'Vespino' sekarang berenjin I-GET


Pengedar rasmi skuter Vespa di Malaysia, Naza Premira Sdn Bhd, mengumumkan bahawa model S125 yang popular kini dilengkapi dengan enjin I-GET.

I-GET yang bermaksud Teknologi Pengalaman Hijau Itali, merupakan pendekatan baharu untuk reka bentuk lojikuasa dan pembangunan, dengan matlamat untuk meningkatkan kecekapan setiap elemen dan meningkatkan prestasi keseluruhan. Konsep baharu ini merupakan falsafah reka bentuk yang menetapkan tahap kualiti dan kebolehpercayaan baharu dan lebih canggih sebagai objektif utamanya. Setiap aspek proses reka bentuk bertujuan meningkatkan kecekapan untuk memaksimumkan prestasi dan, pada masa yang sama, meminimumkan penggunaan bahanapi dan pelepasan emisi.



Lojikuasa I-GET baharu yang dilengkapkan pada Vespa S125 adalah bersesaran 125 cc silinder tunggal 3-injap 4-lejang sejukan udara dengan suntikan elektronik. Sistem suntikan telah dioptimumkan dan ditambah baik dari segi kecekapan; ECU kini mempunyai sensor barometrik yang menjamin pembakaran yang optimum setiap kali dalam apa jua keadaan penggunaan dan pada sebarang ketinggian. Ini bermakna bahawa kuasa dan output tork mencapai tahap dan kemampuan yang baharu dan tinggi, walaupun di bandar dengan keadaan menunggang "henti dan jalan". Enjin ini sangat mesra alam dan diluluskan dengan mematuhi piawaian ketat Euro 3.

I-GET 125 cc mengkasilkan kuasa 10.2 hp pada 7,600 rpm dan tork 10.2 Nm pada 6,000 rpm yang membuatkannya tangkas dalam trafik bandar dan di jalan terbuka apabila digandingkan dengan kotak gear yang ditentukur sempurna dengan klac automatik empar kering. Prestasi cemerlang ini menghasilkan nilai penjimatan penggunaan bahan api yang mencpai 60km/liter pada 50kmj. Dengan tangki bahan api 7 liter yang luas, Vespa S125 ini mampu mencapai 420 km dengan tangki penuh.
• Engkol dengan peningkatan inersia 24% berbanding dengan enjin terdahulu untuk mengurangkan gegaran dan perjalanan yang lancar.
• Motor penghidup elektrik yang baharu dan lebih senyap.
• Penutup kotak gear baru, untuk mengurangkan bunyi bising dan meningkatkan ketegaran.
• Sensor barometrik untuk pembakaran optimum pada setiap masa.
• Sistem ekzos yang baharu membuat enjin lebih senyap dan menyenangkan.

Walaupun dilengkapi enjin I-GET ini, Vespa S125 masih terus mengekalkan warisan model legenda tahun 70-an seperti Vespa 50 Special dan Vespa Primavera 1967 yang mengimbau ingatan dan kenangan menarik. Lampu depan persegi, reka bentuk yang lebih teguh dan profil pelana merupakan ciri utama Vespa S125 dengan penyerap kejutan warna merah dan grafik panel instrumen baru.

Terdapat empat warna yang tersedia: Grigio Titanio (kelabu), Green Matt (hijau), Taormina dan Red Matt (merah). Vespa S125 I-GET ini ditawarkan pada harga jualan asas RM11,600.00 tanpa GST.





No comments: