HLY Marine kini pengedar ekslusif enjin sangkut Yamaha

 Usui Hirofumi dan Dato' Jim Khor

HLY Marine Sdn Bhd hari ini telah menandatangani perjanjian dengan Yamaha Motor Co., Ltd  di ibu pejabat YMC di Iwata, Jepun, setelah HLY Marine dilantik secara eksklusif sebagai penjual semula dan pengedar produk enjin sangkut Yamaha Marine di Semenanjung Malaysia.

Dengan termeterainya perjanjian ini, HLY Marine yang merupakan anak syarikat milik penuh Hong Leong Industries Berhad, akan menawarkan dan melaksanakan konsep 3S yang merangkumi jualan, perkhidmatan dan alat ganti produk enjin sangkut Yamaha Marine bagi keseluruhan barisan enjin sangkutnya yang ringan, bertugas berat, cekap dan mudah alih.

"Sememangnya, kami teruja dengan pelantikan ini dan mempunyai penuh keyakinan dalam perkongsian ini. HLY Marine mempunyai kepakaran yang diperlukan, dan juga berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan tahap kualiti dan perkhidmatan yang akan diperlukan oleh pelanggan," kata Pengarah HLY Marine, Dato' Jim Khor. "Pelantikan ini juga mengesahkan rekod prestasi kami yang kukuh dengan YMC," tambahnya.

Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar Kanan, Operasi Perniagaan YMC Marine, En Usui Hirofumi, turut mengiktiraf hubungan kukuh tersebut. "Kami berharap untuk bekerjasama rapat dan yakin dengan HLY Marine sebagai rakan pengedar eksklusif kami, ke arah menjalin rangkaian pengedaran baharu yang lebih kuat di Semenanjung Malaysia," katanya.
Kiri ke kanan: En Chow Khee Thiam, Dato' Jim Khor, En Usui Hirofumi dan En Ando Satoshi.

HLY Marine akan beribu pejabat di Sungai Buloh, Selangor, dan akan menempatkan pusat servis utama mereka yang dilengkapkan oleh YMC.

Pada majlis tersebut, HLY Marine diwakili oleh pengarahnya Dato' Jim Khor, dan Pengurus Besarnya En Chow Khee Thiam, manakala YMC pula diwakili oleh En Usui Hirofumi dan Pengurus Besar, Bahagian Pemasaran Satu, Operasi Perniagaan Marine, En Ando Satoshi.

No comments: