Showing posts with label SST. Show all posts
Showing posts with label SST. Show all posts

SST galakkan pasaran automotif

Presiden Kelab Vendor Perodua, En Musa Zahidin Tan Sri Ahmad Zaidee
Semalam Perodua mengumumkan bahawa harga kenderaannya telah dikurangkan antara 1% dan 3% untuk kebanyakan modelnya berbanding senarai harga di bawah era Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 6%. Struktur SST, yang mengenakan kadar cukai sebanyak 10% untuk jualan dan 6% untuk perkhidmatan, hanya dilaksanakan sekali sahaja, iaitu di permulaan rantaian  perniagaan.

Persatuan Pengedar Perodua (PDA) dan Kelab Vendor Perodua (KVP) menyambut baik Struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang baharu kerana ianya dapat membantu mengurangkan harga kenderaan Perodua.

Presiden Kelab Vendor Perodua, En Musa Zahidin Tan Sri Ahmad Zaidee mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana menerangkan bagaimana struktur cukai baharu ini dilaksanakan. "Berdasarkan struktur cukai baharu ini, kos keseluruhan kenderaan dapat dikurangkan sebanyak 1% hingga 3% (berbanding harga di bawah 6% GST)," katanya. "Kepada Perodua, kami ingin mengucapkan terima kasih kerana telah membuat pesanan komponen dan alat ganti kenderaan yang besar, sekaligus mengekalkan ekosistem automotif Malaysia."


Perodua menjual 140,900 unit di antara bulan Januari dan Julai 2018, peningkatan sebanyak 18.8% daripada 118,600 kenderaan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Musa berharap kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan di dalam ekosistem automotif Malaysia, bermula dari pembekal auto, pengeluar peralatan asli sehingga para pengedar sah untuk sebarang dasar yang dibuat pada masa akan datang.

Presiden PDA, En Khairul Nizam Ayob berkata: "Terima kasih kepada Perodua dan kerajaan kerana menyokong kami. Pengurangan harga di antara 1% dan 3% berbanding harga semasa era GST akan menjadikan industri lebih kompetitif."

"Kami akan bekerja keras untuk memberi khidmat yang terbaik kepada para pelanggan dan kami amat berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga Perodua," kata Khairul Nizam.

“Kepada para pelanggan yang dihargai, sila kunjungi pusat jualan dan pusat servis Perodua di seluruh negara untuk mengetahui lebih lanjut tentang harga baharu kenderaan kami. Penasihat jualan dan servis kami yang sah amat berbesar hati untuk melayani anda,” tambah beliau.
Presiden PDA, En Khairul Nizam Ayob

Harga Perodua turun sempena pengenalan SST

Perodua telah mengeluarkan senarai harga baharu untuk semua kenderaannya selaras dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerajaan mulai 1hb September 2018. Harga kenderaan Perodua kini antara 1-3% lebih rendah (untuk model tertentu sahaja) berbanding era 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Berdasarkan struktur cukai baharu, hampir semua model Perodua berharga lebih rendah berbanding sebelum 1hb Jun 2018," kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato' Dr Zahari Husin.
Pada 1hb Jun 2018, kerajaan telah merombak kadar cukai GST dari 6% ke kadar sifar, memberikan  'cuti cukai' selama 3 bulan kepada rakyat Malaysia dan membawa kepada peningkatan permintaan kenderaan dalam tempoh tersebut.

Pada bulan Julai, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa SST, yang menggantikan GST, akan ditetapkan pada kadar 10% untuk jualan dan 6% untuk perkhidmatan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya kepada 3.3 juta pelanggan yang dihargai yang telah memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka.

“Kami akan terus menawarkan harga kompetitif kepada para pelanggan kami untuk servis penyelenggaraan serta alat ganti Perodua. Kami amat menghargai sokongan padu yang telah ditunjukkan oleh orang ramai terhadap produk dan perkhidmatan kami, dan akan terus memperbaiki diri untuk pelanggan kami," kata Dato’ Dr Zahari.

"Sila kunjungi mana-mana cawangan jualan dan perkhidmatan kami di seluruh negara dan bercakap dengan penasihat jualan dan perkhidmatan kami yang sah untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan," tambah beliau.

PROTON kan serap SST untuk semua model bagi bulan September

Pelaksanaan SST telah mendatangkan kesan kepada pasaran automotif Malaysia di mana pembeli kereta telah berpusu-pusu untuk membuat pembelian sebelum cukai tersebut dilaksanakan. Sebelum ini PROTON telah menyatakan bahawa perubahan harga akan dialami apabila SST dilaksanakan,

Namun begitu buat masa ini perubahan tersebut tidak akan memberi kesan terhadap pembeli-pembeli kereta Proton. Ini adalah kerana PROTON akan menyerap kos SST untuk semua model Proton bagi memastikan pembeli masih dapat membeli dengan harga tanpa cukai bagi bulan September.

“Sementara PROTON menunggu maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SST, Syarikat kami akan menyerap kos SST tersebut untuk semua model bagi memberi peluang kepada kereta. Ini memberikan manfaat kepada mereka semasa tempoh peralihan ini serta membantu PROTON mengekalkan momentum jualan.”
“Disamping kos SST yang diserap untuk semua jenis model pada September ini, PROTON juga menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada bulan ini dengan memberikan tawaran hebat pada model-model terpilihnya. Diskaun antara RM500 sehingga RM1,000 akan ditawarkan bagi Saga, Iriz dan Persona, serta Proton Ertiga Xtra yang baharu sahaja dilancarkan, di mana model tersebut menampilkan tempat duduk baharu berwarna gelap serta unit utama berskrin sentuh, dengan penjimatan sebanyak RM2,000 daripada harga asal,” ujar Abdul Rashid.
Jumlah cawangan 3S dan 4S semakin meningkat Dengan pelancaran SUV pertama Syarikat dijangkakan pada hujung tahun ini, PROTON turut melancarkan pelan untuk menambahbaik rangkaian cawangan serta pengedarnya disamping penaiktarafan kemudahan 3S dan 4S. Sehingga 20 Ogos 2018, sebanyak 96 cawangan (cawangan baharu dan ubahsuai) telah mendapat kelulusan peningkatan. Jumlah sasaran kelulusan adalah sebanyak 109 cawangan pada Oktober tahun ini.

“Dengan menaiktaraf pusat-pusat jualan kami ini telah memberikan semangat kepada rangkaian pengedar yang melihatnya sebagai satu peluang untuk mereka. Ada di antara mereka berkomited untuk menjual lebih 2,000 unit kereta setahun, iaitu sasaran yang mampu dicapai kerana model SUV serta produk-produk akan datang yang dihasilkan bersama Geely hanya akan dijual secara eksklusif oleh pusat 3S dan 4S PROTON. Pusat-pusat jualan ini akan membantu PROTON untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, dengan menyediakan kemudahan dan kualiti servis lebih baik daripada sebelum ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa.