Izzat hasrat kekalkan momentum

Mohd Izzat Zaidi kini menjadi pendahulu kategori Underbone 150cc menjelang pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Suzuka, Jepun, hujung minggu ini.

Selepas empat perlumbaan dalam dua pusingan lepas, pelumba RCB Yamaha YY Pang Racing itu kini 11 mata mendahului lain-lain pelumba dengan mengumpul 67 mata hasil dua kemenangan dan dua penamat di kedudukan ketujuh dan kelapan.
   Sepanjang empat tahun beraksi dalam kelas Underbone ARRC, pencapaian terbaik Izzat di kedudukan ketiga keseluruhan pada musim 2016 dan keenam keseluruhan sewaktu kategori 150cc mula diperkenalkan pada musim 2017.

“Ini bukan situasi pertama saya mendahului kedudukan seperti ini. Pada tahun 2016, saya juga mendahului kedudukan pelumba selepas dua pusingan perlumbaan namun gagal mengekalkan momentum sehingga ke penghujung musim. Saya perlu lebih berhati-hati kali ini,” jelas Izzat.

“Belajar daripada kesilapan tersebut, saya menukar strategi untuk memberi keutamaan untuk mengutip seberapa banyak mata berbanding mengejar podium. Saya perlu kekal mengutip mata secara konsisten dalam setiap pusingan. Namun sebenarnya, pada masa sama saya jua berharap dapat meraih podium di sini kerana tidak pernah menaiki podium sejak 2014 lagi.”

Dua pelumba Malaysia, Mohd Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing) dan Mohd Affendi Rosli (Team One For All) berada di kedudukan kedua dan ketiga keseluruhan, masing-masing dengan 56 mata dan 44 mata.

No comments: