Pemilik bengkel perlu ada lesen khas kelak


Bengkel membaiki kenderaan bermotor bakal diwajibkan memiliki lesen khas bagi mengendalikan perniagaan tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor di Dewan Rakyat, Mac depan. Undang-undang berkenaan bertujuan untuk memelihara kepentingan pengguna tanpa mengenepikan hak penggiat industri tersebut.

Rang Undang Undang ini diyakini dapat memastikan industri tersebut untuk berkembang maju seiring pembangunan pesat teknologi masa kini. Setelah diluluskan kelak, semua pengusaha pusat servis kenderaan dan bengkel akan diwajibkan memiliki lesen khas bagi mengendalikan perniagaan perkhidmatan berkenaan.

"Lesen khas itu hanya dikeluarkan jika menepati syarat kelayakan termasuk memiliki mekanik bertauliah. Selain lesen perniagaan sedia ada, lesen khas juga akan dikeluarkan. Kita umpamakan mekanik seperti doktor, lesen dikeluarkan mengikut kepakaran tertentu dan menjadi kesalahan jika memberi sesuatu perkhidmatan tanpa lesen yang sah," katanya.

Beliau telah menghadiri sesi perjumpaan bersama pihak industri yang berkepentingan berhubung RUU Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor tersebut pada 23 januari lepas. Beliau turut menjelaskan bahawa RUU tersebut digubal berikutan aduan pengguna yang diterima KPDNKK berhubung perkhidmatan pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor.

"Tiga kategori ditetapkan iaitu pembaikan enjin, perkhidmatan penyelenggaraan dan aksesori seperti tayar manakala kategori lain akan putuskan dalam masa terdekat," katanya.

"Undang-undang ini perlu fleksibel dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa sejajar dengan teknologi dalam bidang automobil yang sentiasa berubah.

"Oleh itu, apabila sudah diluluskan di Parlimen, kita akan panggil pemilik atau pengendali pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor supaya lebih jelas mengenainya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memahami mengenai perubahan dan tiada niat mahu menutup periuk nasi atau menyulitkan mereka.

"Kita akan beri tempoh. Bagi yang sudah mempunyai perniagaan, tetapi ada mekanik atau pekerja tiada sijil kemahiran mereka perlu menghadiri kursus tertentu," katanya.

Ketika ini, ada kira-kira 30,000 pengusaha bengkel kenderaan di seluruh negara. Tambah beliau, penguatkuasaan itu dijangka dapat meningkatkan taraf profesionalisme kerjaya mekanik setanding bidang pekerjaan lain.

No comments: