Tekno-Motorev: Brek radial tu apa?

Apabila kita menyebut tentang brek radial, kita sebenarnya membincangkan mengenai cara atau kaedah kaliper atau angkup brek cakera yang dipasang secara radial. Pemasangan brek secara radial ini kini secara beransur-ansur kian menggantikan pemasangan brek konvensional.

Sebelum ini, kaliper telah dipasang kepada lubang skru yang terdapat pada sisi topang (fork), dan skru ini diikat selari dengan gandar, iaitu dari sisi. Kaliper radial juga turut diskru atau diikat pada topang, tetapi ia nya diikat secara 90 darjah ke gandar (lihat gambar).

Apakah bezanya? Bezanya ialah kuasa hentian brek yang dikenakan atau disampaikan adalah sejajar dengan arah putaran roda. Ini mengelakkan pemesongan atau kiatan ataupn kilasan daya kerana angkup brek berada pada satah atau arah yang sama dengan daya putaran roda yang cuba dihentikan.

Sebenarnya tidak ada perbezaan dalam peningkatan kuasa brek di antara brek radial berbanding yang dipasang secara konvensional. Namun begitu, kekurangan kilasan torsional (pergerakan sisi) ini memberikan maklumbalas  brek yang lebih baik pada tuil brek. Walaupun ia tidak kelihatan, pemesongan angkup atau kaliper brek yang dipasang cara lama atau konvensional akan terasa pada penunggang, seperti tuil menjadi lembut sedikit.

Manfaat lain untuk cara pemasangan ini ini adalah cakera yang lebih besar boleh dipasang. Pemasangan tradisional memerlukan pendakap atau braket pemasangan khusus,  untuk membuat perubahan sedemikian. Cakera yang lebih besar mampu meningkatkan kelebihan mekanikal yang terdapat pada brek, dan juga maklum balas yang lebih baik.

No comments: