Lebih dari seratus tahun yang lalu apabila perlumbaan motosikal mula diminati, para pelumba telah menyedari bahawa risiko terbesar dalam kejatuhan motosikal adalah kecederaan kaki. Oleh itu ia nya penting untuk menggunakan seluar menunggang yang tahan dan kuat bagi mengelakkan kecederaan.
Pada mulanya, pakaian perlumbaan motosikal disesuaikan daripada peralatan pakaian kereta kebal sejurus selepas Perang Dunia Pertama. Jaket kulit berpunggung lebar mula dipakai oleh unit polis trafik bermotosikal dan oleh penunggang tentera sewaktu Perang Dunia Kedua. Jaket motosikal American Perfecto dengan epaulet atau kelopak di atas bahu kemudiannya mula muncul digunakan oleh ramai penunggang selepas perang.
Selain pemakaian topi keledar atau helmet yang diwajibkan kebanyakan pelusuk dunia, setakat ini belum ada undang-undang di mana-mana negara yang mewajibkan pemakaian pakaian perlindungan, tetapi adalah amat disyorkan bagi semua yang menunggang di jalanraya.
Untuk meningkatkan keselamatan sewaktu perlumbaan motosikal, ketika ini pemakaian peralatan perlindungan peribadi seperti pakaian pelindungan dan helmet adalah diwajibkan. Pakaian pelindungan ini termasuklah jenis jaket, sarung tangan, but, dan seluar tertentu. Jaket yang dimaksudkan untuk penunggang motosikal biasanya dibuat daripada kulit atau kain buatan manusia khusus seperti cordura atau Kevlar. Jaket ini biasanya dipasang pelapik atau padding di kawasan siku, tulang belakang, dan bahu.
Sarung tangan umumnya diperbuat daripada kulit atau Kevlar dan ada pula yang mempunyai pad perlindungan serat karbon. But, terutamanya untuk tunggangan sports atau jalanan, akan dilengkapi pelapik dan tutup plastik di kawasan pergelangan buku lali dan jari kaki. Seluar biasanya diperbuat dari kulit, cordura, atau Kevlar.
Sut lumba kulit lazimnya adalah dari jenis dua keping iaitu jaket dan seluar yang dipakai oleh penunggang motosikal untuk perlindungan dalam kemalangan, atau jenis satu keping yang merupakan gabungan jaket dan seluar kulit yang bersambung. Namun begitu, untuk tujuan perlumbaan, anda mesti memakai sut perlumbaan kulit dari jenis gabungan atau satu keping, dan jenis dua keping tidak dibenarkan dalam perlumbaan motosikal. Sut perlumbaan biasanya dibuat dengan mengukur badan seseorang individu secara peribadi. Dalam kebanyakan kes, jenis sut perlumbaan kulit yang digunakan bukan kulit fesyen tetapi kulit pelindungan yang lebih tebal, kuat, dan hanya melentur atau fleksibel secara sederhana. Kini, sut perlumbaan yang diperbuat dari kulit kanggaru menjadi popular kerana ia nya ringan dan kuat berbanding sut perlumbaan dari kulit lembu. Tidak semua sut perlumbaan kulit yang digunakan adalah sama; produk yang diperbuat daripada kulit penuh, kulit teratas, kulit campuran, dan suede atau kulit dalam, mempunyai tahap ketahanan yang berbeza terhadap lelasan, serta daya terikan dan daya koyakan.
Kaedah yang paling diiktiraf untuk menilai pakaian dan sarung tangan perlindungan bagi motosikal adalah yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Eropah bagi Standardisasi (European Committee for Standardization). Pakaian standard EN13595-1:2002 dibahagikan kepada empat bahagian. Ia menggariskan keperluan umum pakaian untuk memenuhi tahap perlindungan tahap rendah (tahap 1) atau lebih tinggi (tahap 2) dengan penekanan kepada rintangan lelasan kesan, rintangan fabrik/jahitan, rintangan menusuk, muat, pengekalan dan keselesaan.
Piawaian ini ditentukan dengan penggunaan penguji kesan abrasi jenis Cambridge. Ujian ini mengenakan pakaian atau sarung tangan ke tali sawat pelelas kasar yang bergerak pada kelajuan 28 km/jam dan mengukur masa yang diambil untuk membentuk lubang. Kaedah ini sering dikritik kerana tidak sama dengan keadaan sebenar di jalan raya, tetapi dengan menggunakan maklumat kerosakan kemalangan dan yang dilihat pada patung yang dicampak dari kenderaan yang bergerak untuk memastikan ujian mengulangi keadaandunia sebenar sehampir mungkin. Ujian ini menunjukkan bahawa terdapat kaitan antara ketebalan kain dan tempoh masa yang diperlukan untuk membuat lubang pada produk perlindungan. Ujian lelasan kesan Darmstadt pula telah dibangunkan pada masa yang sama tetapi tidak diterima pakai oleh Jawatankuasa Eropah bagi Standardisasi.
Sut perlumbaan kulit merupakan pakaian perlindunganpenunggang motosikal pertama yang telah diuji menggunakan penguji lelasan kesan Cambridge, dan beberapa produk sut perlumbaan kulit yang sedia ada dalam pasaran telah disahkan sebagai memenuhi European Standard EN 13595-1:2002.
Sut perlumbaan kulit moden mempunyai perisai pelindung di bahagian dalam di kawasan terkesan utama seperti bahu, siku, pinggul, lutut dan tulang belakang. Standard Eropah untuk perisai pelindung ini adalah EN 1621-1: 2007 dan EN 1621-2: 2003. Pelindung ini diperbuat dari bahan penyerap tenaga dan penyebar beban yang merupakan busa atau buih getah kepadatan tinggi, polimer keras berpelapik busa, gentian karbon, titanium, dan bahan lain yang direka bentuk untuk mencegah atau mengurangkan kecederaan dengan menyebarkan dan meredam kesan impak dan daya terikan daripada memberikan kesan besar kepada pemakainya. Undang undang di Eropah mewajibkan kesemua perisai pelindung ini mempunyai tanda CE.
Terdapat juga jaket motosikal yang menggunakan sistem beg udara, yang akan diaktifkan secara automatik sekiranya berlaku kemalangan, untuk melindungi leher pelumba, tubuh badan, dan bahagian bawah belakang serta pinggul. Dalam usaha untuk meningkatkan keselamatan pelumba, sut perlumbaan kulit yang digunakan oleh penunggang MotoGP mesti dilengkapi dengan peralatan beg udara kembung yang diluluskan mulai 2018.
Bagi menunggang di jalanraya, selain kulit, terdapat juga jenis pakaian perlindungan tekstil yang ada, namun adalah sukar untuk mendapatkan pakaian perlindungan yang mematuhi Piawaian Eropah EN 13595-1 untuk digunakan dalam perlumbaan. Tidak semua pakaian tekstil diperbuat daripada bahan sintetik. Kapas padat telah digunakan selama bertahun-tahun sebelum pembangunan bahan-bahan moden. Ia mampu menawarkan perlindungan cuaca dari sejuk, dan air, dan pakaian ini selalunya menyediakan banyak poket dan lubang udara. Bahan-bahan biasa termasuk nilon balistik kualiti tinggi (600-1000 Denier) misalnya Cordura dan Kevlar, atau campuran Kevlar, Cordura, dan Lycra; dan sering termasuk pelapik kalis air yang diperbuat daripada bahan-bahan seperti Gore-Tex. Ia boleh dipasang pad atau pelapik perlindungan setempat, dengan sistem perisai dan juga beg udara.
Showing posts with label ece-r39. Show all posts
Showing posts with label ece-r39. Show all posts
Meter 114 kmj tapi laju sebenar hanya 100 kmj !
Menurut syarat dan ketetapan yang digunapakai dalam kenderaan yang ingin di eksport ke Eropah, ECE-R39 mengatakan meter kelajuan tidak boleh menunjukkan kelajuan kurang dari kelajuan sebenar, dan ia juga tidak boleh menunjukkan bacaan lebih daripada 110 peratus kelajuan sebenar yang ditambah 4 kmj. Ini bermakna, di bawah peraturan itu, sebuah kereta anda boleh bergerak pada 100 kmj, tetapi bacaan meter kelajuan boleh, secara sah dan mengikut peraturan ini, memaparkan bacaan setinggi 114 kmj.
Meter menyukat kelajuan dengan mengira pusingan tayar pada ukurlilit tayar itu, dan penukaran saiz rim akan menyebabkan bacaan meter menjadi tidak tepat kerana jarak yang dilalui tayar kini telah berubah berbanding tayar standard. Cara untuk mendapat bacaan yang tepat ialah dengan menggunakan meter digital yang menggunakan sensor pada tayar. Meter seperti ini boleh didapati dari kedai aksesori yang besar, bahkan ada juga penunggang motosikal yang menggunakan meter digital untuk basikal perlumbaan, kerana ia dapat mengira kelajuan sehingga 200 kmj. Penggunaan GPS juga mampu memberi kelajuan yang agak tepat, namun begitu ia akan menjadi lebih tepat jika anda memandu atau menunggang pada jarak yang jauh untuk jangkamasa yang lama, dan pada kelajuan yang tetap. Ia juga mampu memberi gambaran kelajuan sebenar berbanding meter kereta anda, bagi dijadikan panduan anda seterusnya tentan ketepatan meter anda.
Subscribe to:
Posts (Atom)













