Azlan Shah |
Dua pelumba Supersports 600cc negara, Md Zaqhwan Zaidi dan Azlan Shah Kamaruzaman mempamer aksi positif apabila menduduki kelompok lima pelumba terpantas ketika sesi latihan bebas pada hari pertama Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.
Zaqhwan (Musashi Boon Siew Honda Racing) secara keseluruhan mencatat masa ketiga terpantas dengan catatan 1’38.934s yang dilakukan dalam sesi latihan bebas kedua manakala juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) mencatat masa kelima terpantas, 1’39.205s yang dilakukan dalam sesi latihan bebas ketiga.
Zaqhwan Zaidi |
Keminth Kubo (Yamaha Racing Asean) mencipta kejutan apabila muncul pelumba terpantas dengan masa 1’38.902s diikuti pelumba tuan rumah, Decha Kraisart (YAMAHA Thailand Racing Team) dengan masa 1’38.933s. Rakan sepasukan Decha, Ratthapong Wilairot keempat terpantas dengan masa 1’38.944s.
“Sesi latihan ketiga tadi saya banyak menumpukan kepada pelarasan jentera sahaja, dan kami juga menggunakan tayar lama. Beberapa berapa perkara masih boleh dipertingkatkan menjelang sesi kelayakan esok namun setakat ini, keadaan jentera lebih baik berbanding perlumbaan pusingan terakhir tahun lepas dimanak etika itu saya agak bergelut untuk menempatkan diri di kelompok depan. Saya harap semuanya berjalan lancar dan dapat bersaing untuk merebut podium pada minggu ini,” jelas Zaqhwan.
Bagi Azlan pula, dia yakin untuk mencatat masa lebih pantas pada sesi kelayakan dan perlumbaan esok. “Cuaca hari ini sangat panas dan kami juga tidak terlalu menumpukan untuk mencatat masa terpantas pada sesi latihan ketiga. Selain turut menggunakan tayar lama, kami juga hanya menumpukan kepada beberapa pelarasan untuk membantu saya pada hari esok,” jelasnya.
Mohd Helmi Azman |
Sementara itu, dalam saingan Underbone 150cc, pengalaman beraksi dalam saingan Asia Talent Cup yang menggunakan jentera Moto3 sebelum ini banyak membantu Mohd Helmi Azman untuk mencatat masa terpantas ketika sesi kelayakan setelah penggunaan tayar licin (tayar slick) serupa digunakan ke atas jentera Underbone pada musim ini.
Pelumba SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team itu muncul pelumba tunggal yang mencatat masa di bawah 2’02s setelah mencatatkan masa terpantas 2’01.998s mengatasi rakan senegara, Mohd Amirul Ariff Musa yang mencatatkan masa terbaik 2’02.206s.
“Saya sudah agak biasa dengan karakter tayar tersebut, jadi sebaik keluar ke litar, saya tidak mengambil masa yang lama untuk mendapatkan keserasian dengan tayar yang digunakan, sebaliknya lebih menumpukan kepada prestasi jentera,” jelas Helmi yang beralih menggunakan jentera Honda bersama pasukan baharu pada musim ini.
Gupita Kresna Wardhana (Yamaha Yamalube SND Factory) mencatat masa ketiga terpantas dengan masa 2’02.786s diikuti dua pelumba RCB Yamaha YY Pang Racing), Md Izzat Zaidi dan Md Adib Rosley dengan masa 2’02.786s dan 2’03.046s.
KEPUTUSAN
(LATIHAN BEBAS)
SUPERSPORTS 600cc
1 Keminth Kubo (THA) YAMAHA Racing Asean 1:38.902s
2 Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:38.933s
3 Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Musashi Boon Siew Honda 1:38.934s
4 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:38.944s
5 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:39.205s
ASIA PRODUCTION 250cc
1. Mario Suryo Aji (INA) Astra Honda Racing Team 1:53.106s
2. Anupab Sarmoon (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 1:53.250s
3 Rafid Topan Sucipto (INA) Yamaha Yamalube KYT TJM WR Super Battery 1:53.389s
4 Rheza Danica Ahrens (INA) Astra Honda Racing Team 1:53.466s
5 Muklada Sarapuech (THA) A.P. Honda Racing Thailand 1:53.531s
SESI KELAYAKAN
Underbone 150cc
1 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 2:01.998s
2 Md Amirul Ariff Musa (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 2:02.206s
3 Gupita Kresna (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 2:02.236s
4 Md Izzat Zaidi (MAS) RCB Yamaha Y Y Pang Racing 2:02.786s
5 Md Adib Rosley (MAS) RCB Yamaha Y Y Pang Racing 2:03.046s
No comments:
Post a Comment