ARRC di litar Australia julungkalinya bermula esok

Seluruh kontinjen Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) sudah tidak sabar dan bersedia untuk memulakan aksi buat pertama kali di bumi Australia esok, menjelang pusingan kedua saingan musim 2018 yang akan berlangsung di Litar The Bend Motorsport Park, Australia pada 20 hingga 22 April ini.

Selain perlumbaan ARRC, perlumbaan minggu ini turut dijalankan serentak bersama saingan Kejuaraan Australia Superbike (ASBK) di litar sepanjang 4.95 kilometer yang terletak berhampiran Tailem Bend, 100 kilometer di selatan Adelaide itu.

Selepas tamat pusingan pertama di Buriram, Thailand, Anthony West (webike IKAZUCHI Racing) mendahului kedudukan keseluruhan SuperSports 600cc diikuti Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) kedua dengan 32 mata dan Thitipong Warokorn (Core Kawasaki Thailand Racing Team) ketiga, 25 mata.

Kategori Asia Production 250 di Anupab Sarmoon (Yamaha Thailand Racing Team) dengan 38 mata, Muklada Sarapuech (AP Honda Racing Thailand) kedua dengan 31 mata dan Rafid Topan Sucipto (Yamaha Yamalube KYT TJM WR Super battery) ketiga, juga 31 mata.

Kelas Underbone 150cc dikuasai oleh tiga pelumba Malaysia, diketuai Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing) dengan 36 mata, Md Izzat Zaidi (RCB Yamaha YY Pang Racing) 33 mata dan Md Affendi Rosli (Team One For All) ketiga, 30 mata.

Enam kategori perlumbaan akan berlangsung dengan tiga kategori bagi ARRC iaitu SuperSports 600cc, Asia Production 250cc dan Underbone 150cc manakala tiga kategori ASBK iaitu Superbike ASPK, SuperSports ASBK dan SuperSports 300 ASBK.

Penggiliran Uma Racing sasar bentuk pasukan Asia

Juara berpasukan kategori Underbone 150cc, Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team menggunakan sistem penggiliran pelumba wildcard bersama-sama dua pelumba Malaysia, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairuez bagi mengharungi siri Kejuaraan Motosikal Asia FIM yang memasuki pusingan kedua di Litar The Bend Motorsport Park, Australia, minggu ini.

Menurut prinsipal pasukan, Yong Ying Hoe, penggiliran pelumba dari negara Vietnam, Filipina dan Indonesia ini adalah sebagai inisiatif awal untuk merealisasikan matlamat utama mereka membentuk sebuah pasukan Asia yang berjaya pada tahun 2019.

“Matlamat kami adalah untuk mempromosikan kepelbagaian dalam perlumbaan. Terdapat ramai pelumba muda diluar sana menantikan sumber dan peluang untuk membawa mereka ke peringkat serantau. Pada masa sama kami berharap dapat membentuk sebuah pasukan terdiri dari pelumba muda berbakat dari Malaysia, Vietnam dan Filipina, dan sudah tentu dari Indonesia,” jelas Yong.

“Idea ini masih diperingkat awal. Untuk tahun 2018, pelumba-pelumba wildcard ini juga sebenarnya dalam proses pemilihan uuntuk mengisi tempat di dalam pasukan pada masa akan datang.”

Perlumbaan Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, pasukan Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team meletakkan pelumba Vietnam, Hyunh Minh Sang sebagai pelumba wildcard dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 namun mengalami masalah mekanikal jentera pada Perlumbaan 2.

Pelumba Filipina, McKinley Kyle Paz menjadi taruhan pasukan di Australia minggu ini selepas persembahan memberangsangkan sewaktu ujian pra-musim lepas.

MODENAS Dominar 400 sports tourer dilancar

 MODENAS Dominar D400 kini tampil sebagai motosikal besar pertama Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) yang dinanti-nantikan sejak dua dekad lepas. Pelancaran motosikal sports tourer Dominar D400 mengembalikan segmen sports touring ke dalam jenama MODENAS seperti model Jaguh yang popular di tahun 1999.
 Dominar D400 dikuasakan enjin satu selinder empat injap sejukan cecair 373 cc dengan sistem nyalaan digital tiga percikan (DTS-i) dan suapan pancitan bahan api bagi menghasilkan kuasa maksimum 35 hp pada 8,000 rpm.

Berasaskan motosikal 400 cc antara yang terbaik di India keluaran Bajaj, sejumlah 35 Nm tork tersedia, dengan 28 Nm darinya didapati seawal 3,000 rpm, bagi menawarkan tunggangan lancar dan berkuasa.
Kuasa enjin ini disalurkan melalui transmisi enam kelajuan yang dikawal cekam atau klac gelincir (slipper clutch) dan ia juga dilengkapi dengan ABS dwi-saluran untuk memberikan prestasi, pengendalian dan keselamatan yang terbaik. Sistem suspensi terdiri daripada topang teleskopik 43mm hadapan dan penyerap kejutan tunggal boleh laras berbilang peringkat di belakang untuk tunggangan yang sporty. Keseluruhan pakej ini seberat 182 kg dan berbekalkan bahan api sebanyak 13 liter, bagi membuatkannya sesuai untuk pecutan jarak pendek dan juga pengembaraan jarak jauh.

Ia menawarkan gabungan kuasa yang mantap untuk pecutan pendek dan perjalanan enjin yang lancar untuk pengembaraan jarak jauh. Motosikal ini merupakan sports tourer lengkap yang memiliki reka bentuk dan kedudukan postur yang meningkatkan lagi pengalaman menunggang.
Sekali lagi MODENAS telah mengejutkan pasaran dengan mengumumkan harga mampu milik yang amat kreatif pada RM13,788.00 sebagai harga asas.

Ketua Pegawai Eksekutif – Pengagihan Automotif, Pertahanan, Pembuatan & Kejuruteraan, DRB-HICOM Berhad, Dato’ Abdul Harith Abdullah yakin Dominar D400 mampu menarik minat rakyat Malaysia menerusi reka bentuk yang moden dan berbeza serta harga yang kompetitif, menjadikan motosikal ini paling sesuai untuk kegunaan kerja harian dan motosikal pengembaraan pada hujung minggu.

“Permintaan terhadap motosikal street dijangka meningkat kerana semakin ramai belia yang memilih gaya hidup pantas untuk dinikmati. Kejayaan Pulsar dan V15 di pasaran tempatan telah mengukuhkan lagi kepercayaan kami bahawa madanya telah tiba untuk memperkenalkan produk baharu yang sudah tentu akan meningkatkan pengalaman menunggang motosikal di kalangan peminat motosikal di Malaysia,” kata beliau.

Naib Presiden Bajaj Auto Limited, Dinesh Kulkarni pula berkata bahawa Dominar D400 dibina untuk memberikan pengalaman pengembaraan yang hebat dan bilangan pemilik yang berpuas hati dengan motosikal ini kini semakin bertambah di seluruh dunia; dari Amerika Latin dan Eropah hingga ke Asia Selatan dan kini di Asia Tenggara.

“Baru-baru ini, motosikal Dominar D400 telah berjaya menamatkan salah satu daripada perjalanan motosikal paling jauh, Trans-Siberian Odyssey meliputi 15,000 km dalam masa 53 hari. Perjalanan dari Uzbekistan ke Rusia dan merentasi enam buah negara telah berjaya ditamatkan tanpa sebarang kerosakan. Ini membuktikan tahap keselesaan dan kuasa motosikal serta kehebatannya
sebagai sebuah sports tourer yang sebenar,” tambah beliau.
MODENAS Dominar D400 merupakan produk keempat dalam segmen motosikal jalan raya hasil kejayaan kerjasama antara syarikat dengan Bajaj. Motosikal jalanan jenis “naked” Pulsar NS200, motosikal lumba RS200 dan motosikal retro V15 telah menyaksikan gabungan jualan melebihi 4,500 buah unit sejak dilancarkan pada Mei 2017. Ini membolehkan MODENAS menawan 23% daripada bahagian pasaran segmen motosikal jalanan 250 cc dan ke bawah. Dalam tahun kewangan 2017/18, MODENAS telah berjaya menjual lebih daripada 41,800 unit motosikal iaitu peningkatan sebanyak 47% berbanding tahun kewangan 2016/17.




Tekno-Motorev: Brek radial tu apa?

Apabila kita menyebut tentang brek radial, kita sebenarnya membincangkan mengenai cara atau kaedah kaliper atau angkup brek cakera yang dipasang secara radial. Pemasangan brek secara radial ini kini secara beransur-ansur kian menggantikan pemasangan brek konvensional.

Sebelum ini, kaliper telah dipasang kepada lubang skru yang terdapat pada sisi topang (fork), dan skru ini diikat selari dengan gandar, iaitu dari sisi. Kaliper radial juga turut diskru atau diikat pada topang, tetapi ia nya diikat secara 90 darjah ke gandar (lihat gambar).

Apakah bezanya? Bezanya ialah kuasa hentian brek yang dikenakan atau disampaikan adalah sejajar dengan arah putaran roda. Ini mengelakkan pemesongan atau kiatan ataupn kilasan daya kerana angkup brek berada pada satah atau arah yang sama dengan daya putaran roda yang cuba dihentikan.

Sebenarnya tidak ada perbezaan dalam peningkatan kuasa brek di antara brek radial berbanding yang dipasang secara konvensional. Namun begitu, kekurangan kilasan torsional (pergerakan sisi) ini memberikan maklumbalas  brek yang lebih baik pada tuil brek. Walaupun ia tidak kelihatan, pemesongan angkup atau kaliper brek yang dipasang cara lama atau konvensional akan terasa pada penunggang, seperti tuil menjadi lembut sedikit.

Manfaat lain untuk cara pemasangan ini ini adalah cakera yang lebih besar boleh dipasang. Pemasangan tradisional memerlukan pendakap atau braket pemasangan khusus,  untuk membuat perubahan sedemikian. Cakera yang lebih besar mampu meningkatkan kelebihan mekanikal yang terdapat pada brek, dan juga maklum balas yang lebih baik.

Tugasan ARRC Autralia Azlan Shah dipermudah

Pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dilihat mempunyai kelebihan apabila beberapa pelumba handalan termasuk pendahulu keseluruhan SuperSports 600cc, Anthony West tidak beraksi pada pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berlangsung di The Bend Motorsport Park, Australia, 20 hingga 22 April ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan ketika ini dengan 32 mata, 13 mata di belakang West namun pelumba Australia itu tidak beraksi di halaman sendiri pada minggu ini kerana terlibat dengan Kejuaraan SuperSports Dunia.

Pelumba di kedudukan ketiga, Thitipong Warokorn pula hanya beraksi atas tiket wildcard sewaktu perlumbaan pusingan pertama di Thailand manakala juara keseluruhan 2016, Mohd Zaqhwan Zaidi juga tidak beraksi di Australia bagi memberi tumpuan perlumbaan Kejuaraan Seluruh Jepun minggu ini.
“Di atas kertas, memang saya nampak mempunyai kelebihan, tetapi minggu ini baru masuk pusingan kedua dan masih ada baki banyak perlumbaan lagi. Jadi saya tidak melihat ia sebagai satu kelebihan sebaliknya lebih menumpukan kepada prestasi sendiri.

“Cuma yang penting saya perlu menggunakan peluang ini untuk mengumpul mata maksimum sebagai bekalan penting untuk pusingan-pusingan akan datang. Meskipun mereka tiada, namun cabaran hebat pasti datang dari pelumba Thailand dan juga rakan sepasukan saya sendiri serta pelumba wildcard tuan rumah,” jelas juara bertahan SuperSports 600cc itu

Mengulas tentang cabaran di litar baharu yang pertama kali berada dalam calendar ARRC, Azlan berkata, “Saya difahamkan litar ini baru siap manakala cuaca juga mungkin agak sejuk. Kami perlu mengumpul data dan mendapatkan pelarasan terbaik secepat mungkin. Sesi pada hari pertama sangat penting buat pasukan.
“Laluan lurus yang panjang dan litar ‘high speed’ mungkin memberi sedikit kelebihan kepada jentera Kawasaki. Saya berharap semuanya akan berjalan lancar nanti.”