Kawasaki Z1000

Inginkan kelainan dari rakan rakan bermotosikal anda? Inginkan rupa yang mengundang tolehan sewaktu anda lalu? Dengan rupa yang retro seakan Transformers atau mungkin Power Rangers, Kawasaki Z1000 mampu berbuat demikian. Deruman ekzosnya yang dalam tapi lembut juga menggamit perhatian, tetapi jangan tertipu dengan kemerduannya, ianya membayangkan kuasa yang perlu dihormati.

Sekali imbas dari hadapan, jentera ini ibarat merenung kita, sesuai dengan imej streetfighter (wira-jalanan..?) yang diwakilinya. Jentera streetfigters ini semakin popular di Eropah masa kini. Model Z1000 ni merupakan kesinambungan dari model Z750 terdahulu dengan janakuasa berasaskan enjin Z-9 yang telah ditala seterusnya bagi mendapatkan keseimbangan di antara kuasa dan emisi. Isu emisi ini sememangnya semakin mendapat perhatian legislasi atau perundangan diseluruh dunia, malangnya amat sukar untuk menjana kuasa maksima dengan emisi yang mesra alam, namanya pun enjin yang merupakan salah satu punca pencemaran udara.

Stail yang tampak agresif dengan garisan atau tebing tajam sesuai dengan sasaran pasaran Eropah ini mungkin tampak menawan bagi sesetengah orang, tetapi bagi segolongan yag lain pula, ianya mungkin nampak pelik…. Tak ada jalan tengah, Cuma samada anda sukakannya (atau mungkin anak lelaki anda yang lebih menyukai nya..) ataupun anda langsung tak meminatinya… Tapi memang, ianya sekadar rupa luaran, mungkin bagi golongan peminat motosikal tegar (hardcore..?), kenikmatan menunggang lebih merupakan keutamaan.

Kenikmatan menunggang? Hmmm… satu ayat yang subjektif, dan isu yang berat. Mungkin boleh disimpulkan dengan keseronokan secara keseluruhan mencakupi semua aspek penunggangan. Namun, memang tiada motosikal yang sempurna. Z1000 ini memang dirasakan berkuasa, dan cepat mendaki rpm, walaupun terasa agak tinggi (4100 @ 100kmh dalam gear 6). Sesuai dengan kategori streetfighter dan naked, kelajuan akhir bukanlah ukuran untuk jentera ini, dan fairing atau penghadang angina nya yang kecil juga kurang mampu menampan ulat atau habuk dari mengotori visor helmet anda. Tetapi, julat kuasa di pertengahan cukup meyakinkan, dan tidak akan tersentak sentak walaupun menggunakan gear 6 dalam pemanduan bandar, kawal saja pendikit dengan baik, tak perlu sangat menurunkan gear. Cuba turunkan gear dan pulas pendikit, tetapi sebelum itu, pastikan anda memegang kemas handlebar supaya tidak hilang kawalan. Libas jentera ini dicelah kenderaan, anda seolah tidak percaya bahawa ianya seberat 200kg. Kawalan adalah mudah dan agak mantap, dengan feedback atau timbal-balas yang mungkin sedikit berlebihan, kurang selesa di jalan berlopak.

Namun kesimpulannya jentera ini mampu menyeronokkan, ujian penuh tak dapat dijalankan kerana kesuntukan masa, Perjalanan jauh mungkin merengsakan pada kelajuan tinggi dengan fairing comelnya, dan sedikit gegaran terasa pabila melampaui 6500 rpm, boleh merimaskan sekiranya menunggang berjam jam. Tapi, ini bukan motor touring, juga bukan superbike, ianya streetfighter, dan bagi sebuah streetfighter, ianya amat mengancam.

No comments: