Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd
(Perodua) dan anak syarikat sepenuhnya Perodua Sales Sdn Bhd telah diperakui
secara rasmi oleh SIRIM dengan versi terkini 2015 ISO (International Organisation for Standardisation) piawaian 9001 dan 14001,
menekankan komitmen syarikat terhadap kepuasan pelangggan dan tanggungjawab
kepada alam sekitar.
Untuk mendapatkan pensijilan ISO
9001, sesebuah organisasi harus mematuhi piawaian kualiti terbaik di dalam
proses kerja mereka, bertujuan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan dalam
setiap aspek. Sementara itu, ISO 14001 pula lebih menumpukan kepada piawaian alam sekitar.
"Pengiktirafan ISO daripada SIRIM
ini amat bermakna buat Perodua kerana ia mengukuhkan visi kami untuk menjadi syarikat
yang kompetitif di rantau ini dan membuktikan usaha kami dalam melaksanakan Kaizen, atau penambahbaikan secara
berterusan," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr)
Aminar Rashid Salleh semasa upacara penyampaian sijil yang diadakan di Ibu Pejabat
Perodua di Sungai Choh, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan SIRIM
QAS International Sdn Bhd, En Mohd Azanuddin Salleh yang menyampaikan sijil
kepada Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.
Perodua mula melaksanakan piawaian
ISO pada tahun 1998. ISO 9001 telah diperluaskan ke cawangan jualan dan pusat
servis Perodua secara berperingkat sejak tahun 2005, bagi menyeragamkan pengalaman
pelanggan (Customer Experience) di
seluruh negara. Kini, semua cawangan Perodua telah diperakui ISO.
Sejak permulaan, Perodua telah
berjaya menjalani satu penaiktarafan ISO 14001 dan tiga penaiktarafan ISO 9001,
termasuk pensijilan hari ini yang merangkumi 39 cawangan jualan dan 55 pusat
servis di seluruh negara, termasuk 35 jabatan di Ibu Pejabat Perodua.
"Permintaan pasaran dan
industri sentiasa berubah, dan amat penting buat kami untuk meningkatkan piawaian
dalam prosedur kerja agar dapat menyesuaikan diri dan bertindak mengikut perubahan
tersebut. Sekiranya kita relevan di mata pelanggan, maka kita dapat mengatasi
jangkaan mereka," kata Datuk (Dr) Aminar.
"Dengan pensijilan yang telah
dinaiktaraf ini, kami berharap agar kami dapat terus mengurangkan jurang indeks
kepuasan di antara Perodua dan pesaing antarabangasa lain yang diiktiraf,"
katanya.
Datuk (Dr) Aminar berkata Perodua
juga akan memperluaskan piawaian ini kepada rakan-rakan niaganya pada masa akan
datang, sama ada pengedar atau pembekal.
"Kami akan memastikan rakan-rakan
niaga dan para pembekal kami mematuhi amalan hijau seperti yang dikehendaki dalam
piawaian ISO, termasuk dari segi mendapatkan sumber bahan yang lebih mesra alam,"
katanya.
Selain memastikan kepuasan pelanggan
dan pengurusan alam sekitar ke tahap yang lebih tinggi, pelaksanaan ISO juga
telah membawa kepada penambahbaikan dalam proses dan komunikasi dalaman Perodua,
termasuk proses penghantaran kepada pelanggan.
Pertama kali diperkenalkan pada
tahun 1987, ISO 9001 merupakan salah satu sistem pengurusan kualiti yang paling
banyak digunakan di seluruh dunia. Dengan pembaharuan versi 2015, ia memperluaskan
lagi keperluan dengan memasukkan elemen pemikiran berasaskan risiko.
ISO 14001 pula, yang diperkenalkan
pada tahun 1996, lebih mengambil kira pengurusan alam sekitar dan pencegahan
pencemaran. ISO 14001:2015 yang terkini membawa penekanan tambahan kepada kepimpinan,
perancangan strategik, inisiatif proaktif dan juga strategi komunikasi.
1 comment:
PERODUA has started working on the next-generation,It's too soon to comment on engine specs and other technical details. Speaking of the exerior of Perodua Aruz , from back its look aloke corolla and and front and sides are civic buts its looking beautiful. AND Exterior is superb whereas interior is dull black and I don't like.And the myvi price is just fine
Post a Comment