selepas siri XJ yang merupakan model XJ6, XJ6 Diversion dan XJ6 Diversion F.

Seperti yang diketahui umum, MT-09 ini merupakan konsep baru dalam reka bentuk keseluruhan motosikal sukan. Ia mempunyai casis padat serba baru yang dikuasai 850 cc enjin 3 silinder dengan tork yang tinggi, sebagai jentera prestasi generasi baru yang direka untuk penunggang yang menghargai pecutan cemerlang. Yamaha MT-09 merupakan model perdana HLYM dalam barisan model berkuasa tinggi mereka.

Pelanggan Yamaha kini mempunyai pilihan yang lebih luas bagi model motosikal berkuasa tinggi Yamaha untuk dipilih, sepadan dengan gaya hidup mereka yang arif menunggang. Yamaha MT-09 pemasangan tempatan ini ditawarkan pada harga RM 45,000 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan nombor plat) dan boleh didapati di semua pengedar Yamaha terpilih seluruh negara bermula dari pertengahan Disember. Pilihan warna adalah Ungu Armor Deep dan Oren Menyala.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi:
Big Bike Business Department
Tel : 03-6157 7086
Fax : 03-6157 7087




Menguja dan Teruja: Yamaha MT-07



Yamaha sepertinya menyedari dambaan penunggang berdarah muda (walaupun mungkin berusia senior...) untuk memiliki sebuah jentera yang menyeronokkan. Penampilan Yamaha MT-07 baru telah menzahirkan usaha mereka untuk mengeluarkan sebuah motosikal mampu-milik, dengan mensasarkan demografi usia 20-35 tahun. Ia nyata melangkaui jangkaan sekadar hanya sebuah motosikal komuter, malah begitu mengujakan dan membuatkan anda mengorak senyuman tiap kali menunggangnya.

Keretampilannya jelas berkongsi DNA dan juga warna dengan saudaranya yang lebih besar iaitu model MT-09 terdahulu, namun MT-07 ini bukan bertujuan hanya untuk penunggang yang menagihkan adrenalin. Tetapi jangan sesekali menyangka bahawa peenunggang berpengalaman tidak akan berminat dengan ahli baru keluarga Master of Torque ini. Resipi rahsia Yamaha telah memastikan penggabungan kemudahan pengendalian sebuah tunggangan yang menyeronokkan, yang menggunakan bahan-bahan ringan ditambah pula dengan enjin berkembar selari CP2 yang baharu.

Duduk di atas pelana MT-07 yang menawarkan kedudukan  menunggang yang selesa dan kasual pada ketinggian 805mm, hidupkan enjin dengan menolak suis penghidup merah ke bawah dengan ibu jari kanan anda, dan terus bergerak tanpa perlu memikirkan tentang mod penunggangan dan sebagainya. Anda akan berasa selesa dengan motosikal ini dengan agak segera, kecuali mungkin tercari cari kedudukan butang hon dan lebih kerap mmenganggap butang pembatalkan lampu penunjuk sebagai butang hon.

Yamaha merancang untuk menggunakan enjin yang sama dalam model hiliran (mungkin model kembara atau touring?). Enjin ini telah direka dengan meminimakan seberapa banyak bahagian yang bergerak yang mungkin, bukan hanya untuk mengurangkan kos pemasangan tetapi juga mengurangkan geseran dalaman dan berat keseluruhan, bertujuan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan.

Enjin model baru ini mampu menjana 75hp seperti yang didakwa. Mungkin angka ini tidak begitu menarik perhatian anda, tetapi ianya 3hp lebih tinggi daripada Kawasaki ER-6 dan Suzuki SFV650. Ianya juga 3 lbft lebih berdaya kilas daripada Suzuki dan Kawasaki, sesuai dengan gelarannya sebagai Master of Torque. Julat tork MT-07 ini dijamin untuk membuatkan anda tersenyum apabila anda menyedari bahawa bahagian depan motosikal ini telah direka se ringan yang mungkin. Selebihnya, kami biarkan anda melayan daya imaginasi sendiri tentang kemampuannya.

Jentera ini bergerak tangkas walaupun dari rpm rendah, dan ini membolehkan tunggangan santai (atau malas...)melalui jalan bandar dengan membiarkan ia dalam gear kedua atau ketiga. Tindak balas pendikit adalah benar-benar baik dan penggearan rendah membantu memberikan rasa pecutan yang baik apabila anda membuka pendikit.

Casis padat MT-07 yang berkerangka tetulang berbentuk tiub yang ringan merupakan titik permulaan bagi model ini. Penyerap-kejutan belakang boleh laras dipasang mendatar terus ke enjin bagi penjimatan berat dan meletakkan kurang tekanan kepada bingkai. Unit penyahmampatan membolehkan penggunaan motor penghidup yang ringan dan juga bateri yang lebih kecil serta ringan. Klac nya juga nampaknya seperti salah satu yang paling kecil pernah di gunakan bagi motosikal 75hp. Hasil reka bentuk berfokuskan keringanan ini menghasilkan sebuah motosikal dengan minyak di dalam enjin dan tangki bahanapi penuh pada 179kg, berbanding model saingan yang mencecah 204kg. Reka bentuk diet ringan ini bertujuan sebagai serampang dua mata; motosikal yang lebih menjimatkan namun ia juga lebih mudah untuk ditunggang. Gabungkan ia dengan pusat graviti yang rendah dan jarak roda sependek 1,400mm, ia menghasilkan sebuah motosikal yang tangkas, hingga mampu menggunakan tayar belakang 160mm berbanding tayar 180 tanpa kehilangan ketangkasan. Tupang teleskopik hadapannya menawarkan pergerakan 130mm, dan Yamaha menggunakan sudut tirus tupang bagi mengurangkan inertia stereng. Paparan digital terletak kemas pada hendal dan memaparkan semua maklumat yang penting seperti kelajuan, rpm dan tolok bahan api (bersama-sama dengan perjalanan dan suhu luar enjin).

Brek hadapan 282mm cakera berkembar dengan angkup monobloc dan cakera tunggal 245mm di belakang memberikan kuasa hentian yang lebih dari mencukupi. Buat masa ini model ABS belum ditawarkan.

Simpanan bahan api mampu menjanjikan 320 batu dari tangki 14 liter. Walaupun pada harga yang mampu milik, MT-07 tidak kelihatan seperti ia telah dibina kedekut. MT-07 ini menawarkan pengalaman yang menakjubkan untuk penunggang baru. Ia menjadikan sesetengah motosikal lain seolah-olah terlalu mahal pula. MT baru ini juga mampu menggoda banyak lagi penunggang berpengalaman, dan merupakan ancaman kepada pesaingnya dalam kelas yang sama, baik dari Jepun mahupun Eropah.

Jenis enjin 689 cm³ 2-silinder, 4 lejang, DOHC, 4-injap sejukan cececair
Gerek X lejang 80.0 mm x 68.6 mm
Nisbah mampatan 11.5: 1
Kuasa maksimum 55.0 kW (74.8PS) @ 9,000 rpm
Tork maksimum 68.0 Nm (6.9 kg-m) @ 6,500 rpm
Sistem pelinciran Basah
Suntikan Bahan Api karburetor
Klac Jenis Basah, Cakera berbilang
Sistem pencucuhan TCI
Sistem Permulaan Elektrik
Sistem penghantaran 6-kelajuan
Penghantaran Akhir Rantai
Sistem suspensi depan tupang teleskopik
Sudut Caster 24º jejak 90 mm
Sistem suspensi belakang swingarm
Brek hidraulik cakera hadapan dwi, Ø 282 mm
Brek belakang Hidraulik cakera tunggal, Ø 245 mm
Tayar depan 120/70 ZR 17m
Tayar belakang 180/55 ZR 17m
Panjang keseluruhan 2,085 mm
Lebar keseluruhan 745 mm
Ketinggian keseluruhan 1,090 mm
Ketinggian tempat duduk 805 mm
Tapak roda 1,400 mm
Kelegaan bumi 140 mm
Berat basah (termasuk minyak dan penuh tangki minyak) 179 kg
Kapasiti tangki bahan api 14 L
Kapasiti tangki minyak 3.0 L