Kadar LKM bagi kenderaan elektrik ZEV

Sidang media hari ini bertujuan memaklumkan mengenai penetapan kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) baharu bagi kenderaan motor tanpa pelepasan atau zero emission vehicle (ZEV). 

Sebagaimana umum mengetahui, Kerajaan telah mengecualikan kenaan fi LKM kepada kenderaan motor elektrik (EV) mulai 1 Januari 2022 dan akan tamat pada 31 Disember 2025.

Kementerian Pengangkutan mendengar kerisauan pengguna EV yang bimbang fi LKM akan lebih mahal selepas tempoh pengecualian.


2. Bagi memastikan struktur LKM ZEV dikemaskini seiring dengan perkembangan teknologi kenderaan dan memberi kepastian kepada pengguna, saya ingin mengumumkan kadar baharu fi LKM bagi ZEVs yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026 seperti di Lampiran A.


3. Secara ringkasnya, 


(i) Kadar fi ditetapkan berdasarkan kepada “kuasa motor elektrik”. 


(ii) Kadar fi akan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik. Secara amnya, peningkatan kuasa motor elektrik akan mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat kenderaan.


(iii) Peningkatan secara progresif mengikut setiap peningkatan kuasa motor elektrik akan mengelakkan peningkatan kadar fi LKM secara mendadak dari satu kumpulan kepada kumpulan seterusnya; 


(iv) Bagi menggalakkan transisi kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon, kadar fi bagi kebanyakan kenderaan ZEVs adalah lebih rendah berbanding kadar fi LKM bagi kenderaan internal combustion engine (ICE) dalam lingkungan jenis badan kenderaan yang sama; 


(v) Kadar fi LKM baharu yang ditetapkan hanya terpakai kepada ZEVs dalam kategori Pure Battery Electric Vehicle (PBEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) sahaja; dan


(vi) Secara purata, kadar fi LKM baharu adalah 85% lebih rendah berbanding kadar fi sedia ada.


4. Semua kadar fi yang ditetapkan di atas akan disemakkan sekurang-kurangnya setiap lima (5) tahun bagi memastikan keberkesanan dalam mencapai objektif peralihan kepada ZEVs serta impak kepada hasil kerajaan.


5. Perbandingan kadar fi LKM ZEVs sedia ada berbanding kadar fi baharu bagi beberapa model popular adalah seperti di Lampiran B.


6. Tahap penggunapakaian kenderaan elektrik di Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan yang sangat positif pada tahun 2023 susulan dasar kerajaan yang memberi pengecualian pelbagai duti, cukai dan fi yang berkenaan. 


7. Walau bagaimanpun, secara kesuluruhannya trend pertumbuhan EV di Malaysia masih di peringkat awalan.

 

Berdasarkan statistik semasa, pada tahun 2023 sebanyak 15,671 kenderaan elektrik telah didaftarkan berbanding jumlah kenderaan yang didaftarkan iaitu 1,533,332 kenderaan. Peratusan kenderaan EV baru mencecah 1%.


8. Pada tahun 2024 setakut 30hb April pula, jumlah kenderaan elektrik yang didaftarkan adalah sebanyak 7,003 atau 1.4% berbanding jumlah kenderaan sebanyak 499,945.


Jelas, peralihan kepada kenderaan ZEVs di Malayaia masih memerlukan sokongan dasar yang kukuh dan berterusan pada tahap ini.


Loke Siew Fook

Menteri Pengangkutan

4 Jun 2024


MAKLUMAT TAMBAHAN


Penerangan ke atas prinsip penetapan kadar blok di atas adalah seperti berikut:-


(i) Setiap blok ditetapkan pada julat kuasa motor 100,000 watt. Sebagai contoh, blok 1 adalah bagi ZEVs yang mempunyai kuasa motor elektrik dari 1 watt hingga 100,000 watt, blok 2 bagi ZEVs dengan kuasa motor elekrik antara 100,001 watt kepada 210,000 watt dan seterusnya;


(ii) Bagi setiap blok, akan ditetapkan had minima dan maksima kadar fi LKM. Sebagai contoh, kadar fi minima LKM bagi blok 1 adalah RM20 manakala kadar maksima pula adalah RM70. Bagi blok 3, kadar fi minima adalah RM305 dan kadar fi maksima adalah RM575;


(iii) Di dalam setiap blok, kadar kenaikan fi LKM akan ditetapkan secara progressif mengikut kenaikkan setiap blok 9,999 watt kuasa motor. Pada setiap kenaikan blok 9,999 watt, akan dikenakan tambahan bayaran kadar fi LKM mengikut kadar kenaikan yang ditetapkan di dalam blok tersebut. 


Sebagai contoh, dalam blok 2, kadar fi LKM (min) pada kuasa motor elektrik 100,001 watt adalah RM80. Dengan kenaikan 9,999 watt, kuasa motor elektrik seterusnya adalah 110,000 watt. Kadar fi LKM bagi ZEVs kuasa motor 110,000 watt adalah ditetapkan seperti berikut:


Kadar fi LKM kuasa motor 100,001 watt : RM80;

Kadar kenaikan per blok 9,999 watt bagi blok 2 : RM20;

Kadar fi LKM : RM80 + RM20 = RM100.

No comments: