Kesinambungan Triumph Street Triple diteruskan

 Penantian para peminat motosikal Triumph berakhir semalam apabila pengimport, pengedar dan pemegang rasmi bagi jenama Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd, dengan rasminya telah memperkenalkan tiga varian baharu barisan motosikal Street Triple 2018 yang telah mendapat pujian ramai sedunia.

Di Malaysia, minat terhadap motosikal Triumph tidak hanya terbatas kepada penampilan jentera klasik ketika pertunjukkan, malah telah menular kepada golongan peminat baharu dengan penampilan pelbagai model moden kasik, kruiser, kembara, dwi-guna dan juga sports. Jualan motosikal Triumph juga telah menampilkan pertumbuhan mapan yang kian meningkat saban tahun. Jualan tahunan sebanyak 110 motosikal telah meningkat ke 210 unit dan kemudiannya 250 unit, dan kini masih mampu menyaksikan pertumbuhan sebanyak 7-8%, walaupun pasaran kini dikatakan mengecut bagi sesetengah pengeluar. Namun kejayaan Triumph dalam penampilan semulanya di malaysia tidak datang mudah, melainkan berkat usaha sepasukan yang telah dipamerkan oleh seluruh warga Fast Bikes Sdn Bhd untuk menawan hati pelanggan dalam segmen motosikal premium.


Varian terbaharu Triumph Street Triple yang diperkenalkan ini meneruskan kesinambungan warisan Street Triple generasi yang terdahulu yang menjadi kegemaran di kalangan peminat motosikal yang mendambakan sebuah jentera yang ringan dan lincah, praktikal dan juga mesra pengguna.

Sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2007, barian model motosikal Street Triple telah dinobatkan sebagai antara motosikal ‘naked’ terbaik untuk kegunaan dalam bandar mahu pun di litar, dengan jualan melebihi 50,000 unit di serata dunia. Generasi terkini Street Triple ini melanjutkan lagi kesinambungan apa yang kelihatan seperti sebuah resepi yang sempurna.
Tiga varian telah diperkenalkan bagi pasaran Malaysia iaitu Street Triple S, Street Triple RS, dan Street Triple Low Ride Height (LRH). Street Triple ini dipasang dengan pelana yang mempunyai ketinggian 30mm lebih rendah daripada pelana standard.

Motosikal Triumph Street Triple S boleh didapati dalam dua warna iaitu Diablo Red dan Phantom Black, dengan harga RM52,900.00. Varian Street Triple R (LRH) pula menawarkan pilihan tiga warna iaitu Crystal White, Phantom Black dan Matt Silver Ice pada harga RM59,900.00.
Menerajui barisan varian Street Triple ini sebagai model perdana merupakan Street Triple RS yang didatangkan premium dalam dua warna menarik iaitu Matt Silver Ice dan Phantom Black (Metallic), pada harga RM66,900.00. Kesemua harga yang disebutkan di atas adalah termasuk GST.
Berucap di majlis pelancaran barisan Triumph Street Triple baharu ini, Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd, Dato’ Razak al-Malique berkata generasi motosikal Triumph Street Triple sebelum ini merupakan antara salah sebuah motosikal paling versatil dalam segmennya.
“Street Triple menawarkan praktikaliti bagi mereka yang inginkan jentera tunggangan harian, namun mempunyai prestasi yang menakjubkan untuk hujung minggu di atas litar. Motosikal Street Triple yang baharu ini dibina berdasarkan formula terbukti yang telah dijadikan lebih baik lagi. Kami yakin bahawa penunggang di Malaysia akan mendapati yang motosikal Street Triple ini cukup sesuai untuk keperluan mereka, sama ada untuk berulang alik, mengembara atau menunggang di litar, mereka pasti akan menyukai prestasi motosikal Street Triple S, R dan RS yang baharu ini,” katanya.

Triumph Street Triple baharu ini telah direkayasa secara menyeluruh bagi mencapai tanda aras baru satu dalam semua kategori. Motosikal ‘naked’ yang baharu ini tampak lebih agresif dan berpewatakan, dengan lampu hadapann yang beserta Lampu Nyalaan Siang (Daylight Running Lights– DRL) untuk varian R dan RS, yang meningkatkan keternampakannya kepada pengguna jalan raya yang lain. DRL ini juga 28 kali lebih terang berbanding model generasi sebelum ini yang bercirikan sebuah lampu konvensional di sisi.

Rekaan keseluruhan untuk Street Triple juga telah diperkemaskinikan dengan struktur badan serba baharu seperti penutup radiator luaran dan dalaman baharu, madgad hadapan dan panel belakang badan yang baharu. Varian RS dibezakan dari varian yang lain dengan pelindung bawah enjin dan penutup pelana pembonceng dengan warna sedondon. Pelana pembonceng boleh ditukar-ganti sebagai kelengkapan standard, dan ia juga didatangkan dengan penghadang rantai.

Kualiti keseluruhan juga telah dipertingkatkan lagi dari model yang terdahulu, dengan perhatian khusus diberikan kepada kualiti dan letak-duduk suis-suis yang ergonomik supaya mudah  dicapai pada kelajuan tinggi. Street Triple R dan RS kini dilengkapi dengan punat kawalan lima cara lebih ergonomik yang intuitif bagi menjadikannya mudah untuk memilih mod penunggangan walaupun ketika menunggang.
Gugusan paparan instrumen juga telah diperkemaskini untuk generasi terbaru Street Triple ini. Varian S telah dikemaskini dengan skrin instrumen LCD yang memaparkan tolok bahanapi, odometer dan juga meter perjalanan. Varian R dan  S pula telah dikemaskini dengan paparan TFT lima inci serba baru yang dikatakan antara yang tercanggih dalam industri motosikal masakini. Paparan TFT berkenaan menawarkan empat tema berbeza yang mengubah susun atur maklumat yang bersesuaian dengan mod penunggangan yang dipilih. Paparan itu juga mampu dilaraskan supaya penunggang berketinggian  berlainan akam mampu melihat skrinnya dengan jelas dan tepat.




Kemasan serta perincian yang berkualiti tinggi ini turut mencakupi rekaan semula pengadang tumit penunggang dan tempat letak kaki pembonceng yang ditempa. Bagi kerangkanya pula, varian Street Triple S dilengkapi dengan rangka utama, sub-kerangka dan lengan ayun bersadur serbuk hitam, manakala varian Street Triple RS pula dilengkapi dengan sub-kerangka belakang yang diwarnakan dengan warna perak aluminium legap atau matte.

Street Triple baharu ini  dikuasakan oleh enjin yang lebih besar namun lebih ringan berbanding dengan enjin lama. Enjin baharu ini diasaskan kepada enjin 675cc yang menjadikan Triumph Daytona sebuah motosikal yang digemari ramai. Ia mempunyai 80 bahagian enjin yang baharu, termasuk lejang dan gerek yang dibesarkan, aci engkol baharu, omboh, aci sesondol dan engkol pengimbang. Terdapat juga laras omboh aluminium bersadur nikasil baharu yang menggantikan laras omboh besi di dalam enjin 675cc yang terdahulu.

Enjin tiga-silinder 765cc yang diasaskan dari Daytona itu mempunyai tahap keluaran kuasa yang berbeza bagi varian S, R dan RS. Untuk Street Triple S, enjin itu menghasilkan 111bhp pada 11,250rpm dan 73Nm tork pada 9,100rpm. Bagi varian R, enjin itu menghasilkan 116bhp pada 12,000rpm dan 77Nm tork pada 9,400rpm. Untuk RS pula, enjin DOHC, 12-injap, sejukan cecair yang sama, menghasilkan 121bhp pada 11,700rpm dan 77Nm tork pada 10,800rpm. Ketiga-tiga varian disuap suntikan bahanapi elektronik berbilang turutan dikawal SAI dan kawalan pendikit elektronik. Sistem ekzos pada kedua-dua motosikal ini juga serupa dengan sistem ekzos keluli tahan karat tiga-ke-satu dengan peredam keluli tahan karat sisi. Kuasa dipacu melalui klac berbilang plet basah dengan fungsi ‘slip and assist’. Hanya varian RS sahaja yang dilengkapi dengan ‘quickshifter’ sebagai kelengkapan standard.

Kuasanya diselaras oleh sebuah ECU pintar yang menawarkan sehingga lima mod penunggangan yang berbeza. Street Triple S dilengkapi dengan dua mod penunggangan ‘rain’ dan ‘road’ dan ABS serta Kawalan Cengkaman Triumph, manakala varian RS pula dilengkapi dengan lima mod ‘rain’, ‘road’, ‘sport’, ‘track’ dan satu lagi mod yang boleh diprogram oleh penunggang dengan campur tangan elektronik yang boleh diubah tetapannya. Varian R dilengkapkan dengan ke semua mod penunggangan yang sama seperti RS, kecuali mod ‘track’.

Kesemua varian didatangkan dengan ABS dan kawalan cengkaman sebagai kelengkapan standard. Motosikal Street Triple kekal sebagai motosikal paling ringan dalam kelasnya. Pengendalian  Street Triple telah dikenali sejak dahulu lagi sebagai salah sebuah motosikal ‘naked’ dengan pengendalian yang terbaik di dalam industri, dan generasi terkini Street Triple ini tiada bezanya. Kini pengendaliannya ditingkatkan lagi dengan penggunaan lengan ayun belakang jenis ‘gullwing’ yang lebih keras dan mempunyai titik paksi baharu yang memberikannya rintangan yang lebih semulajadi pada mampatan ketika pecutan mendadak. Lengan ayun baharu ini membantu menangani selekoh dengan lebih pantas dan kemas, ketegaran casis yang lebih jitu, dan prestasi anti-mendap yang lebih baik.

Triumph Street Triple S didatangkan dengan suspensi hadapan USD Showa SFF baharu yang direka dan ditala khas dengan julat gerakan sebanyak 110mm, dan diimbang penyerap kejutan tunggal pramuatan bolehlaras, Showa, dengan tangki dokongan dan jarak gerakan roda belakang sebanyak 124mm. Varian R didatangkan dengan fork bolehlaras sepenuhnya Showa SF-BPF dengan jarak gerakan sebanyak 115mm. Bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan penyerap hentakan tunggal Showa RSU dengan jarak gerakan sebanyak 131mm dengan pramuatan (preload) gegelung, lantunan serta pelarasan mampatan. Penyerap kejutan belakang itu juga dilengkapi dengan tangki dokongan.
Varian RS yang lebih canggih pula dilengkapi dengan fork hadapan beromboh besar Showa BFF yang mempunyai spesifikasi tertinggi dengan jarak gerakan sebanyak 115mm. Fork hadapannya boleh dilaraskan sepenuhnya untuk pramuatan, lantunan dan redaman mampatan. Bagi bahagian belakangnya, RS ini dilengkapkan dengan penyerap hentakan tunggal Ohlins STX40 dengan tangki dokongan. Penyerap hentakan belakang ini bercirikan jarak gerakan roda belakang sebanyak 131mm, dan ianya boleh dilaras sepenuhnya untuk pramuatan gegelung, lantunan dan redaman mampatan.
Cengkaman jalanraya RS disediakan oleh Pirelli Diablo Supercorsa SP yang amat berkemampuan, sementara daya hentinya disediakan oleh angkup Brembo M50 mono bloc jejari empat-omboh di bahagian hadapan. Bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan angkup gelongsor satu omboh Brembo. Varian S dan R pula didatangkan dengan tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa. Daya henti Street Triple R disediakan oleh angkup Brembo M4.32 monobloc jejari empat-omboh untuk bahagian hadapannya, serta angkup gelongsor satu omboh Brembo untuk bahagian belakangnya. Street Triple S pula akan dilengkapi dengan angkup gelongsor dwi-omboh Nissin untuk bahagian hadapan dan angkup gelongsor satu omboh Brembo di bahagian belakang.

Untuk maklumat lanjut tentang rangkaian terbaru Triumph Street Triple, sila kunjungi www.triumphmotorcycles.my














































Pemenang Syiling Emas Merdeka BhPetrol diraikan


Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) telah meraikan para pemenang kempen Syiling Emas Merdeka yang diadakan baru-baru ini bersempena perayaan 60 tahun Merdeka pada tahun ini. 60 orang pelanggan BhPetrol bertuah telah menerima hadiah kemenangan mereka iaitu syiling emas tulen seberat 20g edisi terhad BHPetrol Malaysia 60th Merdeka Gold Coins dengan jumlah terkumpul bernilai RM250,000.

Promosi itu telah diadakan untuk menandakan sambutan perayaan BHPetrol dalam memperingati pencapaian tahun ke-60 kemerdekaan negara. BhPetrol memberi ganjaran kepada pelanggan setia mereka dengan BHPetrol Gold Edition Edisi Terhad yang direka khas untuk menghargai sokongan para pelanggan mereka.
Penyampaian syiling emas tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd, En KT Tan yang diiringi Pengurus Besar Perbekalan, Peruncitan dan Bekalan Kerajaan, En Azizul Azily Ahmad.

Honda lancar CRF250L dan CRF250 Rally 2017

Dua model motosikal Honda lasak serba baharu kini ditawarkan Boon Siew Honda untuk memenuhi kehendak penggemar motosikal pengembaraan ringan yang inginkan keseronokan tunggangan di atas jalan raya dan off-road bagi kembara hujung minggu, selesaan untuk dibawa melancong dan praktikal untuk kegunaan harian.

Model Honda CRF250L, yang dilancarkan pada tahun 2012 di pasaran seluruh dunia termasuk Malaysia, amat popular di kalangan penunggang berpengalaman yang sering menyimpan nya sebagai motosikal kedua namun pada masa yang sama, turut menarik minat golongan lebih muda sebagai alternatif yang lebih  bergaya berbanding sebuah skuter atau kapcai. Bagi pemilik, ia menawarkan peluang untuk menerokai jalan tak berturap dan laluan tanah. Dengan penggayaan yang dimirip jentera CRF250R, model CRF250L bersedia untuk menghadapi apa jua kehendak penunggangnya. Teguh dan praktikal, ia sesuai sama ada di dalam bandar mahupun denai.

CRF250L adalah jentera kecil serba boleh dan dibina agar bentuk dan fungsi terjalin sempurna. Ketirusan bentuk badannya membantu ketika berada di jalan raya dan juga ketika luar jalan memandangkan tempat duduk/tangki membenarkan penunggang beralih berat dengan mudah.

Model yang dikuasai oleh enjin  249cc DOHC silinder tunggal sejukan cecair itu mempunyai daya kilas pada kelajuan enjin rendah dan kuasa RPM tinggi, dengan penyampaian sekata dan linear yang juga mematuhi standard EURO4. Kuasa maksimum 18.2kW disampaikan pada 8,500rpm dengan tork puncak 22.6Nm tiba pada 6,750rpm hasil daripada PGM-FI dirombak dan badan pendikit termasuk kotak udara, tiub penyambung dan ekzos ringan serba baharu.
Aci pengimbang utama meningkatkan keupayaan pengurangan getaran dan kotak gear enam kelajuan serta klac dihasilkan untuk menahan tekanan tambahan ketika menunggang secara off-road. Radiator penyesar haba 10.7kW memaparkan kipas pendingin nipis untuk mengekalkan suhu sekata pada kelajuan rendah. Tangki minyak 7.8L (termasuk simpanan 1.8L) menyediakan julat perjalanan yang mendahului kelasnya disamping penggunaan bahan api pada kadar 33.3km/l (mod WMTC), jarak perjalanan yang melebihi 250km mampu dicapai.

Rangka CRF250L dibina daripada keluli dengan spar bahagian bujur berkembar dan endul separa berganda. Namun demikian, badan baharu motosikal itu memaparkan pengaruh minimalis CRF450R MX untuk penampilan yang lebih kemas dan tirus. Pemuka digital dengan sebuah takometer dan tolok bahan api serta ABS dwi-sistem (2 channel) sebagai standard, dengan pilihan untuk menutupkan ABS brek belakang. CRF250L menampilkan warna perlumbaan Honda, Merah Menyala Honda sebagai asas dengan serlahan hitam dan putih yang diinspirasikan daripada mesin-mesin HRC.



 CRF250 RALLY

Model CRF250 Rally dengan cogankata “Weekend Adventure (Pengembara Hujung Minggu)” merupakan motosikal dwi-guna 250cc standard EURO4 yang membuka pintu dunia kenderaan dua roda yang baharu, tanpa mengira tahap pengalaman penunggang. Ia bukan sahaja kelihatan bersedia untuk bersaing di padang pasir tetapi juga menyediakan pengalaman pengembaraan sebenar kepada penunggang yang menggemari sebuah mesin ringan dan mudah dijaga.
CRF250 RALLY diasaskan kepada CRF250L dengan pelbagai perubahan yang menjadikannya satu tawaran unik di pasaran. Inspirasi penampilannya datang daripada jentera perlumbaan CRF450 RALLY. Di bahagian depan, paparan, fairing dan penutup radiator menyediakan perlindungan terhadap angin, dengan bahagian lain pada jentera berkenaan memaparkan gaya MX yang minimum. Lampu depan model berkenaan bersaiz kompak dengan dwi-LED asimetrik sementara lampu belakang, lampu isyarat LED dan braket nombor plat yang tidak menonjol.
Prestasi enjin 250cc DOHC lejang tunggal sejukan cecair CRF250 RALLY tertumpu pada  daya kilas pada kelajuan enjin rendah dan kuasa rpm tinggi termasuk penyampaian linear. Kuasa maksimum 18.2kW disampaikan pada 8,500rpm dengan tork puncak 22.6Nm pada 6,750rpm.
Kerangka model tersebut dibina daripada keluli, dengan spar utama bahagian bujur berkembar dan endul separa berkembar. Tangki minyak yang besar iaitu 10.1L (termasuk simpanan 1.6L) membolehkan perjalanan jauh sehingga lebih 320km, disumbangkan oleh penggunaan minyak pada kadar 33.3km/l (mod WMTC), manakala pemuka digital turut merangkumi tolok minyak dan takometer. Jarak roda 1,455mm dipadankan dengan jangkauan 28.1° dan kelegaan tanah sebanyak 270mm (lebih 15mm berbanding CRF250L) untuk jentera seberat 157kg ini.
Suspensi perjalanan jauh dan kelegaan tanah yang tinggi mempertingkatkan keupayaan jarak jauh. Cakera depan yang lebih besar termasuk sistem ABS yang boleh ditutup untuk brek belakang menyediakan kuasa hentian yang meyakinkan. Enjin yang mematuhi piawaian EURO4 menampilkan tork kelajuan enjin rendah bersama kuasa terbaik ekoran perubahan yang dibuat berbanding model CRF250L yang asal. Ia termasuk PGM-FI dan badan pendikit, tiub penyambung kotak udara baharu dan ekzos ringan.
CRF250 RALLY didatangkan dengan sudahan warna perlumbaan Merah Menyala Honda sebagai asas dengan serlahan hitam dan putih yang diilhamkan oleh mesin-mesin kilang HRC.
Dibina berdasarkan peningkatan selera terhadap pengembaraan, BSH memutuskan untuk membawakan CRF250 RALLY yang menarik dan direka sebagai sebuah motosikal pengembaraan berkapasiti kecil ke pasaran Malaysia. RALLY merupakan tambahan sempurna rangkaian Honda yang sepadan dengan pasaran khusus, seterusnya menyediakan sebuah motosikal pengembaraan ringan yang sesuai ketika di atas jalan dan off-road.
Model-model baharu CRF250L dan CRF250 Rally akan berada di pengedar Honda dari 28 Ogos 2017 dan masing-masing ditawarkan pada harga RM 24,378.94 dan RM 28,618.94. Harga tersebut termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Model-model tersebut juga didatangkan dengan jaminan pengilang selama dua tahun atau jarak 20,000km (yang mana terdahulu).
Untuk maklumat lanjut berkenaan CRF250 Rally dan CRF250L 2017, sila rujuk halaman Facebook kami: www.facebook.com/HondaMotorcyclesMalaysiaBoonSiewHonda atau hubungi talian Bebas Tol 1800-88-3993 (Isnin hinga Jumaat, dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, kecuali pada Cuti Umum)

Spesifikasi Technikal 2017 CRF250L
Model     CRF250L
Engine Type / Jenis Enjin    250cc Liquid-Cooled Single DOHC/ 250cc Penyejuk Cecair, DOHC
Bore X Stroke(mm) / Gerek & Lejang    76.0mm x 55.0mm
Frame/ Rangka    Steel Twin Tube (Tiub Dwi Besi)
Compression Ratio / Nisbah Mampatan    10.7:1
Max.Power / Kuasa Kuda Maksimum    18.2kW@8500rpmMax.Torque / Tork Maksimun    22.6Nm@6750rpmClutch Type / Jenis Klac    Wet Multiplate Hydraulic / Multi Plat Basah Hydraulik
Transmission / Transmisi    6 Speed Manual  / 6 Kelajuan
Dimensions / Dimensi (LxWxH) (mm)    2195 x 815 x 1195mm
Wheelbase / Asas Roda (mm)    1,445
Curb Weight / Berat Keseluruhan (kg)    146kg
Fuel Tank Capacity / Muatan Tangki Petrol(â„“)    7.8Liter
Suspension Type / Jenis Suspensi    Front Axle: 43mm Telescopic / Teleskopik
    Rear: Pro-link / Prolink
Tyres Size / Saiz Tayar    Front: 3.00-21 51P
    Rear:  120/80-18M/C 62P

Technical Specifications of 2017 CRF250 Rally
Model     CRF250 Rally
Engine Type / Jenis Enjin    250cc Liquid-Cooled Single DOHC/ 250cc Penyejuk Cecair, DOHC
Bore X Stroke(mm) / Gerek & Lejang    76.0mm x 55.0mm
Frame/ Rangka    Steel Twin Tube (Tiub Dwi Besi)
Compression Ratio / Nisbah Mampatan    10.7:1
Max.Power / Kuasa Kuda Maksimum    18.2kW@8500rpm
Max.Torque / Tork Maksimun    22.6Nm@6750rpm
Clutch Type / Jenis Klac    Wet Multiplate Hydraulic / Multi Plat Basah Hydraulik
Transmission / Transmisi    6 Speed Manual  / 6 Kelajuan
Dimensions / Dimensi (LxWxH) (mm)    2210 x 900 x 1425mm
Wheelbase / Asas Roda (mm)    1,445
Curb Weight / Berat Keseluruhan (kg)    157kg
Fuel Tank Capacity / Muatan Tangki Petrol(â„“)    10.1Liter
Suspension Type / Jenis Suspensi    Front Axle: 43mm Telescopic / Teleskopik
    Rear: Pro-link / Prolink
Tyres Size / Saiz Tayar    Front: 3.00-21 51P
    Rear:  120/80-18M/C 62P

Thailand bersedia menyertai kalendar MotoGP

Thailand bersedia untuk menyertai kalendar MotoGP dari tahun 2018, setelah Gabenor Sukan Thailand, Sakon Wannapong, dan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports Carmelo Ezpeleta menandatangani kontrak pada hari Khamis 31 Ogos ini dalam upacara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Tanasak Patimapragorn.
Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports Carmelo Ezpeleta akan terbang ke Bangkok minggu ini untuk memuktamadkan dan menandatangani kontrak Grand Prix yang akan diadakan di Buriram mulai 2018 hingga 2020.