12,681 Unit Kenderaan BMW Terjual Dalam Tahun 2017

BMW Group Malaysia mencatat prestasi yang terbaik dalam sejarahnya di negara ini dengan penghantaran 12,681 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad tkepada pelanggannya dalam tahun 2017. Ini merupakan tahun ketujuh berturut-turut pengeluar kereta premium itu mencatat prestasi paling tinggi, dengan pertumbuhan 16%  berbanding tempoh sama untuk tahun 2016 (10,906 unit).

Kejayaan BMW Group Malaysia ini sejajar dengan pertumbuhan BMW Group di peringkat global. Pengeluar kenderaan premium itu mencatat jualan tertinggi dengan jumlah penghantaran keseluruhan sebanyak 2,463,526 unit di seluruh dunia. Ia merupakan rekod jualan untuk tujuh tahun berturut-turut. Pada tahun 2017, jenama BMW menyaksikan peningkatan sebanyak 4.2% kenaikan dengan jumlah keseluruhan penyerahan 2,088,283 unit kenderaan. Jenama MINI mencatat rekod jualan yang baru pada tahun 2017, naik 3.2% berbanding tahun sebelumnya dengan 371,881 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan. Jualan BMW Motorrad  juga meningkat sebanyak 13.2%  kepada 164,153 unit di seluruh dunia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Kejayaan pertumbuhan kami di Malaysia merupakan hasil daripada komitmen yang tidak berbelah-bahagi kepada negara, pelanggan, pengedar dan pengalaman pemilikan premium mereka. Kami amat komited untuk memberi perkhidmatan terbaik di negara ini dan rantau Asia Tenggara dari Malaysia pada tahun ini. Kami telah menetapkan satu lagi penanda aras untuk industri automotif premium di sini.   

Jenama BMW menyaksikan pertumbuhan sebanyak 18% pada tahun 2017 dengan jumlah penghantaran keseluruhan kenderaan BMW mencecah 10,618 unit, berbanding 9,000 unit pada tahun 2016. Pertumbuhan itu dipacu oleh model BMW 3 Series dengan 3,564 unit - 2,408 unit daripadanya ialah BMW 330e dan BMW 330e M Sport. BMW X5 xDrive40e juga menjadi penyumbang utama kepada prestasi jenama dengan lebih 3,000 unit berjaya dijual tahun lalu. BMW 740Le xDrive yang diperkenalkan pada separuh pertama 2016 berkonsepkan Driving Luxury to the Mobility of the Future dijual sebanyak 400 unit.
Kejayaan penyerahan kenderaan elektrik BMW kepada para pelanggan di Malaysia terus mengukuhkan posisi syarikat selaku peneraju dalam segmen elektro-mobiliti. Ia juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menerima teknologi terkini dalam industri automotif. BMW Group Malaysia -  dalam hasrat untuk memacu portfolio produk kenderaan BMW Hybrid dan Teknologi eDrive ke hadapan, akan terus mengutamakan aspek infrastruktur dan perkhidmatan mobiliti dalam strateginya, demi menjadikan pemanduan kereta elektrik lebih selesa, mudah serta menyeronokkan pada setiap hari.

Pelancaran sedan perniagaan sport paling progresif, BMW 5 Series pada separuh pertama 2017 juga memacu jualan jenama ini dengan lebih 1,600 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan.
 MINI juga dilihat semakin kukuh apabila mencatat rekod prestasi terbaik pada tahun 2017 dengan 1,010 unit MINI berjaya diserahkan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 12% berbanding tahun sebelumnya (902 unit). Pencapaian itu meletakkan MINI sebagai jenama kedua paling pantas berkembang dalam segmen premium di Malaysia dan kini menjadi jenama ketiga terbesar dalam segmen tersebut. Tahun lalu, MINI menambah model MINI Countryman, MINI John Cooper Works Clubman dan MINI John Cooper Works Countryman ke dalam portfolionya.

BMW Motorrad pula menyerahkan sebanyak 1,052 unit motosikal, mencatat pertumbuhan sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya (1,004 unit). Tahun 2017 menyaksikan pengenalan lima buah motosikal baharu - BMW S1000RR, BMW R1200GS, BMW K1600 GT, Bagger dan BMW R nineT Urban GS.

Pada tahun 2018, BMW Group Malaysia akan memulakan penghantaran BMW 3 Series, BMW 5 Series dan BMW 7 Series yang pertama ke Vietnam dan Filipina. Bagi menyokong langkah tersebut, Kilang Pemasangan BMW di Kulim akan meningkatkan keupayaan pengeluaran kepada lebih 10,000 unit pada tahun 2017 dengan pelaburan lebih RM10 juta.

No comments: