Harley-Davidson Softail Street Bob penawaran HD terkini

Pengedar baharu Harley-Davidson di Malaysia kini menawarkan H-D Softail Street Bob, yang merupakan salah satu daripada motosikal Motor Company tersebut yang paling asas. Bagi penggemar kustom, mungkin inilah yang didambakan mereka untuk memudahkan kerja kustomisasi yang terbaik (dan menjimatkan wang). Harley-Davidson mendakwa bahawa prestasi enjin yang lebih baik pada reka bentuk baharu ini akan mengujakan peminat setia bagi tahun 2018. Ia juga merupakan model harga terendah dan paling ringan dalam barisan Softail.

Harley-Davidson mengekalkan DNA tahun 1960-an yang sentiasa memberi inspirasi kepada Street Bob, lebih untuk menyatakan semangat kuasa dan minimalis. Hendal gantung mini hitam, fender depan minimalis dan tupang togel dan tangki bahanapi padat dan dwi-ekzos berbeza panjang meningkatkan lagi penampilan ringan dan tangkasnya.
Seperti model Dyna-beralih-Softail yang lain, Street Bob dibekalkan lojikuasa empat-injap-se silinder baharu iaitu Milwaukee-Eight 107ci V-kembar dengan pengimbang dwi ganda untuk membatalkan getaran utama. Ini membolehkan enjin  dipasang tegar pada kerangka tanpa pasak berpelapik getah, yang meningkatkan kekukuhan casis untuk menghasilkan pengendalian yang lebih baik. Harley-Davidson mendakwa enjin 107ci Milwaukee-Eight membuatkan motosikal baharunya 10 peratus lebih tangkas dalam ujian 0-100 kmj berbanding enjin High Output Twin Cam 103 yang digunakan sebelum ini.
Tunggangan ringkas yang dialami mengesahkan kemampuan enjin ini, dengan jumlah tork yang kaya secepat kilasan pendikit, malah anda perlu mengingatkan pembonceng agar merangkul pinggang anda supaya dia tidak ketinggalan ketika memecut pergi! Hantaran kuasa yang linear amat terasa kelancarannya, dan gegaran yang biasanya dikaitkan dengan jentera HD kini sekadar terasa sedikit, tanpa merengsakan peminat motosikal dengan konfigurasi berbeza dengan enjin v-kembar ini.
Kerangka tiub keluli ringannya telah direka semula dan adalah 65 peratus lebih tegar daripada bingkai Softail terdahulu. Kerangka baharu ini 50 peratus kurang komponen, 22 peratus kurang kimpalan dan, dengan enjin yang kukuh, menjadikan keseluruhan casis 34 peratus lebih tegar. Kerangka baharu ini (bersama-sama dengan perubahan lain) membantu mengurangkan hampir 18 kg berat Street Bob 2018 ini. Casis baru juga meningkatkan pengendalian dan sudut sendengnya.
Tupang Showa Dual Bending Valve (SDBV) yang Harley-Davidson diperkenalkan pada barisan FL tahun lepas kini digunakan untuk motosikal Softail 2018. Fork Showa ini juga menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhan dan memberikan ciri-ciri redaman linear untuk menyediakan perjalanan yang lebih selesa, kendalian lebih mantap dan tunggangan yang lebih baik.

Pengenepian penyerap kejutan kembar adalah satu perubahan besar. Unit gegelung spring di bawah pelana tunggal baharu meningkatkan prestasi dengan menawarkan pergerakan roda yang lebih banyak, redaman yang lebih terkawal dan kepelbagaian penyesuaian prabeban spring yang lebih besar.
Untuk mendapatkan rupa minimalis, tangki bahan api Street Bob telah diubahsuai dan kini berkapasiti  13.2 liter, yang diimbangi oleh penggunaan bahanapi yng lebih menjimatkan iaitu sebanyak 5 liter bagi setiap 100 km, atau lebihkurang 264 km bagi setiap tangki penuh.  Meter analog juga telah diketepikan agar tampak lebih minimalis, dan kini diganti dengan unit meter digital yang tersembunyi.

Harley-Davidson Softail Street Bob ini diberitakan akan ditawarkan pada harga sekitar RM107,000 dan tempahan kini sudah boleh dibuat di Gasket Alley Petaling Jaya Selangor. Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi Sdra Muhd Anis di 012 339 3242















No comments: