GGR Motor bakal perkenal motosikal elektrik baharu

GGR Motor, jenama tempatan popular yang diinspirasikan dari filem Gila-Gila Remaja, kini masuk ke fasa baru dengan pelancaran motosikal elektrik (EV) terbaru mereka. 

Pelancaran ini adalah sebahagian daripada inisiatif “Go Green Revolution”, dengan gandingan rakan strategik utama dan pengedar sah EV mereka iaitu Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH MOTOR) Sdn Bhd.

Majlis pelancarannya akan berlangsung pada 28 Jun di Saloma Bistro KL, bakal dihadiri ramai artis terkenal yang akan turun padang untuk memeriahkan acara sehari ini.

Majlis ini juga bakal diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman. Pelancaran ini merupakan satu sokongan besar kepada inovasi dan teknologi hijau yang dibangunkan oleh anak muda tempatan, terutamanya graduan dari TVET MARA, IKM Beseri dan UNIKL MFI.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, kata pelancaran ni adalah langkah awal untuk mendekatkan motosikal elektrik dengan rakyat Malaysia, terutama golongan muda, memandangkan EV bukan sekadar teknologi baru, tapi jadi sesuatu yang mudah digunakan dan bergaya.

“Acara ini akan bermula dari jam 9.30 pagi sampai 4.30 petang – ada pelancaran, pameran, sesi jumpa pelabur dan media. Malam hari pula kita akan ‘up’ mood dengan persembahan komuniti, test ride EV, cabutan bertuah dan aktiviti santai untuk semua peminat kenderaan elektrik,” jelasnya.

Antara selebriti yang bakal muncul di acara pelancaran nanti termasuklah Bella Astillah, Johan, Nabil Ahmad, Ajak Shiro, Farid Kamil dan Cat Farish. Tambah Mussadiq lagi, kehadiran artis dalam dunia EV boleh membantu menyampaikan mesej dengan lebih kuat, luas dan sebagai impak positif pada jenama.

“Contohnya Johan – selain terkenal dalam dunia hiburan, dia juga usahawan berjaya dengan jenama makanan Itik ke Ayam?. Dia bakal jadi salah seorang rakan kolaborasi utama kami untuk buka kedai EV selepas pelancaran nanti,” katanya.

Ini semua sebahagian daripada usaha GGR Motor bagi membawa jenama mereka ke tahap lebih tinggi – bukan saja dalam Malaysia, tapi juga pasaran antarabangsa.

Untuk menambahkan lagi semangat ‘go green’, GGR Motor juga umumkan penajaan dua unit LionG1 e-bike (bernilai RM2,054 setiap satu) sebagai hadiah cabutan bertuah sempena konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025) yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Julai di Litar Antarabangsa Sepang.

Untuk makluman, dua tahun lepas Bella Astillah pernah dihadiahkan skuter elektrik daripada GGR Motor masa mereka bekerjasama dengan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).

“Kami bukan nak jual produk semata-mata, tapi nak ubah cara orang pandang mobiliti. Kita nak EV jadi sebahagian daripada gaya hidup harian, macam telefon atau internet,” kata Mussadiq.

“Ini cara kami untuk memberi semangat kepada komuniti dan galakkan lebih ramai orang untuk cuba gaya hidup elektrik,” kata Mussadiq.

Sebagai penutup acara, GGR Motor sudah pun memanjangkan jemputan kepada Pejabat Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan berharap agar beliau sendiri akan melancarkan motosikal elektrik baharu mereka secara rasmi.





No comments: