Ario dan Bucaneer dilancar

 Semalam, senario permotosikalan di negara ini telah dimeriahkan lagi dengan pelancaran dua lagi model motosikal oleh Chear Motor Global, iaitu motosikal moped CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i dengan gaya cafe racer. Kedua dua model motosikal pemasangan tempatan ini telah dilancarkan di Elite Speedway Karting Cicuit di Subang Jaya, Selangor ini ditawarkan dengan harga asas RM4,227 dan RM16,430 termasuk GST, tetapi tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Ario 110 dan Buccaneer 250i dibawa masuk ke dalam pasaran negara dari China dan dipasang oleh Mofaz Motosikal (MOMOS) dan diedarkan oleh Chear Motor Global. Ketua Pegawai Operasi Chear Global, En KC Leong menyampaikan keyakinan syarikat pimpinannya bahawa pasaran motosikal tempatan, khususnya dalam kelas kapchai dan suku-liter mendambakan penawaran motosikal yang berprestasi, tetapi pada harga yang berpatutan.
Ario 110 dikuasakan enjin satu selinder 107 cc sejukan udara suapan karburetor yang menjana 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm pada 5.500 rpm. Kuasa dihantar melalui kotak gear empat kelajuan, dan seberat 105 kg dengan tangki bahan api sebesar empat liter.
Roda depan dan belakangnya sebesar 17-inci sama seperti kebanyakan kapcai lain, dengan tupang teleskopik mengampu bahagian hadapan dan penyerap kejutan kembar pula mengapung bahagian belakang. Brek angkup kembar mengawal kelajuan roda depan, dan diimbangkan denagn brek gelendung aau dram di bahagian belakang. CMC Aria 110 ditawarkan dalam dua warna iaitu merah dan hitam, dan sudah mula ditawarkan dalam pasaran mulai hari ini.

Motosikal bergaya retro yang dilancarkan semalam merupakan model Italjet kedua yang ditawarkan iaitu Italjet Buccaneer 250i, yang jelas bergaya 'cafe racer' dengan tangki banahap dan pelana berada pada garis datar yang sama. Berpelana solo setinggi 820 mm seperti semestinya sebuah cafe racer, Buccaneer 250i dilengkapi enjin 250 cc V-kembar sejuk udara suntikan bahanapi dengan janaan kuasa 17.4 hp pada 8,000 rpm dan 19 Nm tork pada 6,000 rpm. Kotak gear lima kelajuan mengawal nisbah hantaran kuasa ke rantai pacuan untuk memacu motosikal seberat 128.5 kg dengan tangki bahan api sebesar 14 liter.

Penyerapan hentakan dilakukan oleh tupang teleskopik di bahagian depan motosikal dan dibantu penyerap kejutan monoshock sendeng boleh-laras di bahagian belakang. Kuasa hentian dibekalkan oleh angkup berkembar cakera tunggal 280 mm di hadapan, dan diimbangi angkup tunggal yang mengapit cakera 240 mm di roda belakang.

Italjet Buccaneer ini ditawarkan dalam tiga warna iaitu Kuning Emas Kuning, Hitam dan Hitam Legap. Buccaneer 250i ini dijadualkan untuk memasuki pasaran pada pertengahan Oktober ini.  Kedua-dua model baharu ini didatangkan dengan jaminan pembuatan satu tahun atau 10,000 km, yang mana terdahulu.






No comments: