Konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020 berlangsung

 

50 buah motosikal berkuasa tinggi telah berkonvoi sempena ulangtahun ke 50 Rukun Negara Malaysia.
Para bikers dari seluruh negara telah menyertai konvoi tersebut, yang dianjurkan oleh Fast Bikes Club dan Reappear MC, dan telah berlangsung selama 3 hari 2 malam pada 28 - 30 Ogos 2020.
Konvoi ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Bahagian Promosi Pelancongan Kerajaan Negeri Melaka, Tourism Malaysia, Polis DiRaja Malaysia serta Agensi Agensi lain.


Ini merupakan kali ketiga program konvoi ini diadakan dan ianya diketuai oleh En Azahar bin Ngah (Pengasas Fast Bikes MC/ Founder Reappear MC) dan turut disertai oleh Pn Fadziani Ibrahim (Pengerusi Fast Bikes Club). Program ini bertujuan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dan kecintaan di kalangan masyarakat negara ini, sekali gus mempromosikan tempat tempat pelancongan yang menarik di beberapa lokasi seluruh negeri Melaka.

Kejohanan Superbike Malaysia MSBK 2020 bermula!

Sepang International Circuit (SIC) dan Two Wheels Motor Racing (TWMR) secara bersama mengumumkan permulaan Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2020.

Musim 2020 MSBK, yang awalnya dijadualkan berlangsung dalam empat pusingan, kini telah dipendekkan menjadi dua. Perubahan yang berlaku pada kalendar perlumbaan kebangsaan ini adalah kesan dari wabak Covid-19 yang sedang melanda. Walau bagaimanapun, bilangan hari pada
pusingan telah meningkat. Dengan itu, para peserta MSBK boleh menjangkakan untuk bertanding dalam jangka masa sehingga enam perlumbaan bagi kedua dua pusingan yang dijadualkan.

Diadakan seperti biasa di Litar Antarabangsa Sepang, Pusingan 1 akan berlangsung dari 25 hingga 27 September diikuti oleh Pusingan 2 dari 16 hingga 18 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, "Perubahan dalam kalendar perlumbaan MSBK ini disebabkan oleh Wabak Covid-19 yang sedang kita hadapi, namun ini adalah agenda nasional dan kita perlu meneruskan kejuaraan tahun ini. SIC telah bekerjasama dengan Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd pada tahun 2019 dengan objektif untuk

meningkatkan lagi perlumbaan MSBK, dan mereka adalah penganjur utama untuk siri perlumbaan dua roda iaitu acara PETRONAS Malaysia Cub Prix dan Asia Road Racing Championship.”

Shafriman menambah, "Meskipun hanya dua pusingan untuk 2020, format lumba telah ditingkatkan untuk menambahkan lebih banyak sensasi dalam persaingan. Objektif kami adalah untuk menyediakan platform untuk pelumba profesional tempatan, untuk memupuk dan mengembangkan bakat pelumba
dan juga pasukan. Oleh itu, usaha mesti terus dilakukan walaupun dalam keadaan semasa yang tidak menentu untuk memastikan semangat berlumba ini berterusan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan semua rakan atas kerjasama dan sokongan diberikan untuk menjadikan kejuaraan sukan permotoran tempatan dapat dilaksanakan ”

Selain perubahan pada kalendar, kedua-dua pihak SIC dan TWMR telah bersetuju untuk meneruskan perkembangan baharu untuk kelas MSBK. Antaranya ialah pengenalan kelas Underbone 150, dan juga pengenalan Dunlop sebagai pembekal tayar rasmi untuk siri ini.

“Kami sangat teruja dengan pengenalan kelas MSBK150. Kategori baru ini akan berlangsung mengikut spesifikasi serupa dengan Asia Road Racing Championship. Yang paling penting, kelas ini terbuka untuk semua pasukan dan pelumba. Titik perbezaan terletak pada kenyataan bahawa kelas CP150 dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS adalah kelas elit yang dikhaskan hanya untuk pasukan teratas dalam Kejuaraan tersebut. Dengan mengadakan kategori MSBK150, kami membuka peluang untuk pasukan dan pelumba yang akan datang untuk menyertai perlumbaan super cubs, " kata Ron Hogg, Pengarah Perlumbaan TWMR.

Pengenalan MSBK150 akan melengkapkan MSBK secara penuh dalam peranannya sebagai sebahagian daripada sistem pembangunan bakat nasional, dengan perlumbaan bermula dari 150cc hingga 250cc hingga 600cc dan akhirnya hingga 1000cc. Akan ada sesuatu untuk setiap pelumba, di setiap peringkat kerjaya mereka.

Ron menambah, “Dunlop, rakan penting dalam menjayakan Kejuaraan FIM Asia Road Racing Championship, akan menjadi pembekal tayar rasmi Kejohanan Superbikes Malaysia. Kami percaya bahawa kepakaran mereka akan membantu pasukan Malaysia dan penunggang meningkatkan standard perlumbaan mereka dengan sangat baik."

“Kami sangat serius dalam mengembangkan sukan lumba motosikal di Malaysia pada umumnya. Beberapa hari yang lalu, Boon Siew Honda menunjukkan komitmen mereka ketika mengumumkan inisiatif yang bertujuan untuk menghidupkan kembali sukan melalui
Program Sokongan Honda Racing. "

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd di Tel: + 603-8733 8787.
#TWMR #boonsiewhonda #HRC #msbk




Akid terpantas di Sepang

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md. Akid Aziz meneruskan rentak cemerlang apabila muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 di Litar Sepang Selatan hari ini. Juara Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020itu merekodkan masa 1:15.596 saat (s) sepusingan di litar sepanjang 2.6 kilometer itu.

 

Prestasi jentera Yamaha yang ditunggangnya semakin stabil, sekali gus bakal memudahkan misinya memburu kemenangan podium kedua musim ini. Pada sebelah paginya, Akid tampil terpantas ketika sesi latihan bebas pertama dengan catatan masa 1:15.587s pada kelajuan 124 kilometer sejam.

 

Esok, Akid akan memulakan misi dengan sesi Superpole sebelum mengharungi perlumbaan akhir pada sebelah petangnya.

 

Sesi kelayakan hari ini turut menyaksikan kemaraan pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Mohd. Amirul Ariff Musa yang berjaya menempatkan diri selaku kedua terpantas dengan catatan masa 1:15.824s, ketinggalan 0.228s di belakang Akid.

 

Terdahulu pada sesi latihan bebas kedua, Amirul muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 1:16.450s.

 

Rakan sepasukannya, Azroy Hakeen Anuar dilihat lebih berhati-hati pada sesi kelayakan tersebut, namun tetap berpuas hati menghuni kedudukan keempat terpantas dengan masa 1:16.069s.

 

Azroy yang muncul naib juara di Tangkak minggu lalu, lebih banyak menggunakan sesi latihan bebas kedua sebelum itu untuk menguji pelarasan jenteranya dan dia menamatkan sesi tersebut di kedudukan ke-15 dengan masa 1:17.773s.

 

Tempat ketiga terpantas pada sesi kelayakan hari ini dilakar oleh pelumba pasukan Team AHM Motorsports Yamaha Racing, Md Khairul Ikhwan Musa dengan catatan masa 1:16.450s.

 

Juara Pusingan 1, Md Helmi Azman sekadar menghuni kedudukan ketujuh terpantas dengan merekodkan masa 1:16.761s.


2020 PETRONAS MALAYSIAN CUB PRIX CHAMPIONSHIP

Round 3 – CP150 Qualifying Results

 

1. Mohd Akid Aziz (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor)                                         1’15.596s

2. Mohd Amirul Ariff Musa (Honda) (Idemitsu Honda Yuzy Racing)                                   1’15.824s

3. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) (Team AHM Motorsports Yamaha Racing)            1’16.069s

4. Azroy Hakeem Anuar (Honda) (Idemitsu Honda Yuzy Racing)                                   1’16.089s

5. Mohd Ramdan Rosli (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team)                                                                1’16.228s

Motosikal LKM mati hingga 36 bulan tak perlu PUSPAKOM


 MOTOSIKAL DGN LKM TAMAT sehingga 36 bulan kini tak perlu pemeriksaan khas PUSPAKOM

Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan diberitakan telah memudahkan orang awam untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Motor LKM (yang sering digelar 'roadtax') yang telah tamat tempoh bagi motosikal persendirian mereka. Peraturan dahulu yang memerluksn pemeriksaan PUSPAKOM bagi motosikal LKM tamat tempoh melebihi 12 bulan kini dipanjangkan kepada 36 bulan.

Berkuatkuasa 4 Sept 2020

MINI paling berkuasa dalam sejarah kini ditawarkan!


Jentera MINI yang paling laju telah tiba di Malaysia sempena hari lahirnya untuk memuaskan semangat pemanduan emotif yang diilhamkan oleh kejayaan ulung jenama ini dalam arena perlumbaan, terhad kepada 10 unit sahaja. Jenama automotif premium kompak canggih ini telah meraikan hari ulangtahun kelahirnya dengan meperkenalkan MINI John Cooper Works GP terbaharu, iaitu MINI GP yang paling berkuasa pernah dikeluarkan, hadir dengan sensasi pemanduan ala go-kartnya.

  Hanya 10 unit bakal disediakan buat warga MINIacs di Malaysia.
MINI John Cooper Works GP yang eksklusif dirumus untuk pemanduan ekstrem yang benar-benar memuaskan. Ia dizahirkan melalui perwatakan enjin dan prestasi kenderaan ini. Sentimen perlumbaan yang tinggi dan bersifat tulen dizahirkan oleh enjin berkuasa terbesar pernah dimuatkan di dalam kereta premium kompak ini, termasuk teknologi suspensi yang dirumus khas mengikut kepakaran komprehensif John Cooper Works dalam bidang perlumbaan, serta tubuhnya yang dioptimumkan menggunakan struktur yang ringan, keteguhan kilasan (torsion) dan aerodinamik. 

 MINI John Cooper Works GP terbaharu mengepalai barisan kenderaan MINI dan John Cooper Works dengan 306 hp (kuasa kuda) dan nilai tork maksimum berjumlah 450 Nm, justeru menyerlahkan DNA perlumbaannya yang ekstrem. Hadir dalam jumlah unit yang terhad, jentera dua tempat duduk yang mengagumkan ini menampilkan ciri-ciri reka bentuk yang paling eksklusif serta pakej teknikal yang terbaik.

 MINI John Cooper Works GP ditawarkan secara eksklusif dalam warna metalik Racing Grey, berserta bumbung dan pelitup cermin sisi dalam warna berkontras metalik Melting Silver. Komponen gril radiator yang berbentuk heksagon, sisipan salur masuk udara bawah dan permukaan spoiler bumbung di bahagian dalam dihiasi dengan warna Chili Red berglos tinggi, lantas menzahirkan iras yang agresif pada MINI John Cooper Works GP. Ia turut diserlahkan melalui jata GP yang digayakan dalam warna matte metalik Rosso Red di bahagian hadapan dan belakang, termasuk di sisi luar spoiler bumbung, skirt sisi dan kemasan ambang pintu.

Kemasan berwarna hitam mewujudkan kontras pada komponen lampu hadapan dan sekeliling lampu belakang, termasuk gril radiator tengah, hendal pintu, penutup salur masuk bahan api, inlai pada permukaan bonet serta logo MINI di hadapan dan belakang kenderaan ini. Begitu juga dengan inlai berwarna hitam pada lampu hadapan serta gubahan Union Jack yang digelapkan pada lampu belakang yang menyerlahkan perwatakansporty MINI John Cooper Works GP. 


 

 Jentera terbaharu ini didatangkan dengan set roda tempaan ringan yang bersaiz 18 inci, dengan berat berjumlah kurang daripada sembilan kilogram. Pelitup hab pada roda kenderaan yang eksklusif ini turut menampilkan logo GP. Ciri-ciri aerodinamik MINI John Cooper Works GP meliputi trim arkus roda yang besar dan menonjol, dihasilkan menerusi sebuah proses khas dan kombinasi material yang digunakan buat pertama kali oleh BMW Group. Ia merangkumi substruktur termoplastik dan petala luar yang diperbuat daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP). MINI John Cooper Works GP terbaharu merupakan jentera produksi BMW Group yang pertama membawakan salutan CFRP matte yang terdedah. Nombor keluaran dalam lingkungan“0001” hingga “3000” dipaparkan pada permukaan panel arka roda hadapan menerusi proses pemindahan cat yang baharu.

 

 MINI John Cooper Works GP dilengkapi dengan kerusi sport John Cooper Works yang menggunakan material Leather Dinamica bersama lingkaran warna perak di sisi, termasuk sulaman berwarna merah, jata GP di bawah penyandar kepala yang terintegrasi serta tali pinggang keledar berwarna merah. Trim interior di tempat duduk penumpang turut mempamerkan nombor keluaran kenderaan tersebut, dihasilkan secara berasingan bagi setiap satu daripada 3,000 unit menggunakan teknologi pencetakan 3D. Proses pencetakan 3D tersebut juga telah dimanfaatkan untuk membawakan ciri-ciri lain yang diserlahkan pada Stereng Kulit John Cooper Works, termasuk penanda posisi jam 12 menggunakan material logam di tengah, serta padel penukar gear. Selain logo GP, gubahan struktur indung madu juga boleh dilihat pada permukaan komponen padel tersebut. 

MINI John Cooper Works GP terbaharu hadir dengan enjin yang paling berkuasa tinggi pernah dimuatkan dalamsiri kenderaan MINI 3 pintu. Enjin empat silinder yang berkapasiti dua liter ini dengan MINI TwinPower Turbo digandingkan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang membawakan pengunci diferensial dalam bentuk mekanikal, dan ia mampu menjana 306 kk dan puncak tork bernilai 450 Nm. Jentera ini mampu membuat pecutan abad hanya dalam masa 5.2 saat, dan mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 265 km/j.Dengan catatan masa kurang daripada lapan minit di litar Nürburgring, MINI John Cooper Works GP terbaharu lebih laju daripada  model-model terdahulu. Modifikasi enjin yang khusus untuk model ini turut merangkumi komponen aci engkol yang diperkukuhkan dengan diameter galas (bearing) utama yang lebih besar, termasuk piston khusus, batang penyambung ‘bushless’ dan peredam getaran kilasan baharu dengan sistem penyejukan yang dioptimumkan. Tahap prestasi yang ekstrem juga dapat dikecapi dengan pengecas turbo baharu yang diintegrasikan pada panca rongga ekzos dan dilengkapi dengan injap lencongan udara yang membantu mengoptimumkan respons. Komponen salur masuk juga telah diperbaharui. Inlet yang lebih besar, keratan rentas aliran (flow cross-sections) serta bunyi peredam hingar yang dipertingkatkan menjamin penyahdikitan (dethrottling) maksimum.Sistem suntikan langsung petrol(petrol direct injection)generasi terbaharu juga amat kondusif untuk membekalkan kuasa secara spontan. Penyuntik baharu berbilang rongga disusun di kedudukan tengah di antara komponen injap, dan mampu menampung kadar aliran yang tinggi, ia memindahkan bahan api ke dalam ruang pembakaran pada tahap tekanan injeksi setinggi 350 bar. Teknologi MINI TwinPower Turbo juga meliputi kawalan injap pembolehubah VALVETRONIC dan pemasaan aci sesondol bolehubah “Double-VANOS”.   

Harga Jualan MINI John Cooper Works GP yang Disyorkan dengan Pengecualian Cukai Jualan (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans) ialah: 

MINI John Cooper Works GP Terbaharu:RM 377,470.90 

Maklumat lanjut mengenai MINI John Cooper Works GP terbaharu boleh didapati di www.mini.my.