Triumph perkenal lapan model baru

Triumph Bonneville Bobber Black
Triumph Motorcycles hari ini memperkenalkan lapan model baru melada barisan model jenama British iconik tersebut. Model model itu merupakan model Bonneville Bobber Black dan Speedmaster baharu, serta rangkaian Tiger 800 baharu terdiri daripada enam varian yang dinanti nantikan bagi memperluaskan dan mengemaskinikan rangkaian modelnya di Malaysia.

Acara pengenalan model-model baharu tersebut merupakan malam yang penuh glamor yang telah diadakan di Bukit Tinggi, Pahang, dan dihadiri oleh 350 tetamu dari kelab motosikal Triumph rasmi iaitu ‘the RatPack’, para tetamu dan wakil media. Triumph diimport sepenuhnya oleh Motoradic Sdn Bhd dan diedarkan di Malaysia oleh Fast Bikes Sdn Bhd.

“Kami ingin meraikan pelancaran motosikal baru ini bersama mereka yang selama ini setia dengan jenama ini, dari pelanggan yang pertama hinggalah yang baru sahaja memiliki motosikal Triumphnya dan kini menjadi anggota ‘the RatPack’.  Kami ingin menyaksikan motosikal baharu ini disambut oleh mereka yang mempunyai minat yang mendalam terhadap jenama ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd Dato’ Razak al-Malique. 

Bonneville Bobber Black yang baru adalah berasaskan model yang amat berjaya dari Triumph iaitu Bonneville Bobber, yang merupakan motosikal Triumph paling laris di dunia. Model Bobber Black menampilkan rim hadapan 16 inci yang tebal berbanding rim 19 inci pada Bobber standard. Ia juga didatangkan dengan fork hadapan Showa 47 mm yang lebih tebal (berbanding 41 mm pada Bobber), lampu hadapan LED sepenuhnya dengan lampu nyalaan siang (DRL) baru yang tersendiri dan butang tunggal bagi kawalan jelajah sebagai ciri standard.

“Bonneville Bobber telah membawa jenama Triumph ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Ia adalah motosikal yang menarik perhatian sesiapa sahaja, dan amat sesuai bagi mereka yang menggemari sentuhan klasik gaya bobber. Kini, Bobber Black sedia untuk melengkapi pakej Bonneville Bobber dengan gaya berani yang tersendiri, kejuruteraan yang elegan dan yang paling utama, tunggangan yang laju dengan bunyi yang mengujakan,” ujar Razak ketika memperkenalkan ahli terbaru dalam keluarga Bonneville Bobber tersebut.

Bonneville Speedmaster
Bonneville Speedmaster pula membawa pengaruh DNA klasik keluarga Bonneville dengan paduan gaya Bobber yang unik tetapi lebih praktikal dan versatil. Ia menawarkan ergonomik penunggangan yang lebih santai dengan bendal rata yang terentang ke belakang, serta pemasangan pelana berkembar atau tunggal berbanding Bobber yang hanya didatangkan dengan satu pelana. Ia juga mempunyai pemijak kaki yang dipasang terkehadapan sedikit, rim berjejari 16 inci dan tangki bahan api 12 liter yang lebih besar bagi jarak perjalanan yang lebih jauh, yang menjadikan Speedmaster begitu ideal untuk tunggangan dan penjelajahan jarak jauh. 

Kuasa Speedmaster dipacu oleh enjin tork tinggi Triumph berkembar sebaris 1200cc yang menghasilkan tork yang lebih tinggi menerusi pelarasan enjin Bobber. Tork puncak 106Nm pada 4,000rpm merupakan peningkatan sebanyak 42% berbandingTriumph Speedmaster 2015 dan 10% lebih tinggi daripada generasi semasa Bonneville T120. Kuasa yang dihasilkan sebanyak 77PS dipindahkan melalui kotak gear enam kelajuan yang memberikan penukaran yang lancar. Output kuasa puncaknya pula adalah 25% lebih tinggi daripada Speedmaster 2015, dan mengatasi Bonneville T120 sebanyak 10% .

“Bonneville Speedmaster memberikan keselesaan, praktikaliti dan versatiliti kepada keluarga Bonneville yang sememangnya cekap dan berkuasa. Ia amat sesuai untuk mereka yang menginginkan sentuhan gaya klasik pada jentera kembara mereka, atau untuk mereka yang ingin menambahkan versatiliti pelana tunggangan mereka. Speedmaster membawakan dimensi baru kepada keluarga Bonneville dengan gaya relaks kruiser klasik British yang tersendiri,” kata Dato’ Razak dalam ucapan beliau pada pelancaran empat motosikal baru tersebut.

Triumph Tiger 800 XCA
Sebagai pelengkap kepada rangkaian terkini motosikal Triumph di Malaysia, dua model motosikal yang paling digemari dan sentiasa menjadi pujaan ramai - Tiger 800 XCx serba baharu yang selesa dengan laluan sukar, dan Tiger 800 XRx yang lebih disasarkan untuk penggunaan di atas jalan. Kedua-duanya menampilkan lebih 200 penambahbaikan pada casis dan enjin, dan menawarkan enjin 800cc tiga silinder yang dioptimakan dan lebih responsif dengan output kuasa puncak sebanyak 95PS. Gearnya juga turut diperbaharui dan kini menampilkan nisbah gear satu yang lebih pendek yang memberikan cengkaman luar-jalan yang lebih baik, pengendalian yang lebih mudah pada kelajuan rendah dan pecutan yang dipertingkatkan. Kedua-dua XCx dan XRx juga menawarkan enam mod penunggangan, termasuklah mod penunggangan “Off Road Pro” yang baru.

Tiger XRT dan XCA
Tiger 800 XCx dan XRx dilengkapi dengan kelompok instrumen berwarna TFT baru yang boleh dilaraskan, pencahayaan LED tersendiri yang baru, kawalan jelajah yang dikemaskinikan, skrin yang boleh dilaraskan pada lima kedudukan, brek hadapan Brembo berspesifikasi tinggi, konfigurasi suspensi yang baru, kiub suis yang dipasang pada bar hendal dengan butang pencahayaan belakang yang elegan, casis yang dipertingkatkan dan badan premium yang baru.

Walaupun dengan keselesaan dan teknologi yang dikemas kini, kedua-dua motosikal baru ini mengekalkan asas kepada pengalaman penunggangan Tiger, iaitu pengendalian mudah yang sudah menjadi sebahagian daripada jenama ini dan teknologi teras yang menentukan kategorinya. 

Peralatan standard pengembaraan asasnya masih dikekalkan seperti ABS, kawalan cengkaman, pendikit ‘tunggang-dengan-wayar’, kawalan persiaran, ciri pemanas pada pelana dan pemegang hendal pada sesetengah model, soket kuasa dan ketinggian tempat duduk pada dua kedudukan (810-830 mm bagi XRx, 840-860 mm bagi XCx).

Tiger XRT
“Triumph Tiger 800 XCx dan XRx kini merupakan antara motosikal kembara yang paling berjaya dalam segmen masing-masing. Kedua-dua motosikal ini mudah ditunggang, menawarkan kawalan dan keselesaan yang hebat, dan kini telah dikemaskinikan supaya dapat menawarkan peningkatan teknologi bagi enjin ‘triple’ Tiger yang kini sudah begitu terkenal,” kata Dato’ Razak mengenai kedua-dua Tiger yang baru ini. 

Keempat-empat motosikal Triumph yang baharu ini kini boleh didapati di Malaysia dari harga  RM79,900 bagi Bonneville Bobber Black dan Bonneville Speedmaster. Keseluruhan rangkaian Triumph Tiger 800; Tiger 800 XR, XRx, XRx Low, XRT, XCx, XCa  akan dijual dari harga RM56,900 hingga RM81,900. Kesemua motosikal ini didatangkan dengan waranti perbatuan tidak terhad selama dua tahun. 


Maklumat lanjut mengenai model baru Triumph pasaran Malaysia boleh anda dapati dengan melayari www.triumphmotorcycles.my

Tiger XCA
Tiger XRT

No comments: