Adib Rosley terpaksa lupakan aksi ARRC

Pelumba RCB Accentwire Yamaha YY Pang Racing Team, Md Adib Rosley yang terpaksa melupakan aksi pada ARRC minggu ini gara-gara masih belum pulih daripada kecederaan.

Adib yang pernah muncul naib juara pada Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 di Suzuka sebelum ini mengalami patah kaki ketika terjatuh pada aksi Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan minggu lalu.

Kekosongan yang ditinggalkan Adib itu akan memberi ruang kepada Tengku Amirul Haffirudin untuk beraksi pada Pusingan 6 ARRC di Sepang pada 20-22 September ini. Saingan kali ini sudah pastinya menjadi medan buat pelumba Malaysia untuk menyekat penguasaan para pencabar mereka dari negara jiran.

Pada saingan Pusingan 1 dua pelumba Filipina yang menggalas cabaran pasukan UMA Racing Yamaha Philippine, McKinley Kyle Paz dan Fernando Masato masing-masingnya menjuarai Perlumbaan 1 dan 2. Ia ternyata memberi kesan yang mendalam terhadap barisan pelumba Malaysia yang gagal mempergunakan sepenuhnya kesempatan beraksi di gelanggang sendiri.

Taruhan terbaik adalah pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, Mohd Akid Aziz yang dilihat mampu menyekat penguasaan dua pelumba Filipina itu. Juara sebanyak dua kali iaitu di Buriram dan Zhuhai, Akid kini ketinggalan 4 mata di belakang Kyle Paz yang mendahului carta keseluruhan dengan 95 mata.
Pelumba lain yang diramal mampu melakar kejutan adalah Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Team) dan juga adiknya, Ahmad Fazrul Sham yang akan beraksi atas tiket wildcard.

Sokongan daripada peminat tempatan, ia diharap mampu melonjakkan semangat barisan pelumba negara untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas ARRC.

KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA
Underbone 150
1. McKinley Kyle Paz (PHI) (Yamaha)                   95 mata
2. Mohd Akid Aziz (MAS) (Yamaha)                     91
3. Ahmad Fazli Sham (MAS) (Yamaha)                81
4. Fernando Masato (PHI) (Yamaha)                   72
5. Wawan Wello (INA) (Honda)                            71
6. Aldi Satya Mahendra (INA) (Yamaha)             65
7. Mohd Haziq Mohd Fairues (MAS) (Yamaha) 60
8. Mohd Affendi Rosli (MAS) (Yamaha)              58
9. Peerapong Luiboonpeng (THA) (Yamaha)     58
10. Wahyu Aji Trilaksana (INA) (Yamaha)          54

KEDUDUKAN PASUKAN
1. UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 113 mata
2. ONEXOX TKKR SAG Team                                       109
3. UMA Racing Yamaha Philippine Team                 107
4. Yamaha Racing Indonesia                                        88
5. SND Factory Racing Rapido                                     83

Jelajah Mini Showcase Alif Satar bermula!

Selebriti terkenal Alif Satar berinteraksi bersama ahli Petron Miles dalam sesi 'meet and greet' anjuran Petron Malaysia. Jelajah Mini Showcase Alif Satar ini diadakan khas buat ahli Petron Miles dan peminat setia Alif Satar.

Jelajah Mini Showcase Alif Satar bermula di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 14 September, dan akan diikuti oleh Pulau Pinang pada 28 September, Kota Kinabalu pada 12 Oktober dan Melaka pada 20 Oktober.
Program eksklusif yang dibawa oleh Petron menampilkan 'meet and greet' istimewa bersama Alif Satar dan juga beberapa permainan dan aktiviti menarik, serta peluang buat peserta bagi memenangi barangan eksklusif dari Petron, Enrich dan Alif Satar. Mereka yang menghadiri Mini Showcase Alif Satar ini juga secara automatiknya akan layak bertanding dalam peraduan Fuel & Fly Petron dan Enrich baharu ke New Zealand bersama Alif Satar.

"Kami sangat teruja untuk bekerja dengan Alif Satar dan memberikan peminat beliau serta pelanggan setia kami peluang untuk mengenali salah seorang artis popular di Malaysia. Kami mahu berikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan, dan memastikan perjalanan mereka bersama kami lebih bermanfaat," kata Ketua Dagangan Runcit dan Komersial Petron Malaysia, Encik Choong Kum Choy.

Untuk mendapatkan pas VIP eksklusif ke Mini Showcase Alif Satar, ahli Petron Miles perlu mengisi minyak sebanyak RM250 secara terkumpul dan menghantar resit bayaran mereka bersama-sama dengan butiran peribadi dan borang peraduan mereka. Penyertaan peraduan telah dibuka pada 1 September 2019.
Sementara itu, promosi Fuel & Fly akan berlangsung sehingga 15 Oktober 2019. Pemenang dan peneman mereka akan meluangkan selama 6 hari dan 5 malam di New Zealand bersama Alif Satar. Promosi Fuel & Fly disampaikan bersama oleh Petron Malaysia dan Enrich Malaysia Airlines.



BMW Group Malaysia persembahkan Acara BMW Premium Selection 2019

Pengeluar kenderaan premium BMW akan menganjurkan acara jualan kenderaan pramilik yang terbesar di sampinh acara-acara eksklusif yang bakal diadakan di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia.

Acara yang dinamakan BMW Premium Selection 2019 ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 13 September hingga 15 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan 300 pengunjung pertama akan dihadiahkan Insurans Komprehensif BMW atau MINI yang bertempoh setahun bagi pembelian kenderaan yang dibuat. Mereka akan turut menerima satu unit percuma BMW Advanced Car Eye, merupakan sebuah kamera HD penuh bersensitiviti tinggi yang dapat merakam imej keliling kenderaan pemilik pada waktu siang mahupun malam dengan kualiti yang tinggi. Para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi barangan eksklusif keluaran BMW dan MINI melalui sesi cabutan bertuah dengan setiap pembelian kenderaan BMW Premium Selection.
Di samping itu, wakil-wakil pengedar BMW yang terpilih juga akan menghoskan acara di lokasi-lokasi utama termasuk CityOne Megamall oleh Regas Premium Auto Kuching; Carpark di sebelah One Stop Premium Outlet, Kolombong oleh Regas Premiums Sabah dan C-Mart, Alor Setar oleh Lee Motors. Wearnes Autohaus pula akan menghoskan acara berkenaan di premis mereka sendiri.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, “Kami komited untuk memberikan satu pengalaman pemilikan premium yang terbaik buat pelanggan-pelanggan setia kami. Menerusi acara BMW Premium Selection 2019, kami ingin membuka sruang keterlibatan dan akses kepada Pengalaman Pemanduan Sempurna yang dijanjikan oleh BMW buat semua pemandu di seluruh negara. Kami ingin melihat famili BMW terus berkembang dalam usaha kami untuk membawakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan-pelanggan kami.”

Acara BMW Premium Selection 2019 akan menampilkan BMW X5, BMW 3 Series dan BMW 7 Series serta model-model jentera daripada portfolio MINI dan BMW Motorrad. Sesi pandu uji juga bakal disediakan bagi kesemua model yang dipamerkan sepanjang acara berkenaan untuk memberi keyakinan bahawa kenderaan BMW Premium Selection hanya boleh didapati dalam keadaan yang terbaik.
Mereka yang berminat boleh membuat pratonton dan memilih lebih 500 unit kenderaan pra-miliki BMW dan MINI di laman web BMW Premium Selection sebelum hadir untuk  menguji model pilihan anda di pameran itu. Laman web adalah platform yang mantap yang memudahkan aktiviti beli-dan-menjual untuk pemilik BMW dan MINI yang baru dan terkini. Lawati laman web rasmi untuk maklumat lanjut mengenai faedah eksklusif yang ditawarkan kepada pelanggan BMW Premium Selection.

Butir-Butir Acara BMW Premium Selection:

Tarikh: 13 – 15 September 2019
Waktu: 10:00 pagi – 7:00 malam
Lokasi: Carpark B, Stadium Nasional Bukit Jalil

Jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara BMW Premium Selection 2019, sila layari laman web rasmi BMW Premium Selection di https://www.bmwpremiumselection.com.my/.

Tengku Amirul terpantas hari ini di Teluk Intan

Tengku Amirul Haffirudin membuat kejutan apabila mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 di Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan, Perak hari ini. Amirul sekadar menamat perlumbaan di tempat kesembilan pada saingan Pusingan 5 di Terengganu dua minggu lalu.

Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing itu mencatat masa 51.185 saat (s), meninggalkan Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan perbezaan masa 0.176s.

Catatan masa yang dilakukannya pada sesi kelayakan itu membolehkannya untuk menduduki barisan hadapan pada saingan Superpole esok di Teluk Intan yang merupakan litar kegemarannya kerana pernah beberapa kali melakar penamat podium sebelum ini ketika bersaing dalam kelas P115.

“Litar di Teluk Intan bukan asing buat saya. Saya pernah beberapa kali mencipta kemenangan di litar ini. Momentum cemerlang pasukan kami dalam beberapa pusingan lalu turut memainkan peranan untuk mendorong saya tampil cemerlang,” jelas Amirul.

Petronas Sprinta Racing tampil dua pelumba Moto2 musim 2020

Xavi Vierge akan menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Racing bagi musim 2020 kelak. Pelumba asal Sepanyol akan beraksi bersama skuad PETRONAS Sprinta Racing untuk Kejohanan Dunia Moto2 2020.

Xavi Vierge pernah menaiki podium Moto2 tiga kali dan merupakan bekas juara kejohanan Moto2 Eropah,  dan akan menyertai pasukan dua pelumba  untuk musim 2020, dalam tahun ketiga skuad tersebut bertanding dalam Kejohanan Dunia Moto2.

Vierge, 22, dari Barcelona, Sepanyol, telah menaiki podium di Argentina dan Australia musim lepas di mana dia menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga. Tahun depan akan menjadi musim penuh kelima baginya dalam kelas Moto2 di peringkat antarabangsa.

Saingan Moto2 Musim 2020 akan berlangsung pada Mac tahun depan, dengan pusingan pembukaan di Grand Prix Qatar yang dijadualkan pada 8 Mac.