Norhakim ungguli Wira di Tangkak

 

Pasukan ONEXOX SAG Team turut mengungguli kelas Wira apabila pelumbanya, Md Norhakim Norhafizullah memenangi perlumbaan yang dikurangkan ke lapan lap itu gara-gara hujan lebat sebelum ia dimulakan.

 

Kemenangan tersebut telah mengubati kekecewaan Norhakim yang gagal menamatkan perlumbaan pada aksi pembuka tirai di Litar Sepang bulan lalu.

 

Pelumba asal Kelantan itu kini berjaya mengubah kedudukannya dalam carta keseluruhan untuk berada di tempat ketiga dengan 25 mata.

 

Kedudukan pendahulu kini kekal milik pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Rahimi Nabil Razu dengan 33 mata.

 

Keputusan Pusingan 2 di Tangkak

1. Mohd Norhakim Mohd Norhafizullah (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team)

2. Mohd Hazim Mohd Fairues (Honda) (ELF KOYOKO HONDA KC RACING)

3. Abdullah Qayyum Abd Razak (Honda) (HONDA AFB TECH RACING)

4. Akif Hakimi Zainuddin (Yamaha) (WIRAMUDA V-FIERTECH Academy Racing)

5. Mohd Adam Haikal Jahar (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing)

 

Kedudukan keseluruhan

1. Rahimi Nabil Razu (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing), 33 points

2. Mohd Hazim Mohd Fairues (Honda) (ELF KOYOKO HONDA KC RACING), 30 points

3. Mohd Norhakim Mohd Norhafizullah (Yamaha) (ONEXOX SAG TEAM),  25 points

4. Mohd Harith Haziq Zamri (Honda) (CASTROL POWER1 RACING TEAM),  25 points

5. Abdullah Qayyum Abd Razak (Honda (HONDA AFB TECH RACING), 22 points

 

 

ONEXOX TKKR SAG Team kekal ungguli CP125

Pasukan ONEXOX TKKR SAG Team meneruskan penguasaan mereka dalam kelas CP125 menerusi kemenangan yang dilakar oleh pelumbanya, Md Shafiq Rasol  Bermula agak perlahan, beliau mula mengasak pada pertengahan saingan sehingga berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok hadapan ketika perlumbaan berbaki tiga lap lagi untuk tamat.

 

Satu persatu pelumba dipintasnya dan situasi tersebut telah memberikan kayakinan kepadanya untuk cuba memberi tentangan kepada pendahulu, Md Aliff Danial Md Asri dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

 

Misinya berhasil apabila berjaya memintas Aliff pada lap terakhir bagi membolehkannya memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa 12:00.737 saat (s).

 

Malah, Aliff  yang sukar dicabar sejak di awal perlumbaan, turut dipintas oleh rakan sepasukannya, Md Syafiq Rosli yang menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan kedua dengan catatan masa 12:01.866s.

 

Aliff yang merupakan juara keseluruhan kelas Wira musim lalu sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga dengan masa 12:02.369s.

 

Ia bukan hari yang bertuah buat Aliff meskipun pada mulanya dia dilihat selesa memimpin perlumbaan, namun kesilapan pada lap terakhir telah memusnahkan impiannya untuk bergelar juara di halaman sendiri.

 

Shafiq Rasol yang muncul naib juara pada aksi Pusingan 1 di Litar Sepang bulan lalu, kini selesa memimpin kedudukan keseluruhan kelas CP125 dengan mengumpul 45 mata diikuti Syafiq Rosli yang sudah mengumpul 31 mata.

 

Juara Pusingan 1, Md Syafieq Aiman Md Fauzi (ONEXOX TKKR SAG Team) gagal meraih sebarang mata pada aksi di Tangkak, namun dia masih selesa di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 25 mata.

 

Keputusan:

CP125

 

1. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG TEAM), 45 points

2. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 31 points

3. Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi (Yamaha) (ONEXOX SAG TEAM), 25 points

4. Mohd Khairi Asyraf Mahmood (Yamaha) (IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM), 21 points

5. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha) (IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM), 21 points

 

 udu

CP125 Kedudukan Pasukan

 

1. ONEXOX TKKR SAG TEAM, 61 points

2. PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 47 points

3. ONEXOX SAG TEAM, 38 points

 

Akid tebus kecewa Sepang di Tangkak

 

Kekecewaan Md Akid Aziz pada aksi di Sepang bulan lalu setelah gagal menamatkan perlumbaan terubat apabila dia muncul untuk bergelar juara kelas perdana, CP150 pada aksi Pusingan 2 yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak pada Ahad lepas. Kali terakhir  Akid bergelar juara pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS ialah di Pusingan 9 di Jempol, Negeri Sembilan musim lalu.

 

Akid yang mendahului perlumbaan sejak lap pertama lagi, tidak menoleh ke belakang dan terus konsisten memimpin saingan secara selesa. Perlumbaan 20 lap itu berlangsung dalam keadaan hujan renyai, namun tidak menjejaskan fokus Akid untuk menguasai saingan.

 

Dalam keadaan litar yang agak licin, Akid memilih untuk mengharungi perlumbaan tersebut secara selamat walaupun mula diasak pencabarnya, Azroy Hakeem Anuar (pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing) pada dua lap terakhir. Azroy berjaya memintasnya, namun Akid kembali mengasak di lap terakhir untuk merampas semula kedudukan pendahulu, sekali gus muncul sebagai juara dengan catatan masa 15:46.337 saat (s) untuk kemenangan pertama buat pasukannya musim ini.

 Azroy yang muncul terpantas pada sesi kelayakan semalam, akur di tempat kedua dengan masa 15:46.651s manakala tempat ketiga menjadi milik Md Muzakkir Mohamed, pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, dengan masa 15:50.266s.


 

Juara saingan Pusingan 1, Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) gagal meraih sebarang mata apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18.

  Kedudukan pendahulu keseluruhan kekal berada dalam genggaman Azroy yang kini mengumpul 36 mata. Akid kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 25 mata dan Helmi pula di tempat ketiga dengan 25 mata.

CP150

 

1. Mohd Akid Aziz (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR), 15’46.337s

2. Azroy Hakeem Anuar (Honda) (IDEMITSU HONDA YUZY RACING), 15’46.651s

3. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG TEAM), 15’50.266s

4. Mohd Iqbal Amri Abd Malek (Yamaha) (AHM MOTORSPORTS), 15’54.853s

5. Ahmad Afif Amran (Yamaha) (PETRONAS SPRINTA YAMAHA-CKJ RACING), 15’55.452s


 

CP150 Team Standings

 

1. IDEMITSU HONDA YUZY RACING, 47 points

2. HI REV SCK HONDA RACING, 34 points

3. ONEXOX TKKR SAG TEAM, 34 points

 

Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak minggu ini

Lebih kurang sebulan selepas penganjuran perlumbaan pembuka musim 2020, pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bakal bersambung di Litar Tangkak minggu ini.

 

Seramai 160 pelumba telah mengesahkan penyertaan mereka dalam tujuh kategori perlumbaan. Selepas pusingan pertama, kategori perdana CP150 jatuh ke bawah pimpinan Mohd Helmi Azman dari pasukan Hi Rev SCK Honda Racing manakala empat pelumba pasukan ONEXOX TKKR  berjaya menakluki tangga teratas dalam kelas CP125. Sementara itu, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing mendahului tangga kejuaraan Wira KBS melalui bakat terbaru pasukan, Rahimi Nabil Razu.

 

Sepertimana yang telah ditetapkan dalam SOP penganjuran sukan tanpa sentuhan, acara Pusingan 2 ini akan berlangsung di dalam litar tertutup dan para peminat daerah selatan dinasihatkan supaya jangan mengunjung ke Litar Tangkak minggu ini. Peminat sukan pemotoran negara disarankan mengikuti perkembangan terbaharu menerusi laman sosial kejuaraan dan siaran langsung di TV1, RTM Sports dan Astro Arena.


Usammah nekad bangkit semula

 

Pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS Julai lalu, peminat-peminat sukan permotoran negara telah menyaksikan kebangkitan semula seorang pelumba muda berpotensi, Mohd Usammah Mohd Nazam.

 

Pertembungan sengit antara Usammah dan Zulhilmi Yazid mencuri tumpuan dalam perlumbaan akhir PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup. Bertarung bersebelahan sepanjang lima pusingan, Zulhilmi yang begitu dominan dalam sesi latihan dan kelayakan pusingan pembuka tirai, nyata kurang bersedia apabila Usammah mula mengorak langkah menguasai perlumbaan di lap terakhir. Kelajuan jentera nombor 99 itu membolehkan Usammah meninggalkan Zulhilmi sebanyak 2.5 saat di tempat kedua.


 

Kemenangan ini begitu bermakna kepada Usammah kerana ianya merupakan kemenangan pertama setelah dua tahun ketandusan podium kemenangan.

 

Ditemui selepas tamat perlumbaan, Usammah yang hanya berusia 19 tahun, menyatakan keinginannya menjadikan kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup sebagai pentas untuk mendirikan karier perlumbaannya semula.

 

Perjalanan Usammah dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bermula pada tahun 2017 apabila, pada usia 16 tahun, Usammah menjuarai kategori Yamaha PETRONAS Super Series.

 

Secara lazimnya, pelumba yang menyerlah dalam mana-mana kategori ‘mono-brand’ senang mendapatkan tempat dalam pasukan-pasukan yang beraksi dalam kelas Wira KBS. Begitu juga Usammah yang ditawarkan tempat bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha.


 

Berusia 17 tahun pada masa itu, Usammah jelas bahawa beliau hanya mempunyai satu peluang untuk merangkul gelaran Juara Wira KBS. Namun, nasib tidak menyebelahi. Usammah terjatuh di awal musim 2018 dan kecederaan yang dialami menjejaskan prestasi Usammah dalam kategori Wira KBS tahun itu, hanya menduduki tangga ke-16 keseluruhan.

 

 “Pada musim seterusnya, saya terpaksa menyertai kategori CP115, walaupun berasa masih belum bersedia. Mungkin lebih bermanfaat sekiranya saya berpeluang untuk beraksi dalam kategori Wira KBS untuk semusim lagi. Tetapi usia tidak membenarkan. Saya terpaksa berganjak ke CP115 kerana sudah melebihi had umur kelas Wira,” kata Usammah.

 

Usammah menyahut cabaran CP115 bersama pasukan AFB Tech Racing yang dikendalikan oleh lagenda Cub Prix, Ahmad Fuad Baharuddin. Keputusan yang diperolehi dalam tahun pertama, kurang menyerlah. Masih dibayangi kecederaan musim lalu, Usammah hanya mampu menduduki tangga ke-16 keseluruhan CP115.

 

Setelah sekian lama bernaung di bawah pasukan profesional, Usammah kini menghadapi perlumbaan tanpa sokongan pasukan, sebagai seorang pelumba persendirian dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup.

 

“Permulaan musim 2020 dijalankan dalam masa yang begitu singkat. Hari isnin buat pengumuman, hari Jumaat perlumbaan bermula. Sememangnya masa tidak mencukupi untuk membuat persiapan rapi. Mujur, pakcik saya mempunyai sebuah motosikal Pro-Am yang sudah berusia tiga tahun. Saya minta pinjam,” kata Usammah.

 

“Keadaan motosikal itu, boleh dikatakan agak teruk juga, banyak alatan yang terpaksa ditukar. Pada masa yang sama, keluarga saya kurang menyokong keputusan untuk meneruskan perjalanan dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup. Tetapi saya enggan berganjak. Berputus asa itu jalan singkat sebenarnya,” ujarnya yang hanya berusia 19 tahun itu.

 

“Berbekalkan dana yang dikumpul sendiri, saya bersama seorang kawan rapat ke Litar Sepang untuk perlumbaan pertama. Oleh kerana kategori ini disifatkan sebagai kelas semi-amatur, kebanyakkan peserta Pro-Am mempunyai mekanik sendiri untuk membantu dalam tugas penyelarasan motor. Bagi Usammah pula, semua tugasan itu perlu digalas sendiri – dari kerja pendaftaran, pemeriksaan jentera, isi minyak, dan persediaan jentera.”

 

Dalam sesi latihan pertama, Usammah hanya menduduki tempat ke-13, 9 saat di belakang pendahulu kategori Pro-Am, Zulhilmi Yazid. Usammah memperbaiki kedudukan secara mendadak dalam sesi kelayakan, dari tempat ke-3 dalam sesi latihan pertama ke tangga ke-2.


 

Usammah mengekalkan kedudukan tersebut dalam perlumbaan saringan Pro-Am dan berjaya melayakkan diri ke garisan pertama di perlumbaan akhir. Kemenangan yang diperolehi di pusingan pembuka tirai adalah kemenangan pertama buat Usammah setelah dua tahun berhempas pulas dalam kategori Wira KBS dan CP115.

 

 “Saya ingin menggunakan kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup ini sebagai pentas untuk saya membina nama semula. Saya berharap dapat menarik perhatian para pemilik pasukan semoga dapat diberikan peluang kedua untuk membangunkan semula karier saya sebagai seorang pelumba professional,” kata Usammah.