Northern Pulsar Crew kumpul peminat Modenas

Minat kepada jenama motosikal yang sama telah mencetuskan penubuhan Northern Pulsar Crew (NPC), yang merupakan salah sebuah kelab permotoran yang bernaung di bawah Modenas Pulsar Owner’s Club (MPOC). Ia nya telah ditubuhkan secara rasminya pada 19 Jun 2017 yang lalu. NPC disertai oleh pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat khasnya para pemilik motosikal model Pulsar RS200, Pulsar NS200 dan V15 yang berada di negeri-negeri utara semenanjung iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Buat masa ini jumlah ahli kelab telah pun mencapai lebih daripada 200 ahli.
NPC kini sedang bergiat cergas di dalam mengumpulkan para pemilik motosikal model Pulsar dan V15 yang keberadaannya dalam pasaran tempatan hampir mencecah usia setahun sejak ianya dilancarkan pada bulan Mei 2017. Hasil kesepakatan ahli-ahli terawal, NPC telah mengadakan sesi teh tarik atau 'teh tarik session' TTS pertamanya yang dilangsungkan di Bertam bagi membincangkan hala tuju kelab di samping bersuai kenal dengan para pemilik RS200, NS200 dan V15. Beberapa siri TTS susulan turut berlangsung bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli dan juga membincangkan aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan oleh NPC.
Sepanjang penubuhan kelab ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan bersama para ahli NPC. Antara aktiviti yang pernah dilakukan adalah konvoi ke Kuala Lumpur Passion Shop bersama kelab MPOC, konvoi sokongan ke Northern Bike Week 2017, konvoi ke Restoran Nasi Bamboo di Sungai Klah bersama MODENAS dan kelab MPOC, konvoi sokongan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat utara di MODENAS Gurun, konvoi sokongan ke acara Santai Anak Utara 5.0, berkonvoi ke Cameron Highland, menyertai acara Motonation di stadium Batu Kawan, konvoi amal ke rumah Anak-anak Yatim Kampung Cheh Bukit Gantang di Taiping serta beberapa lagi aktiviti-aktiviti sampingan.
Warga NPC kini sedang di dalam perancangan untuk membuat baju dan pelekat sebagai identiti rasmi kelab dan membuka akaun Facebook untuk menjadikan kelab ini lebih dikenali disamping memudahkan pengumpulan para pemilik baru serta berkongsi pelbagai maklumat yang bermanfaat untuk komuniti permotoron amnya. Perancangan pelbagai aktiviti kelab juga turut dijalankan daripada masa ke semasa berdasarkan cadangan daripada warga NPC.
Diharapkan dengan kehadiran kelab NPC dapat memeriahkan lagi dunia permotoran di Malaysia secara amnya melalui perkongsian aktiviti-aktiviti dan pengalaman sebenar para pemilik model Pulsar RS200, NS200 dan V15. Untuk sebarang pertanyaan dan berhubung dengan NPC, anda bolehlah menelefon atau menggunakan aplikasi Whatsapp kepada barisan wakil kelab:
1. Akmal – RS200    : 016-6801502
2. Izham – NS200    : 013-2288231
3. Lokhman – V15    : 012-5390177
Pautan Facebook NPC: https://www.facebook.com/npcfamilia/






Nombor Plet "F 1" Berharga RM109 Juta




Afzal Kahn, pemilik syarikat pengubahsuaian kereta-kereta eksotik dan mewah Kahn Design, telah  menawarkan nombor plet istimewa “F 1” yang didaftar di Britain dengan harga sekitar RM109 juta atau 20 juta pound.
Ini ialah harga yang termahal dalam sejarah yang pernah ditawarkan untuk nombor plet dimana-mana. 

Lebih menakjubkan ialah apabila Kahn membeli nombor tersebut pada tahun 2008, dia hanya membayar RM2.4 juta sahaja - suatu harga yang sangat berpatutan berbanding harga sekarang - untuk nombor tersebut.



Nombor “F 1” itu sekarang terlekat pada kereta Bugatti Veyron Super Sport. 

Jika anda tidak membeli plet itu, harga RM109 juta membolehkan anda membeli dua buah kereta McLaren F1 (yang sangat jarang didapati dijual sekarang).



Suatu ketika dulu, Kahn pernah ditawarkan harga RM32 juta untuk nombor itu tetapi dia menolak tawaran itu.

Bagaimana? Anda mahu nombor itu?


Tiada Lagi Alat Ganti Untuk Proton Wira




Hari ini ialah hari yang sedih bagi pemilik-pemilik Proton Wira seluruh Malaysia.
Ini kerana menurut laporan akhbar The Star, pengeluar alat ganti Proton telah memberhentikan pengeluaran alat ganti untuk model Wira.
“Sudah 10 tahun sejak model Wira terakhir dikeluarkan dan sudah 25 tahun sejak model pertama Wira dikilangkan. Pengeluar OEM tidak lagi merasa berbaloi untuk mengeluarkan alat-alat ganti model Wira dan mereka lebih mengutamakan pembuatan alat-alat ganti untuk model-model baru,” menurut sumber The Star yang dikatakan datang dari industri automotif.


Jika benar, nampaknya hanya alat-alat ganti yang sedia ada dipasaran sahaja yang boleh menampung keperluan mereka yang masih memandu Proton Wira. Dan kemungkinan harganya pun akan naik tidak lama lagi.

BMW Nightfuel 2018 Sabtu ini!

BMW Motorrad Malaysia bakal menyambut Making Life a Ride bersempena BMW Motorrad Nightfuel ke-4 pada hari Sabtu, 7 April ini di Putrajaya Recreational Airport.   Acara dipenuhi muzik, hiburan, dan makanan ini merupakan acara pertemuan terbesar bagi peminat-peminat motosikal premium dari seluruh pelusuk negara.
Peminat yang hadir akan diberikan pratonton eksklusif rangkaian BMW Motorrad Spezial iaitu rangkaian istimewa yang mempunyai seleksi pengubahsuaian untuk jentera BMW R NineT yang menawarkan sentuhan peribadi dengan kualiti terbaik. Rangkaian ini merangkumi warna-warna ekslusif Spezial dan aksesori tambahan berkualiti tinggi di mana kesemuanya boleh dipadankan dengan penampilan menyeluruh BMW R NineT tersebut.
Untuk memeriahkan lagi malam istimewa ini, pelbagai aktiviti akan diadakan untuk penunggang motosikal dan mereka yang menggemari BMW Motorrad. Rangkaian aksesori penunggangan BMW Motorrad terbaharu akan turut dipamerkan di samping hidangan makanan yang lazat ketika acara tersebut berlangsung yang akan disertakan dengan alunan muzik tempatan melalui persembahan daripada kugiran muzik, 9 Lives. Para hadirin juga berpeluang mencuba nasib melalui beberapa sesi cabutan bertuah yang diatur, ‘Win with BMW Motorrad’.
Butiran acara:
Tarikh : 7 April 2018, Sabtu
Waktu : Dari 7:00 Petang hingga 11:30 Malam
Tempat : Putrajaya Recreational Airport (Airfield)
Jalan P6, Presint 6, 62200 Putrajaya.
Untuk maklumat lanjut mengenai BMW Motorrad Nightfuel 2018, layari laman Facebook BMW Motorrad 2018.

Proton apa tu?

PROTON menjemput orang ramai untuk mengundi nama SUV pertama PROTON. Undian dalam talian ini telah dilancarkan undian secara dalam talian pada Isnin, 2 April 2018 dan akan berlangsung selama satu bulan menerusi laman Facebook rasmi PROTON (www.facebook.com/ProtonCarsOfficial) dan dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa sebarang pembelian diperlukan.

"Kami ingin berkongsi bersama rakyat Malaysia peristiwa yang bermakna ini kerana SUV baharu tersebut juga merupakan simbol pencapaian untuk negara kita. Oleh itu, kami akan memberi ganjaran kepada orang ramai yang turut serta dalam undian ini dan seramai lima orang responden yang bertuah akan dipilih sebagai pemenang untuk menerima hadiah-hadiah menarik," kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran PROTON.

Baucar hadiah bernilai RM100,000 akan dibahagikan kepada para peserta sebagai tanda penghargaan manakala lima pemenang utama akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang mereka undi. Pakej hadiah yang bakal diterima terdiri daripada pengalaman bernilai seperti undangan ekslusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi dan ciri-ciri terkini yang terdapat pada SUV tersebut di trek ujian PROTON di Shah Alam.

Selain itu juga orang ramai turut diberi pilihan untuk mencadangkan nama lain bagi SUV tersebut. Sekiranya nama tersebut dipilih, seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan 2 orang selama 4 hari 3 malam ke Hangzhou dan Shanghai termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely.

SUV pertama PROTON adalah model pertama yang dibangunkan bersama Geely. Ia merupakan SUV premium pertama bagi segmen C yang dihasilkan oleh jenama automotif Malaysia dan akan dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri seperti sistem keselamatan pasif, aktif dan kognitif yang kebiasaannya hanya didapati pada kereta jenama lain yang lebih premium. Ia juga merupakan salah satu produk yang bakal menaikkan nilai jenama PROTON pada tahun-tahun yang akan datang.
Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV pertama tersebut.
-