Adib Rosley azam tebus kecewa di Kangar

Gagal menamatkan perlumbaan pusingan lepas di Teluk Intan, Md Adib Rosley mahu melupakan kekecewaan dan tekad untuk bangkit serta menamatkan perlumbaan di kelompok depan dalam saingan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, 22 dan 23 September ini.
 
Ketika di Teluk Intan, tuas gear jenteran pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu patah akibat insiden kemalangan yang dialami di selekoh pertama perlumbaan. Lebih malang, dua lagi rakan sepasukan, Md Izzat Zaidi Salehan dan Azhar Abd Jalil turut gagal menamatkan perlumbaan sekaligus gagal membawa pulang sebarang mata individu dan juga berpasukan. 
 Adib kini berada di tangga kesembilan keseluruhan dengan 31 mata, jauh ketinggalan kepada pendahulu, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing) yang mengumpul 115 mata selepas lima pusingan.

"Sebenarnya selepas terjatuh, saya masih dapat meneruskan perlumbaan namun selepas satu pusingan, barulah gear jentera saya patah dan gagal untuk meneruskan perlumbaan," jelas Adib.
 Tambahnya, "Memang saya kecewa kerana gagal memungut sebarang mata dan semakin ketinggalan dalam senarai keseluruhan, lebih malang Izzat dan Azhar juga mengalami nasib serupa di Teluk Intan. Pasukan juga rugi kerana gagal menambah mata, namun kami tekad untuk bangkit menebus kehilangan mata tersebut di Perlis minggu ini.

"Berdasarkan rekod kali terakhir kami berlumba di Kangar pada tahun 2016, saya berjaya menaiki podium dan mudah-mudahan dapat mengulanginya  pencapaian tersebut minggu ini."
 

Yamaha NVX edisi Grand Prix cuma RM10,606.00

Dem i memperingati penyertaan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) dalam Kejohanan MotoGP, HLYM melancarkan edisi terhad NVX Grand Prix (GP). Edisi khas ini dilengkapi dengan warna biru perlumbaan Yamaha yang ditambah dengan rupa dan rasa sporty terkini dan diilhamkan dari jentera Yamaha Factory Racing YZF-M1 yang ditunggangi oleh dua pelumba GP terkenal - Valentino Rossi dan Maverick Vinales.  

  
Bagi setiap pembelian NVX GP, pemilik juga akan menerima jaket beker eksklusif berjenama dengan NVX GP Edition dan Sijil Pemilikan.
Yamaha NVX GP Edition akan tersedia di semua peniaga sah Yamaha dari 15 'Sept 2018 dan seterusnya pada harga RM 10,606.00 iaitu tambahan RM700 di atas harga jualan semasa versi standard Yamaha NVX yang sebanyak  RM   9,906.00.



Nazirul Izzat dibakar semangat Rossi

 Selepas pulang menimba ilmu permotoran di kem Akademi VR46 milik bintang MotoGP, Valentino Rossi, Nazirul Izzat Bahauddin semakin bersemangat untuk menghadapi perlumbaan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM PETRONAS 2018 di Kangar, Perlis, minggu in.

Pelumba CP115 pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing itu telah terpilih ke Itali bersama seorang lagi pelumba muda Yamaha, Md Aiman Tahiruddin dan turut disertai dua pelumba dari Jepun dan Indonesia.
 "Banyak ilmu dan perkara baru yang dipelajari sepanjang berada di Itali dan saya harap ia dapat meningkatkan lagi prestasi saya di Perlis minggu ini," jelas Nazirul yang kini berada di kedudukan keenam keseluruhan kategori CP115 dengan 51 mata termasuk satu podium di tempat ketiga di Temerloh. 

"Peluang bertemu Rossi sendiri yang sempat berkunjung ke kem ini juga sangat bermakna. Selain tunjuk ajar jurulatih di akademi VR46, Rossi juga sempat berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar kepada kami."
 Tambahnya, "Walaupun masih penat dengan jadual latihan dan penerbangan yang jauh, saya yakin ia tidak akan menjejaskan prestasi saya nanti. Tempoh rehat sejak tiba di Malaysia semalam cukup untuk membantu fizikal saya berada pada tahap terbaik. Tentang jentera, saya tidak bimbang kerana jurutera dan kru pasukan sentiasa menyediakan yang terbaik.
 Selepas lima pusingan, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) kini mengungguli kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 113 mata diikuti rakan sepasukan, Md Fareez Afeez dengan 73 mata sambil diekori rapat Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan 71 mata. 

Idemitsu Kozi Yam Honda Racing yakin di Perlis

Pada saingan pembukaan musim 2018, pelumba-pelumba pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing yang pernah memegang takhta selaku juara kategori WIRA KBS selama tiga tahun berturut-turut pada 2015 hingga 2016 gagal untuk menaiki podium namun mula bangkit pada pusingan kedua apabila Md Fadlyshah Redzuan menamatkan saingan di tempat ketiga. Namun selaku antara pelumba yang diharapkan untuk membawa podium kepada pasukan,  Md Syarifuddin Azman yakin pasukannya itu kini semakin mendapat rentak dan akan terus memberikan cabaran sengit dalam perlumbaan kelas WIRA KBS pada pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, minggu ini.
 Syarifuddin mula mempamerkan aksi sebenar apabila meraih dua kemenangan berturut-turut pada pusingan keempat di Temerloh dan kelima (Teluk Intan) selepas kecewa gagal menamatkan dua perlumbaan pusingan awal tahun ini.

“Pada peringkat awal musim, kami masih mencari dan mencuba pelarasan baru yang ingin digunakan pada tahun ini, namun malangnya kami gagal untuk menaiki podium dan saya sendiri gagal untuk menamatkan perlumbaan,” jelas Syarifuddin.  “Namun selepas itu, hasil kerja keras semua, kami mula bangkit dan terus memperbaiki kesilapan yang ada sehingga akhirnya saya dapat menjuarai dua perlumbaan berturut-turut,” tambahnya.


Mengulas tentang peluang untuk mengejar kedudukan keseluruhan yang dipegang oleh Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) dengan 97 mata, Syarifuddin yang berada di tangga keempat dengan 58 mata berkata dia tidak terlalu memikirkan tentang perkara tersebut.
“Perbezaan mata ketika ini agak jauh namun saya tidak mudah menyerah kalah kerana tidak mustahil untuk saya mengejar. Cuma fokus saya berbeza, saya hanya mahu memberi tumpuan untuk memenangi satu demi satu perlumbaan berbanding dengan gelaran.”

Mini Cub Prix KBS bermula

Mohamad Aidil Mohd Ayub dari Selangor muncul juara pertama siri perlumbaan Mini Cub Prix KBS dengan mendominasi kedua-dua perlumbaan akhir kategori Junior pada saingan pusingan pertama yang berakhir di MAEPS, Serdang, Selangor, semalam.

Mohamad Aidil, 12 tahun mempamerkan aksi cemerlang apabila menamatkan 14 pusingan Perlumbaan 1 dengan masa keseluruhan 9’37.365s manakala 9’38.370s dalam Perlumbaan 2 secara bersendirian tanpa diberi tentangan sengit pelumba-pelumba lain.
 Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas muncul naib juara Perlumbaan 1 dengan masa 9:49.122s diikuti Nabil Abdul Rahman dengan masa 9:49.263s manakala Muhammad Alif Izwan Samsul Fakry muncul naib juara Perlumbaan 2 dengan masa 9:46.219s sambil Muhammad Farish Iqmal sekali lagi meraih podium dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 9:52.968s.

“Saya gembira dengan kemenangan ini setelah menjalani banyak latihan sebagai persediaan untuk perlumbaan minggu ini,” jelas Aidil.
 Pada masa sama pelumba itu berharap dapat meneruskan aksi cemerlang pada perlumbaan akan datang bagi merealisasikan hasratnya untuk beraksi secara profesional dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2019.

Perlumbaan Mini Cub Prix KBS merupakan antara program pembangunan sukan permotoran yang dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Kejuaraan Cub Prix Malaysia dimana pelumba-pelumba akan bersaing untuk merebut hadiah berupa biasiswa dan slot automatik dalam perlumbaan satu pengeluar Honda dan Yamaha pada musim 2019.
 Selain kategori Mini Cub Prix KBS Junior, tiga kategori sampingan turut berlangsung iaitu kategori Kidz ( 6 – 9 tahun), kategori Kadet (10 – 11 tahun) dan kategori terbuka ( 6 – 12 tahun).

Pusingan kedua Mini Cub Prix KBS akan berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu pada 5 dan 6 Oktober depan.
KLINIK CUB PRIX KBS JUNIOR
Perlumbaan 1
Mohamad Aidil Bin Mohamad Ayub (SGR) 9:37.365s
Muhammad Farish Iqmal Bin Khayrul Elyas (JHR) 9:49.122s
Nabil Bin Abdul Rahman (JHR) 9:49.263s

Perlumbaan 2
Mohamad Aidil Bin Mohamad Ayub (SGR) 9:38.370s
Muhammad Alif Izwan Bin Samsul Fakry(KUL) 9:46.219s
Muhammad Farish Iqmal Bin Khayrul Elyas (JHR) 9:52.968s

Kedudukan Keseluruhan

1 Mohamad Aidil Bin Mohamad Ayub (SGR) 50 mata
2. Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas (JHR) 36 mata
36 Muhammad Alif Izwan Samsul Fakry (KUL) 33 mata

Kategori Open
Muhammad Hakim Danish Bin Ramly 7:42.863s
Mohamad Aidil Bin Mohamad Ayub 7:46.763s
Qabil Irfan Bin Azlan 7:57.194s

Kategori Kadet
Muhammad Hakim Danish Ramly 6:34.471s
Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin 6:50.383s
Muhammad Farish Hafiy Farid Sezli 6:50.460s

Kategori Kidz
Qabil Irfan Bin Azlan 5:40.167s
Muhammad Adib Arsyad Bin Hisyam 5:46.071s
Muhamad Iqmal Firdaus Kamalruzzaman 5:53.545s