Program Masterclass Shell Advance khusus latih mekanik


Shell Advance telah melancarkan program latihan Masterclass yang eksklusif untuk mekanik motosikal tempatan. Program Masterclass tersebut mengandungi tujuh video dalam talian yang dihasilkan dengan kerjasama Ducati untuk memberi panduan serta pengetahuan dan tip berkaitan kemahiran dalam penyenggaraan motosikal yang betul.

Video tersebut mengemukakan modul yang meliputi sembilan komponen utama motosikal. Mekanik pakar, Jeff Oh, memberikan panduan langkah demi langkah berkenaan topik seperti penyenggaraan brek, penggantian piston, penggantian pemegun, pemasaan injap serta penggantian rantai pemasaan dan lain-lain lagi.

Peserta yang menonton ketujuh-tujuh video tersebut dan berjaya menjawab soalan-soalan di akhir setiap video dengan betul menjelang 30 September 2017 akan mendapat insentif berupa tiket ke MotoGP™ Shell Malaysia 2017 beserta sijil daripada Shell Malaysia. 



Menurut Pengurus Pemasaran Shell Lubricants – Malaysia dan Singapura, Alex Lim, syarikat tersebut merancang untuk membantu meningkatkan kemahiran hampir 2,400 orang mekanik, di mana kebanyakan mereka mendapat kemahiran dengan belajar sendiri atau melalui latihan semasa bekerja.

“Sebagai peneraju pasaran dan teknologi pelincir, kami di Shell yakin bahawa pelaburan kami dalam program ini akan membawa kebaikan kepada seluruh rantaian nilai kerana ia mewujudkan kumpulan mekanik yang dilatih secara profesional dan diiktiraf. Para penunggang motosikal akan dapat menikmati servis yang lebih baik, pemilik bengkel akan dapat mengembangkan perniagaan mereka menerusi kepuasan pelanggan yang lebih tinggi, dan mekanik itu sendiri akan dapat mengharapkan kerjaya teknikal yang lebih memuaskan,” katanya.

Lebih 200 orang mekanik dan pemilik bengkel motosikal dari Lembah Klang yang menghadiri sesi Shell Advance Masterclass secara langsung yang julung kali diadakan baru-baru ini memuji inisiatif oleh Shell Lubricants Malaysia ini.

Ti Tai Chin, 49, pemilik bengkel motosikal di Jalan Tun Razak sejak 1990, berkata program tersebut sememangnya dapat membantu.

“Saya sentiasa menggalakkan mekanik saya untuk menyertai program latihan untuk terus meningkatkan kemahiran mereka. Program latihan seumpama ini selalunya dianjurkan oleh pengeluar motosikal dan ini adalah kali pertama ia diadakan oleh sebuah syarikat minyak,” katanya.

Mekanik Muhamad Maridan Abd Kadir, 30, yang telah bekerja dengan Ti sejak 10 tahun lalu, menghargai peluang untuk mempelajari bagaimana para profesional melakukannya.

“Video tersebut mudah difahami kerana semuanya ditunjukkan dengan jelas. Saya juga suka bagaimana jurulatih meluangkan masa untuk memberi penerangan tentang jenis-jenis minyak motor dari Shell Advance serta kebaikannya,” katanya.

Pengurus AMS Empire Motorsport Sdn Bhd, Siti Sabariah Ismail, yang membawa sepasukan sembilan orang mekanik ke sesi Shell Advance Masterclass, menyatakan bahawa ia merupakan pengalaman program latihan sebenar yang pertama bagi kebanyakan mereka.

“Kebanyakannya adalah dari golongan susah yang tidak mempunyai pendidikan formal dan tidak mampu untuk menyertai institut latihan vokasional. Program seumpama ini sangat bagus, terutamanya bila dianjurkan oleh jenama yang mempunyai reputasi yang baik seperti Shell Advance. Kesemua peserta begitu berminat untuk menghabiskan modul dan mendapatkan tiket MotoGP mereka!” katanya.

Lebih banyak lagi sesi secara langsung Shell Advance Masterclass akan diadakan di tapak sempena pertunjukan bergerak ‘Redah Segalanya’ Shell Advance di serata Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pertunjukan bergerak seluruh negara ini akan diadakan di berbagai-bagai tempat berkumpul yang popular di kalangan penunggang motosikal seperti bengkel motosikal, pusat membeli-belah dan pasaraya besar. Pelbagai jenis barangan, termasuklah tiket ke MotoGP™ Shell Malaysia 2017, dan keseronokan menanti pengunjung di semua lokasi.  Untuk mendapatkan senarai penuh lokasi, sila layari www.shell.com.my/advanceroadshow

No comments: