Pelan Insurans Volkswagen VIP kini ditawarkan

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini menawarkan program Pelan Insurans Volkswagan atau “VIP” yang direka khas untuk meningkatkan pengalaman pemilikan dengan menawarkan perlindungan yang komprehensif dan mudah. 

Pemegang polisi istimewa ini akan menikmati kelulusan tuntutan diutamakan, bantuan tepi jalan dengan perkhidmatan menunda 24 jam, serta jaminan proses baik pulih yang dijalankan di pusat pembaikan dan cat sah Volkswagen. Ia juga mematuhi standard baik pulih dan hanya menggunakan alat ganti tulen Volkswagen sahaja.

Pelanggan tidak akan dikenakan had minima kos pembaikan (excess) dan juga nilai yang dipersetujui (betterment) bagi kenderaan berumur sehingga 10 tahun. Semua kelebihan ini ditawarkan bagi semua model Volkswagen tanpa mengira usia kenderaan tersebut.

VIP boleh dibeli di mana-mana pengedar sah Volkswagen ketika mendaftar kereta baharu atau memperbaharui cukai jalan. Rakan panel insurans ialah Allianz General Insurance Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad. Allianz menawarkan insurans konvensional, manakala Etiqa pula menyediakan insurans konvensional dan takaful.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter memberitahu VIP dihasilkan di bawah falsafah Volkswagen Cares. “Dengan VIP, semua pemilik Volkswagen tanpa mengira apa jua model boleh menikmati servis berkualiti dan bantuan tepi jalan pada nilai terbaik di bawah pelan komprehensif yang ditawarkan secara eksklusif buat mereka.” 

“Para pelanggan menjadi keutamaan ke atas semua yang kami lakukan. Penyediaan perkhidmatan tambahan ini di pengedar kami dapat memastikan keseluruhan proses lebih mudah dan bersepadu. Sekali gus boleh menjadikan pengedar Volkswagen sebagai sebuah pusat sehenti untuk memberi ketenangan minda dan memudahkan pelanggan,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.volkswagen.com.my

No comments: