Rahimi muncul pemenang Wira

 

 
 
 Rahimi Nabil Razu melakukan kejutan apabila menjuarai perlumbaan tujuh lap Kategori Wira.

Meskipun mendapat tentangan sengit daripada pencabarnya terutama pada lap terakhir, namun ia tidak menggugat peluang pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing itu untuk bergelar juara apabila terlebih dahulu mencecah garisan penamat dengan catatan masa 10:16.015s.

Ia dilihat sebagai permulaan baik buat pasukan tersebut musim ini selepas berjaya melahirkan juara keseluruhan kelas Wira pada musim lalu menerusi Aliff Danial yang kini naik pangkat ke kelas CP125 bersama pasukan baharu, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Tempat kedua perlumbaan akhir kelas Wira itu hari ini diraih pelumba pasukan ONEXOX SAG Team, Md Izzat Md Raduan dengan merekodkan masa 10:16.016s manakala di tempat ketiga menjadi milik Md Harith Haziq Zamri (Castrol Power1 Racing Team) dengan masa 10:16.058s.

Sebaik berakhirnya saingan hari ini, Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS akan berehat seketika sebelum meneruskan aksi Pusingan 2 yang dijadualkan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 22-23 Ogos depan.

 

ONEXOX menguasai saingan sulung kelas CP125.

 

Barisan pelumba pasukan ONEXOX telah menguasai saingan bagi perlumbaan akhir kelas CP125.

Md Syafieq Aiman Md Fauzi (ONEXOX SAG Team) mencuri tumpuan apabila muncul juara dengan catatan masa 11:21.868s manakala Md Shafiq Rasol (ONEXOX TKKR SAG Team) berada di tempat kedua dengan masa 11:21.875s

Seorang lagi rakan mereka, Md Hafiza Rofa menamatkan perlumbaan 8 lap itu di tempat ketiga dengan catatan masa 11:21.913s.


Helmi juara pertama 2020

 

Pelumba pasukan Hi Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman dinobatkan sebagai juara perlumbaan akhir kelas CP150 pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Sepang (Utara) semalam.

Pada perlumbaan tersebut, Helmi menamatkan saingan dengan catatan masa 15:34.837 saat (s), sekali gus meraih 20 mata kejuaraan setakat ini.

Helmi yang turut tampil hebat pada sesi kelayakan semalam, meneruskan rentak cemerlang pada perlumbaan akhir hari ini dan sebaik perlumbaan bermula, dia tidak membiarkan pelumba lain untuk berada di hadapannya.

Sejak lap pertama, dia pantas menempatkan kedudukannnya dalam kelompok hadapan meskipun telah beberapa kali cuba dipintas oleh pencabar terdekatnya, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemtisu Honda Yuzy Racing.

“Perlumbaan hari ini tidak semudah yang dijangkakan. Ia berlangsung sengit sejak daripada permulaan, namun saya bersyukur kerana berjaya mengawal keadaan dengan baik serta lebih berhati-hati terutama selepas hujan turun ketika saingan memasuki lap keenam.

“Prestasi jentera juga telah memberi kepuasan kepada saya dan terima kasih kepada pasukan yang bertungkus-lumus menyediakan ‘setting’ terbaik terhadap jentera Honda saya untuk menempuhi perlumbaan hebat ini.”

Azroy antara pelumba yang diramal mampu menguasai aksi akhir hari ini, selepas muncul terpantas pada sesi kelayakan semalam.

Namun, nasib ternyata tidak menyebelahi Azroy kerana dia turut terlibat dalam kemalangan membabitkan enam pelumba di lap keenam, namun dia pantas bangkit meneruskan saingan untuk menamatkan perlumbaan akhir itu di tempat ketiga dengan masa 15:54.446s.

Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan AHM Motorsports, Md Khairul Ikhwan Ajis dengan masa 15:51.278s bagi membolehkannya meraih 16 mata kejuaraan.

 

 


 

Thailand dapat Yamaha WR155

 

Thailand akan menjadi pasaran kedua selepas Indonesis yang melancarkan Yamaha WR155R baharu pada bulan Julai ini. Yamaha Thailand belum membuat pengumuman mengenai jangkaan harga jualan untuk jentera WR155R ini.
Yamaha WR155R 2020 yang baharu telah tiba di Indonesia pada bulan April dengan 2 pilihan warna: Hitam dan Biru, dengan harga tersenarai Rp 36,900,000 (kira-kira RM10,752). 
Dizahirkan untuk bersaing secara langsung dengan nama besar seperti Kawasaki KLX150 atau Honda CRF150L dalam segmen tersebut, Yamaha WR155R 2020 mempunyai penampilan yang cukup bagus dan kemas dengan sisi tajam, ekor kecil dan badan setinggi 245mm. Sejak pelancaran, Yamaha WR155 telah dinilai sebagai salah satu model serba boleh dengan harga yang menarik di pasaran.
Yamaha WR155R direka untuk digunakan terutamanya di trek luar jalan kasar - model motosikal luar jalan sebenar. Ia dilengkapi dengan sistem topang atau fork depan 41mm dengan perjalanan topang yang cukup panjang, membantu mengekalkan kestabilan kenderaan di jalan yang tak sekata. Sementara itu, penyerap kejutan monoshock berspring di bahagian belakang mampu untuk dilaras pra-beban seperti yang dikehendaki oleh penunggang, digabungkan dengan tayar bunga kasar untuk membantu Yamaha WR155R menjadi lebih kuat ketika di luar jalan.
Bila HLYM nak bawa masuk...?
 

 

Idlan Haqimi hebat di penampilan sulung MSBK

Idlan Haqimi Raduan yang membuat kemunculan sulungnya untuk pasukan Boon Siew Honda di Kejohanan Malaysia Superbike 2019 hujung minggu lepas telah mengejutkan pesaingnya apabila memacu Honda CBR250RR untuk mencatat masa terpantas sesi kelayakan dengan masa 2'30.116s. Catatan masa bakat muda tersebut merupakan rekod kelayakan MSBK250 baharu bagi Litar Antarabangsa Sepang.
Pendahulu kejohanan Aiman ​​Tahiruddin pula mencatatkan masa kedua terpantas pada sesi tersebut dengan 2'30.376s diikuti oleh Mohd Kanafi Kamaruddin di tempat ketiga dengan 2'30.974s.  Pelumba kedua CKJ Yamaha Racing Team, Abdullah Qayyum A Razak mencatat masa keempat terpantas dengan 2'32.359s.

Idlan, 15 tahun, membuktikan kemampuannya apabila berjaya muncul juara dalam Perlumbaan 1 dengan menunggang Honda CBR250RR yang menguasai siri Asia sejak beberapa musim lalu. Meneruskan momentum petak pertamanya, Idlan beraksi hebat di Perlumbaan 1 dengan hampir tidak dapat dicabar dalam masa 20' 00.694s.
Perlumbaan 2, bagaimanapun, ternyata menjadi sama sekali berbeza untuk Idlan. Penunggang Boon Siew Honda Racing itu menghadapi saingan sengit daripada Mohd Syafieq Aiman ​​Mohd Fauzi dari ONEXOX TKKR SAG Team dan 31 Racing's Vorapong Malahuan. Tekanan daripada pesaingnya yang lebih berpengalaman menyaksikan Idlan terkeluar dari Perlumbaan 2 pada pusingan akhir.

Namun beliau kembali menyerlah apabila muncul Naib Juara dalam Perlumbaan 3, dan menduduki tempat kelima dalam Perlumbaan 4 iaitu perlumbaan terakhir MSBK musim 2019 ini.