Kasma intai podium Suzuka

Kasma, 18 tahun bersama rakan sepasukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli sudah tidak sabar untuk tampil pertama kali dan mencari kemenangan di pentas kejuaraan Kejuaraan Suzuka 4-Hour Endurance yang dijadual bermula pada 27 hingga 29 Julai ini. Pelumba muda negara ini mengintai peluang untuk menaiki podium apabila bakal beraksi dalam saingan berprestij ini yang akan berlangsung di Litar Suzuka, Jepun bagi edisi 2018 ini.


 Mereka berhasrat untuk mengulangi pencapaian gandingan Azlan Shah Kamaruzaman dan Emir Firdaus Hasan yang muncul juara kategori sama pada tahun 2011 diikuti gandingan Emir dan Mohd Zaqhwan Zaidi pada tahun 2012.

 “Saya cukup teruja dan gembira apabila pihak Hong Leong Yamaha memberitahu bahawa kami akan beraksi dalam saingan Suzuka 4-Hour pada tahun ini. Walaupun tidak banyak latihan bersama jentera 600cc, kami mempunyai pengalaman di Litar Suzuka dalam aksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC),” jelas Kasma.

Tambahnya, “Kami meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya dapat menamatkan saingan di atas podium. Saingan semestinya cukup sukar terutama dengan kehadiran pelumba-pelumba yang turut beraksi di ARRC disamping pelumba tempatan Jepun. Walau apapun, kami akan merancang strategi sebaik mungkin terutama dari segi untuk memastikan kecergasan diri pada tahap terbaik.”
 Pada masa sama pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu turut mengintai peluang untuk mempertahankan kemenangan di Litar Jasin apabila turun beraksi dalam kategori CP150 pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, hujung minggu ini. 

Kasma memulakan musim 2018 dengan mencatat kemenangan pada pusingan pembukaan di Litar Tangkak, Johor, April lepas namun tewas kepada Ahmad Afif Amran dan rakan sepasukan, Mohd Akid Aziz sewaktu pusingan kedua di MAEPS, Selangor, baru-baru ini.

“Prestasi saya kekal di tahap terbaik cuma adakalanya sedikit kesilapan akan membawa padah. Itulah yang berlaku di MAEPS. Saya akan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan serupa serta pada masa sama cuba untuk mengekalkan kemenangan di Jasin tahun lalu meskipun pada tahun ini menggunakan litar yang berbeza,” jelas Kasma yang kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 41 mata.

Mampukah Azroy galas tanggungjawab Zack?


Azroy Hakeem Anuar dilihat mampu menggalas tanggungjawab dan menjadi pengganti Mohd Zaqhwan Zaidi dalam pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing berdasarkan persembahan yang dipamerkan pada perlumbaan CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang lepas.

Ia diakui Zaqhwan yang merupakan juara kategori CP130 2014 dan pelumba utama pasukan Yuzy Racing sepanjang beberapa musim lepas. Zaqhwan atau juga dikenali  sebagai Zack terpaksa mengenepikan saingan CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2018 setelah memutuskan untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap perlumbaan 1000cc di Kejuaraan Seluruh Jepun dan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC).
 Menjelang perlumbaan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix di Jasin, Melaka, minggu ini, Zaqhwan percaya Azroy sekali lagi mampu meneruskan aksi cemerlang sebagaimana yang dipamerkan dalam sesi latihan dan kelayakan CP150 di MAEPS, 7 dan 8 Julai lepas. 
 “Saya ada melihat aksi Azroy di Maeps. Dia menunjukkan peningkatan ketara dan sentiasa berada dalam kelompok pelumba hadapan ketika sesi latihan dan kelayakan, cuma kesilapan sewaktu perlumbaan akhir menyebabkan dia hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-10.

“Dia perlu lebih berhati-hati dan bertenang. Sama seperti peringkat awal saya dalam saingan kelas perdana ini, adakalanya saya terburu-buru dan gopoh. Mungkin dengan pengalaman demi pengalaman dalam perlumbaan selepas ini, dia akan semakin matang dan mampu menjadi juara,” jelas Zaqhwan yang akan menyertai Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour pada 27 hingga 29 Julai ini.

Sementara itu menyentuh tentang persediaan untuk perlumbaan 8-Hour, Zaqhwan menjelaskan dia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Tahun ini saya akan bergandingan dengan dua pelumba berbeza berbanding musim lepas. Sesi latihan di Suzuka sepanjang beberapa minggu ini menunjukkan keputusan positif dan kami meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 pasukan terbaik.”

Pernah nampak botol macam ni...?

Tentu ramai yang pelik kenapa ada botol air merah diletakkan di depan runah macam ni.

Percaya atau tidak, sebenarnya ini petua untik mengelakkan kucing atau anjing dari "membuang" di hadapan rumah anda, terutamanya jika pasir selalu terkumpul di situ.

Tak percaya? Cubalah sendiri, mungkin terbukti!

Sekadar petua saja, mungkin binatang agak takut atau gusar dengan adanya botol air berwarna merah tu.....

Aprilia kini bersama Moto Guzzi di Gasket Alley


Konglomerat motosikal dunia, Piaggio Group telah melantik Didi Resources Sdn Bhd in Malaysia, sebagai pengedar rasmi Aprilia di Malaysia. Jenama itu merupakan salah satu jenama premium yang berada di bawah payung Piaggio dan sebelum ini diedarkan oleh Kumpulan Naza.

Perlantikan pengedaran Aprilia oleh Didi Resources akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos2018. Satu siri interaksi bersama media dan pelanggan telah dirancang bagi meneruskan kesinambungan jenama tersebut di negara ini.

Didi Resources yang juga merupakan pemilik pusat pameran dan servis Gasket Alley di Petaling Jaya Selangor akan menempatkan bilik pameran khusus buat kedua dua jenama Aprilia and Moto Guzzi, khidmat lepas-jualan dan juga servis yang akan di uruskan oleh sebuah pasukan teknikal yang dilatih khas oleh Aprilia.


Para pemilik Aprilia sedia ada dijamin akan mendapat khidmat pelanggan dan servis yang berterusan di bawah perlantikan baharu ini.

Pengerusi Didi Resources Sdn. Bhd., En Rewi Hamid Bugo berkata, "Kami amat berbesar hati untuk diberikan peluang untuk menguruskan Aprilia, jenama Piaggio Group yang berprestij untuk pasaran Malaysia. Ia melengkapkan kehadiran Moto Guzzi yang telah kami tubuhkan sejak Ogos 2017 dan melengkapkan rangkaian produk motosikal premium kami di bawah payung Piaggio. Melalui pengambilalihan ini, Didi Resources memberi komitmen kuat untuk membina jenama Aprilia melalui sokongan yang mendalam, mengukuhkan komuniti Aprilia dan memastikan penglibatan dengan jenama ini berterusan dalam suasana persekitaran dua roda yang kompetitif di Malaysia. "

Pengerusi & Ketua Pengarah Piaggio Vietnam merangkap Naib Presiden Eksekutif Dua Roda Asia Pasifik, En Gianluca Fiume, berkata, "Pelantikan Didi Resources adalah sebahagian daripada strategi perniagaan Piaggio untuk menggabungkan jenama motosikal Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu entiti tunggal bagi memaksimumkan kecekapan pengurusan merentasi semua aspek perniagaan dan menguatkan komitmen pelanggan kami di Malaysia. Kini dengan Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu bumbung, kami dapat menawarkan bakal pelanggan yang mencari pengalaman motosikal Itali yang unik yang disokong oleh prestasi unggul dan warisan yang kaya dengan jenama ini. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Didi Resources untuk memacu Aprilia dan Moto Guzzi ke tahap yang lebih tinggi. "

Honda Dash 125 baharu diperkenal dari RM5,999

Boon Siew Honda Sdn Bhd (Boon Siew Honda) semalam memperkenalkan model terbarunya, Dash 125 baharu. Model baru ini dikuasakan oleh enjin serba baharu 125cc yang menyampaikan prestasi yang lebih baik untuk menawarkan tunggangan yang lebih mengujakan dan dinamik.
Pada pelancaran itu, Boon Siew Honda mengumumkan bahawa Dash 125 baru akan menjadi jentera lumba baharu Honda One-Make Race di Malaysian Cub Prix. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, En. Keiichi Yasuda juga mengumumkan pelantikan juara Asia Road Racing Championship (ARRC) dua kali, Zaqhwan Zaidi sebagai Duta Rasmi Dash 125 baru.
Model 125cc baharu ini merupakan pilihan kepada penunggang yang mahukan sebuah motosikal yang mempunyai pakej lengkap dan prestasi lebih baik dan reka bentuk bergaya.

Berucap pada majlis pelancaran tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda berkata, "Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran cub bersesaran cc besar didapati berkembang pesat, kompetitif dan mencabar berikutan permintaan pelanggan yang kian meningkat. Sebagai sebuah syarikat yang komited untuk menawarkan nilai baru untuk keseronokan pelanggan, Boon Siew Honda telah menambah baik tawaran model demi memenuhi keperluan para penunggang di Malaysia. Kami faham akan kehendak dan trend terkini di Malaysia. Oleh itu, kami sangat teruja untuk memperkenalkan Dash 125 baharu yang dijangka menetapkan penanda aras lebih tinggi dalam segmen cub."

Dash 125 baharu menerima beberapa naik taraf berbanding model terdahulu iaitu Wave Dash yang mula diperkenalkan pada 7 tahun lalu. Ia kini menggunakan enjin 125cc yang memberikan tunggangan lebih baik dan berprestasi, sekali gus menjadikan Dash 125 baharu sebuah motosikal terbaik untuk mereka yang mencari sebuah cub yang memiliki prestasi lebih baik pada harga berpatutan. Dash 125 baharu didatangkan dengan rekaan luaran baru yang lebih bergaya serta bentuk keseluruhan yang dinamik. Model baharu ini kini dilengkapi lampu utama LED bagi memberikan iluminasi lebih baik dan keselamatan kepada penunggang yang menunggang pada waktu siang dan malam dalam persekitaran yang pantas bergerak.
Bagi menjadikan estetikanya lebih agresif, Dash 125 baharu dilengkapi dengan pelindung kaki yang bergaya, jalur rim bergaya, rekaan cermin sisi yang menarik dan rekaan meter serba baharu.

Dash 125 baharu didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu Hitam Mutiara (Pearl Magellanic Black), Merah (Vivacity Red), Biru Mutiara (Pearl Nightfall Blue) dan Edisi Repsol.Varian dan harga adalah seperti berikut:

Dash 125 (Brek cakera tunggal) RM5,999
Dash 125 (Brek cakera berkembar) RM6,299
Dash 125 Repsol Edition (Brek cakera berkembar) RM6,499
Harga yang dinyatakan adalah harga bilik pameran yang disyorkan dengan 0% GST, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran.

Dash 125 baharu didatangkan bersama jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000km (mana-mana terdahulu) bagi memastikan pelanggan dapat menikmati penyenggaraan berkualiti tinggi dan juga ketenangan minda.
Rakyat Malaysia akan menyaksikan prestasi mengujakan Dash 125 baharu kerana ia akan menjadi jentera lumba terkini dalam acara Honda One-Make Race untuk saingan Cub Prix Malaysia. Sebelum ini dikenali sebagai 'Honda Wave Alpha Challenge' untuk model Honda Wave Alpha, nama perlumbaan kini dikenali sebagai 'Honda Dash 125 Challenge', selari dengan penukaran kepada model ini. One-Make Race terbukti menjadi satu platform ideal untuk penunggang muda berbakat mengambil langkah pertama sebelum masuk ke dalam dunia sukan bermotor, dengan bimbingan dan sokongan yang mereka perlukan sebelum mara ke peringkat antarabangsa.

Boon Siew Honda mengumumkan pelantikan juara dua kali Asia Road Racing Championship (ARRC), Zaqhwan Zaidi sebagai duta Dash 125 baharu. Penunggang terkenal Honda itu merupakan pelumba Malaysia pertama yang berjaya berlumba dalam All Japan Road Race Championship (AJRRC). Kesungguhan dan perjalanan kerjaya beliau selaku pelumba motosikal nyata memberi inspirasi kepada anak muda untuk mencapai impian masing-masing. Ini menjadikan beliau duta yang ideal buat Dash 125 baharu.