Showing posts with label Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017. Show all posts
Showing posts with label Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017. Show all posts

Kasma kecewakan Afif di Batu Kawan

Pendahulu CP150, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) terpaksa menunggu pusingan akan datang untuk mengesahkan gelaran keseluruhan apabila menamatkan saingan di tempat kedua di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, di belakang pencabar utama, Kasma Daniel Kasmayuddin yang menjuarai perlumbaan dengan masa keseluruhan 17’25.990s.

Afif yang turut menerima tentangan sengit daripada rakan sepasukan Kasma, Md Akid Aziz menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa 17’27.456s manakala Akid ketiga dengan masa 17’27.990s.
 Afif kini berkelebihan 44 mata ke atas Kasma dengan mengumpul 180 mata manakala Kasma di kedudukan kedua dengan 136 mata. Afif hanya perlu menamatkan saingan di kelompok 10 pelumba terbaik untuk mengesahkan gelaran pada pusingan kesembilan yang akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pertengahan November depan.

Harapan Adib luluh

Harapan Mohd Adib Rosley untuk  meraih kemenangan pertama buat pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang dalam saingan musim pertama CP150 berakhir setelah terpaksa menarik diri dari beraksi pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 yang akan berlangsung di Dataran Bandar Penawar, Johor, 18 dan 19 November ini.

Pelumba berusia 23 tahun itu dilihat berada pada prestasi terbaik untuk mendapatkan kemenangan pertama bagi pasukannya apabila muncul antara pelumba terpantas sepanjang beberapa pusingan lepas namun terpaksa berehat untuk tempoh panjang setelah mengalami retak tapak kaki akibat terjatuh ketika sesi kelayakan pada pusingan lepas di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Selangor itu yakin tanggungjawab itu mampu digalas rakan sepasukannya, Mohd Izzat Zaidi dan Mohamad Azhar Abdul Jalil berdasarkan kepantasan jentera dan prestasi semasa mereka yang sentiasa menempatkan diri ke sesi Superpole.

“Saya sangat kecewa apabila terpaksa menarik diri pada pusingan terakhir ini kerana gagal mencapai misi memenangi perlumbaan untuk pasukan. Saya meminta maaf kepada pemilik pasukan, YY Pang kerana kami bertiga masih gagal untuk meraih gelaran juara setakat ini.
“Saya yakin Izzat dan Azhar akan melaksanakan misi kami pada pusingan terakhir nanti. Walaupun cedera, saya akan memberikan sokongan kepada mereka dan seluruh pasukan. Saya harap Tengku Amirul Haffiruddin, Mohd Fareez Afeez and Mohd Idil Fitri Mahadi juga mampu meraih kemenangan dalam kategori CP115,” jelas Adib.


Adib merupakan pelumba terbaik pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang ketika ini apabila berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 67 mata termasuk dua naib juara yang diraih pada pusingan kedua di Johor dan pusingan lapan di Jempol, Negeri Sembilan manakala Azhar di kedudukan keenam, 10 mata di belakang Adib. Izzat berada di kedudukan ke-11 dengan 41 mata manakala gelaran juara keseluruhan telah sah menjadi milik Kasma Daniel Kasmayuddin dengan 125 mata.

Kasma tumpu sahkan kejuaraan

Semakin menghampiri gelaran keseluruhan P150, Kasma Daniel Kasmayuddin muncul pelumba terpantas dalam sesi kelayakan seperti yang dijangka, pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu kawan, Pulau Pinang,, hari ini.

Cuaca hujan tidak menghalang pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu untuk mencatat masa terpantas dengan catatan 54.958s pada pusingan ke-10 mengatasi catatan milik rakan sepasukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli yang terlebih dahulu mencatat masa terbaik 55.009s pada pusingan kelapan.

Mohd Adib Rosley (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 55.228s.

Sementara itu, pencabar tunggal yang masih berpeluang menyekat Kasma daripada dinobatkan selaku juara keseluruhan minggu ini, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) terkeluar dari kelompok 10 pelumba yang layak ke sesi Superpole apabila sekadar mencatat masa ke-11 terpantas, 55.971s.

“Saya tidak memikirkan tentang gelaran sebaliknya hanya memberi tumpuan untuk mencatat masa konsisten di litar Batu Kawan kerana rekod saya di sini tidak begitu baik. Tahun lepas saya gagal menamatkan perlumbaan di sini, begitu juga pada tahun 2015 sewaktu beraksi dalam kategori CP115,” jelas Kasma.

Tambahnya, “Keadaan cuaca juga tidak menentu minggu ini. Jika perlumbaan akhir nanti dalam keadaan hujan, saya perlu lebih berhati-hati dan saingan juga pasti lebih mencabar. Yang penting, saya perlu mencatat masa terbaik dalam sesi Superpole terlebih dahulu.”

Sementara itu, pendahulu keseluruhan CP115, Md Akid Aziz muncul pelumba terpantas dengan masa 56.755s diikuti Md Fareez Afieez dengan masa 57.459s manakala Md Harith Farhan Baharin ketiga, 57.681s.


Keputusan Sesi Kelayakan
CP150
1 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 54.958s
2 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 55.009s
3 Md Adib Rosley (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 55.228s
4 Md Izzat Zaidi Md Salehan (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 55.422s
5 Md Helmi Azman (SGR) Onexox TKKR Racing Team 55.451s

CP115
1 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 56.755
2 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 57.459
3 Md Harith Farhan Baharin (TRG) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 57.681
4 Amirul Hakim Md Rizal (NSN) M-Seki Liberty Honda Racing 57.865
5 Azrulaffendi Hadi (NSN) Elf Koyoko KC Racing Team 58.273

Azroy tak mampu digugat Akid?

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Givi Honda Yuzy Racing merupakan satu-satunya pelumba yang berjaya mengatasi pendahulu yang juga juara bertahan, Mohd Akid Aziz dalam perlumbaan CP115 musim ini. Pencapaian itu dilaksanakan Azroy pada pusingan kelima di Selangor dan pusingan keenam di Melaka manakala baki perlumbaan yang lain semua menjadi milik Akid.

Peluang Azroy bagi merebut takhta kejuaraan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 sudah tertutup menjelang perlumbaan pusingan kesembilan di Batu kawan, Pulau Pinang, 4 dan 5 November ini. Namun begitu, perlu disedari bahawa Azroy kehilangan banyak peluang beraksi dalam kejohanan musim ini, kerana pertembungan dengan jadual perlumbaan Asia Talent Cup pada Pusingan 1 di Pahang, Pusingan 2 di Johor, Pusingan 8 di Negeri Sembilan) selain gagal mengutip sebarang mata akibat kemalangan dan gagal menamatkan perlumbaan dalam pusingan keempat dan ketujuh. Ke Batu Kawan dengan berbekalkan 50 mata, ia nya hasil menjuarai kedua dua perlumbaan yang disertainya musim ini. Azroy kini berada di tangga ketujuh keseluruhan manakala Akid selesa di tangga teratas dengan 155 mata.
"Walaupun kecewa kerana gagal untuk bersaing merebut gelaran keseluruhan, namun saya tetap akan memberikan yang terbaik pada baki dua pusingan terakhir musim ini. Lgipun jadual perlumbaan saya ditentukan oleh Boon Siew Honda dan Yuzy Racing, jadi saya hanya mengikut sahaja perancangan mereka," jelas Azroy.

Namun begitu Azroy masih berpeluang untuk berada dalam kelompok lima pelumba terbaik musim ini. Penamat di atas podium hujung minggu ini nyata begitu penting baginya. Mungkinkah ia kan menjadi bukti bahawa beliau tidak mampu digugat Akid sekiranya tiada masalah teknikal yang mengganggu?

Sama sama kita nantikan.