Pasukan VR46 kan ketepikan Yamaha Tech3 dalam MotoGP?

Bukan rahsia lagi bahawa pengurus pasukan Yamaha Tech3 iaitu Herve Poncharal berpendapat yang Yamaha akan memilih Pasukan Valentino Rossi VR46 sebagai skuad tunggal MotoGP pada masa akan datang Pasukan VR46 kini sudah bersaing dalam Moto2 dan Moto3. Tahun lepas, bos Dorna iaitu Ezeleleta berkata bahawa dia bersedia untuk menjamin tempat bagi skuad Rossi dalam kelas perdana, walaupun secara teorinya grid permulaan telah ditetapkan untuk mempunyai 24 jentera lumba sahaja.

Adakah Tech3 akan kehilangan sokongan Yamaha jika Pasukan VR46 diangkat sebagai pasukan satelit pengilang Jepun tersebut?

Kerjasama Rossi dengan Yamaha yang sebegitu lama membuatkan pasukan VR46 ini nyata sebagai calon pasukan satelit pilihan pengilang tersebut jika VR46 ingin mengorak langkah ke arah MotoGP. Rossi akan mencecah umur 39 tahun pada bulan Februari ini, dan kontrak beliau juga akan tamat di penghujung musim ini. Rossi dikatakan akan berperanan sebagai bos pasukannya sendiri apabila dia memilih untuk bersara daripada perlumbaan kelak. Secara umumnya kita boleh mengandaikan bahawa pasukan VR46nya akan mengorak langkah ke arena kelas perdana MotoGP.

Tetapi Yamaha selama ini hanya menyokong sebuah pasukan satelit sahaja. Ini mungkin akan memaksa pengilang tersebut untuk memilih di antara kolaborator lama mereka iaitu Yamaha Tech3, dan Pasukan VR46. Bos Yamaha Tech3, Poncharal telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Yamaha, dan beliau sendiri pernah bertanyakan soalan samada Yamaha akan membariskan enam jentera di grid permulaan, iaitu tambahan dua jetera dari yang ada sekarang.

Jawapan yang diterimanya adalah: 'Tidak, itu terlalu banyak'.

Poncharal bersama Kouchi Tsuji dari Yamaha
Poncharal terus mengajukan soalan maut: " Jika ada permohonan dari VR46 dan Tech3, siapa yang akan menjadi keutamaan?"

Jawapannya: VR46.

Jelas dan nyata.

Namun begitu, kesemua pasukan satelit MotoGP adalah tertakluk secara kontrak dengan Dorna untuk kekal di grid perlumbaan sehingga 2021. Ini juga bermakna bahawa sebarang pasukan baru yang ingin menyertai kejohanan dunia ini akan perlu membeli salah satu kontrak sedia ada atau mendapatkan kelulusan sebulat suara dari Dorna dan semua pasukan bebas yang lain.

Poncharal, yang juga presiden IRTA (Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalanan Antarabangsa), berkata beliau meragui yang Rossi akan mahu menjalin kerjasama dengan sebarang pasukan sedia ada, dan turut menafikan pakatan dengan Tech3.

"Kami mempunyai kontrak dengan Dorna dari 2017 hingga 2021 yang menyatakan bahawa tiada siapa yang boleh menyertai kejohanan tersebut kecuali mereka mencari jalan untuk membuat perjanjian, perkongsian atau bergabung dengan pasukan sedia ada," jelasnya.

"Saya tidak inginkan dia (Rossi) sebagai rakan kongsi. Mungkin dia boleh membeli Aspar, Avintia, LCR, atau mana-mana pasukan bebas, tetapi saya tidak fikir bukan ini yang beliau mahukan.

"Jika dia ingin menyertainya, dia perlu mendapatkan lampu hijau bukan saja dari Dorna, tetapi juga dari pasukan bebas yang sedia ada kerana kami mempunyai kesepakatan eksklusif dan ia nya bertulis," tambahnya lagi.

"Ia tidak akan berlaku, kecuali jika semua orang mengatakan bersetuju untuk mempunyai satu lagi pasukan. Ia hanya boleh berlaku pada tahun 2022 apabila kontrak yang sedia ada telah tamat."

Malah Rossi telah menyatakan tahun lepas bahawa sebarang rancangan untuk menggerakkan pasukannya ke kelas MotoGP mungkin berlaku dalam masa 10 tahun kerana dia sedang menumpukan pada pembangunan pelumba muda.
Zarco dan Poncharal
Di samping isu ini, Herve Poncharal juga mengakui bahawa tindakan pasukan MotoGP satelitnya, Tech3 mengalahkan pasukan kilang Yamaha dalam beberapa kesempatan musim 2017 lepas mencetuskan beberapa situasi yang "tidak selesa".

Para pelumba pasuka kilang Yamaha iaitu Maverick Vinales dan Valentino Rossi mengalami kempen mengecewakan dalam musim 2017, sementara rookie Johann Zarco  Tech3 menyerlah dengan menunggang jentera pengilang Yamaha tahun lepas.

Zarco berjaya mengalahkan kedua-dua Vinales dan Rossi enam kali sepanjang musim lepas, manakala rakan sepasukan Jonas Folger berjaya melakukannya dua kali.

"Kadang-kadang agak tidak selesa bagi saya untuk berada di hadapan mereka," kata Poncharal.

Walaupun musim 2017 merupakan musim yang membanggakan untuk Tech3, Poncharal menggariskan bahawa bersaing dengan pasukan pengilang Yamaha  bukan "sepatutnya", dan keutamaannya adalah untuk membantu jenama Jepun itu untuk memenangi gelaran.

"Terdapat empat jentera M1 di litar, dan kita perlu memberikan maklumat yang berharga kepada pengilang untuk membolehkan mereka berjuang untuk kejuaraan," katanya.

"Pasukan kilang sentiasa akan menjadi keutamaan. Kami adalah pasukan Yamaha, dalam musim ke-20 berturut-turut dengan mereka, saya kenal mereka dengan baik, saya menghormati mereka." ujarnya lagi.



No comments: