Honda Asia Dream Racing sertai ASB1000 ARRC 2019

Honda Group of Companies Asia & Oceania meneruskan komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi pembangunan sukan permotoran di rantau Asia dan Oceania. Dalam satu sesi pengumuman bersama media selepas Perlumbaan 1 pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Thailand, Honda mengumumkan pembentukan pasukan Honda Asia Dream Racing yang akan membawa cabaran Honda di dalam kelas ASB1000cc bermula musim depan.
 Pasukan ini akan diwakili oleh pelumba tunggal dari Malaysia, Mohd Zaqhwan Zaidi bersama-sama Makoto Tamada yang akan bertindak sebagai Pengurus Pasukan dan Zulhelmi Ahmad sebagai Penolong Pengurus Pasukan.

Pasukan ini juga akan dianggotai oleh tenaga-tenaga dari Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Sebagai persediaan meghadapi cabaran kelas ASB1000, Zaqhwan telah menyertai saingan JSB1000 Kejuaraan Seluruh Jepun di sepanjang musim 2018 selain pasukan ini turut menyertai perlumbaan berprestis Suzuka 8 Hours di mana mereka menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.

Azlan Shah wakili pasukan ONEXOX TKKR Racing Team bagi ASB1000 ARRC


Pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman akan bersama pasukan ONEXOX TKKR Racing Team bagi menghadapi saingan kategori ASB1000 pada Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) musim 2019.


Pelumba berusia 34 tahun itu akan beraksi menggunakan jentera BMW S1000 RR.

“Azlan merupakan antara pelumba terbaik di Malaysia ketika ini. Saya agak terkejut memandangkan dia tidak diikat oleh mana-mana paukan pengeluar, jadi ia merupakan satu peluang baik kepada pasukan kami untuk memiliki pelumba berkaliber seperti Azlan di dalam pasukan,” jelas principal pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Bobie Farid.
 “Tidak ada pelumba lain yang memiliki pengalaman luas sepertimana yang ada pada Azlan,” jelas Bobie merujuk kepada pencapaian Azlan selama ini bermula dari siri Kejuaraan Cub Prix sehingga menjadi pelumba terbaik ARRC dan seterusnya menimba pengalaman di dalam kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia.

Saingan musim 2019 menyaksikan pasukan ONEXOX TKKR Racing akan menyertai semua kelas di dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan juga ARRC. Pasukan tersebut juga sedang membuat perancangan untuk membuat penampilan pertama di dalam siri Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV).

Cycle & Carriage tidak lagi pegang syer Mercedes Benz Malaysia


Cycle & Carriage Bintang Berhad  mengumumkan bahawa pada 30 November 2018 ia telah menerima notis daripada Daimler AG yang berhasrat melaksanakan opsyen panggilan mereka untuk mengambilalih baki 66,003,000 saham Mercedes Benz Malaysia yang kini dipegang oleh CCB. Selaras dengan pelaksanaan pilihan panggilan tersebut, CCB  harus menjual Saham MBM kepada DAG (atau pihak yang boleh dicalonkan oleh DAG) bernilai RM66,003,000 dan seterusnya CCB tidak lagi berhak keatas dividen tahunan kira-kira RM11.2 juta. Berikutan perlaksanaan pelupusan syer ini, CCB tidak lagi memegang saham dalam MBM. Perlaksanaan pelupusan ini akan berkuatjuasa sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan dari tarikh perlaksanaan tersebut.
CCB mempunyai hubungan jangka panjang dengan Mercedes-Benz selama lebih dari 50 tahun dan ingin mengulangi bahawa Pelupusan syer ini tidak akan memberi kesan langsung kepada operasi dagangan, prestasi perdagangan atau sokongan pelanggan mereka. CCB adalah kumpulan peniaga Mercedes-Benz terkemuka di Malaysia, dengan 13 kemudahan jualan dan lepasjualan di seluruh negara untuk melayani pelanggan Mercedes-Benz. Ia komited untuk menjadi rakan kongsi pilihan pelanggan MBM dan Mercedes-Benz, dan akan terus bekerjasama dengan MBM untuk mengembangkan jenama Mercedes-Benz dalam segmen kereta mewah Malaysia.

Azlan gagal pertahan gelaran SS600 ARRC


Azlan Shah Kamaruzaman gagal mempertahankan gelaran keseluruhan keseluruhan SuperSports 600cc yang dimenangi pada musim lepas sambil menyaksikan gelaran menjadi milik pelumba Thailand, Ratthapong Wilairot pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) yang berakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.


Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu perlu memenangi Perlumbaan 2 untuk muncul juara keseluruhan bagaimanapun kecewa apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan masa keseluruhan 30’06.927s di belakang Ratthapong yang memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 30’00.360s sekaligus mengesahkan gelaran keseluruhan yang kali terakhir dimenangi pelumba Thailand melalui rakan sepasukan Ratthapong, Decha Kraisart pada tahun 2010.
Decha turut menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan masa 30’00.701s diikuti rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira ketiga dengan masa 30’03.412s.
Penamat di tempat kelima menyaksikan Azlan menamatkan musim 2018 di kedudukan keempat keseluruhan dengan mengumpul 123 mata.
Ratthapong di kedudukan teratas dengan 141 mata diikuti Anthony West kedua, 136 mata manakala Yudhistira di kedudukan ketiga dengan 131 mata.
“Minggu ini begitu mengecewakan saya. Saya mahu menamatkan musim terakhir dalam kategori ini di kedudukan teratas namun gagal,” jelas Azlan yang akan beralih ke kategori ASB1000cc pada musim 2019.
Tambah Azlan, “Saya sudah mencuba yang terbaik namun keupayaan jentera yang tidak berada pada tahap maksimum menyaksikan saya gagal untuk mengejar pelumba di hadapan. Walaubagaimanapun, musim ini sudah tamat dan saya perlu bersedia untuk musim 2019.”

SUPERSPORTS 600CC
1 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 30’00.360s
2 Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 30’00.701ss
3 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30’03.412s
4 Tomoyoshi Koyama (JPN) Musashi Boon Siew Honda Racing 30’03.412s
5 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 30’06.927s

Kedudukan Keseluruhan
1 Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 141 mata
2 Anthony West (AUS)  Webike IKAZUCHI Racing 136 mata
3 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 131 mata
4 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 123 mata
5 Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team 117 mata

Kedudukan Keseluruhan Berpasukan
1 Webike IKAZUCHI Racing 162 mata
2 Manual Tech KYT Kawasaki Racing 162 mata
3 YAMAHA Thailand Racing TEAM 160 mata
4 Musashi Boon Siew Honda 144 mata
5 Yamaha Racing Asean 120 mata

Helmi Azman Juara Keseluruhan UB150 ARRC


Mohd Helmi Azman sah dinobatkan juara keseluruhan Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) setelah muncul naib juara Perlumbaan 1 pada pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand Sabtu lepas.


Masih berbaki satu perlumbaan akhir pada hari Ahad, penamat di tempat kedua di Thailand sudah cukup untuk menyaksikan Helmi bergelar juara dengan mengumpul 192 mata manakala pencabar tunggal yang mampu melengahkan kemenangan Helmi, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing) sekadar tamat di kedudukan ke-14 untuk menjadikan 124 mata keseluruhan.
Kemenangan Helmi bagaimanapun dilihat sukar pada peringkat awal apabila terpaksa bermula dari petak ke-19 setelah mengalami masalah enjin pada sesi kelayakan, semalam namun berjaya memaksimumkan keupayaan jentera untuk berada di kelompok hadapan dari peringkat awal perlumbaan.
Helmi berjaya menamatkan tujuh pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’19.362s di belakang pelumba wildcard, Wawan Wello (Yamaha Yamalube SND Factory) yang menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’18.788s.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba berpengalaman negara, Md Affendi Rosli ((Team One For All) dengan masa keseluruhan 16’19.544s.
“Musim ini sangat sempurna untuk saya kerana berjaya memenangi gelaran Underbone 150cc. Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras dan menyediakan jentera terbaik kepada saya pada musim ini sehingga impian kami semua menjadi kenyataan,” jelas Helmi yang turut membantu pasukan SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan berpasukan dengan mengumpul 192 mata selepas kali terakhir memenangi gelaran pasukan terbaik Asia pada tahun 2009.
“Perlumbaan hari ini sedikit mencabar setelah terpaksa memulakan perlumbaan dari kelompok belakang. Walaupun begitu, saya memang bertekad dari awal lagi untuk menamatkan singan di atas podium dan ia berjaya. Walaupun sudah memenangi gelaran, saya berharap dapat memenangi perlumbaan terakhir musim ini di atas podium pada hari esok.”
Kemenangan tersebut juga menyaksikan pelumba muda negara itu berjaya memastikan gelaran Underbone 150 kekal di Malaysia selepas dimenangi Md Akid Aziz pada musim lepas.

KEPUTUSAN PERLUMBAAN 1
UNDERBONE 150CC
1 Wawan Wello(INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16:18.788s
2 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 16:19.362s
3 Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All 16:19.544s
4 Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team 16:19.562s
5 Gupita Kresna (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16:19.563s

Kedudukan Keseluruhan
1 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 184 mata
2 Md Izzat Zaidi (MAS) RCB Yamaha YY Pang Racing 124 mata
3 Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team 109 mata
4 Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 95 mata
5 Gupita Kresna Wardhana (INA) Yamaha Yamalube SND Factory Yamaha 85 mata

Kedudukan Keseluruhan Berpasukan
1 SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 192 mata
2 RCB Yamaha YY Pang Racing 141 mata
3 Yamaha Yamalube SND Factory 136 mata
4 UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 128 mata
5 ONEXOX TKKR Racing Team 112 mata