PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) menyambut baik cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat bagi item yang melibatkan tahap keselamatan yang tinggi seperti pemeriksaan kecekapan brek, keselamatan tayar dan komponen lain.
Kaedah pemeriksaan yang sedia ada pada masa ini adalah dibuat sebagaimana telah ditetapkan di bawah Kaedahkaedah Kenderaan Motor (Pemeriksaan Berkala, Kelengkapan dan Standard Pemeriksaan) 1995. Di bawah cadangan ini, kaedah pemeriksaan kenderaan boleh diselaraskan oleh PUSPAKOM apabila diputuskan oleh JPJ kelak. Ianya tidak melibatkan perubahan kepada peralatan pemeriksaan sedia ada. Dengan pengalaman yang ada, PUSPAKOM akan memberi kerjasama yang sepenuhnya terhadap cadangan ini untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan sesebuah kenderaan berat semasa berada di atas jalan raya.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022, PUSPAKOM telah menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap sejumlah 270,385 buah kenderaan berat. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15.8% atau 42,772 kenderaan berat gagal mematuhi piawaian pemeriksaan yang ditetapkan oleh JPJ termasuk 4.6% atau 12,339 kenderaan berat yang gagal ujian kecekapan brek. Mana-mana kenderaan yang gagal, perlu menjalani pemeriksaan semula sebelum dapat dilesenkan oleh JPJ.
PUSPAKOM juga mengalu-alukan usaha pihak JPJ untuk meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap operasi pemeriksaan kenderaan yang dijalankan di semua 54 pusat pusat pemeriksaan PUSPAKOM di seluruh negara.
Sehingga kini, PUSPAKOM telah secara berterusan mencapai skor melebihi keperluan yang ditetapkan di bawah Perjanjian Konsesi.
Penilaian dalaman yang dilaksanakan dan pemantauan serta penambahbaikan berterusan terutamanya dalam aspek automasi dan pendigitalan dalam operasi pemeriksaan PUSPAKOM telah membolehkan skor KPI Teknikal Keseluruhan PUSPAKOM meningkat daripada 91.2% pada 2012 kepada 95.8% pada 2016 dan 97.1% pada 2021. Dengan meningkatkan lagi kekerapan pemantauan dan disamping pemantauan dalaman yang dijalankan oleh PUSPAKOM sendiri, langkah ini dapat memastikan tahap kualiti pemeriksaan kenderaan yang dijalankan sentiasa berada di tahap yang tinggi pada setiap masa.
Usaha-usaha penambahbaikan adalah dilaksanakan secara berterusan oleh PUSPAKOM terutamanya dari aspek-aspek seperti polisi dan prosedur kerja, penggunaan teknologi terkini berkaitan sistem dan proses serta memupuk budaya kerja berintegriti tinggi di kalangan kakitangan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Rangka Kerja Pematuhan Integriti PUSPAKOM (PICF). Ini adalah selaras dengan Pelan Anti-Rasuah Nasional yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan pensijilan ISO: 37001 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah.
Usaha-usaha untuk menyemak semula tahap keselamatan kenderaan berat perlulah seiring dengan langkah-langkah pencegahan kemalangan jalan raya yang lain seperti sikap pemandu dan pemilik kenderaan untuk menjaga dan menyelenggara kenderaan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang selamat. Pemeriksaan kenderaan secara berkala yang dijalankan oleh PUSPAKOM adalah bertujuan sebagai langkah pencegahan awal dalammengurangkan jumlah kenderaan yang tidak selamat berada diatas jalan raya.
Memandangkan pemeriksaan yang dijalankan oleh PUSPAKOM hanyalah pada setiap 6 bulan, adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pemandu kenderaan berat dalam tempoh tersebut untuk memastikan setiap kenderaan milik mereka adalah selamat sebelum memulakan sebarang perjalanan.
No comments:
Post a Comment