Jualan Proton naik 12.5%


Nampaknya seperti keyakinan pembeli terhadap produk keluaran PROTON kekal utuh. PROTON dilaporkan mengalami kenaikan jualan 12.5% setakat tahun sehingga kini, dengan jumlah jualan sebanyak 56,297 unit berbanding 50,091 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ini dapat dicapai meskipun keseluruhan jualan kereta pada September 2017 mengalami penurunan berikutan bilangan cuti umum yang banyak pada bulan tersebut. Peningkatan ini turut disebabkan oleh pertumbuhan sebanyak 1.7% tahun sehingga kini untuk jumlah besar industri (TIV) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"PROTON amat bernasib baik dengan perancangan model Saga dan Persona yang masing-masingnya dilancarkan pada Ogos dan September 2016. Dengan penambahbaikan yang dilakukan pada kedua-dua model ini, PROTON telah berjaya meningkatkan penjualan kereta, di mana sebahagian besarnya adalah melalui hasil jualan kedua-dua Saga dan Persona, iaitu 42.7% (24,061 unit) dan 27.4% (15,448 unit) bagi keseluruhan jualan kereta Proton setakat ini. Bagi tahun ini, jumlah jualan kedua-dua model ini juga lebih baik berbanding 2016 dengan peningkatan sebanyak 9,661 unit. Persona pula telah memperlihatkan kenaikan sebanyak 90% pada tahun sehingga kini berbanding tempoh yang sama tahun lepas," kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran PROTON, Abdul Rashid Musa.
 Pendekatan yang diambil Proton dalam membawa kereta Proton dekat kepada pelanggan telah mula menampakkan hasil. PROTON sedang giat melakukan siri jelajah dengan lebih agresif, memasuki ke lokasi kawasan yang sibuk terutama pada hujung minggu. Pameran ciri-ciri keselamatan utama yang ada pada kereta-kereta Proton di siri jelajah PROTON telah dapat menarik minat orang ramai. Ini menunjukkan tanda-tanda yang positif bagi PROTON dan inilah sebabnya PROTON memerlukan rakan kongsi yang baik untuk memastikan Syarikat dapat terus kekal berdaya saing di pasaran. PROTON sedar akan cabaran-cabaran yang mendatang dan bersama rakan kongsi baharu, Syarikat akan terus bekerja bersama untuk mendapatkan hasil yang lebih baik," tambah Rashid. Melihatkan kepada maklum balas positif yang diterima daripada pelanggan, PROTON kini meneruskan tawaran 5 nilai hebat dengan servis percuma selama 5 tahun* dan waranti selama 5 tahun* untuk setiap pembelian kereta Proton di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PROTON di 1800 888 398 atau e-mel kepada kami di customercare@proton.com. Pelanggan juga boleh layari www.proton.com atau Facebook rasmi PROTON di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. Untuk kemudahan tambahan, pelanggan boleh memuat turun aplikasi rasmi mudah alih MyProton, yang boleh didapati melalui Google Play dan Apple App Store.

 *Perkhidmatan percuma tamat selepas 5 tahun atau 100,000km (mana-mana terdahulu) termasuk alat ganti, minyak enjin dan caj pekerja. Waranti tamat selepas 5 tahun atau 150,000km, mana-mana terdahulu. Tawaran bermula 1 Nov hingga 30 Nov 2017.

No comments: