Hanya dua pelumba Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing di Jempol?

Pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing bakal mempertaruhkan dua pelumba sahaja bagi menghadapi saingan CP150 pada pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, 17 dan 18 November ini.

Hanya Azroy Hakeem Anuar dan Amirul Ariff Musa akan turun beraksi dalam kategori CP150 sementara Harith Farhan Baharin tidak dapat beraksi setelah menjalani pembedahan lutut baru baru ini. Md Aiman Azman dan Shahrol Syazraz Shahrol Yuzy pula kekal membawa cabaran dalam kategori CP115.
 Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini menjelaskan ketiadaan Harith tidak menjejaskan strategi pasukan dan akui Harith berkemungkinan turut tidak dapat  beraksi pada pusingan penutup tirai musim 2018 di Johor, Disember depan.

"Kecederaan Harith sudah agak lama, jadi keputusan melakukan pembedahan ketika ini adalah tepat sebagai persediaan untuk menghadapi musim 2019 nanti dan kita juga harapkan dia dapat pulih dengan segera," jelas Yuzy.
 Tambahnya, "Cuma strategi awal kami pada minggu ini adalah untuk meletakkan pelumba berpengalaman, Mohd Zaqhwan Zaidi sebagai pengganti di Jempol memandangkan saingan Kejuaraan Seluruh Jepun yang disertainya pada musim ini telah tamat.

“Malangnya, Zaqhwan terjatuh dan tangannya mengalami kecederaan pada perlumbaan terakhir kategori 1000cc di Jepun baru-baru ini. Jadi dia tidak dapat beraksi pada minggu ini. Kemungkinan dia akan berlumba di Johor nanti andaikata Harith masih belum sembuh sepenuhnya."
 

SIC Junior Team AFB Tech Racing kekal yakin walau tanpa Danial


Pengurus pasukan SIC Junior Team AFB Tech Racing, Ahmad Fuad Baharudin percaya pasukannya tetap akan tampil dengan aksi terbaik meskipun ketiadaan pelumba utama, Md Danial Syahmi dalam saingan WIRA KBS pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.


Danial yang ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan berkongsi 133 mata bersama pendahulu, Md Syarifuddin Azman terpaksa melupakan perlumbaan minggu ini kerana sedang menjalani rawatan akibat kemalangan sewaktu perlumbaan Idemitsu Asia Talent baru-baru ini. 
 Bagaimanapun Ahmad Fuad yakin pelumba-pelumbanya yang lain seperti  Harith Haziq Zamri, Danel El Fahim, dan Md Sharul Ezwan Md Sharil mampu memberikan cabaran dan seterusnya dapat menamatkan saingan di atas podium. 

"Memang satu merugian besar kepada pasukan dengan ketiadaan Danial dan juga kerugian kepada dirinya sendiri. Namun begitu, situasi ini tidak boleh dielakkan dalam dunia perlumbaan. Apa sahaja boleh berlaku. Kami doakan dia cepat sembuh dan menjadikan insiden ini untuk dia bangkit lebih kuat pada masa akan datang," jelas Ahmad Fuad. 
 "Harith merupakan antara pelumba yang pernah menaiki podium pada musim ini meskipun penggal pertama dia beraksi dalam kategori WIRA KBS. Tidak mustahil dia mampu mengulanginya pada minggu ini." 

Mengulas kekosongan yang ditinggalkan Danial, Ahmad Fuad berkata, "Kami tidak menggantikan tempat Danial dengan pelumba lain cuma pada minggu ini, pelumba CP115 kami, Md Idil Fitri akan beraksi dalam kategori WIRA KBS. Dengan pengalaman beraksi bersama jentera yang lebih laju sebelum ini, tidak mustahil dia mampu menempatkan diri di atas podium."
 

Shell Malaysia raikan hampir 300 pelanggan utama Shell Rimula

Shell Malaysia meraikan hampir 300 pelanggan utama Shell Rimula dari seluruh Malaysia baru-baru ini di Kota Kinabalu dalam seminar teknologi dan majlis makan malam tahunan Shell Malaysia.

Antara yang diraikan pada majlis tersebut adalah 11 orang pemenang bertuah bagi promosi Shell Rimula Ultimate Stopover yang bakal menikmati pengalaman yang tidak mungkin dilupakan iaitu percutian selama 5 hari 4 malam di kota Dubai yang penuh dengan kemewahan  pada November ini.
 Pemenang bertuah Shell Rimula tersebut ialah Bong Chai Hoon, Bong Poh Lung, Teh Chee Keong dan Teh Leng Onn, semuanya dari Kuala Lumpur; Lee Chi Kun dari Bukit Mertajam, Raiming bin Sait dari Tawau, Tang Hua Ping dan Teo Eng Lian dari Sibu, Victor bin Jubli@Julian dari Labuan, Wong Gwo Chyuan dari Johor dan Wong Hiong Kong dari Miri.

Program khas yang akan berlangsung di Dubai turut merangkumi pandangan pakar mengenai inovasi terkini enjin trak dan teknologi pelincir, demonstrasi teknikal secara amali serta ujian prestasi minyak enjin Shell Rimula menerusi pengalaman pemanduan off-road di bukit-bukit pasir di Dubai.
 Tetamu lain yang turut diraikan pada majlis makan malam tersebut adalah mereka yang telah memainkan peranan penting untuk meletakkan Shell Rimula sebagai jenama minyak enjin diesel tugas berat (HDDEO) pilihan di Malaysia. Para tetamu disajikan dengan hidangan makan malam bertemakan Timur Tengah untuk memberikan gambaran sepintas lalu tentang ganjaran yang menanti pemenang Rimula Ultimate Stopover 2018.

Menurut Pengurus Besar Shell Lubricants bagi Malaysia dan Singapura, Encik Baljit Singh, Shell Rimula Ultimate Stopover meraikan komitmen terhadap kegigihan dan menawarkan percutian sekali seumur hidup ke destinasi eksotik kepada pelanggan setia Shell Rimula.
 “Shell Rimula merupakan satu-satunya jenama HDDEO yang memberikan ganjaran yang unik kepada pelanggan kerana membuat keputusan yang tepat bagi perniagaan mereka. Pemilik fleet yang berpegang kepada kepercayaan bahawa perkara yang benar-benar penting adalah komponen dalaman, akan dapat melihat bagaimana produk Shell Rimula, terutamanya rangkaian sintetik kami dengan Teknologi Dynamic Protection Plus yang menjadi peneraju di pasaran, membantu mereka mencapai tahap yang baru dari segi kecekapan, produktiviti dan keberuntungan,” katanya.

Dalam sesi seminar teknologi, Shell Malaysia mengambil peluang untuk menyampaikan kepada para peserta tentang faedah yang dapat dinikmati sekiranya mereka bertukar kepada minyak enjin diesel tugas berat Shell Rimula separa sintetik dan sintetik sepenuhnya yang mematuhi API CK-4, terutamanya bila disertakan dengan penggunaan Shell FuelSave dan Diesel Euro 5, bagi trak generasi baru dan kelengkapan berat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Shell Rimula, sila layari www.shell.com.my/rimula.

Hebat Kembara Yamaha NVX solo sejauh 10,017km


 Catatan oleh Abdul Mui'iz bin Nazelan:
Alhamdulillah selesai sudah pengembaraan solo saya jarak 10017km selama 32 hari bersama Yamaha NVX,sebenarnya tidak minat touring ni, semenjak sebulan lalu saya terjumpa page FB Adventure Touring Malaysia (aTm), dan selama sebulan itu juga saya melihat page ni terdetik hati nak jelajah untuk kali pertama saya, alhamdulillah selesai misi saya selama 32 hari pengembaraan saya,terima kasih team Borneo, Abi Khalid Abd Sammad dan Eid Sidek guide saya di thailand, cikgu joe satun.. Terima kasih kepada warga atm yang mendoakan keselamatan saya.

Hari 1-   Alor Setar-Baling--Gerik-Banjaran-Jeli-Besut 394km
Hari 2-   Besut-Setiu-Marang-Kerteh-Chukai-Kuantan 349km
Hari 3-   Kuantan-Pekan-Rommpin-Mersing-Kota Tinggi-Ulu Tiram- Johor Bahru 325km
Hari 4-   Johor-singapore-pekan nanas-tanjung pia-kukup-pontian kecol-rengit-batu pahat-muar -melaka 295km
Hari 5-   Melaka-sungai udang-kuala sungai baru-teluk kemang-port dickson-sepang-klia cargo( pos moto ke kuching) 142km
Hari 6-   Moto dah sampai..  Area kuching 55km

Hari 7-   Kuching-serian-seri aman-sibu 375km
Hari 8-   Sibu-selangau-bintulu 236km
Hari 9-   Bintulu-miri 221km
Hari 10- Miri-sungai 7-bandar seri begawan-kuala lurah-limbang-temurung kecil-lawas 303km
Hari 11- Lawas-sipitang-tenom-keningau 225km
Hari 12- Keningau-sook-nabawan-kalabakan-tawau 343km
Hari 13- Tawau-semporna-kunak-lahad datu-felda sahabat-lahad datu 480km
Hari 14- Lahad datu-kinabatangan-sandakan 178km
Hari 15- Sandakan-sapi nangoh_kinabungan-kota marudu-kudat 454km
Hari 16- Kudat-kota marudu-marak parak-ranau-kundasang-nabalu-melangkap 246km
Hari 17- Melangkap-kota belut- kota kinabalu-papar-bogawan-membakut- kuala penyu-menumbok-labuann 252km
Hari 18- Labuan-menumbok-beufort-papar-kota kinabalu 214km

Hari 19- Kota kinabalu-mas cargo 30km
Hari 20- Mas cargo klia - kuala lumpur 70km
Hari 21- Kuala lumpur - kuala selangor-sekincan-teluk intan-taiping-penang- sungai petani-alor setar-arau 582km
Hari 22- Arau-padang besar-hatnyai-pathalung-chunphon 560km
Hari 23- Chumphon-hua hin-khancanaburi 516km
Hari 24- Kanchanaburi-tak-mea sot 534km
Hari 25- Mea sot-mea sariang-mea hong son-pai 501km
Hari 26- Pai-chang mai 141km
Hari 27- Chang mai-chang rai-mea sai-tachilek 342km
Hari 28- Tachilek-chiang khong(sangkot nak masuk laos)-phu chi fa 196km
Hari 29- Phu ci fa - nan-phitsonulok-khao kho 534km
Hari 30- Khoa kho-phetcabun-bangkok 490km
Hari 31- Bangkok-Bangkok train railway 32km
Hari 32- Hatyai-Songkla-Patthani-Yala-Betong-Baling-Alor Setar 429km








Hap Seng Trucks Distribution kini pengedar kenderaan komersial Mercedes dan Fuso

Hap Seng Trucks Distribution Sdn. Bhd. telah menyempurnakan pengambilalihan perniagaan pengedaran kenderaan komersial  dari Mercedes-Benz Malaysia pada 1 November 2018.

Hap Seng Trucks Distribution kini merupakan pengedar umum eksklusif Mercedes-Benz Trucks, Mercedes-Benz Vans dan FUSO Trucks di Malaysia, termasuk pengendalian import, pemasangan, pengedaran borong dan perkhidmatan selepas jualan bagi kenderaan komersil Mercedes-Benz dan FUSO.
Majlis "perasmian pejabat" Hap Seng Trucks Distribution telah diadakan di pejabat baru di Wisma Mercedes-Benz di Kinrara, Puchong (yang direka, dibina, diurus dan dimiliki oleh kumpulan Hap Seng) untuk memperingati peristiwa penting ini.

Hap Seng Trucks Distribution diterajui oleh Encik Roland Schneider, warga Jerman dengan kerjaya cemerlang selama 28 tahun dengan kumpulan Daimler dengan pelbagai rekod pencapaian.

Hap Seng Trucks Distribution Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat milik penuh Hap Seng Consolidated Berhad, sebuah syarikat tersenarai awam di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad dengan modal pasaran kira-kira RM23 bilion. Ia adalah kumpulan berpelbagaian dengan enam perniagaan teras - ladang, pelaburan hartanah dan pembangunan, pembiayaan kredit, automotif, perdagangan baja dan bahan binaan.