Yamaha menyerlah di Cub Prix Musim 2017

Kejayaan pasukan pasukan berasaskan jentera Yamaha yang bertanding dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 menjadi bukti kemampuan jenama tersebut dalam memenuhi cabaran getir dan ketahanan yang didambakan dalam dunia perlumbaan motosikal tersohor tempatan itu. Pasukan pasukan yang didokong Yamaha telah berjaya menguasai ketiga tiga jategori utama yang dipertandingkan dalam kejohanan tersebut iaitu kategori perdana CP150, kategori pertengahan CP115 dan kategori Wira yang merupakan kategori kemasukan pelumba muda.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor membuktikan kedudukan mereka selaku pasukan terbaik dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS setelah merangkul gelaran juara keseluruhan berpasukan dan juga individu. Ia merupakan tahun kedua berturut-turut mereka menyapu bersih kesemua piala utama selepas turut melakukannya pada musim 2016. Ayam tambatan mereka, Kasma Daniel Kasmayuddin telah merangkul gelaran juara keseluruhan kelas perdana yang kedua dengan memenangi kejuaraan julungkalinya untuk kategori CP150, selepas memenangi gelaran CP130 pada musim 2016. Pasukan ini turut diwakili Md Ramdan Rosli dan pelumba senior Ahmad Fazli Sham.

Tempat kedua bagi kategori ini telah dimenangi oleh pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ yang diwakili Md Iqbal Amri Abd Malek, Md Fitri Ashraff Razali dan Ahmad Afif Amran. Afif juga merupakan penyandang tempat kedua dalam kejuaraan keseluruhan. Tempat ketiga juga diduduki oleh satu lagi pasukan Yamaha iaitu pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang yang diwakili Md Adib Rosley, Md Izzat Zaidi Md Salehan dan Md Azhar Abd Jalil.
Dalam kategori pertengahan CP115 pula, seorang lagi pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor  iaitu Mohd Akid Aziz pula berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan CP115 buat tahun kedua berturut-turut. Akid telah digandingkan dengan Md Haziq Fairues untuk menghadiahkan gelaran juara berpasukan kategori ini kepada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor. Tempat kedua kategori ini juga diungguli pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ bersandarkan gandingan Nazirul Izzat Md Bahauddin dan Ahmad Syukran Aizat. Sementelah itu, gandingan Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Tengku Amirul Haffirudin dalam pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang telah menempatkan mereka sebagai pasukan ketiga terbaik dalam kategori CP115 ini.
Kejayaan yang sama turut dicatat pasukan Yamaha dalam kategori Wira bilamana Md Aiman Tahiruddin yang menunggang untuk pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - AFB Tech telah muncul sebagai juara keseluruhan musim 2017.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor juga mempunyai satu lagi misi penting iaitu untuk memenangi gelaran individu kategori Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang akan berlangsung di Thailand, awal Disember nanti. Pasukan ini telahpun dinobatkan sebagai gelaran pasukan terbaik kategori tersebut musim 2017 ini.


Diskaun untuk pemilik Mitsubishi terjejas banjir

Mitsubishi Motors Malaysia menawarkan diskaun 40% untuk ala ganti dan upah buruh mulai hari ini hingga 31 Disember kepada pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir. Walaubagaimana pun, hanya kenderaan yang dibeli daripada pengedar sah MMM yang akan layak, dan tertakluk kepada pengesahan untuk memastikan kesahihan.

"Kami berharap Usaha Bantuan Banjir ini dapat membantu meringankan beban pelanggan kami dalam tempoh yang sukar ini. Doa dan hasrat terbaik kami pohonkan kepada para pelanggan dan keluarga mereka yang telah terjejas oleh banjir, "kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.

Selain diskaun alat ganti, MMM juga akan menawarkan perkhidmatan menunda kenderaan yang terlibat dalam banjir secara percuma untuk ke pusat servis Mitsubishi terdekat. Pelanggan yang terjejas perlu membuat laporan polis dan kemudian membuat panggilan ke talian Careline Pelanggan Mitsubishi Motors di 1-800-88-2166 atau 03-7803 1566 untuk mendapatkan perkhidmatan menunda percuma.

MMM bersama-sama dengan 120 ahli Kelab Triton Tuners dan pengedar Mitsubishi bertauliah juga telah memulakan program pembersihan di beberapa kawasan yang telah dilanda banjir.

Plat T1M kan muncul 2018

Satu lagi siri nombor pendaftaran baharu akan dipaparkan pada kenderaan Malayisa iaitu siri T1M.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pengangkutan Malaysia telah memberi kelulusan kepada Pertubuhan Transformasi Anak Muda Malaysia, untuk menguruskan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas ‘T1M’ yang membawa maksud Transformasi 1 Malaysia yang selaras dengan usaha Transformasi Nasional 2050.

Bidaan untuk nombor pendaftaran kenderaan ‘T1M’ akan dibuka secara rasmi pada 20 November 2017 sehingga 2 Disember 2017, bermula ‘T1M’ 1 hingga ‘T1M’ 1000. Orang ramai boleh mendapatkan borang bidaan melalui laman web www.platt1m.com.

Bagi pembida yang berjaya, tempoh pendaftaran adalah sehingga 30 Julai 2018 dan, semua proses pendaftaran hanya boleh dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ cawangan Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan.

Hasil jualan nombor pendaftaran khas ‘T1M’ ini akan disalurkan kepada Pertubuhan Transformasi Anak Muda Malaysia, bagi melaksanakan usaha transformasi anak muda dalam bidang pendidikan dan kebajikan.

Peluang menang Toyota Vios bila kunjungi Toyota Gazoo Racing



 Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival yang akan berlangsung hujung minggu ini di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) tentunya menjadi sebuah acara yang sangat berbaloi dikunjungi dengan pelbagai hadiah untuk dimenangi, termasuk sebuah Vios Sports Edition bagi pengunjung yang bertuah.

Untuk layak memenangi kereta berkenaan, anda perlu hadir ke TGR Racing Festival, mengisi borang dan jawab beberapa soalan mudah. Borang dengan jawapan yang betul akan layak untuk berpeluang membawa balik Vios Sports Edition yang diberi penggayaan sama seperti jentera lumba Vios Challenge.
 
Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival menjanjikan sebuah acara menarik penuh aksi bagi penggemar sukan perlumbaan serta peminat tegar selebriti. Hujung minggu ini akan dipenuhi dengan aksi perlumbaan kereta, pertunjukkan drift, penampilan selebriti, pertunjukan pentas dan banyak lagi aktiviti untuk seisi keluarga. Peminat makanan juga akan disajikan dengan pelbagai makanan tempatan dan antarabangsa dari sejumlah food truck yang akan berjualan di lokasi; dari kopi ke coconut shake; dari nasi kukus hinggalah kepada nasi goreng kimchi.
 
Kemuncak acara hujung minggu ini tentunya perlumbaan Vios Challenge, terutama bagi kategori Super Sporting, di mana kebanyakan daripada pemandu perlumbaan profesional di Malaysia akan berentap merebut kejuaraan sulungnya. Di MAEPS, mereka akan mencabar takhta yang disandang oleh Raja Drift Malaysia, Tengku Djan dan memastikan agar beliau tidak akan menyapu bersih semua pusingan seperti yang dilakukannya pada perlumbaan pembukaan Ogos lalu di Batu Kawan.

Litar yang lebih lebar, laluan lurus yang lebih panjang serta perubahan permukaan, litar hujung minggu ini berkemungkinan memberi kelebihan kepada pencabar berani, Mark Darwin dari pasukan Dreamchaser dan juga William Ho, dua pelumba yang dahagakan kejuaraan dan mengikut rapat untuk menafikan Tengku Djan daripada terus menggungguli di depan.

Turut serta menggalas cabaran ialah pelumba veteran Keifli Othman yang tidak sempat beraksi di Batu Kawan sebelum ini. Beliau tampak bersungguh untuk memberikan saingan terhebat kepada pelumba lain dan akan memanfaatkan gaya pemanduan agresifnya di dalam dua perlumbaan yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

Di dalam kategori Sporting juga, pemandu berbakat, Geraldine Read akan membuat penampilan sulung, memandu bersama pasukan Excel Racing. Satu-satunya pelumba wanita di dalam segmen perlumbaan, beliau memandu Vios bagi perlumbaan sokongan Formula 1 baru-baru ini, dan meluangkan masa menguji serta membuat talaan terhadap keretanya untuk perlumbaan akan datang. 
  
Satu lagi perlumbaan yang ditunggu-tunggu ialah kategori Promotional di mana pelumba selebriti seperti Fattah Amin, Shukri Yahaya, Diana Danielle, Janna Nick, Geraldine Gan, Danny Koo, Venice Min dan Shawn Lee akan bersaing untuk muncul juara. Shawn menggungguli kedua-dua perlumbaan di Batu Kawan, namun Shukri Yahaya dan selebriti lain berazam untuk meningkatkan prestasi masing-masing bagi perlumbaan di MAEPS nanti.

Selain daripada lapan pelumba selebriti yang turut akan membuat penampilan di pentas utama untuk bertemu peminat, Media Prima juga akan membawakan bas jelajah dan selebriti Drama Sangat seperti Bell Ngasri, Chacha Maembong, Izzue Islam, Johan Ashaari, Nad Zainal, Puteri Aishah, Raja Afiq dan Zoey Rahman. Semua selebriti ini akan turut memberikan banyak hadiah dan cenderahati ketika sesi bersama peminat mereka.

Saksikan juga pertunjukkan drift serta kemahiran memandu yang tinggi oleh juara dunia dari Jepun, Masato Kawabata dan Hideyuki Fujino. Pasangan ini akan membuat penampilan dengan tajaan Toyo Tires, akan mempersembahkan aksi drift selama 30 minit setiap hari, dengan memandu jentera drift mereka, Toyota 86.

Promosi Toyota RM1 Juta Bonanza yang menawarkan sehingga RM1 juta yang masih lagi berlangsung bagi mereka yang membeli kenderaan baru Toyota sebelum akhir tahun ini. TGR Racing Festival menjadi peluang terbaik untuk mendapatkan model kenderaan Toyota idaman anda kerana selain pemeran, sesi pandu uji bagi hampir semua model-model terbaru Toyota turut diadakan. Juga, jangan lupa untuk mendekati model C-HR yang akan turut dipamerkan.

Di festival ini juga pengunjung berpeluang untuk merasai kehebatan Toyota Hilux dalam laluan berhalangan yang disediakan khas. Alami sendiri cengkaman menakjubkan dari sistem 4x4 termaju dalam kelasnya di atas binaan ramp besi.

Masuk adalah percuma dan aktiviti akan bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam. Untuk mendapatkan maklumat terkini, lokasi tempat letak kereta dan segalanya tentang Vios Challenge, layari laman Toyota GAZOO Racing Malaysia, serta ikuti laman Instagram dan Facebook.

Jualan Proton catat peningkatan 13%

PROTON mencatatkan kenaikan nyata sebanyak 13% dengan 5,083 unit kereta terjual dalam bulan Oktober berbanding 4,498 unit kereta pada September 2017. Prestasi jualan ini juga menumbang kepada kenaikan 6% bagi tempoh bulan Januari - Oktober 2017 dengan jumlah keseluruhan jualan sebanyak 61,380 unit berbanding 57,734 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

Saga dan Persona menyumbang 70% kepada keseluruhan jualan kereta Proton, dengan 26,343 unit Saga dan 16,833 unit Persona terjual. Saga terus kekal sebagai model pilihan utama di kalangan pemilik Proton, dari harga serendah RM35,590.29 untuk varian Standard 1.3L sehingga RM44,342.25 bagi varian Premium CVT 1.3L.
Persona, yang menerima anugerah sebagai Kereta Kompak Terbaik selepas ianya dilancarkan telah memperlihatkan kenaikan 57.5% tahun sehingga kini, dengan jumlah jualan sebanyak 16,833 unit berbanding 10,687 unit pada tempoh yang yang sama tahun lepas. Persona generasi baharu mempunyai reka bentuk yang baharu, dan ruang but sebesar sebesar 510 liter. Dengan harga bermula dari RM44,831.09, pemilik Persona dapat memiliki kereta yang bertaraf 5 Bintang Bintang oleh ASEAN NCAP, dengan sensor di seluruh bahagian kereta, ESC, ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Sistem Kawalan Cengkaman dan bantuan kawalan cerun sebagai ciri-ciri standard bagi semua varian.