Petron taja Rainforest Challenge (RFC) 2018

 
Syarikat minyak Petron kembali sebagai penaja bahanapi dan minyak enjin rasmi kepada salah satu daripada 10 acara off-road paling sukar di dunia, Acara Kemuncak Rainforest Challenge (RFC) di Malaysia. Petron telah membekalkan bahanapi kepada lebih 150 kenderaan 4x4 yang disertai oleh 300 peminat off-road dari 30 buah negara yang bersaing dalam hutan hujan tropika di Malaysia bermula 24 November lalu. 

RFC Malaysia, acara kemuncak perlumbaan off-road 4x4 merupakan acara terakhir dari Siri RFC Global (RFCGS) yang merupakan litar perlumbaan off-road di seluruh dunia yang merangkumi 22 negara dengan 45 acara. Tahun ini, para peserta melalui Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan kemudiannya berakhir di Gua Musang. Peringkat-peringkat perlumbaan dinamakan Zon Predator, Terminator dan Twilight yang merangkumi curam yang tinggi, menyeberangi jambatan sempit, paya tropika, mengharungi kolam berlumpur dan menavigasi melalui sungai besar di Bering.

  
Acara bermula pada 24 November di Dataran Redha, Kota Lama Kota Bharu, konvoi diiringi oleh kereta polis tempatan ke tapak perkhemahan di Tumpat Pantai Sri Tujuh untuk bermalam semalaman. Para peserta mengisi minyak di stesen minyak Petron di Belimbing, Tanah Merah sebelum memasuki pit stop cabaran di Air Naga, Gua Harimau dan Bering.
  Oleh kerana seksyen off-road jauh dari bandar atau kampung, kesemua kenderaan perlumbaan dan sokongan mesti mempunyai bahanapi yang mencukupi untuk bertahan dari 27 November sehingga 4 Disember. Mereka memasuki perhentian terakhir di pit stop Pos Gob - penempatan orang asli terhujung di Kelantan yang merupakan tapak perkhemahan ke-6. Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kuala Betis untuk mengisi bahanapi buat kali terakhir di stesen minyak Petron di Gua Musang.
 “Petron berbangga untuk menjadi rakan kongsi liga sukan bermotor ekstrem 4x4 ini sebagai penaja  bahan petroleum rasmi untuk tahun ketiga. Rainforest Challenge semestinya melahirkan semangat kesukanan yang terbaik daripada semua peserta. Tahun ini, kami memperkenalkan minyak enjin Petron Rev-X Engine Oil bagi melengkapkan Turbo Diesel Euro 5 dalam perlumbaan legendari ini untuk prestasi dan pembersihan enjin yang terbaik. Penajaan ini menunjukkan keunggulan produk kami yang telah terbukti sebagai minyak terbaik untuk perlumbaan mencabar termasuklah perlumbaan off-road serta untuk penggunaan harian pemandu,” kata Choong Kum Choy, Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron Malaysia.
  “RFC sangat teruja dengan penyertaan Petron sebagai penaja minyak dan minyak enjin rasmi bagi menghadapi perlumbaan dalam keadaan yang sukar di musim tengkujuh. Muka bumi yang basah memerlukan produk tahan lasak untuk memastikan perjalanan yang lancar. Pepatah “Apabila berdepan dengan kesukaran hidup ataupun masa yang sukar, seseorang itu perlu bertahan, kuatkan semangat dan mengharungi saat itu dengan berani” sangat sesuai untuk digunakan bagi produk Petron yang telah digunakan dalam Rainforest Challenge. Tahun ini, kami melalui sektor off-road terpanjang dalam musim tengkujuh, tapi kami yakin minyak enjin Petron telah berjaya menamatkan perlumbaan ini,” kata Luis J.A. Wee, Pengasas dan Pengurus Rainforest Challenge & Siri Global RFC.
  Petron Turbo Diesel Euro 5 dirumuskan untuk meningkatkan prestasi enjin, memastikan ekonomi bahan api yang lebih baik, dan memanjangkan hayat enjin. Ia mempunyai kandungan sulfur yang lebih rendah iaitu 10 bahagian per juta dan 50 kali lebih bersih daripada diesel Euro 2M, mengurangkan pelepasan ekzos dan menahan haba melampau yang terdapat pada sistem suntikan minyak pada hari ini. Minyak Enjin Petron Rev-X melindungi enjin dengan Dynamic Cleaning Technology (DC Tech) untuk memastikan enjin bersih untuk perlindungan pakai yang lebih baik dan operasi yang lebih lancar.
   
Untuk maklumat tambahan mengenai RFC, sila layari laman web www.rainforest-challenge.com atau Instagram @rainforestchallenge @luisjawee.

















Honda Asia Dream Racing sertai ASB1000 ARRC 2019

Honda Group of Companies Asia & Oceania meneruskan komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi pembangunan sukan permotoran di rantau Asia dan Oceania. Dalam satu sesi pengumuman bersama media selepas Perlumbaan 1 pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Thailand, Honda mengumumkan pembentukan pasukan Honda Asia Dream Racing yang akan membawa cabaran Honda di dalam kelas ASB1000cc bermula musim depan.
 Pasukan ini akan diwakili oleh pelumba tunggal dari Malaysia, Mohd Zaqhwan Zaidi bersama-sama Makoto Tamada yang akan bertindak sebagai Pengurus Pasukan dan Zulhelmi Ahmad sebagai Penolong Pengurus Pasukan.

Pasukan ini juga akan dianggotai oleh tenaga-tenaga dari Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Sebagai persediaan meghadapi cabaran kelas ASB1000, Zaqhwan telah menyertai saingan JSB1000 Kejuaraan Seluruh Jepun di sepanjang musim 2018 selain pasukan ini turut menyertai perlumbaan berprestis Suzuka 8 Hours di mana mereka menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.

Azlan Shah wakili pasukan ONEXOX TKKR Racing Team bagi ASB1000 ARRC


Pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman akan bersama pasukan ONEXOX TKKR Racing Team bagi menghadapi saingan kategori ASB1000 pada Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) musim 2019.


Pelumba berusia 34 tahun itu akan beraksi menggunakan jentera BMW S1000 RR.

“Azlan merupakan antara pelumba terbaik di Malaysia ketika ini. Saya agak terkejut memandangkan dia tidak diikat oleh mana-mana paukan pengeluar, jadi ia merupakan satu peluang baik kepada pasukan kami untuk memiliki pelumba berkaliber seperti Azlan di dalam pasukan,” jelas principal pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Bobie Farid.
 “Tidak ada pelumba lain yang memiliki pengalaman luas sepertimana yang ada pada Azlan,” jelas Bobie merujuk kepada pencapaian Azlan selama ini bermula dari siri Kejuaraan Cub Prix sehingga menjadi pelumba terbaik ARRC dan seterusnya menimba pengalaman di dalam kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia.

Saingan musim 2019 menyaksikan pasukan ONEXOX TKKR Racing akan menyertai semua kelas di dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan juga ARRC. Pasukan tersebut juga sedang membuat perancangan untuk membuat penampilan pertama di dalam siri Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV).

Cycle & Carriage tidak lagi pegang syer Mercedes Benz Malaysia


Cycle & Carriage Bintang Berhad  mengumumkan bahawa pada 30 November 2018 ia telah menerima notis daripada Daimler AG yang berhasrat melaksanakan opsyen panggilan mereka untuk mengambilalih baki 66,003,000 saham Mercedes Benz Malaysia yang kini dipegang oleh CCB. Selaras dengan pelaksanaan pilihan panggilan tersebut, CCB  harus menjual Saham MBM kepada DAG (atau pihak yang boleh dicalonkan oleh DAG) bernilai RM66,003,000 dan seterusnya CCB tidak lagi berhak keatas dividen tahunan kira-kira RM11.2 juta. Berikutan perlaksanaan pelupusan syer ini, CCB tidak lagi memegang saham dalam MBM. Perlaksanaan pelupusan ini akan berkuatjuasa sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan dari tarikh perlaksanaan tersebut.
CCB mempunyai hubungan jangka panjang dengan Mercedes-Benz selama lebih dari 50 tahun dan ingin mengulangi bahawa Pelupusan syer ini tidak akan memberi kesan langsung kepada operasi dagangan, prestasi perdagangan atau sokongan pelanggan mereka. CCB adalah kumpulan peniaga Mercedes-Benz terkemuka di Malaysia, dengan 13 kemudahan jualan dan lepasjualan di seluruh negara untuk melayani pelanggan Mercedes-Benz. Ia komited untuk menjadi rakan kongsi pilihan pelanggan MBM dan Mercedes-Benz, dan akan terus bekerjasama dengan MBM untuk mengembangkan jenama Mercedes-Benz dalam segmen kereta mewah Malaysia.

Azlan gagal pertahan gelaran SS600 ARRC


Azlan Shah Kamaruzaman gagal mempertahankan gelaran keseluruhan keseluruhan SuperSports 600cc yang dimenangi pada musim lepas sambil menyaksikan gelaran menjadi milik pelumba Thailand, Ratthapong Wilairot pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) yang berakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.


Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu perlu memenangi Perlumbaan 2 untuk muncul juara keseluruhan bagaimanapun kecewa apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan masa keseluruhan 30’06.927s di belakang Ratthapong yang memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 30’00.360s sekaligus mengesahkan gelaran keseluruhan yang kali terakhir dimenangi pelumba Thailand melalui rakan sepasukan Ratthapong, Decha Kraisart pada tahun 2010.
Decha turut menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan masa 30’00.701s diikuti rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira ketiga dengan masa 30’03.412s.
Penamat di tempat kelima menyaksikan Azlan menamatkan musim 2018 di kedudukan keempat keseluruhan dengan mengumpul 123 mata.
Ratthapong di kedudukan teratas dengan 141 mata diikuti Anthony West kedua, 136 mata manakala Yudhistira di kedudukan ketiga dengan 131 mata.
“Minggu ini begitu mengecewakan saya. Saya mahu menamatkan musim terakhir dalam kategori ini di kedudukan teratas namun gagal,” jelas Azlan yang akan beralih ke kategori ASB1000cc pada musim 2019.
Tambah Azlan, “Saya sudah mencuba yang terbaik namun keupayaan jentera yang tidak berada pada tahap maksimum menyaksikan saya gagal untuk mengejar pelumba di hadapan. Walaubagaimanapun, musim ini sudah tamat dan saya perlu bersedia untuk musim 2019.”

SUPERSPORTS 600CC
1 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 30’00.360s
2 Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 30’00.701ss
3 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30’03.412s
4 Tomoyoshi Koyama (JPN) Musashi Boon Siew Honda Racing 30’03.412s
5 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30’06.927s

Kedudukan Keseluruhan
1 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 141 mata
2 Anthony West (AUS)  Webike IKAZUCHI Racing 136 mata
3 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 131 mata
4 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 123 mata
5 Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team 117 mata

Kedudukan Keseluruhan Berpasukan
1 Webike IKAZUCHI Racing 162 mata
2 Manual Tech KYT Kawasaki Racing 162 mata
3 YAMAHA Thailand Racing TEAM 160 mata
4 Musashi Boon Siew Honda 144 mata
5 Yamaha Racing Asean 120 mata