MSC rai ulangtahun ke-46

Syarikat Motorcycle Sales Centre Sdn. Bhd. (MSC) yang telah memulakan operasinya sejak tahun 1973 adalah pengimport pertama motosikal berkuasa besar di Malaysia. MSC hari ini telah menyambut ulangtahunnya yang ke- 46. Sambutan ini bertambah meriah dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Dewan Rakyat Gua Musang dan Datuk Seri Panglima Osu Sukam, Bekas Ketua Menteri Sabah.
Sebanyak 200 pengguna dan pemilik motosikal dari berbagai jenama dan sais telah sama sama hadir bagi memeriahkan lagi masjlis ini. Setelah 46 tahun beroperasi, MSC masih kekal di dalam industri motosikal di Malaysia dan kini mempamerkan wajah baru dengan strategi jualan yang baharu bersama penambahbaikan yang dilakukan.
Menurut Dato Mazlan bin Datuk Seri Harun di dalam ucapannya, antaranya adalah strategi jualan yang menyediakan promosi ‘trade in’ dan ‘easier loan’.
Syarikat MSC yang digelar ‘The One Stop Motorcycle Sales Centre’ kini juga telah menambahbaik bengkel motosikal untuk tujuan memperkuat lagi perkhidmatan selepas jualan syarikat. MSC juga akan sentiasa membawa masuk model-model baru dengan teknologi yang canggih dan berdaya saing yang mana amat sesuai dengan gaya hidup penunggang di Malaysia masa kini terutamanya model-model baru keluaran Europe dan US seiring dengan permintaan semasa.
Moto Sport Centre Sdn. Bhd. yang selama ini merupakan pengedar terkuat dan terpenting MSC kini menjadi rakan perniagaan dan bertindak sebagai syarikat pemasaran bagi Syarikat Motorcycle Sales Centre Sdn. Bhd. Kerjasama ini dipercayai dapat membantu dari segi peningkatan pemasaran dan jualan motosikal MSC. Selain daripada itu, MSC juga telah menjalin kerjasama dengan Chear Motor Group sebagai rakan perniagaan di dalam pemasaran.





Idemitsu Boon Siew Honda tampilkan pasukan AP250 ARRC

Pasukan Idemitsu Boon Siew Honda (IBSH) hari ini memperkenalkan pasukan AP250 yang bakal membuat penampilan sepenuh musim pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2020 kelak. Majlis pengenalan barisan pelumba pasukan tersebut di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. Buat permulaan, IBSH akan tampil pada pusingan 6 ARRC di Litar Antarabangsa Sepang minggu ini di atas tiket wildcard.
Dua pelumba muda diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran pasukan tersebut iaitu Muhammad Syarifuddin Azman, 18, dari Selangor dan Muhammad Idlan Haqimi Raduan, 15, dari Negeri Sembilan. Idlan nerupakan juara Honda One Make Race musim lalu. Kemunculan mereka di Sepang nanti merupakan medan ujian buat pasukan tersebut bagi mencari keserasian sebelum beraksi secara penuh masa musim depan terutamanya dengan jentera baharu, Honda CBR250RR.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keichi Yasuda menjelaskan bahawa penyertaan mereka dalam kelas AP250 di peringkat Asia merupakan langkah positif bagi memperhebatkan lagi program pembangunan bakat sukan permotoran di Malaysia. “Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai pasukan yang mampu memberi saingan dalam kelas tersebut yang selama ini didominasi oleh pasukan dari negara jiran, Thailand dan Indonesia.
“Saya tidak bimbang dengan kemampuan pelumba Malaysia dalam kelas UB150, SS600 mahu pun ASB1000 kerana mereka telah membuktikan kemampuan masing-masing, tetapi dalam kelas AP250, agak kelihatan kekurangannya "
Untuk rekod, kelas AP250 mula diperkenalkan di SRRC pada musim 2015. Tambah Yatsuda,
“Saya berharap dengan kemunculan pasukan IBSH ini, ia akan membawa harapan baharu buat pelumba tempatan, sekali gus mampu memberi saingan di peringkat Asia.
“Sebagai permulaan, pasukan ini akan membuat kemunculan di Sepang yang bertindak sebaai medan ujian buat pelumba yang kami beri kepercayaan. Segala data yang kami peroleh daripada aksi di Sepang akan dikaji secara teliti sebagai persediaan menghadapi saingan musim 2020 nanti.
“Kami berharap, pasukan ini akan menampilkan yang terbaik  apabila beraksi secara penuh masa musim depan,” jelas Yasuda. Dia juga berharap pelumba muda ini akan melangkah ke pentas dunia suatu hari nanti.
Sementara itu, Syarifuddin mengakui bahawa ia bukan sesuatu yang mudah untuk bersaing dalam kelas AP250, lebih-lebih lagi turun buat kali pertama.
“Saya tetap teruja apabila diberi kesempatan beraksi atas tiket wildcard dan cuba untuk melakukan yang terbaik nanti.
“Ia bukan misi yang mudah, lagi pun ramai pelumba hebat yang bersaing dalam kelas AP250 terutamanya para pelumba dari Thailand dan Indonesia yang telah mendominasi perlumbaan ini,” jelas Syarifuddin yang merupakan juara perlumbaan Yamaha Petronas Super Series pada musim 2016 dan juga kelas Wira pada 2018.
Idlan Haqimi



BMW 330i M Sport terbaharu diperkenal

Pengeluar kenderaan premium BMW iaitu BMW Malaysia terus memperkukuhkan komitmennya di negara ini menerusi pengenalan model baharu dalam barisan kenderaan BMW yang dipasang secara domestik. Model  BMW 330i M Sport terbaharu merupakan penambahan terkini dalam portfolio milik BMW yang dipasang di Malaysia.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, “Kami telah memperkenalkan sedan sport premium generasi ketujuh yang terlaris di dunia pada awal tahun ini, lalu memahat tanda aras yang baharu dalam segmen kenderaan berkenaan. Sementara jentera varian import menyaksikan penyerahan berjumlah 350 unit hanya dalam masa enam bulan, varian BMW 330i M Sport yang dipasang di dalam negara ini bakal meneruskan kisah kejayaan yang dilakar oleh sedan sport terunggul ini.”
  Model baharu tersebut akan dipasang di fasiliti BMW yang terletak di Kulim. Pada masa ini fasiliti tersebut turut memasang sembilan model BMW yang lain. "Selain menawarkan pelbagai produk serta model kenderaan yang diimport, kami juga berbesar hati untuk menunaikan janji kami kepada Malaysia dengan meningkatkan suntikan pelaburan di dalam negara sementara Malaysia terus melebarkan sayapnya sebagai hab BMW Group di rantau Asia Tenggara." tambah Hoelzl.
BMW 330i M Sport yang dipasang di dalam negara menawarkan tahap inovasi teknologi yang sama serta perwatakan yang mengagumkan seperti varian jentera yang diimport, termasuklah reka bentuk sporty yang menawan serta prestasi dinamik yang sinonim dengan sedan sport M yang ikonik itu.

BMW 330i M Sport baharu menawarkan set roda aloi ringan 18 inci dalam penggayaan dua jalur 790 M dan dwiwarna ‘Orbit Grey’ dengan tayar berbagai, angkup brek berwarna biru yang memaparkan logo ‘M’ pada brek M Sport, serta lampu hadapan LED adaptif yang hadir dengan teknologi ‘Bi-LED’.
  Antara ciri utama BMW 330i M Sport ialah kekisi 'ginjal' yang lebih besar, serta set lampu belakang tiga dimensi yang dipasang dalam bentuk L dan penggunaan kaca berkabus. Spoiler berciri aerodinamik yang dipasang di belakang berserta dua paip ekzos bersaiz 90 milimeter memberikan jentera ini kelebihan berdaya lasak.
Enjin petrol TwinPower Turbo berkapasiti 2.0 liter membolehkan BMW 330i M Sport terbaharu mampu mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j dan output setinggi 190 kW/258 kuasa kuda serta puncak tork berjumlah 400 Nm dari bacaan rpm 1,550 hingga 4,400. Ia juga berupaya untuk membuat pecutan 0-100 kmj dalam masa 5.8 saat. Dengan transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan yang dikemas kini, jentera tersebut hanya mengguna bahan api sebanyak 6.4 liter bagi setiap 100 km. Emisi karbon rendah yang berjumlah 147 g/km juga dioptimumkan melalui penapis zarahan yang dirangkumkan ke dalam sistem rawatan ekzos jentera ini.
 
Para pemilik boleh mengharapkan sebuah jentera yang lebih ringan dan tegar kerana jumlah beratnya telah dikurangkan sebanyak 25 kilogram (berat tanpa muatan berjumlah 1,545 kg) Dengan pekali seretan (drag coefficient) berjumlah 0.23, kenderaan ini mempamerkan ciri aerodinamik yang cemerlang dalam kelas seumpamanya. Tahap ketegaran struktur badan dan sambungan sistem suspensi turut diperkayakan, bersertakan distribusi muatan gandar 50:50 dan pusat graviti yang rendah. Suspensi M Sport akan memperlihatkan peredam berkaitkan elevasi yang pertama dari BMW, ia mencerminkan sebuah inovasi yang luar biasa.
Hadir dengan tahap keterhubungan yang tinggi serta penggayaan reka bentuk interior yang mempesonakan, BMW 330i M Sport terbaharu membawakan stereng sport berkulit M Sport dengan ciri multifungsi dan padel penukar gear serta pencahayaan interior. Antara tarikan utama BMW 330i M Sport terbaharu ialah BMW Intelligent Personal Assistant dan Kunci Digital serta inovasi keselamatan yang ditawarkan dalam bentuk Park Assist dan Reverse Assist, yang diberikan oleh sistem Parking Assistant.  BMW Live Cockpit Professional yang terbaharu turut dirangkumkan, ia menggabungkan paparan boleh suai dan berpandukan situasi pada kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci serta Paparan Kawalan (Control Display) bersaiz 10.25 inci dengan fungsi sentuh. Kesemuanya ditawarkan menerusi Sistem Operasi BMW 7.0 (BMW Operating System 7.0).
 
Penawaran warna bagi jentera BMW 330i M Sport ini merangkumi warna putih (Alpine White), hitam (Black Sapphire), dan kelabu (Mineral Grey). Tawaran warna biru ‘Portimao Blue’ boleh didapati bermula Januari 2020 sementara warna jingga ‘Sunset Orange’ akan ditawarkan bermula Mac 2020. Bagi ruang interior pula, para pemilik boleh memilih upholsteri kulit ‘Vernasca’ berwarna hitam atau upholsteri kulit ‘Vernasca’ berwarna ‘cognac’.

BMW 330i M Sport terbaharu boleh dipandu uji di kesemua premis wakil pengedar BMW di seluruh negara.
 
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW 330i M Sport yang terbaharu ialah:
BMW 330i M Sport Terbaharu RM 288, 000.00

Program pembiayaan dinamik.

Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 330i M Sport yang terbaharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula daripada RM 3,298.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.
Pemilik jentera BMW 330i M Sport terbaharu ini juga dapat merasai pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia yang meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran dan servis ‘Run Flat Tyre’
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ - BMW White Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Adib Rosley terpaksa lupakan aksi ARRC

Pelumba RCB Accentwire Yamaha YY Pang Racing Team, Md Adib Rosley yang terpaksa melupakan aksi pada ARRC minggu ini gara-gara masih belum pulih daripada kecederaan.

Adib yang pernah muncul naib juara pada Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 di Suzuka sebelum ini mengalami patah kaki ketika terjatuh pada aksi Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan minggu lalu.

Kekosongan yang ditinggalkan Adib itu akan memberi ruang kepada Tengku Amirul Haffirudin untuk beraksi pada Pusingan 6 ARRC di Sepang pada 20-22 September ini. Saingan kali ini sudah pastinya menjadi medan buat pelumba Malaysia untuk menyekat penguasaan para pencabar mereka dari negara jiran.

Pada saingan Pusingan 1 dua pelumba Filipina yang menggalas cabaran pasukan UMA Racing Yamaha Philippine, McKinley Kyle Paz dan Fernando Masato masing-masingnya menjuarai Perlumbaan 1 dan 2. Ia ternyata memberi kesan yang mendalam terhadap barisan pelumba Malaysia yang gagal mempergunakan sepenuhnya kesempatan beraksi di gelanggang sendiri.

Taruhan terbaik adalah pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, Mohd Akid Aziz yang dilihat mampu menyekat penguasaan dua pelumba Filipina itu. Juara sebanyak dua kali iaitu di Buriram dan Zhuhai, Akid kini ketinggalan 4 mata di belakang Kyle Paz yang mendahului carta keseluruhan dengan 95 mata.
Pelumba lain yang diramal mampu melakar kejutan adalah Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Team) dan juga adiknya, Ahmad Fazrul Sham yang akan beraksi atas tiket wildcard.

Sokongan daripada peminat tempatan, ia diharap mampu melonjakkan semangat barisan pelumba negara untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas ARRC.

KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA
Underbone 150
1. McKinley Kyle Paz (PHI) (Yamaha)                   95 mata
2. Mohd Akid Aziz (MAS) (Yamaha)                     91
3. Ahmad Fazli Sham (MAS) (Yamaha)                81
4. Fernando Masato (PHI) (Yamaha)                   72
5. Wawan Wello (INA) (Honda)                            71
6. Aldi Satya Mahendra (INA) (Yamaha)             65
7. Mohd Haziq Mohd Fairues (MAS) (Yamaha) 60
8. Mohd Affendi Rosli (MAS) (Yamaha)              58
9. Peerapong Luiboonpeng (THA) (Yamaha)     58
10. Wahyu Aji Trilaksana (INA) (Yamaha)          54

KEDUDUKAN PASUKAN
1. UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 113 mata
2. ONEXOX TKKR SAG Team                                       109
3. UMA Racing Yamaha Philippine Team                 107
4. Yamaha Racing Indonesia                                        88
5. SND Factory Racing Rapido                                     83

Jelajah Mini Showcase Alif Satar bermula!

Selebriti terkenal Alif Satar berinteraksi bersama ahli Petron Miles dalam sesi 'meet and greet' anjuran Petron Malaysia. Jelajah Mini Showcase Alif Satar ini diadakan khas buat ahli Petron Miles dan peminat setia Alif Satar.

Jelajah Mini Showcase Alif Satar bermula di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 14 September, dan akan diikuti oleh Pulau Pinang pada 28 September, Kota Kinabalu pada 12 Oktober dan Melaka pada 20 Oktober.
Program eksklusif yang dibawa oleh Petron menampilkan 'meet and greet' istimewa bersama Alif Satar dan juga beberapa permainan dan aktiviti menarik, serta peluang buat peserta bagi memenangi barangan eksklusif dari Petron, Enrich dan Alif Satar. Mereka yang menghadiri Mini Showcase Alif Satar ini juga secara automatiknya akan layak bertanding dalam peraduan Fuel & Fly Petron dan Enrich baharu ke New Zealand bersama Alif Satar.

"Kami sangat teruja untuk bekerja dengan Alif Satar dan memberikan peminat beliau serta pelanggan setia kami peluang untuk mengenali salah seorang artis popular di Malaysia. Kami mahu berikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan, dan memastikan perjalanan mereka bersama kami lebih bermanfaat," kata Ketua Dagangan Runcit dan Komersial Petron Malaysia, Encik Choong Kum Choy.

Untuk mendapatkan pas VIP eksklusif ke Mini Showcase Alif Satar, ahli Petron Miles perlu mengisi minyak sebanyak RM250 secara terkumpul dan menghantar resit bayaran mereka bersama-sama dengan butiran peribadi dan borang peraduan mereka. Penyertaan peraduan telah dibuka pada 1 September 2019.
Sementara itu, promosi Fuel & Fly akan berlangsung sehingga 15 Oktober 2019. Pemenang dan peneman mereka akan meluangkan selama 6 hari dan 5 malam di New Zealand bersama Alif Satar. Promosi Fuel & Fly disampaikan bersama oleh Petron Malaysia dan Enrich Malaysia Airlines.