Fazrul Sham yakin tegal bisa

Ahmad Fazrul Sham mengaku belum berada pada tahap prestasi terbaiknya menjelang pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, 18 dan 19 Ogos ini.

Namun begitu pelumba AHM Nanoplus Yamaha Racing itu yakin mampu mempamerkan aksi terbaik dalam saingan kelas CP150 walaupun hanya tampil bermula pusingan kedua di Selangor. Otai ini menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dan telah memperbaiki keputusannya dengan berada di tangga kesembilan pada pusingan ketiga di Jasin, Melaka.
Juara keseluruhan CP130 musim 2015 itu juga turut mengakui bahaa litar Temerloh bukanlah litar kegemarannya sepanjang lima musim lepas memandangkan pencapaian terbaiknya hanya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh pada musim 2016.


“Rekod saya di Temerloh tidak begitu baik. Pada tahun 2013 saya menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 manakala pada tahun 2014 di tempat ke-13. Malah saya juga kekurangan data di litar ini kerana tidak beraksi pada musim lepas dan juga pada tahun 2015,” jelas Fazrul.
“Jadi, jika mahu bercakap tentang peluang untuk menaiki podium, ia mungkin agak berat untuk saya, tambahan pula saya masih mencari keserasian dengan jentera, tetapi sudah tentu saya dan jurutera pasukan akan memberikan yang terbaik, begitu juga dengan rakan sepasukan, Mohd Rozaiman Said dan Md Iqbal Amri Abd Malek.”

No comments: