BMW Group Malaysia persembahkan Acara BMW Premium Selection 2019

Pengeluar kenderaan premium BMW akan menganjurkan acara jualan kenderaan pramilik yang terbesar di sampinh acara-acara eksklusif yang bakal diadakan di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia.

Acara yang dinamakan BMW Premium Selection 2019 ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 13 September hingga 15 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan 300 pengunjung pertama akan dihadiahkan Insurans Komprehensif BMW atau MINI yang bertempoh setahun bagi pembelian kenderaan yang dibuat. Mereka akan turut menerima satu unit percuma BMW Advanced Car Eye, merupakan sebuah kamera HD penuh bersensitiviti tinggi yang dapat merakam imej keliling kenderaan pemilik pada waktu siang mahupun malam dengan kualiti yang tinggi. Para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi barangan eksklusif keluaran BMW dan MINI melalui sesi cabutan bertuah dengan setiap pembelian kenderaan BMW Premium Selection.
Di samping itu, wakil-wakil pengedar BMW yang terpilih juga akan menghoskan acara di lokasi-lokasi utama termasuk CityOne Megamall oleh Regas Premium Auto Kuching; Carpark di sebelah One Stop Premium Outlet, Kolombong oleh Regas Premiums Sabah dan C-Mart, Alor Setar oleh Lee Motors. Wearnes Autohaus pula akan menghoskan acara berkenaan di premis mereka sendiri.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, “Kami komited untuk memberikan satu pengalaman pemilikan premium yang terbaik buat pelanggan-pelanggan setia kami. Menerusi acara BMW Premium Selection 2019, kami ingin membuka sruang keterlibatan dan akses kepada Pengalaman Pemanduan Sempurna yang dijanjikan oleh BMW buat semua pemandu di seluruh negara. Kami ingin melihat famili BMW terus berkembang dalam usaha kami untuk membawakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan-pelanggan kami.”

Acara BMW Premium Selection 2019 akan menampilkan BMW X5, BMW 3 Series dan BMW 7 Series serta model-model jentera daripada portfolio MINI dan BMW Motorrad. Sesi pandu uji juga bakal disediakan bagi kesemua model yang dipamerkan sepanjang acara berkenaan untuk memberi keyakinan bahawa kenderaan BMW Premium Selection hanya boleh didapati dalam keadaan yang terbaik.
Mereka yang berminat boleh membuat pratonton dan memilih lebih 500 unit kenderaan pra-miliki BMW dan MINI di laman web BMW Premium Selection sebelum hadir untuk  menguji model pilihan anda di pameran itu. Laman web adalah platform yang mantap yang memudahkan aktiviti beli-dan-menjual untuk pemilik BMW dan MINI yang baru dan terkini. Lawati laman web rasmi untuk maklumat lanjut mengenai faedah eksklusif yang ditawarkan kepada pelanggan BMW Premium Selection.

Butir-Butir Acara BMW Premium Selection:

Tarikh: 13 – 15 September 2019
Waktu: 10:00 pagi – 7:00 malam
Lokasi: Carpark B, Stadium Nasional Bukit Jalil

Jika anda ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara BMW Premium Selection 2019, sila layari laman web rasmi BMW Premium Selection di https://www.bmwpremiumselection.com.my/.

Tengku Amirul terpantas hari ini di Teluk Intan

Tengku Amirul Haffirudin membuat kejutan apabila mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 di Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan, Perak hari ini. Amirul sekadar menamat perlumbaan di tempat kesembilan pada saingan Pusingan 5 di Terengganu dua minggu lalu.

Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing itu mencatat masa 51.185 saat (s), meninggalkan Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan perbezaan masa 0.176s.

Catatan masa yang dilakukannya pada sesi kelayakan itu membolehkannya untuk menduduki barisan hadapan pada saingan Superpole esok di Teluk Intan yang merupakan litar kegemarannya kerana pernah beberapa kali melakar penamat podium sebelum ini ketika bersaing dalam kelas P115.

“Litar di Teluk Intan bukan asing buat saya. Saya pernah beberapa kali mencipta kemenangan di litar ini. Momentum cemerlang pasukan kami dalam beberapa pusingan lalu turut memainkan peranan untuk mendorong saya tampil cemerlang,” jelas Amirul.

Petronas Sprinta Racing tampil dua pelumba Moto2 musim 2020

Xavi Vierge akan menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Racing bagi musim 2020 kelak. Pelumba asal Sepanyol akan beraksi bersama skuad PETRONAS Sprinta Racing untuk Kejohanan Dunia Moto2 2020.

Xavi Vierge pernah menaiki podium Moto2 tiga kali dan merupakan bekas juara kejohanan Moto2 Eropah,  dan akan menyertai pasukan dua pelumba  untuk musim 2020, dalam tahun ketiga skuad tersebut bertanding dalam Kejohanan Dunia Moto2.

Vierge, 22, dari Barcelona, Sepanyol, telah menaiki podium di Argentina dan Australia musim lepas di mana dia menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga. Tahun depan akan menjadi musim penuh kelima baginya dalam kelas Moto2 di peringkat antarabangsa.

Saingan Moto2 Musim 2020 akan berlangsung pada Mac tahun depan, dengan pusingan pembukaan di Grand Prix Qatar yang dijadualkan pada 8 Mac.

Pelan Insurans Volkswagen VIP kini ditawarkan

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini menawarkan program Pelan Insurans Volkswagan atau “VIP” yang direka khas untuk meningkatkan pengalaman pemilikan dengan menawarkan perlindungan yang komprehensif dan mudah. 

Pemegang polisi istimewa ini akan menikmati kelulusan tuntutan diutamakan, bantuan tepi jalan dengan perkhidmatan menunda 24 jam, serta jaminan proses baik pulih yang dijalankan di pusat pembaikan dan cat sah Volkswagen. Ia juga mematuhi standard baik pulih dan hanya menggunakan alat ganti tulen Volkswagen sahaja.

Pelanggan tidak akan dikenakan had minima kos pembaikan (excess) dan juga nilai yang dipersetujui (betterment) bagi kenderaan berumur sehingga 10 tahun. Semua kelebihan ini ditawarkan bagi semua model Volkswagen tanpa mengira usia kenderaan tersebut.

VIP boleh dibeli di mana-mana pengedar sah Volkswagen ketika mendaftar kereta baharu atau memperbaharui cukai jalan. Rakan panel insurans ialah Allianz General Insurance Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad. Allianz menawarkan insurans konvensional, manakala Etiqa pula menyediakan insurans konvensional dan takaful.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter memberitahu VIP dihasilkan di bawah falsafah Volkswagen Cares. “Dengan VIP, semua pemilik Volkswagen tanpa mengira apa jua model boleh menikmati servis berkualiti dan bantuan tepi jalan pada nilai terbaik di bawah pelan komprehensif yang ditawarkan secara eksklusif buat mereka.” 

“Para pelanggan menjadi keutamaan ke atas semua yang kami lakukan. Penyediaan perkhidmatan tambahan ini di pengedar kami dapat memastikan keseluruhan proses lebih mudah dan bersepadu. Sekali gus boleh menjadikan pengedar Volkswagen sebagai sebuah pusat sehenti untuk memberi ketenangan minda dan memudahkan pelanggan,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.volkswagen.com.my

Pemeriksaan 32-perkara percuma bagi kereta anda di Petron

Memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik adalah sangat penting. Pemeriksaan mudah boleh membantu mengelakkan kejadian yang tidak diingini dan menyelamatkan nyawa. Apabila merancang untuk memandu jarak jauh, anda mungkin cenderung untuk mengabaikan kenderaan kereta anda yang mungkin memerlukan beberapa pemeriksaan mudah.  

 Petron Malaysia dengan kerjasama Honda Malaysia telah menawarkan pemeriksaan kereta 32-perekara percuma bagi pelbagai jenama kereta baru-baru ini. Inisiatif ini telah berjaya menjalankan pemeriksaan bagi lebih 1,100 kereta di empat stesen minyak Petron yang terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.

"Kami dengan sukacitanya menawarkan perkhidmatan ini kepada para pelanggan kami bersama rakan kongsi, Honda Malaysia, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan kenderaan sebelum mereka memulakan perjalanan di atas jalan raya. Dengan ini, kami berharap kemalangan jalan raya dapat dikurangkan terutamanya semasa musim perayaan,” kata Lokman Hani, Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron Malaysia.
 Petron telah bekerjasama dengan Honda Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kereta secara percuma di stesen minyak Petron terpilih di negeri-negeri tersebut.

"Keselamatan merupakan keutamaan kami, dan kami harap dapat meluaskan lagi perkhidmatan ini kepada lebih banyak pengguna terutamanya buat mereka yang akan memandu jarak jauh,” tambah Lokman.

Stesen-stesen yang telah mengambil bahagian dalam kempen empat hari ini, bermula 1 sehingga 4 Ogos 2019, ialah Petron Jalan Tengku Mizan di Kuala Terengganu, Petron Jalan Tengah di Georgetown, Petron Jalan Beserah di Kuantan, dan Petron Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

Tahun lepas, Petron telah menjalankan 20 pemeriksaan keselamatan kereta kepada lebih daripada 3,800 kereta di beberapa stesen Petron, yang merupakan sebahagian daripada program Petron yang terlama iaitu keselamatan jalan raya.