Proton Saga 2019 dilancar!


  •  Penggayaan baharu, sistem infotainmen skrin sesentuh dan transmisi auto 4-kelajuan 
  • Harga bawah RM40,000 dan didatangkan dengan pakej bernilai sehingga RM3,700 
PROTON melancarkan Saga 2019 di satu majlis yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato' Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Turut hadir ialah Dato' Mohammad Zainal Shaari, Pengerusi DRB-HICOM, Dato' Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON, Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON serta Dato' Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.
Harga bermula RM32,800 (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT), versi terbaharu model ikonik dan terlaris PROTON ini dilengkapi dengan gaya baharu, kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama di dalam kelasnya yang bukan sahaja membezakannya daripada pesaing tetapi turut meningkatkan nilainya. Syarikat juga mengenal pasti proposisi penjualan unik atau Unique Selling Propositions (USP) model ini iaitu apabila digabungkan, menghasilkan slogan Pilihan Yang Pintar atau An Intelligent Proposition. Tiga USP yang dinyatakan adalah Gaya Mengujakan, Penjimatan Bijak dan Kestabilan Mantap.
Penggayaan sepenuhnya pada dalaman dan luaran kereta Kisah mengenai Proton Saga adalah sinonim dengan PROTON, mengimbau kembali 34 tahun lalu dan tiga perubahan sepenuhnya dilakukan pada model tersebut.
Saga 2019 telah diberikan rekaan terkini yang masih mengekalkan identitinya tetapi pada masa yang sama meletakkannya ke barisan model Proton yang lain. Pada bahagian luar, Saga 2019 dipasangkan dengan bampar hadapan baharu dan lebih agresif bersepadu dengan lampu nyalaan siang.
Pada bahagian gril turut mempunyai corak infinite weave yang mula diperkenalkan melalui model Proton X70 serta Iriz dan Persona 2019. Bampar belakang yang sama menonjol sepadan dengan bahagian hadapan dan rekaan di belakang dilengkapi dengan spoiler belakang bersepadu baharu dan nama PROTON terletak pada bahagian penutup but. Satu set roda aloi bersaiz 15 inci yang menampilkan rekaan baharu menyerikan lagi sentuhan akhir pada varian premium.

Pada bahagian dalam pula, perubahan paling ketara dilakukan adalah pada monitor skrin sesentuh 7-inci terapung atau floating touchscreen pada model premium. Digunakan untuk mengawal sistem infotainmen, kemudahan ini mempunyai sambungan Bluetooth, kapasiti penyimpanan dalaman 16GB dan sambungan telefon pintar untuk Android. Perubahan lain termasuklah upholsteri tempat duduk baharu, panel tengah baharu, paparan kombinasi meter baharu dengan Bantuan Pemanduan Eco dan turut dilengkapi sehingga 3 tempat cucuk USB. Kemudahan yang turut disediakan dalam Saga 2019 ini termasuklah kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu untuk disepadankan dengan bahan yang digunakan di bahagian dalaman kereta.

Kestabilan mantap dengan keselamatan tanpa kompromi Secara mekanikal, perubahan yang paling besar adalah transmisi automatik empat kelajuan baharu menggantikan CVT yang digunakan sebelum ini. Barisan Jurutera PROTON kemudiannya membuat peningkatan pada prestasi brek, tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH) serta keseimbangan pemanduan dan pengendalian disamping menambah tahap keselamatan yang berkelas dunia, Sebagai contoh brek yang dilengkapkan pada model ini adalah sama seperti yang dipasangkan pada Proton Iriz dan Persona yang lebih besar manakala penggunaan kotak gear automatik empat kelajuan baharu memberikan pemandu kawalan manual yang lebih baik semasa memandu dengan penuh tenaga. Ciri-ciri keselamatan pada model ini terdiri daripada Brek Anti Kekunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) untuk ketiga-tiga varian yang turut dilengkapi dengan beg udara depan, sensor tempat letak kereta belakang dan titik penahan ISOFIX dengan top tethers. Tambahan pada varian Premium adalah Bantuan Kawalan Cerun, sensor tempat letak kereta hadapan, kamera undur dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS). Dengan pertambahan ciri-ciri keselamatan ini, Saga 2019 menjadi satu-satunya kereta yang berharga kurang daripada RM40 000 dilengkapi ESC dan TCS.
Pakej yang memberikan nilai tambahan kepada pembeli Saga Sama seperti Proton X70, Iriz, Persona dan Exora 2019, Saga baharu ini menawarkan pakej Nilai Tambahan atau Extra Value. Terdapat tiga pakej Nilai Tambahan standard yang bermula dengan pakej servis yang menawarkan kos pekerja percuma sebanyak tiga kali atau selama satu tahun. Seterusnya adalah pakej kadar faedah dengan kadar pembiayaan serendah 2.98% setahun. Akhir sekali ialah pakej insurans yang menawarkan pelbagai manfaat kepada pelanggan yang menginsuranskan pembelian baharu mereka dengan panel PROTON. Digabungkan dengan pengurangan harga dan nilai ciri-ciri baharu yang diperkenalkan dalam setiap varian, Saga 2019 Premium AT 1.3L memberi nilai tambahan sebanyak RM3,747 berbanding model sebelum ini. Bagi varian Standard AT 1.3L pula memberi penjimatan sebanyak RM2,043 manakala Standard MT 1.3L mempunyai nilai tambahan sebanyak RM2,291 untuk mereka yang membelinya.


Penapis minyak Aprilia dan Moto Guzzi hanya RM10

Ramai pemilik tidak menyedari bahaya melakukan penyelenggaraan dan servis untuk motosikal mereka di pusat khidmat yang tidal diiktiraf, dan tanpa alat, latihan dan peralatan yang sesuai. Mereka terdedah kepada risiko penggunaan alat ganti bukan tulen yang boleh menjejaskan prestasi motosikal mereka.

Malah, kebanyakan pemilik mempunyai stigma bahawa menghantar motosikal mereka ke pusat servis yang sah adalah mahal dan mereka sanggup mengambil risiko dengan menghantar motosikal ke kedai luar dan pusat servis tak diiktiraf dan membatalkan jaminan mereka.

Lazimnya servis motorsikal berkapasiti enjin berkuasa tinggi biasa akan dikenakan bayaran RM350 dan ke atas (termasuk alatganti tulen, minyak separa sintetik, dan caj buruh). Kini, menjalankan servis motosikal Aprilia dan Moto Guzzi adalah begitu berpatutan harganya dengan kempen terkini dari Didi Resources, yang merupakan pengedar tunggal untuk kedua dua jenama di Malaysia. Dengan promosi penapis minyak tulen hanya berharga RM10 servis sepenuhnya motosikal Aprilia dan Moto Guzzi anda  hanyalah dari RM270.

Selain menawarkan promosi untuk penapis minyak, Didi Resources telah melaraskan harga untuk alatganti penting lain seperti pad brek dari RM190.90 dan penapis udara dari RM49.90 untuk memastikan kos pemilikan mampu dinikmati oleh pelanggan mereka.

Matlamat kempen adalah untuk menawan kepercayaan para pelanggan mereka, dan selain hanya penukaran minyak, meteka juga akan melakukan pemeriksaan diagnostik 10-perkara secara percuma. Pusat servis bertauliah juga akan melakukan kempen pemeriksaan secara keseluruhan untuk melihat sama ada terdapat sebarang perkara yang perlu diperbaiki oleh pihak pengeluar tanpa sebarang kos kepada anda.

Kempen servis ini bermula dari 1 August 2019 hingga 30 September 2019.

Pusat pusat servis mereka terletak di lokasi lokasi berikut: -
- Welly World Cycle No. 2135, Jalan 3/1, Batu 13 1/2, 47000 Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, 012-9412322
- GB Workshop @ The Gasket Alley Lot 15, 13, Jalan 13/6, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor, 016-3738656
- Sheng Fatt Motor Sdn. Bhd. No 24, Jalan Dato Keramat, 10150 George Town, Pulau Pinang, 012-4018932
- Soon Hin Co. A-139 & A-141, Jalan Beserah,, Kuantan, Taman Seaview, 25300 Kuantan, Pahang, 016-9350055

JDS lancar JDS J3 Monoshock ke pasaran Malaysia

Pengedar penyerap kejutan motosikal dari Taiwan, JDS Suspension hari ini melancarkan produk edisi terhad mereka, JDS J3 Monoshock, yang digunakan oleh Juara Underbone 150cc Champion Asia Road Racing (ARRC) 2018, Md Helmi Azman dari SCK Racing Team.
JDS Suspension memahami keperluan untuk pengalaman menunggang yang lebih tinggi, dan menggunakan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam pembuatan penggantungan untuk menghasilkan penyerap dan monoshock yang membolehkan penunggang mengalami kelancaran penyerap kejutan sambil mengekalkan kemudahan bagi pengguna untuk menyesuaikannya mengikut selera sendiri apabila diperlukan.

"Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Juara ARRC 2018, Md Helmi Azman melalui pelancaran produk ini kerana JDS telah menyediakan sistem gantungan kami untuk membantu beliau dan Pasukan Perlumbaan SCK dalam cabaran ARRC mereka. Kami akan terus membangun dan memperkenalkan produk baharu yang akan membantu para pelumba profesional dan penunggang harian dalam mencapai pengalaman menunggang yang baik," kata Ketua Pegawai Eksekutif JDS Suspensi Pte Ltd, Encik Kidd Lee Wei Yang.

"JDS J3 Monoshock memberikan keyakinan kepada saya dan membolehkan saya lebih menumpukan perhatian pada perlumbaan saya dalam Kejohanan ARRC. Ia pasti membantu saya dari segi prestasi menunggang saya dan saya mampu untuk meraih prestasi lebih baik kerana kestabilan dan sokongan dari monoshock" kata Md Helmi Azman.
Monoshock adalah komponen penting untuk penunggang motosikal kerana ia membantu memastikan keselamatan dan keselesaan pemandu. Walau bagaimanapun, kebanyakan penyerap kejutan yang dikeluarkan oleh kilang dihasilkan  dengan spesifikasi standard yang menjadikan sukar bagi peminat dua roda untuk membuat penyesuaian yang diperlukan untuk memenuhi keperluan menunggang mereka. Semua penyerap kejutan JDS adalah boleh laras yang dicipta untuk menyediakan keselamatan dan keselesaan menunggang, meningkatkan pengalaman menunggang semua peminat dua roda di Malaysia.

Spesifikasi monoshock J3:
• Minyak Motul
• Sistem bertekanan gas
• Piston diameter 35mm
• Batang diameter 14mm
Ciri pelarasan monoshock J3:
• Prabeban spring boleh laras
• Lantunan bolehlaras
• Mampatan bolehlaras
Panjang penyerap kejutan: 245-345mm
Harga: RM1,480 (tanpa Spring Fork)
Harga Pakej: RM1,580 (dengan Spring Fork)
JDS Suspension ditubuhkan pada tahun 2013, dan merupakan pengeluar penyerap kejutan motosikal dari Taiwan. Memahami budaya menunggang di Malaysia, JDS Suspensi telah memperluas kehadirannya secara tempatan untuk menyediakan pengalaman menunggang yang lebih baik melalui penyerap kejutan yang mudah disesuaikan. Pada tahun 2016, JDS Suspension memasuki Kejohanan Asia Road Racing untuk mencabar piawaian produk mereka dengan meletakkan penyerap kejutan mereka untuk diuji ketahanannya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai JDS Suspension, sila lawati laman Facebook rasmi mereka di www.facebook.com/pg/jdssystem/

Kurangkan memandu dan dapatkan rebat dari PAYD

Tune Insurance Malaysia Berhad telah melancarkan Pay-As-You-Drive yang merupakan pilihan baharu bagi insurans kereta anda. Ia memberi ganjaran kepada pemilik kenderaan yang mengurangkan pemanduan mereka.

Insentif ini direka dalam usaha untuk menggalakkan pemandu dan pemilik kenderaan untuk mengurangkan pemanduan dan memperbaiki kesesakan trafik, mengurangkan kemalangan jalan raya dan tekanan perasaan pemanduan bandar. PAYD sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya sebanyak 50% pada tahun 2021.
Berdasarkan kajian oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang diumumkan pada tahun 2017 terdapat lebih daripada 28.2 juta kenderaan di jalan raya Malaysia, yang boleh diterjemahkan sebagai 0.88 kenderaan untuk setiap orang di negara ini.

Urbanisasi  telah mengakibatkan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya Malaysia yang secara langsung menyumbang kepada pencemaran alam sekitar melalui perlepasan asap pekat dari kenderaan.

Pengenalan PAYD ini menyokong persekitaran yang lebih hijau, membantu mengurangkan tekanan perasaan dalam perjalanan di jalan raya, dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, seperti LRT dan MRT untuk membantu mengurangkan kesesakan jalan raya.
Khusus direka untuk komuniti pemandu parkir & naik kenderaan awam (park & ​​ride), segmen pemilik 'kereta kedua' serta pemandu urban dan sekitar kejiranan sahaja, PAYD memberi ganjaran kepada pemilik kereta jumlah perbatuan rendah dengan rebat atau bayaran balik sebanyak 20% ke atas premium asas yang dibayar pada akhir tempoh polisi.

Pemilik kereta persendirian yang berumur antara 28-60 tahun dengan kenderaan berusia sehingga 3 tahun dan jumlah yang diinsuranskan antara RM40,000 hingga RM300,000 akan ditawarkan untuk memilih untuk faedah PAYD apabila melanggan insurans Tune Protect Motor. Berikutan sistem tier, pelanggan akan mendapat bayaran balik 20% daripada premium insurans motor mereka jika bacaan perbatuan mereka adalah antara 0-6000km, dan bayaran balik 15% jika perbatuan jatuh di antara 6,001km hingga 8,000km ketika tamat tempoh polisi . PAYD adalah pelan pelengkap yang percuma dan bayaran balik adalah tambahan ke atas diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) kenderaan.

Rantau Lembah Klang, yang juga dikenali sebagai Greater Kuala Lumpur, terdapat peningkatan jumlah pemandu 'parkir & menaiki kenderaan awam' yang meletak kenderaan mereka di pelbagai stesen pengangkutan awam bersepadu untuk perjalanan harian mereka ke tempat kerja. Kesinambungan berasaskan sistem rel lancar yang terbentang dari KL Sentral menjadi hub utama sejauh Sungai Buloh, Kajang, Gemas (Negeri Sembilan), Tanjong Malim (Perak), Gombak, Ampang dan Pelabuhan Klang.
Pemilik kereta kedua yang jarang dipandu serta pemandu bandar dan kejiranan juga akan menikmati faedah daripada PAYD kerana kenderaan mereka didorong dengan berhati-hati, dan mungkin mencatat perbatuan yang lebih rendah setiap tahun.

Politeknik Port Dickson juara Pertandingan Pemasaran Proton

Pertandingan Kepintaran yang Memberi Inspirasi atau Intelligence that Inspires
Challenge anjuran PROTON telah berakhir pada 29 Julai 2019 dengan penuh keterujaan di Pusat Kecemerlangan PROTON (COE). Sebanyak 12 kumpulan bersaing antara satu sama lain dan membuat pembentangan akhir mereka kepada seramai tujuh orang juri yang terdiri daripada pengurusan kanan PROTON, pakar industri pemasaran dan pengamal media.
Pemenang keseluruhan bagi pertandingan ini ialah kumpulan Eureka dari Politeknik Port Dickson yang telah mencuri hati barisan juri dengan idea inovatif mereka serta mempamerkan pembentangan yang baik. Tempat kedua pula ialah kumpulan Alpha dari Taylor's Lakeside Campus manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan  Alpha Visionaries dari UTAR Kampar.
Untuk memastikan para peserta peringkat akhir ini didedahkan dengan sebanyak mungkin pengalaman sebenar dunia pekerjaan, PROTON telah memanggil pakar-pakar dalam bidang pemasaran dan media untuk menjadi juri.
Diketuai oleh Cheng Seng Fook, Pengarah Jualan dan Pemasaran PROTON serta juri-juri dari industri pemasaran iaitu Tuan Abang Jimmy Abang Mordian, Ketua Pemasaran PETRONAS Dagangan, Assoc. Prof Dr Norbani Che Ha,  Ketua Jabatan Pemasaran fakulti Perniagaan & Perakaunan di Universiti Malaya dan Encik Devan Perinpanay,  Pengurus Negara VM Ware Malaysia. Pengamal media yang turut menjadi juri ialah Encik Hafriz Shah, Ketua Pengarang di Paultan.org, Encik Gan Yong
Li, pengasas dan pemilik laman web Pandulaju.com.my dan Encik Eugene Wong Kang Yen, Ketua Pegawai  Pemasaran Kumpulan Sin Chew Daily.
Setelah meneliti setiap pembentangan, para juri kemudiannya diberi masa untuk berbincang antara satu sama lain sebelum menentukan pemenang. Kumpulan yang mendapat skor keseluruhan tertinggi diumumkan sebagai  pemenang dan mereka dipilih tidak semestinya berdasarkan skor tertinggi dari markah setiap juri.
"Tahap pemikiran asli, daya kreativiti dan keyakinan yang ditunjukkan oleh setiap kumpulan di peringkat akhir ini telah
memberi kejutan kepada para juri. Kami juga pernah menjadi pelajar seperti mereka jadi kami tahu bahawa untuk  membentangkan idea kepada barisan pakar di industri jelas memerlukan banyak latihan dan keyakinan diri. Bagi saya, setiap peserta kumpulan di peringkat akhir ini adalah pemenang yang mempunyai masa depan cerah dalam mana-mana industri yang mereka mahu sertai kelak, jadi saya berasa senang hati untuk melihat masa depan negara kita yang akan diterajui oleh rakyat Malaysia yang sangat pintar," kata Cheng Seng Fook.