Pasukan VR46 kan ketepikan Yamaha Tech3 dalam MotoGP?

Bukan rahsia lagi bahawa pengurus pasukan Yamaha Tech3 iaitu Herve Poncharal berpendapat yang Yamaha akan memilih Pasukan Valentino Rossi VR46 sebagai skuad tunggal MotoGP pada masa akan datang Pasukan VR46 kini sudah bersaing dalam Moto2 dan Moto3. Tahun lepas, bos Dorna iaitu Ezeleleta berkata bahawa dia bersedia untuk menjamin tempat bagi skuad Rossi dalam kelas perdana, walaupun secara teorinya grid permulaan telah ditetapkan untuk mempunyai 24 jentera lumba sahaja.

Adakah Tech3 akan kehilangan sokongan Yamaha jika Pasukan VR46 diangkat sebagai pasukan satelit pengilang Jepun tersebut?

Kerjasama Rossi dengan Yamaha yang sebegitu lama membuatkan pasukan VR46 ini nyata sebagai calon pasukan satelit pilihan pengilang tersebut jika VR46 ingin mengorak langkah ke arah MotoGP. Rossi akan mencecah umur 39 tahun pada bulan Februari ini, dan kontrak beliau juga akan tamat di penghujung musim ini. Rossi dikatakan akan berperanan sebagai bos pasukannya sendiri apabila dia memilih untuk bersara daripada perlumbaan kelak. Secara umumnya kita boleh mengandaikan bahawa pasukan VR46nya akan mengorak langkah ke arena kelas perdana MotoGP.

Tetapi Yamaha selama ini hanya menyokong sebuah pasukan satelit sahaja. Ini mungkin akan memaksa pengilang tersebut untuk memilih di antara kolaborator lama mereka iaitu Yamaha Tech3, dan Pasukan VR46. Bos Yamaha Tech3, Poncharal telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Yamaha, dan beliau sendiri pernah bertanyakan soalan samada Yamaha akan membariskan enam jentera di grid permulaan, iaitu tambahan dua jetera dari yang ada sekarang.

Jawapan yang diterimanya adalah: 'Tidak, itu terlalu banyak'.

Poncharal bersama Kouchi Tsuji dari Yamaha
Poncharal terus mengajukan soalan maut: " Jika ada permohonan dari VR46 dan Tech3, siapa yang akan menjadi keutamaan?"

Jawapannya: VR46.

Jelas dan nyata.

Namun begitu, kesemua pasukan satelit MotoGP adalah tertakluk secara kontrak dengan Dorna untuk kekal di grid perlumbaan sehingga 2021. Ini juga bermakna bahawa sebarang pasukan baru yang ingin menyertai kejohanan dunia ini akan perlu membeli salah satu kontrak sedia ada atau mendapatkan kelulusan sebulat suara dari Dorna dan semua pasukan bebas yang lain.

Poncharal, yang juga presiden IRTA (Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalanan Antarabangsa), berkata beliau meragui yang Rossi akan mahu menjalin kerjasama dengan sebarang pasukan sedia ada, dan turut menafikan pakatan dengan Tech3.

"Kami mempunyai kontrak dengan Dorna dari 2017 hingga 2021 yang menyatakan bahawa tiada siapa yang boleh menyertai kejohanan tersebut kecuali mereka mencari jalan untuk membuat perjanjian, perkongsian atau bergabung dengan pasukan sedia ada," jelasnya.

"Saya tidak inginkan dia (Rossi) sebagai rakan kongsi. Mungkin dia boleh membeli Aspar, Avintia, LCR, atau mana-mana pasukan bebas, tetapi saya tidak fikir bukan ini yang beliau mahukan.

"Jika dia ingin menyertainya, dia perlu mendapatkan lampu hijau bukan saja dari Dorna, tetapi juga dari pasukan bebas yang sedia ada kerana kami mempunyai kesepakatan eksklusif dan ia nya bertulis," tambahnya lagi.

"Ia tidak akan berlaku, kecuali jika semua orang mengatakan bersetuju untuk mempunyai satu lagi pasukan. Ia hanya boleh berlaku pada tahun 2022 apabila kontrak yang sedia ada telah tamat."

Malah Rossi telah menyatakan tahun lepas bahawa sebarang rancangan untuk menggerakkan pasukannya ke kelas MotoGP mungkin berlaku dalam masa 10 tahun kerana dia sedang menumpukan pada pembangunan pelumba muda.
Zarco dan Poncharal
Di samping isu ini, Herve Poncharal juga mengakui bahawa tindakan pasukan MotoGP satelitnya, Tech3 mengalahkan pasukan kilang Yamaha dalam beberapa kesempatan musim 2017 lepas mencetuskan beberapa situasi yang "tidak selesa".

Para pelumba pasuka kilang Yamaha iaitu Maverick Vinales dan Valentino Rossi mengalami kempen mengecewakan dalam musim 2017, sementara rookie Johann Zarco  Tech3 menyerlah dengan menunggang jentera pengilang Yamaha tahun lepas.

Zarco berjaya mengalahkan kedua-dua Vinales dan Rossi enam kali sepanjang musim lepas, manakala rakan sepasukan Jonas Folger berjaya melakukannya dua kali.

"Kadang-kadang agak tidak selesa bagi saya untuk berada di hadapan mereka," kata Poncharal.

Walaupun musim 2017 merupakan musim yang membanggakan untuk Tech3, Poncharal menggariskan bahawa bersaing dengan pasukan pengilang Yamaha  bukan "sepatutnya", dan keutamaannya adalah untuk membantu jenama Jepun itu untuk memenangi gelaran.

"Terdapat empat jentera M1 di litar, dan kita perlu memberikan maklumat yang berharga kepada pengilang untuk membolehkan mereka berjuang untuk kejuaraan," katanya.

"Pasukan kilang sentiasa akan menjadi keutamaan. Kami adalah pasukan Yamaha, dalam musim ke-20 berturut-turut dengan mereka, saya kenal mereka dengan baik, saya menghormati mereka." ujarnya lagi.



Harald Hoelzl CEO BMW Group Malaysia yang baharu.

BMW Group AG telah melantik Harald Hoelzl untuk memegang tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BMW Group Malaysia yang baharu bermula 1 Mac 2018. Hoelzl akan mengambil alih tanggungjawab di Malaysia daripada Pengarah Urusan dan CEO sekarang iaitu Han Sang Yun bermula 1 Mac 2018. Sang Yun pula bakal dilantik sebagai Presiden BMW Group Korea yang baru. Han Sang Yun dilantik menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia pada Januari 2015.

Hoelzl memulakan kerjayanya dengan BMW Group pada tahun 2002 serta telah berkhidmat dalam pelbagai jabatan seperti Jualan, Pemasaran, Pembangunan Pengedar dan IT. Dengan rekod kerjaya yang mengagumkan, BMW Group AG melantik beliau sebagai Ketua Pemasaran BMW Group Central South Eastern Europe pada tahun 2011, sebelum mengetuai operasi BMW Group di Republik Czech.

Proton Tawar diskaun Tahun Baru Cina

Bersempena Sambutan Tahun Baru Cina, PROTON menawarkan ganjaran kepada para pelanggannya dengan diskaun-diskaun* hebat untuk semua model Proton, sehingga RM500* untuk Exora, sehingga RM1,000* untuk Saga, sehingga RM1,000* untuk Persona, sehingga RM5,000* untuk Iriz, dan sehingga RM13,888* untuk Perdana.

Para pelanggan juga boleh mengunjungi mana-mana pusat servis PROTON yang diiktiraf untuk pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma** sebelum memulakan perjalanan jauh.

PROTON mencatatkan jualan 4,783 unit kereta pada Januari 2018 dengan jumlah unjuran pegangan pasaran 10.9%, peningkatan daripada 8.8% pegangan pasaran pada bulan sebelumnya, walaupun mencatatkan jualan lebih rendah daripada 4,802 unit pada Disember 2017.
Saga, Persona dan Exora merupakan model paling popular, merangkumi 80% daripada jumlah jualan kereta Proton untuk Januari 2018.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi PROTON Customer Care di 1800 888 398 atau e-mel kepada kami di customercare@proton.com. Pelanggan juga boleh melawat www.proton.com atau halaman Facebook rasmi kami di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. Untuk kemudahan tambahan, pelanggan boleh memuat turun aplikasi mudah alih rasmi MyProton, yang tersedia melalui Google Play dan Apple App Store.

*Tertakluk kepada terma dan syarat. Diskaun berbeza mengikut model. Promosi sah sehingga 28 Februari 2018.
**Tertakluk kepada terma dan syarat. Promosi sah sehingga 24 Februari 2018.

WSBK cuba imbangi kuasa pesaing


Dominasi satu satu pasukan kadangkala akan menyebabkan kebosanan sesuatu kejohanan perlumbaan. Itu yang telah berlaku kepada kejohanan Formula satu dan juga WSBK. Bagi menjadikan perlumbaan itu lebih adil, dan yang paling penting agar ia nya lebih menarik, persaingan yang lebih samarata nyata dilihat perlu.

Besar modal, besarlah perubahan yang mampu dilakukan, terutamanya dalam bidang kawalan elektronik enjin dan juga pelbagai peralatan lain.

Perubahan terbesar dan mungkin yang paling berkesan dalam musim World Superbike 2018 ialah penggunaan had revolusi atau had puraran enjin sebagai mekanisme bagi mengimbangkan prestasi antara para pesaing. Sistem semasa menggunakan penyekat udara yang diletakkan di dalam badan pendikit sebagai cara menyekat prestasi dengan mengawal bukaan saluran masuk udara. Ia pada awalnya bertujuan untuk meperlahankan jentera Ducatis, terutamanya apabila kapasiti maksimum untuk enjin kembar ditingkatkan kepada 1200cc.

Terdapat dua masalah dalam penggunaan penyekat atau penahan udara. Pertamanya ialah kesannya agak terhad. Pembuat motosikal kini semakin mahir untuk memerah kuasa yang lebih tinggi daripada enjin walaupun udara disekat. Isu yang lebih besar adalah ia hanya sekadar menangani masalah perbezaan antara enjin kembar dan enjin empat silinder, dan tidak mampu mengimbangi perbezaan antara enjin empat silinder sesama sendiri. Ianya bertujuan untuk mengekang kelebihan Ducati. Namun masalahnya kini ialah Kawasaki telah berjaya mengatasi prestasi Ducati, dan tidak ada cara untuk membantu Honda, Aprilia, Yamaha, BMW, atau Suzuki mengejar Kawasaki yang mempunyai kelebihan ketara.

Ini lah sebabnya penggunaan had revolusi digunapakai. Had rev akan memberikan FIM dan Dorna kawalan secara langsung terhadap prestasi pengeluar yang berbeza. Dengan membenarkan had rev yang berbeza untuk pengeluar yang berlainan, ia nya boleh memberi kesan kepada kuasa puncak dan tork bagi setiap jenama berlainan. Sebagai contoh, tahap rev maksima akan dikurangkan untuk Kawasaki jika Jonathan Rea dan Tom Sykes terus memenangi kesemuanya, dan membiarkan had revolusi Yamaha tidak disentuh, kerana Alex Lowes dan Michael van der Mark telah hampir kompetitif sebagai satu-satunya jenama motosikal lain di atas podium selain Kawasaki dan Ducati. Sambil itu, had revolusi untuk jentera Aprilia dan Honda boleh ditingkatkan untuk membantu menjadikan mereka lebih berdaya saing.
Sistem ini akan menggunakan algoritma untuk mengira prestasi relatif. Algoritma itu belum lagi ditakrifkan sepenuhnya, tetapi ia akan menggabungkan beberapa faktor, termasuk masa pusingan, kelajuan tertinggi, bilangan penunggang pada motosikal tertentu, keputusan, bilangan pusingan yang didahului dan lain lain lagi, untuk menjana kedudukan prestasi relatif. Sekiranya satu satu pengeluar tertentu itu mendahului terlalu jauh, maka had maksimum untuk pengilang tersebut boleh diturunkan sebanyak 250rpm. Bagi pengeluar dengan kedudukan prestasi rendah pula, had rev jenama tersebut boleh dinaikkan sebanyak 250rpm.

Pengiraan akan dibuat setiap tiga pusingan, dan juga boleh dilakukan pada akhir musim untuk tahun berikutnya. Had rev yang dicadangkan ditunjukkan di bawah:

Had baru akan berdasarkan pengiraan sebanyak 3.3 peratus di atas had rev motosikal standard yang dijual di pasaran. WSBK akan menguji motosikal homologik untuk menentukan had rev standar mereka, dan setiap jentera lumba WSBK akan dilengkapi dengan sensor aci sesondol/crankshaft. Sebagai contoh, jentera Kawasaki tunggangan Rea akan kehilangan 1,200 rpm.
Jonathan Rea
 Pemerhati WSBK akan dapat menentukan sama ada satu satu enjin perlumbaan telah melampaui had yang ditetapkan dan untuk berapa lama. Jentera yang melebi had akan dikenakan penalti.

Aprilia 14700
BMW 14700
Ducati 12400
Honda 14300
Kawasaki 14100
MV Agusta 14700
Suzuki 14700
Yamaha 14700

Had rev akan dikenakan melalui talaan ECU untuk setiap motosikal, dan dipantau oleh perekod data atau datalogger yang diluluskan FIM pada setiap motosikal. Melebihi had rev atau overrevving adalah dibenarkan ketika penurunan gear, kerana faedah prestasi seperti itu boleh diabaikan dalam membezakan kelajuan.

Namun begitu masih terdapat batasan bagi apa yang boleh dilakukan oleh had rev. Walaupun secara teori, Dorna dan FIM boleh menaikkan had rev setinggi yang mereka mahu, itu tidak bermakna bahawa motosikal tersebut mampu mencapai kelajuan kitaran enjin tersebut. Yamaha, contohnya, menghadkan enjin mereka untuk berputar lebih rendah daripada had rev yang dicadangkan dalam peraturan baharu bagi memastikan ketahanan dan kebolehpercayaan enjin.

Matlamat sebenar had rev adalah untuk menurunkan had untuk pengilang yang kini terlalu mendominasi perlumbaan WSBK. Tidak semestinya had revolusi Yamaha akan dinaikkan, tetapi hampir pasti bahawa had rev untuk Ducati dan Kawasaki akan diturunkan jika kecanggihan mereka berterusan mendominasi kejuaraan.
Alex lowes di Qatar
 Penurunan had rev Kawasaki dan Ducati juga akan membantu pasukan persendirian yang berjaya. Pada masa ini, jentera Kawasaki pasukan persendirian jauh sekali dari menyamai revolusi jentera KRT Rea dan Sykes. Pengurangan had rev Kawasaki akan mengurangkan prestasi pasukan KRT, tetapi ia tidak semestinya menjejaskan pasukan persendirian yang menggunakan jentera yang sama.

Perkembangan skuter Yamaha berterusan

BW/Zuma CW50
-bersambung dari Bahagian Satu (klik sini untuk baca semula)-
1991
Selepas jualan yang cukup baik selama dua tahun di Amerika, Yamaha berhenti menjual Zuma kerana tidak mempunyai cukup stok untuk diimport. Sementara itu di Eropah, CW50 telah menjadi begitu popular di bawah jenama BW sehingga Yamaha memberhentikan penawarannya di pasaran Amerika Syarikat & Kanada bagi memenuhi permintaan Eropah.

MODEL: Jog, Razz, Riva 125, Riva 200

Jog CY50
1992 - 1994
Generasi ketiga yang lebih kemas tampil dengan nama kod CY50 dalam tahun 1992. Yamaha memberhentikan pengeluaran Riva 200 selepas lima tahun dan tidak lagi menawarkan versi mewah Riva 125. Tiga lagi skuter Yamaha ketika itu tidak berubah bagi tahun model 2001.
MODEL: Jog, Razz, Riva 125

1995 - 1996
Yamaha membawa model CW50 kembali ke Kanada dalam tahun 1995, tetapi memandangkan Kanada adalah pasaran yang kecil, mereka memilih untuk tidak menggunakan jenama Zuma, dan sebaliknya mereka mula menggunakan nama BW atau BeeWee.
MODEL: Jog, Razz, BWs (Kanada Sahaja) Riva 125

1997 - 2000

Selepas enam tahun, CW50 kembali ke Amerika Syarikat sebagai model tahun 1997. Di sana, Yamaha menghidupkan semula nama Zuma yang mula-mula digunakan pada akhir 1980-an untuk model ini manakala di Kanada, Yamaha telah menjual CW50 selama beberapa tahun di bawah nama BW, jadi mereka memilih terus menggunakan nama itu. Selepas perubahan 1997, barisan Yamaha di Amerika Utara kekal tidak berubah selama tiga tahun lagi.
MODEL: Jog, Razz, BWs / Zuma, Riva 125

Vino 50
2001Bagi tahun 2001, Yamaha mula merombak barisan skuter lama mereka memandangkan tiga daripada empat model sedia ada telah dijual sejak tahun 80-an lagi.

Yamaha memulakan proses pemulihan pasaran skuter mereka mereka di Amerika Utara dengan memperkenalkan Vino 2-lejang gaya baru (YJ50) untuk bersaing dengan Vespa baru yang telah kembali ke pasaran pada tahun 1999 dan semakin popular.
MODEL: Jog, Razz, BWs / Zuma, Vino, Riva 125

Zuma
 2002 - 2003
Untuk tahun 2002, Yamaha telah melengkapkan barisan model skuter mereka dengan memberhentikan penawaran skuter lama mereka (Jog, Razz dan Riva 125) dan menggantikannya dengan skuter mereka yang paling popular iaitu BW / Zuma, dengan model generasi baru kod YW50.
MODEL: Vino, BWs / Zuma


Vino 125
2004Yamaha memasuki semula segmen pasaran 125cc dengan skuter Vino versi 125cc baru, yang digelar Vino 125 (YJ125). Mampu ditunggang sekitar 90-105 kmj, skuter ini jauh lebih murah daripada Vespa ET4 dan terus menjadi pilihan popular. Yamaha bertindak bijak dengan meneruskan gaya model 50cc yang lebih kecil, dan kedua duanya kelihatan agak serupa. Selain daripada kuasa yang lebih besar, Vino 125 mempunyai pelana yang lebih besar dan brek cakera mengendalikan tugas membrek di hadapan.
MODEL: Vino, BWs / Zuma, Vino 125, Majesty

Majesty YP400
2005
Yamaha telah menampilkan skuter terbesar mereka sebagai model tahun 2005 dengan penampilan Majesty 400cc (YP400).

Majesty bersaiz dua kali ganda berbanding dengan skuter terbesar Yamaha iaitu Riva 200 dan ia adalah skuter Maxi saiz penuh pertama Yamaha, walaupun mereka terlambat untuk memasuki segmen maxiscooter oleh beberapa tahun. Honda, Suzuki dan Aprilia semuanya telah menawarkan skuter 400cc atau lebih besar sejak tahun 2003.
MODEL: Vino, BWs / Zuma, Vino 125, Majesty

Morphous 250 atau Maxam di Jepun
 2006Bagi tahun ketiga berturut-turut Yamaha memperkenalkan model skuter baru, iaitu  Morphous 250cc (CP250). Skuter panjang dan rendah ini amat popular di Jepun di mana ia dikenali sebagai Maxam.

Yamaha juga membaik pulih Vino 50 mereka kepada generasi baharu 4-lejang, yang dipanggil "Vino Classic" dalam kebanyakan penulisan mereka. Vino 50 yang disemak semula ini menerima enjin 4-lejang 3-injap suntikan bahan api.
Gaya generasi baru kelihatan hampir tidak berubah pada pandangan pertama, tetapi Yamaha sebenarnya membuat banyak semakan untuk menyegarkannya termasuk penggunaan rim dan tupang atau fork baru, dan menukar kod modelnya dari YJ50 ke XC50.

Sebagai tindak balas kepada peraturan-peraturan pelepasan yang semakin ketat, Yamaha tidak memperkenalkan versi skuter BW / Zuma 2006, tetapi telah memenuhkan bilik pameran mereka dengan model 2005 sebelum peraturan-peraturan baru dikuatkuasa. Namun begitu mereka telah mengeluarkan model Riva 125 2006. Riva telah diberhentikan sebelum ini sejak tahun 2001.
MODEL: Vino, Vino 125, Morfous, Majesty, Riva 125

2007
Pun begitu Riva 125 tidak dibawa kehadapan bagi tahun 2007. Yamaha cuba mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh BW dengan skuter C3 yang unik (XF50). C3 dikuasakan enjin 4-lejang yang sama seperti Vino dan mempunyai ruang penyimpanan yang besar. Ia adalah pilihan yang super praktikal untuk skuter sekitar bandar dengan rupa yang comel.
MODEL: Vino, C3, Vino 125, Morfous, Majesty

 2008
Selepas berjaya mengurangkan pelepasan melalui catalyser atau penukar pemangkin baharu, Yamaha mengeluarkan semula BW / Zuma 2-stroke ke pasaran Amerika Utara dalam bentuk yang lebih terhad. Sekatan-sekatan baru ini agak mudah dilepasi, dan model tahun 2008 ketara lebih berprestasi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
MODEL: Vino, C3, BW / Zuma, Vino 125, Morfous, Majesty

Zuma 125
 2009
Yamaha memperkenalkan skuter maxi baru, TMAX 495cc yang kemas, kepada barisan model Amerika Utara mereka pada 2009. Menariknya, Yamaha terus menjual skuter Majesty 400cc di samping TMAX yang lebih baru.

TMAX 495
Yang menghairankan, Yamaha menghentikan penawaran Morphous selepas hanya tiga tahun. Morphous merupakan skuter yang sangat unik dengan reka bentuk yang rendah serta ciri-ciri kemas seperti ruang simpanan sebenar.

Berita besar dalam 2009 adalah penampilan model Zuma / BW 4-lejang 125 serba baharu. Ia merupakan skuter Zuma / BW yang dinantikan peminat selama bertahun-tahun. Skuter ini juga mungkin telah memberi kesan kepada jualan Honda, kerana ramai peminat Ruckus sebenarnya mencari sesuatu yang serupa tetapi yang lebih berkuasa.
MODEL: Vino, C3, BWs / Zuma, Vino 125, BW 125 / Zuma 125, Majesty, TMAX

2010
Selepas jangka masa 6 tahun, Vino 125 telah ditamatkan penawarannya di Amerika Syarikat. Skuad skuter Yamaha selebihnya tidak berubah untuk tahun 2010 kecuali beberapa warna baru. Di Kanada, Vino 125 boleh didapati sebagai model 2010, tetapi TMAX telah digugurkan.
MODEL: Vino, C3, BWs / Zuma, Vino 125 (Kanada Sahaja), BW 125 / Zuma 125, Majesty, TMAX (Amerika Syarikat Sahaja)