Showing posts with label suzuka. Show all posts
Showing posts with label suzuka. Show all posts

Izzat tangkis kemarau podium Malaysia

Mohd Izzat Zaidi Salehan mengubat kekecewaan barisan pelumba negara apabila berjaya menghadiahkan podium setelah menamatkan perlumbaan di tangga ketiga dalam kategori Underbone 150cc.

Peluma RCB Yamaha YY Pang Racing itu menamatkan enam pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’04.945s di belakang juara, Gupita Kresna ( Yamaha Yamalube SND Factory) dan Wahyu Aji Trilaksana (YAMAHA Racing Indonesia) sebagai naib juara.

Jumlah 16 mata yang dipungut sebagai pemenang tempat ketiga meletakkan Izzat di tangga kedua dalam senarai keseluruhan dengan mengumpul 93 mata, satu mata di belakang juara Perlumbaan 1, Mohd Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team) manakala Wahyu ketiga, 72 mata.

UB150
1 Gupita Kresna (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16'04.836s
2 Wahyu Aji Trilaksana (INA) YAMAHA Racing Indonesia 16'04.899s
3 Md Izzat Zaidi (MAS) RCB Yamaha Y Y Pang Racing 16'04.945s
4 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 16'05.181s
5 Syahrul Amin (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16'05.316s

Kedudukan Keseluruhan
1  Mohd Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 94 mata
2 Md Izzat Zaidi (MAS) RCB Yamaha YY Pang Racing 93 mata
3 Wahyu Aji Trilaksana (INA) Yamaha Racing Indonesia 72 mata
4 Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 71 mata
5 Gupita Kresna Wardhana (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 58 mata

#25 Azlan berdepan tugas getir di Suzuka

Juara Asia dua kali, Azlan Shah Kamaruzaman yang merupakan pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu memulakan kempen musim 2017 dengan baik apabila meraih dua podium sewaktu pusingan pembukaan di Thailand. Namun begitu, masalah mekanikal menjadi penghalang sewaktu di Australia menyebabkan Azlan jatuh ke tangga ketiga dalam senarai keseluruhan ketika ini. Beliau  berdepan tugas mencabar dalam usaha untuk mempertahankan gelaran juara SuperSports 600cc apabila turun beraksi pada pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun pada 1 hingga 3 Jun ini.Lebih mencabar apabila jentera baharu yang digunakan pada musim ini masih belum berada pada tahap terbaik selain turut mengharapkan insiden kemalangan di litar Suzuka sepanjang dua tahun lepas tidak berulang.

"Litar Suzuka bukanlah litar kegemaran saya. Selain faktor bentuk teknikal litar, nasib saya juga tidak begitu baik di sini," jelas pelumba berusia 34 tahun itu.

Tambahnya, "Saya berharap nasib saya lebih baik pada tahun ini. Kami juga telah mengadakan ujian persendirian di sini bersama jentera baharu Kawasaki Ninja ZX6R untuk mendapatkan lebih banyak data jentera untuk menjadikannya lebih kompetitif berbanding di Australia. Saya akan bekerja keras minggu ini untuk kembali ke podium. Mudah-mudahan semua berjalan lancar."

Ramdan Rosli penuh semangat hadapi ARRC Suzuka

Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Mohd Ramdan Rosli telah mencipta kejutan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam Perlumbaan 2 setelah Perlumbaan 1 dibatalkan sekaligus meraih podium pertamanya dalam kelas SuperSports 600cc sewaktu di Australia. 

Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) kini bertandang ke Litar Suzuka, Jepun bagi menghadapi perlumbaan pusingan ketiga  pada 1 hingga 3 Jun ini.

"Podium di Australia menjadi pembakar semangat saya untuk beraksi dengan lebih baik di sini. Walaupun mungkin faktor nasib juga membantu saya tetapi ia tak boleh dicapai tanpa usaha saya dan pasukan sepanjang minggu tersebut. 
"Namun begitu, memang tidak dinafikan bukan tugas mudah untuk menaiki podium di Suzuka terutama dengan kehadiran ramai pelumba Jepun dan juara musim lepas, Anthony West yang kembali beraksi pada pusingan ini," jelas Ramdan yang kali terakhir beraksi di litar Suzuka pada tahun 2013.

Tambahnya, "Jentera kami semakin baik berbanding pusingan pertama di Thailand. Saya juga semakin dapat menyesuaikan diri dengan jentera dan yakin minggu ini pasukan akan menyediakan jentera terbaik. Sesi latihan bebas pertama sangat penting untuk mengumpul data dan menyesuaikan diri dengan litar," jelas Ramdan yang bergandingan bersama pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayuddin.

Zaqhwan kembali beraksi semula di ARRC

Mohd Zaqhwan Zaidi cukup teruja dan tidak sabar untuk kembali beraksi dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Suzuka, hujung minggu ini.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing berusia 23 tahun itu sebelum ini tidak beraksi pada pusingan kedua di Australia, April lepas bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap perlumbaan JSB1000 di Kejuaraan Seluruh Jepun MFJ.
 "Saya tidak sabar untuk beraksi minggu ini bersama keluarga besar ARRC. Pada masa sama saya bangga dengan prestasi yang ditunjukkan pelumba rookie pasukan kami, Azroy Hakeem Anuar. Saya gembira dia berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok 10 pelumba terbaik meskipun bermula dari barisan belakang," jelas Zaqhwan yang kini jatuh ke tangga ke-15 keseluruhan.
 Tambah juara keseluruhan 2014 dan 2016 itu lagi, "Pengalaman beraksi dalam saingan di Jepun akan digunakan sebaiknya minggu ini. Baru bulan lepas saya beraksi di Suzuka, jadi ia memberi kelebihan untuk saya lebih memahami litar. Pengalaman menggunakan jentera 1000cc yang lebih laju dan berat juga daat meningkatkan penguasaan saya bersama jentera 600cc."

Izzat hasrat kekalkan momentum

Mohd Izzat Zaidi kini menjadi pendahulu kategori Underbone 150cc menjelang pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Suzuka, Jepun, hujung minggu ini.

Selepas empat perlumbaan dalam dua pusingan lepas, pelumba RCB Yamaha YY Pang Racing itu kini 11 mata mendahului lain-lain pelumba dengan mengumpul 67 mata hasil dua kemenangan dan dua penamat di kedudukan ketujuh dan kelapan.
   Sepanjang empat tahun beraksi dalam kelas Underbone ARRC, pencapaian terbaik Izzat di kedudukan ketiga keseluruhan pada musim 2016 dan keenam keseluruhan sewaktu kategori 150cc mula diperkenalkan pada musim 2017.

“Ini bukan situasi pertama saya mendahului kedudukan seperti ini. Pada tahun 2016, saya juga mendahului kedudukan pelumba selepas dua pusingan perlumbaan namun gagal mengekalkan momentum sehingga ke penghujung musim. Saya perlu lebih berhati-hati kali ini,” jelas Izzat.

“Belajar daripada kesilapan tersebut, saya menukar strategi untuk memberi keutamaan untuk mengutip seberapa banyak mata berbanding mengejar podium. Saya perlu kekal mengutip mata secara konsisten dalam setiap pusingan. Namun sebenarnya, pada masa sama saya jua berharap dapat meraih podium di sini kerana tidak pernah menaiki podium sejak 2014 lagi.”

Dua pelumba Malaysia, Mohd Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing) dan Mohd Affendi Rosli (Team One For All) berada di kedudukan kedua dan ketiga keseluruhan, masing-masing dengan 56 mata dan 44 mata.