Pelumba pasukan Hi Rev SCK
Honda Racing, Md Helmi Azman dinobatkan sebagai juara perlumbaan akhir
kelas CP150 pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar
Sepang (Utara) semalam.
Pada perlumbaan tersebut, Helmi menamatkan
saingan dengan catatan masa 15:34.837 saat (s), sekali gus meraih 20 mata
kejuaraan setakat ini.
Helmi yang turut tampil hebat pada sesi
kelayakan semalam, meneruskan rentak cemerlang pada perlumbaan akhir hari ini
dan sebaik perlumbaan bermula, dia tidak membiarkan pelumba lain untuk berada
di hadapannya.
Sejak lap pertama, dia pantas menempatkan
kedudukannnya dalam kelompok hadapan meskipun telah beberapa kali cuba dipintas
oleh pencabar terdekatnya, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemtisu Honda Yuzy
Racing.
“Perlumbaan
hari ini tidak semudah yang dijangkakan. Ia berlangsung sengit sejak daripada
permulaan, namun saya bersyukur kerana berjaya mengawal keadaan dengan baik
serta lebih berhati-hati terutama selepas hujan turun ketika saingan memasuki
lap keenam.
“Prestasi jentera juga telah memberi
kepuasan kepada saya dan terima kasih kepada pasukan yang bertungkus-lumus
menyediakan ‘setting’ terbaik terhadap jentera Honda saya untuk menempuhi
perlumbaan hebat ini.”
Azroy antara pelumba yang diramal mampu
menguasai aksi akhir hari ini, selepas muncul terpantas pada sesi kelayakan
semalam.
Namun, nasib ternyata tidak menyebelahi
Azroy kerana dia turut terlibat dalam kemalangan membabitkan enam pelumba di
lap keenam, namun dia pantas bangkit meneruskan saingan untuk menamatkan
perlumbaan akhir itu di tempat ketiga dengan masa 15:54.446s.
Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan
AHM Motorsports, Md Khairul Ikhwan Ajis dengan masa 15:51.278s bagi
membolehkannya meraih 16 mata kejuaraan.