Michelin sasar kelestarian 100% menjelang 2050


Kumpulan Michelin komited untuk menjadikan produk tayarnya bertaraf 100% lestari menjelang tahun 2050. Ia diilhamkan oleh konsep tayar VISION yang diperkenalkan pada tahun 2017, iaitu solusi berciri tanpa udara, terhubung, mampu disesuaikan, serta bersifat lestari sepenuhnya, 

Hari ini, hampir 30%[1] daripada komponen sesebuah tayar yang dihasilkan oleh Michelin Group adalah diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi, dikitar semula atau bersifat lestari.

Tayar Michelin merupakan produk berteknologi tinggi yang mencakupi lebih daripada 200 jenis bahan. Getah semula jadi merupakan komponen yang paling utama, di samping bahan-bahan yang lain seperti getah sintetik, logam, gentian, termasuk komponen yang memperkukuhkan struktur tayar seperti karbon hitam, silika dan pemplastik (resin, dll.). Disatukan dengan nisbah yang sempurna, bahan-bahan ini berinteraksi antara satu sama lain untuk membawakan keseimbangan yang optimum dari segi prestasi, kebolehpanduan dan keselamatan, di samping mengurangkan impak tayar berkenaan terhadap alam sekitar.


Michelin merungkaikan cara untuk membuat tayar bertaraf 100% lestari

Saksikan video ini yang menunjukkan resipinya.

Suatu objektif yang sedang dicapai dengan keupayaan R&D bertaraf tinggi….

Kematangan Michelin dalam teknologi material berpunca daripada keupayaan R&D, ia ditunjangi oleh 6,000 individu yang berkhidmat dalam tujuh buah pusat penyelidikan dan pembangunan di seluruh dunia, serta mahir dalam 350 bidang kepakaran. Komitmen yang diberikan oleh para jurutera, penyelidik, ahli kimia dan pembangun telah menjurus kepada pemfailan 10,000 paten yang mencakupi aspek reka cipta dan pembuatan tayar. Mereka bekerja keras saban hari untuk menemukan resipi yang mampu menaik taraf tahap keselamatan, ketahanan, kebolehpanduan, dan pelbagai ciri-ciri prestasi tayar, di samping membantu menjadikannya 100% lestari menjelang tahun 2050.

….serta usaha sama yang berani dengan perusahaan baharu serba inovatif

Michelin juga sedar bahawa kepesatan dan resmi inovasi memerlukan kerjasama dalam bentuk yang baharu, maka atas sebab inilah tercetusnya kerjasama dengan perusahaan baharu serba inovatif yang menawarkan prospek tanpa batas. Teknologi yang dibangunkan melangkaui dunia tayar itu sendiri dan boleh digunakan dalam pelbagai industri yang lain, lantas para penggiat industri ini juga dapat memanfaatkan bahan yang boleh diguna semula tanpa ada hadnya. Teknologi ini turut merealisasikan usaha untuk mengitar semula polistirena dan memulihkan karbon hitam atau minyak pirolisis daripada tayar terpakai.

Axens dan IFP Energies Nouvelles, dua syarikat yang sedang mengepalai projek BioButterfly, telah berkhidmat bersama Michelin sejak tahun 2019 dalam pembuatan butadiena[2] bersumberkan bio untuk menggantikan butadiena berasaskan petroleum. Dengan menggunakan biojisim daripada kayu, sekam padi, daun, batang jagung dan sisa tanaman lain, 4.2 juta tan serpihan kayu dapat digunakan dalam tayar Michelin setiap tahun.

Dimeterai pada November 2020, usaha sama antara Michelin dan Pyrowave yang berpangkalan di Kanada mampu menghasilkan stirena daripada plastik selepas dikitar semula, iaitu plastik yang ditemui dalam pempakejan produk seperti bekas yogurt dan dulang makanan, atau dalam panel insulasi. Stirena merupakan monomer yang penting untuk bukan sahaja menghasilkan polistirena, malah getah sintetik untuk tayar dan pelbagai barangan yang lain. Justeru, jumlah bahan yang setara dengan 42 bilion bekas yogurt boleh dikitar semula kepada tayar Michelin setiap tahun.

Proses perintis ini dibangunkan oleh perusahaan baharu yang berasal dari Perancis, Carbios yang akan berpangkalan di lokasi Michelin mulai musim luruh tahun 2021. Ia menggunakan enzim untuk menguraikan sisa plastik PET[3] kepada bentuk monomer tulennya yang asal, yang dapat dipulihkan tanpa had serta digunakan semula untuk menghasilkan plastik PET baharu. Salah satu jenis plastik yang dipulihkan ini ialah gentian poliester yang digunakan dalam pembuatan tayar. Sekitar empat bilion botol plastik berpotensi untuk dikitar semula kepada tayar Michelin setiap tahun.

Akhir sekali, Michelin telah mengumumkan pada Februari 2021 bahawa ia bakal melancarkan pembinaan kilang miliknya bagi tujuan pengitaran semula tayar, iaitu yang pertama di dunia bersama Enviro. Syarikat Sweden ini telah membangunkan teknologi berpaten untuk memulihkan karbon hitam, minyak pirolisis, keluli, gas, dan bahan-bahan baharu lagi berkualiti tinggi yang lain daripada tayar yang telah tamat tempoh hayatnya. Ia dapat membolehkan seluruh bahan yang terkandung di dalam tayar ini dipulihkan dan digunakan semula dalam proses pembuatan berasaskan getah yang lain.

Michelin juga menyokong ekonomi pekeliling (circular economy), seperti yang dibuktikan melalui penyertaannya dalam konsortium BlackCycle Eropah. Projek ini, yang disusun oleh Michelin Group serta dibiayai oleh Kesatuan Eropah, menghimpunkan 13 rakan kongsi dari sektor awam dan swasta untuk mereka cipta proses pembuatan tayar baharu daripada tayar tamat hayat. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif kelestarian Michelin Group ini, layari laman web kami di sini.

[1] Pada tahun 2020, 28% daripada bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan tayar Michelin Group adalah bersifat lestari.

[2] Butadiena juga merupakan salah satu komponen dalam getah sintetik yang digunakan untuk membuat tayar.

[3] Polietilena tereftalat (PET) ialah sejenis plastik yang buat masa ini berasaskan minyak, dengan dua komponen monomernya, etilena glikol dan asid tereftalik yang diperoleh daripada petroleum. Ia digunakan untuk membuat salah satu gentian poliester yang utama dalam pengukuhan tayar.

Kemas kini warna & grafik baharu Yamaha LC135 2021

Yamaha LC135 2021 didatangkan dalam 4 variasi warna baru yang sporty; Biru Yamaha, merah Fiery Red, sian Metallic Cyan & warna keemasan Edisi Khas; Stealth Gold.

Harga jualan yang disyorkan tetap tidak berubah pada RM6,868 untuk versi Standard dan RM7,118 untuk versi Edisi Khas (tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran).

Di samping itu, setiap unit akan dilengkapi dengan Yamaha Disc Lock bernilai RM100.








Yamaha NMAX 2020 baharu diperkenal

Generasi baru segmen automatik telah dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd dangan Yamaha NMAX 2020. Kini, peminat motosikal akan dapat melihat dan merasa sendiri pengalaman secara langsung dengan Yamaha NMAX yang berprestij. 

Yamaha NMAX terbaharu ini dikatakan dibina berasaskan kualiti MAX DNA yang disertakan dengan gaya reka bentuk keanggunan dan ciri-ciri yang mengambilkira kemudahan dan keselesaan pengendalian, yang digabungkan dengan prestasi enjin yang bertenaga bagi menjadikan setiap perjalanan menyerlah bebanding yang lain dalam kelasnya.

Yamaha NMAX tampak tampan dengan lampu LED 6-mentol baru yang cantik, dengan 4 mentol pencahayaan rendah diletakkan di bahagian atas dan 2 lagi mentol suluhan tinggi di bahagian bawah, ditambah dengan sepasang lampu posisi LED yang memberikan penyebaran cahaya yang lebih luas dan sangat sesuai untuk perjalanan malam. 

Yamaha NMAX dilengkapi dengan  panel meter LCD besar yang mudah dibaca, dengan suis yang berada di sebelah kiri hendal memudahkan anda menukar maklumat yang ada. 



Di belakang, lampu ekor / brek LED yang baru direka yang masing-masing menggunakan 4 jalur LED sisi untuk pandangan 3 dimensi yang unik dan juga dilengkapi dengan sepasang lampu amaran bahaya sebagai ciri keselamatan tambahan.

Enjin silinder tunggal SOHC 155cc 4-injap 4-lejang sejukan cecair suntikan bahan api Blue Core  dengan CVT juga dilengkapi dengan penghidup Unit Kawalan Generator yang menyediakan kawalan bersepadu Smart Motor Generator untuk penghidupan enjin yang mudah. Selain itu, soket elektrik 12V disediakan berdekatan dan dalam jangkauan, membolehkan penunggang mengecas telefon bimbit mereka pada bila-bila masa, di mana sahaja.

Yamaha NMAX baru juga dilengkapi dengan Sistem Henti & Mula, yang mematikan enjin secara automatik apabila skuter dihentikan atau sedang dalam penantian di lampu isyarat untuk mengurangkan pembaziran petrol. Penunggang hanya perlu memutar pendikit untuk memulakan semula perjalanan lancar. Sistem Henti & Mula ini mampu diaktifkan bila dikehendaki hanya dengan suis mudah.

Sebagai tambahan kepada ciri-ciri ini, Yamaha NMAX juga dilengkapi dengan ruang kaki lebar untuk perjalanan yang lebih santai dan selesa, sementara ruang simpanan di bawah pelana berkapasiti 23.3 liter yang mampu memuatkan topi keledar bersaiz XL muka penuh atau barang peribadi lain. Untuk tambah kemudahan, 2 penyangkut helmet dipasang di bahagian luar badan. 

Tangki bahanapi 7.1 liternya yang besar dan dengan enjin jimat bahanapinya mampu membolehkan perjalanan lebih jauh tanpa hentian isian bahanapi yang terlalu kerap.

Sesuai dengan labelnya Lincah Mempesona, skuter yang lincah dan elegan ini sangat sesuai untuk kegunaan harian, terutamanya untuk jalan-jalan di bandar. 

Sudah tersedia di semua Dealer Yamaha yang Sah, Yamaha NMAX 2020 baharu ini berharga RM 8,998.00 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran). Ia didatangkan dalam 2 warna elegan yang tersendiri: kelabu Yamaha Grey dan merah Matt Red.








Repsol terus bersama Honda hingga 2022

Honda dan Repsol akan meneruskan kerjasama mereka dengan perjanjian dua tahun yang baharu hingga akhir 2022.

Skuad pengilang Honda MotoGP telah bersetuju dengan perjanjian penaja utama oleh syarikat minyak Sepanyol Repsol.

Repsol menjadi penaja utama Honda sejak tahun 1995, yang kemudiannya menjadi salah satu kerjasama paling berkekalan dalam MotoGP dan menghasilkan 15 gelaran dunia, antaranya Mick Doohan, Valentino Rossi, Nicky Hayden, Casey Stoner dan Marc Marquez.

Khabar angin dalam beberapa minggu terakhir dari paddock menyebut bahawa Repsol berhasrat untuk mengakhiri hubungannya dengan Honda pada tahun 2021. Dikatakan juga bahawa gergasi minuman tenaga Red Bull akan mengambil alih sebagai penaja utama, walaupun jenama syarikat itu sudah tampil menonjol di RC213V sebagai rakan penaja sekunder.
#honda #Repsol #RepsolHonda #motogp2020 #marcmarquez


BMW R 18 kruiser boxer 1800cc diperkenal

 

BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan BMW R 18 hari ini, yang membuat kemunculan dalam segmen kruiser dan menawarkan pengalaman tunggangannya yang luar biasa. Kruiser boxer berkapasiti besar ini menggabungkan ciri-ciri ikonik dalam sejarah BMW Motorrad dan memodenkan tunggangannya dengan karakter megah yang unik.

“BMW Motorrad Malaysia mengotakan janji mereka untuk ‘Menjadikan Hidup Sebuah Pengembaraan’ sekali lagi dengan melangkah masuk ke dalam segmen kruiser dengan BMW R 18 First Edition, yang telah diperkenalkan buat pertama kali sebagai Concept R 18 di acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este. Kruiser konsep tulen ini telah memberi bayangan kepada dunia apa yang bakal hadir dalam segmen tersebut, dan kami ingin membekalkan kepuasan tunggangan yang sebenar dengan kruiser ini,” ujar Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

BMW R 18 merupakan kruiser BMW yang penuh dengan karakter. Kruiser ini meminjam beberapa elemen daripada model-model terkenal seperti BMW R 5 dari segi teknologi dan visual, mengalihkan fokus semula kepada ciri-ciri fungsi asas pada motosikal ini: bersifat tulen, hadir dengan teknologi yang serba ringkas, serta enjin boxer sebagai tunggak kepuasan setiap tunggangan.

Varian edisi pertama yang eksklusif ini menggandingkan iras klasik dengan ciri-ciri kelengkapan eksklusif dalam warna cat serta krom. Boxer klasik berkapasiti besar ini menampilkan logo edisi pertama dengan gubahan jalur halus berlatarkan warna glos hitam – menyerlahkan lagi gaya dan sensasi yang tiada bandingannya. 

Pesona kruiser baharu ini turut disumbang oleh bar hendal, tuil penukar gear, pelitup hendal, pelitup kepala silinder, serta komponen salur masuk udara dalam material Krom. Hanya 18 unit BMW R 18 First Edition yang bakal disediakan di Malaysia.

BMW R 18 terbaharu merupakan interpretasi kruiser moden yang berpegang kepada tradisi BMW Motorrad. Ciri-ciri rekaan tubuh yang klasik pada kruiser ini bermaterialkan logam, serta menepati kriteria sebuah jentera kruiser yang tulen: tangki bahan api 16 liter dengan bentuk titis air yang berasal daripada BMW R 5, termasuk dapra (fender) hadapan dan belakang, panel sisi di bawah tempat duduk, selongsong serampang (fork) serta perumah lampu hadapan dan panel instrumen bulat yang kesemuanya diperbuat daripada bahan logam.

Kruiser mewah ini membekalkan elemen pencahayaan yang jelas dengan lampu hadapan LED penuh, serta lampu belakang LED dan lampu brek yang dirangkumkan dalam indikator belakang – semuanya mendemonstrasikan bagaimana teknologi pencahayaan yang tercanggih boleh diintegrasikan dengan sebaiknya pada reka bentuk motosikal klasik ini. Pelitup enjin ‘Pemesinan’ berkualiti tinggi yang diperbuat daripada aluminium kisar, dihasilkan melalui kolaborasi bersama Roland Sands Design, ia menampilkan kontras warna yang menarik antara hitam dan perak. BMW R 18 terbaharu juga membawakan elemen gubahan berjalur kembar dan berkrom.

Enjin boxer sesaran yang terbesar dibangunkan oleh BMW merupakan jantung kenderaan ini. Enjin boxer empat lejang, dua silinder yang diperbaharui tersebut hadir dengan aci sesondol berasaskan rantai yang terletak di atas komponen aci pacuan yang menggalas kapasiti bernilai 1,802 cc, ia mampu mencatat tork maksimum berjumlah 158 Nm pada paras 3000 rpm, dan kelajuan tertinggi mencecah 180 km/j. Juga dikenali sebagai “Big Boxer”, enjin boxer ini disejukkan melalui udara/minyak.

Kruiser baharu ini mengguna pakai bahan api berjumlah 5.6 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km. Fungsi kawalan emisi disediakan melalui penukar katalitik tiga arah yang terlaras. Komponen alternator yang melengkapi BMW R 18 terbaharu hadir dalam bentuk generator magnet kekal yang dipasangkan dengan bateri bebas penyenggaraan berkapasiti 12 V/26 Ah.

Kuasa disalurkan kepada kruiser baharu ini melalui klac ringkai bercakera tunggal dengan transmisi 6 kelajuan dalam ruang transmisi yang berasingan. Aci pacuan sekunder bersalut nikel pula memberi tumpuan ke atas tork. Komponen suspensi yang utama melengkapi BMW R 18 terbaharu ialah bingkai tiub keluli dengan lingkaran berganda. Suspensi hadapan ditawarkan melalui serampang teleskopik klasik, berserta sarung serampang dan topang suspensi kantilever dengan redaman yang bergantung kepada pergerakan suspensi. Di belakang, terletaknya serampang berayun dengan unit penyerap kejutan sentral.

Brek cakera 300 mm berkembar dengan angkup tetap yang terdiri daripada empat piston juga ditawarkan sebagai standard bagi BMW R 18, berserta dengan brek cakera tunggal di belakang. Sistem Pembrekan Anti-Kunci Integral BMW Motorrad (separa integral) juga disediakan untuk mencegah tayar daripada terkunci ketika membrek dengan kuat. Kruiser baharu ini turut dilengkapi dengan Kawalan Stabiliti Automatik (ASC) untuk membekalkan taraf keselamatan yang tinggi ketika menunggang, serta menampilkan tiga mod tunggangan: Rock, Roll dan Rain. Di samping itu, BMW R 18 terbaharu juga dilengkapi dengan kawalan tork seretan (MSR) sebagai standard.

BMW R 18 terbaharu dipadankan dengan instrumen bulat yang direka khas dan paparan multifungsi. Instrumen rekaan membulat tersebut mempersembahkan paparan meter laju analog untuk membuahkan penampilan yang klasik. Seperti model-model BMW Motorrad yang lain, sistem Tunggangan Tanpa Kunci juga menggantikan pencucuh konvensional pada BMW R 18 yang terbaharu.

Kruiser ini turut hadir dengan gear mengundur dan pelitup pengisi bahan api yang boleh dikunci sebagai standard. Untuk memperibadikan lagi BMW R 18 ini, para pemilik juga mempunyai pilihan untuk menambah aksesori dengan aneka Original BMW Motorrad Accessories, sama ada untuk memperkayakan aspek muatan, reka bentuk, penampilan, serta ergonomik dan keselesaan jentera ini.

Unit pandu uji BMW R 18 First Edition bakal disediakan di bilik pameran BMW Motorrad Heritage yang terpilih, ia merangkumi Auto Bavaria Ara Damansara, Chear Motorrad Puchong dan El Chong Motor Sungai Jawi, serta unit kenderaan ini boleh dilihat di semua bilik pameran BMW Motorrad di seluruh negara.

Perkhidmatan Pembiayaan.

Dengan Pelan Pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW R 18 First Edition bermula daripada RM2,411.00 setiap bulan. Ia berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh 5 tahun.


Para pemilik juga boleh menikmati manfaat-manfaat tambahan dengan rangkaian servis yang bertaraf tinggi seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Program Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh didapati di https://www.bmwmotorrad.com.my/en/service/services/warranty.html.


Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan Waranti Terbaharu Bertempoh 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) BMW R 18 First Edition yang terbaharu ialah:

BMW R 18 First Edition :RM 149,500.00