SYM Sport Rider 125i kini hadir dengan grafik baharu dalam 3 jenis warna yang iaitu merah, biru & kuning. Sport Rider 125i merupakan salah satu kapcai yang popular di pasaran Malaysia sekarang, dan dikuasakan enjin SOHC dua injap yang mampu menjana 9.5hp pada 8000rpm dan 10.8Nm tork pada 5500rpm.
Sport Rider 125i juga merupakan model pertama SYM yang dilengkapi enjin EFI. Moped ini juga mematuhi piawaian pelepasan Euro 3 yang mesra alam dan menjimatkan bahan api. Kuasa dipindahkan ke tayar belakang melalui transmisi 4-kelajuan.
Reka bentuk menariknya jelas dilihat pada bahagian sisi, ekzoks dan juga fender belakang Sport Rider 125i. Kombinasi meter LCD dan analog memberikan paparan maklumat yang jelas. Ia juga dilengkapi tangki minyak 4.2 liter yang besar.
Lampu belakang LED memastikan motosikal ini dapat dilihat dengan mudah walaupun dari jarak yang jauh. Tempat duduk penunggang dan pembonceng adalah selesa dan di lengkapi ruang penyimpanan di bawah tempat duduk.
Sistem brek cakera hidraulik depan dan gelendong (drum) belakang mampu menghentikan jentera seberat 107kg ini dengan senang. Suspensi jenis teleskopik hadapan dan lengan buai di belakang memberi kestabilan ketika menunggang di jalan raya.
Harga yang disyorkan untuk Sport Rider 125i baharu ini adalah RM 5,542.20 (harga asas tanpa GST, insuran & cukai jalan). Sport Rider 125i baharu ini kini boleh didapati di semua pengedar-pengedar sah SYM di Malaysia.
No comments:
Post a Comment