Benelli TRK 251 jentera kembara mampu milik

Benelli TRK 251 mampu menjadi teman perjalanan utama anda untuk pergi ke mana-mana sahaja pada bila-bila masa dengan mudah! Ia merupakan sebuah motosikal yang direka untuk menemani anda dalam pengembaraan yang selalu anda impikan.

Motosikal 250cc yang mudah dikendalikan dan tangkas ini mampu menangani laluan paling sukar walaupun untuk penunggang baharu, malah, ia memang direka untuk penunggang muda dan boleh ditunggangi dengan lesen B2 Malaysia.
Enjin silinder tunggal empat lejang sejukan cecair dengan injap dwi-aci atas DOHC ini dilengkapi dengan sistem pemasaan dan suntikan bahan api elektronik. Output kuasa optimumnya adalah 20.0kW pada 10500rpm.
Benelli TRK 251 ini juga dilengkapi dengan kotak gear 6 kelajuan, klac atau cekam pelbagai plat basah, pelinciran simbah, dan ekzos pemangkin & sensor oksigen.
Motosikal dwi-kegunaan ini mampu membawa 18 liter bahan api, dan kerangka trellis kelulinya memastikan ketegaran maksimum dan mudah dikendalikan. Benelli TRK 251 adalah penzahiran konsep reka bentuk gaya dan pengembaraan, sebagai sebuah motosikal kontemporari yang menyediakan pengalaman yang sporty dan menarik.
Suspensi hadapannya terdiri dari jenis topang terbalik berdiameter 41 mm di bahagian depan dan lengan ayun belakang dengan penyerap kejutan tunggal dengan julat pergerakan sebanyak 51 mm.

TRK 251 ini dilengkapi sistem brek yang terdiri daripada satu cakera 280 mm terapung dengan empat angkup di bahagian hadapan dan cakera 240 mm dengan angkup tunggal di belakang bagi menawarkan keselamatan jalan maksimum. Roda aloi aluminium 17 inci menjadi tapak tayar 110/70 di bahagian hadapan dan 150/60 di bahagian belakang.
TRK 251 ditawarkan dalam warna merah Rudy Red, kelabu Titanium Grey & hitam Jet Black dan boleh didapati mulai sekarang
Benelli TRK 251 boleh didapati di bilik pameran Benelli pada harga RM13,888 dan RM14,688 (Edisi ABS).














Benelli Leoncino 250 kini di pasaran

Benelli mengalu-alukan ahli terbarunya dalam keluarga Leonelli ("singa kecil") iaitu Leoncino 250 yang merupakan sebuah model serba baharu. Leoncino 250 merangkumi satu abad keghairahan terhadap seni motosikal, dengan menggabungkan intipati scrambler, reka bentuk elegan, dengan teknologi dan prestasi moden sepenuhnya. Dengan berbuat demikian, ia memenuhi piawaian tinggi
seperti yang ditakrifkan oleh Leoncino 500 dan Leoncino Trail, namun memaparkan wataknya yang tersendiri. Singa Pesaro yang berdiri di atas madgad depannya mengimbas kembali sejarah keagungan Benelli lampau dan potensi yang luar biasa masa hadapan.
Leoncino 250 berjaya tampil sebagai motosikal santai era 50an dan 60an, sambil mengeksploitasi kemajuan teknologi hari ini dengan jayanya untuk meningkatkan pengalaman penunggangan yang mengagumkan. Sebuah motosikal klasik dan inovatif, garis-arus Leoncino 250 menggabungkan dinamisme dengan warisan secara harmoni, hasil rekaan Centro Stile Benelli dari Itali.
Reka bentuk lampu penuh lampu LED yang direka bentuk semula sepenuhnya menetapkan gaya motosikal ini dari depan ke belakang, bermula dari tangki bahan api hingga ke pelana kompak dan ekornya, dalam casis trellis moden-klasik Leoncino 250. Secara keseluruhannya, ia memiliki estetika hebat yang menyemarakkan semula semangat retro estetik Itali untuk generasi baharu masa kini.

Penampilan memberangsangkan Leoncino 250 ini disokong oleh kuasa yang dijanjikan oleh enjin 249cc satu silinder empat lejang, empat injap, sejukan cecair. Reka bentuk ini disuap badan pendikit 37mm suntikan bahanapi elektronik, pencucuhan TLI, dwi-aci oleng DOHC, yang menjana lebih daripada 25 kuasa kuda pada 9000 rpm dan 21 Nm pada 7500.  Topang terbalik 41mm mengampu bahagian hadapan motosikal ini dan diimbangi lengan-ayun belakang dengan penyerap kejutan mono. Brek cakera hadapan 280mm / empat angkup dan belakang 240mm / satu angkup lonjong bergabung untuk pemberhentian jitu Leoncino 250 yang mesra pengguna. Rim aluminium 17-inci hadapan dibalut tayar 110/70-R17 dan tayar 150/60-R17 pula digunapakai di belakang. Paparan digital sepenuhnya yang mampu dibaca jelas dalam keadaan apa pun.

Benelli Leoncino 250 akan tersedia dalam warena coklat Pearl Brown, merah Italian Red dan kelabu Titanium Grey. Ia boleh didapati di semua peniaga Benelli yang diiktiraf mulai dari September 2019
ini, pada harga RM13,888 dan RM14,688 (Edisi ABS).






Perodua perluas inisiatif hijau dengan kempen anti-sampah

Perodua sedang bekerjasama dengan sebuah agensi kerajaan Malaysia bagi mendidik orang ramai untuk mengekalkan kebersihan persekitaran, bermula dengan jalan raya.

Pagi tadi, Perodua telah menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) – sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – pada Kempen 1:0 'Satu Kenderaan, Sifar Sampah' untuk mencegah pembuangan sampah dari kenderaan.

Kempen tersebut menyaksikan sukarelawan daripada Perodua dan SWCorp mengagihkan 500 tong mini di sebuah stesen minyak bersebelahan Plaza Tol Jalan Duta Lebuhraya PLUS menghala KL, untuk mengingatkan mereka membawa pulang sampah kecil mereka dan buang di tempat sepatutnya daripada membuangnya dari kenderaan.
 Para sukarelawan juga mempamerkan papan tanda berwarna-warni yang memaparkan mesej-mesej anti-sampah, manakala sepanduk dan gegantung telah ditempatkan dengan jelas untuk menarik perhatian para pemandu yang keluar dari plaza tol tersebut.

Perodua berkongsi visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih bersih dan hijau. Kami percaya kombinasi pendidikan dan penguatkuasaan akan memberi impak yang berterusan dan berkekalan kepada masyarakat kita,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Perodua berharap, pada Hari Merdeka Malaysia yang ke-62 ini, kita semua boleh memainkan peranan masing-masing dengan membuktikan kematangan minda kita dengan menjadikan kebersihan sebahagian daripada kehidupan.

Kami berharap rakyat Malaysia dapat mengurangkan, mengguna dan mengitar semula sampah mereka sebaik yang mungkin. Setiap usaha ada permulaannya. Selepas rumah, kenderaan merupakan tempat yang paling lama kita luangkan masa dan jika kita boleh memastikan kenderaan kita bersih, maka secara tidak langsung ianya dapat mengubah kehidupan kita,” katanya.
Di kampus Perodua di Sungai Choh, terdapat Laman Hijau (taman rekreasi) dan ECO Garden seluas 1,500 meter, yang mana kedua-duanya menerapkan pelbagai unsur mampan. Kebanyakan bangunan di kampusnya juga dipasang dengan panel solar dan sistem penuaian air hujan.

Perodua adalah pengeluar Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) No 1 di Malaysia. Ia telah menghasilkan dan menjual lebih daripada 680,000 EEV sehingga kini, termasuk Axia, Bezza, Myvi generasi ketiga serta SUV tujuh tempat duduk, Aruz.


PETRONAS Yamaha Sepang yakin boleh di Silverstone


Pasangan sepasukan PETRONAS Yamaha Sepang, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli akan ke Grand Prix British hujung minggu ini di Silverstone, litar yang mereka gemari dan percaya akan sesuai dengan Yamaha YZR -M1 mereka.

Quartararo yang menaiki podium terakhir kali di Grand Prix Austria berharap untuk meneruskan rentak tiga podium yang sudah dicapainya dalam musim sulungnya. Quartararo yakin bahawa trek Silverstone yang baru dipulihkan akan membolehkannya menggunakan potensi penuh motosikalnya.
Morbidelli juga mengharapkan hujung minggu yang baik di litar Inggeris ini, untuk mengumpulkan momentum untuk separuh kedua musim ini. Morbidelli yakin litar ini  sesuai dengan motosikal dan gaya menunggangnya yang lancar dalam debut MotoGP di sana selepas pembatalan disebabkan oleh hujan lebat tahun lalu.

Latihan untuk Grand Prix British hujung minggu ini bermula pada hari Jumaat 23 Ogos pada jam 0955 masa tempatan (1655 masa Malaysia), dan perlumbaan 20 pusingan yang akan berlangsung pada Ahad 25 Ogos pada 1300 waktu tempatan (2000 waktu Malaysia).

Syukran Aizat damba bergelar juara di negeri kelahiran

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff semakin meniti puncak kecemerlangan dalam kariernya.

Aizat antara pelumba paling konsisten dalam kelas CP115 kerana selepas mengharungi empat pusingan dia tidak pernah gagal untuk menjejak kaki di podium kemenangan.

Dia sudah meraih empat gelaran naib juara dalam kelas tersebut, sekali gus membolehkannya untuk mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 80 mata.

Minggu ini, dia sudah pasti mahu mengubah kedudukan selaku naib juara yang sering diperolehnya kerana bakal mendapat suntikan semangat daripada para penyokong di negeri kelahirannya apabila turun beraksi pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang akan berlangsung di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Kuala Nerus, Terengganu pada 23 hingga 24 Ogos.
Walaupun ia merupakan litar baharu buat semua pelumba, tetapi aksi di tempat sendiri bakal dipergunakan sebaik mungkin oleh Aizat untuk mengubah reputasi selaku ‘pakar naib juara’ kepada status juara.

Ia bukan perkara mustahil untuk direalisasikan kerana prestasinya setakat ini boleh dianggap paling konsisten.

Empat kali muncul naib juara adalah sesuatu yang boleh dibanggakan, dan ia membuktikan dia juga memiliki jentera yang sangat stabil.

Beberapa pelumba kelas CP115 yang muncul juara di setiap pusingan sebelum ini seperti Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) mahupun Md Adib Rosley dan Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing), tidak berupaya mempertahankan rentak konsisten, malah turut gagal menamatkan perlumbaan.

Syafik pernah muncul juara sebanyak dua kali iaitu pada pusingan 2 dan 4 namun dia gagal menamatkan perlumbaan pada saingan pembukaan dan juga di Pusingan 3.

Begitu juga dengan nasib Fareez yang muncul juara Pusingan 1, namun prestasinya merundum pada

Adib pula bergelar juara pada Pusingan 3, namun kurang menyerlah di pusingan lainnya.

Menyedari rentak yang kurang konsisten itu, Adib kini tidak meletakan sebarang sasaran pada saingan di Terengganu nanti kerana masih belum mengetahu keadaan litar di sana.

“Saya hanya mahu mengumpul mata sebanyaj mungkin dan cuba untuk mencari penyesuaian secepat mungkin dengan keadaan litar. Selain itu, saya harap pelarasan jentera berada dalam keadaan terbaik,” jelas Adib yang tidak menolak kemungkinan bakal berdepan cabaran sengit daripada Aizat.

Setakat ini, rentak konsisten yang dipamerkan oleh Aizat membuktikan pelarasan jentera Yamaha yang ditunggangnya tetap stabil tanpa berdepan dengan masalah mekanikal.

Keadaan itu yang diharapkannya apabila mengharungi saingan di Kuala Terengganu minggu ini bagi merealisasikan misinya untuk bergelar juara di negeri kelahiran sendiri.

Selepas mengharungi empat pusingan setakat ini, Aizat terus unggul memimpin kedudukan keseluruhan dnegan 80 mata diikuti Md Khairi Asyraf Mahmood (Motul Yamaha YY Pang Racing) yang sudah mengumpul 51 mata.

Pelumba asal Perak, Md Syafik Rosli pula menghuni tempat ketiga keseluruhan dengan 50 mata.

Bagi kategori berpasukan pula, pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing selesa mendahului kedudukan dengan 104 mata.


INFO
Kedudukan Keseluruhan CP115 (5 Teratas)
Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 80 mata
Md Khairi Asyraf Mahmood (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 51
Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 50
Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 49
Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 41

Kedudukan pasukan
Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 104 mata
Motul Yamaha YY Pang Racing – 90
Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 64
Idemitsu Honda Yuzy Racing – 56
ONEXOX TKKR SAG Team – 41