Showing posts with label Ahmad Fazrul Sham. Show all posts
Showing posts with label Ahmad Fazrul Sham. Show all posts

Fazrul Sham perlu tuah

Ahmad Fazrul Sham percaya sedikit tuah mampu membawa pasukan mereka, AHM Motorsports Yamaha Racing untuk menjejakkan kaki di atas podium kategori CP150 pada saingan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, 13 dan 14 April ini.
Barisan pelumba AHM Motorsports Yamaha Racing mempamer aksi memberangsangkan apabila Fazrul berjaya menamatkan saingan di kedudukan kelima manakala pelumba rookie, Md Shahzul Naim Razali di kedudukan ke-11.
Malang buat Md Iqbal Amri Malek yang sebelum itu melakukan kejutan apabila berjaya meraih petak mula di kedudukan pertama setelah muncul pelumba terpantas sesi kelayakan Superpole apabila terjatuh seawal pusingan kedua perlumbaan akhir yang dimenangi Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing.
“Kami mempamer aksi diluar jangkaan sewaktu di Jasin, namun nasib tidak begitu menyebelahi kami setelah Iqbal terjatuh manakala saya pula mengalami sedikit masalah ketika sesi kelayakan,” jelas Fazrul yang pernah memenangi perlumbaan di Batu Kawan pada tahun 2008.
Tambahnya, “Jentera kami sangat baik. Saya berada di kelompok lima pelumba terbaik dalam setiap sesi di Jasin selain sesi kelayakan, jadi saya yakin kami akan kekal memberikan cabaran di Batu Kawan minggu ini.
“Mudah-mudahan sedikit tuah dan nasib lebih baik akan membantu kami untuk menaiki podium minggu ini,” jelas juara CP130 2015 itu.


Fazrul Sham yakin tegal bisa

Ahmad Fazrul Sham mengaku belum berada pada tahap prestasi terbaiknya menjelang pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, 18 dan 19 Ogos ini.

Namun begitu pelumba AHM Nanoplus Yamaha Racing itu yakin mampu mempamerkan aksi terbaik dalam saingan kelas CP150 walaupun hanya tampil bermula pusingan kedua di Selangor. Otai ini menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dan telah memperbaiki keputusannya dengan berada di tangga kesembilan pada pusingan ketiga di Jasin, Melaka.
Juara keseluruhan CP130 musim 2015 itu juga turut mengakui bahaa litar Temerloh bukanlah litar kegemarannya sepanjang lima musim lepas memandangkan pencapaian terbaiknya hanya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh pada musim 2016.


“Rekod saya di Temerloh tidak begitu baik. Pada tahun 2013 saya menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 manakala pada tahun 2014 di tempat ke-13. Malah saya juga kekurangan data di litar ini kerana tidak beraksi pada musim lepas dan juga pada tahun 2015,” jelas Fazrul.
“Jadi, jika mahu bercakap tentang peluang untuk menaiki podium, ia mungkin agak berat untuk saya, tambahan pula saya masih mencari keserasian dengan jentera, tetapi sudah tentu saya dan jurutera pasukan akan memberikan yang terbaik, begitu juga dengan rakan sepasukan, Mohd Rozaiman Said dan Md Iqbal Amri Abd Malek.”

Otai kembali ke litar lumba!

Juara CP130 2015, Ahmad Fazrul Sham kembali ke litar Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bermula pada pusingan kedua yang akan berlangsung di litar MAEPS, Serdang, Selangor pada 7 dan 8 Julai ini.
 Pelumba berusia 33 tahun itu akan membawa cabaran pasukan AHM  Yamaha Nanoplus Racing dan akan bergandingan bersama Mohd Iqbal Amri Abd Malek dan Mohd Rozaiman Said setelah terlepas aksi pusingan pembukaan di Litar Tangkak, April lepas.

Tahun 2017 juga menyaksikan Ahmad Fazrul terlepas dua aksi pusingan awal kejuaraan dan menyaksikannya sekadar menamatkan musim di tangga ke-15 keseluruhan dengan 29 mata.
“Beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan menyebabkan saya tidak dapat beraksi. Saya mengalami patah bahu sebelum perlumbaan di Tangkak bermula. Mujurlah selepas itu kejuaraan berhenti rehat panjang dan saya hanya terlepas satu perlumbaan. Ketika ini semuanya telah selesai dan saya berharap dapat memulakan aksi dengan baik di MAEPS minggu ini,” jelas Fazrul.
“Walaupun terlepas aksi pusingan pembukaan di Tangkak, saingan masih berbaki sembilan pusingan. Walaupun tidak meletak sasaran tinggi, saya berharap sekurang-kurangnya dapat menamatkan saingan di kedudukan lebih baik berbanding musim lepas.”