MINI paling berkuasa dalam sejarah kini ditawarkan!


Jentera MINI yang paling laju telah tiba di Malaysia sempena hari lahirnya untuk memuaskan semangat pemanduan emotif yang diilhamkan oleh kejayaan ulung jenama ini dalam arena perlumbaan, terhad kepada 10 unit sahaja. Jenama automotif premium kompak canggih ini telah meraikan hari ulangtahun kelahirnya dengan meperkenalkan MINI John Cooper Works GP terbaharu, iaitu MINI GP yang paling berkuasa pernah dikeluarkan, hadir dengan sensasi pemanduan ala go-kartnya.

  Hanya 10 unit bakal disediakan buat warga MINIacs di Malaysia.
MINI John Cooper Works GP yang eksklusif dirumus untuk pemanduan ekstrem yang benar-benar memuaskan. Ia dizahirkan melalui perwatakan enjin dan prestasi kenderaan ini. Sentimen perlumbaan yang tinggi dan bersifat tulen dizahirkan oleh enjin berkuasa terbesar pernah dimuatkan di dalam kereta premium kompak ini, termasuk teknologi suspensi yang dirumus khas mengikut kepakaran komprehensif John Cooper Works dalam bidang perlumbaan, serta tubuhnya yang dioptimumkan menggunakan struktur yang ringan, keteguhan kilasan (torsion) dan aerodinamik. 

 MINI John Cooper Works GP terbaharu mengepalai barisan kenderaan MINI dan John Cooper Works dengan 306 hp (kuasa kuda) dan nilai tork maksimum berjumlah 450 Nm, justeru menyerlahkan DNA perlumbaannya yang ekstrem. Hadir dalam jumlah unit yang terhad, jentera dua tempat duduk yang mengagumkan ini menampilkan ciri-ciri reka bentuk yang paling eksklusif serta pakej teknikal yang terbaik.

 MINI John Cooper Works GP ditawarkan secara eksklusif dalam warna metalik Racing Grey, berserta bumbung dan pelitup cermin sisi dalam warna berkontras metalik Melting Silver. Komponen gril radiator yang berbentuk heksagon, sisipan salur masuk udara bawah dan permukaan spoiler bumbung di bahagian dalam dihiasi dengan warna Chili Red berglos tinggi, lantas menzahirkan iras yang agresif pada MINI John Cooper Works GP. Ia turut diserlahkan melalui jata GP yang digayakan dalam warna matte metalik Rosso Red di bahagian hadapan dan belakang, termasuk di sisi luar spoiler bumbung, skirt sisi dan kemasan ambang pintu.

Kemasan berwarna hitam mewujudkan kontras pada komponen lampu hadapan dan sekeliling lampu belakang, termasuk gril radiator tengah, hendal pintu, penutup salur masuk bahan api, inlai pada permukaan bonet serta logo MINI di hadapan dan belakang kenderaan ini. Begitu juga dengan inlai berwarna hitam pada lampu hadapan serta gubahan Union Jack yang digelapkan pada lampu belakang yang menyerlahkan perwatakansporty MINI John Cooper Works GP. 


 

 Jentera terbaharu ini didatangkan dengan set roda tempaan ringan yang bersaiz 18 inci, dengan berat berjumlah kurang daripada sembilan kilogram. Pelitup hab pada roda kenderaan yang eksklusif ini turut menampilkan logo GP. Ciri-ciri aerodinamik MINI John Cooper Works GP meliputi trim arkus roda yang besar dan menonjol, dihasilkan menerusi sebuah proses khas dan kombinasi material yang digunakan buat pertama kali oleh BMW Group. Ia merangkumi substruktur termoplastik dan petala luar yang diperbuat daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP). MINI John Cooper Works GP terbaharu merupakan jentera produksi BMW Group yang pertama membawakan salutan CFRP matte yang terdedah. Nombor keluaran dalam lingkungan“0001” hingga “3000” dipaparkan pada permukaan panel arka roda hadapan menerusi proses pemindahan cat yang baharu.

 

 MINI John Cooper Works GP dilengkapi dengan kerusi sport John Cooper Works yang menggunakan material Leather Dinamica bersama lingkaran warna perak di sisi, termasuk sulaman berwarna merah, jata GP di bawah penyandar kepala yang terintegrasi serta tali pinggang keledar berwarna merah. Trim interior di tempat duduk penumpang turut mempamerkan nombor keluaran kenderaan tersebut, dihasilkan secara berasingan bagi setiap satu daripada 3,000 unit menggunakan teknologi pencetakan 3D. Proses pencetakan 3D tersebut juga telah dimanfaatkan untuk membawakan ciri-ciri lain yang diserlahkan pada Stereng Kulit John Cooper Works, termasuk penanda posisi jam 12 menggunakan material logam di tengah, serta padel penukar gear. Selain logo GP, gubahan struktur indung madu juga boleh dilihat pada permukaan komponen padel tersebut. 

MINI John Cooper Works GP terbaharu hadir dengan enjin yang paling berkuasa tinggi pernah dimuatkan dalamsiri kenderaan MINI 3 pintu. Enjin empat silinder yang berkapasiti dua liter ini dengan MINI TwinPower Turbo digandingkan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang membawakan pengunci diferensial dalam bentuk mekanikal, dan ia mampu menjana 306 kk dan puncak tork bernilai 450 Nm. Jentera ini mampu membuat pecutan abad hanya dalam masa 5.2 saat, dan mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 265 km/j.Dengan catatan masa kurang daripada lapan minit di litar Nürburgring, MINI John Cooper Works GP terbaharu lebih laju daripada  model-model terdahulu. Modifikasi enjin yang khusus untuk model ini turut merangkumi komponen aci engkol yang diperkukuhkan dengan diameter galas (bearing) utama yang lebih besar, termasuk piston khusus, batang penyambung ‘bushless’ dan peredam getaran kilasan baharu dengan sistem penyejukan yang dioptimumkan. Tahap prestasi yang ekstrem juga dapat dikecapi dengan pengecas turbo baharu yang diintegrasikan pada panca rongga ekzos dan dilengkapi dengan injap lencongan udara yang membantu mengoptimumkan respons. Komponen salur masuk juga telah diperbaharui. Inlet yang lebih besar, keratan rentas aliran (flow cross-sections) serta bunyi peredam hingar yang dipertingkatkan menjamin penyahdikitan (dethrottling) maksimum.Sistem suntikan langsung petrol(petrol direct injection)generasi terbaharu juga amat kondusif untuk membekalkan kuasa secara spontan. Penyuntik baharu berbilang rongga disusun di kedudukan tengah di antara komponen injap, dan mampu menampung kadar aliran yang tinggi, ia memindahkan bahan api ke dalam ruang pembakaran pada tahap tekanan injeksi setinggi 350 bar. Teknologi MINI TwinPower Turbo juga meliputi kawalan injap pembolehubah VALVETRONIC dan pemasaan aci sesondol bolehubah “Double-VANOS”.   

Harga Jualan MINI John Cooper Works GP yang Disyorkan dengan Pengecualian Cukai Jualan (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans) ialah: 

MINI John Cooper Works GP Terbaharu:RM 377,470.90 

Maklumat lanjut mengenai MINI John Cooper Works GP terbaharu boleh didapati di www.mini.my. 








 





 


No comments: