Izzat, Helmi raih podium di Australia

Izzat (kiri) bersaing dengan Wahyu (tengah) dan Helmi (kanan).
 Mohd Izzat Zaidi menghadiahkan podium buat Malaysia apabila berjaya memenangi Perlumbaan 1 kategori Underbone 150cc pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berlangsung di Litar The Bend Motorsport, Australia, hari ini.
 Pelumba RCB Yamaha YY Pang Racing yang memulakan perlumbaan dari petak kelima menamatkan tujuh pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’23.831s sekaligus naik ke tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan jumlah 58 mata.
 Seorang lagi pelumba negara, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing) turut menghadiahkan podium setelah berjaya mengetepikan saingan sengit Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa keseluruhan 16’23.947s manakala Wahyu di tempat ketiga dengan hanya perbezaan 0.021s.

Helmi bagaimanapun jatuh ke tangga kedua dalam senarai keseluruhan dengan 56 mata sambil diekori Wahyu yang mengumpul 36 mata.
“Saya gembira dengan kemenangan pertama musim ini memandangkan agak ketinggalan pada awal perlumbaan selepas berlaku innsiden melibatkan pelumba lain pada awal perlumbaan.

“Selepas itu saya berjaya mengejar dan pada dua selekoh terakhir, Helmi dan Wahyu bersaing sesame sendiri dan membuka ruang untuk saya memecut dan memintas mereka seterusnya memenangi perlumbaan. Saya menghadiahkan kemenangan ini kepada pasukan dan semua yang menyokong dan membantu saya,” jelas Izzat.

Dalam saingan Asia Production 250cc menyaksikan penguasan tiga pelumba Indonesia dengan kemenangan menjadi milik Rheza Danica Ahrens (Astra Honda Racing Team) diikuti rakan sepasukan, Mario Suryo Aji. Kedua-dua pelumba menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 19:18.357s dan 19:18.436s.
Andy Muhammad Fadly (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) di tempat ketiga dengan masa 19:25.995s.

Penamat di tempat keempat cukup untuk membantu Anupab Sarmoon (YAMAHA Thailand Racing TEAM) untuk kekal mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 49 mata. Rheza di kedudukan kedua dengan 48 mata diikuti Mario ketiga, 46 mata.
  
KEPUTUSAN PERLUMBAAN 1
AP250
1 Rheza Danica AHRENS (INA) Astra Honda Racing Team 19:18.357s
2 Mario Suryo AJI (INA) Astra Honda Racing Team 19:18.436s
3 108 Andy Muhammad FADLY (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 19:25.995s
4 Anupab SARMOON (THA) Yamaha Thailand Racing Team 19:26.398s
5 Muklada SARAPUECH (THA) A.P. Honda Racing Thailand 19:28.491s

Kedudukan Keseluruhan
1 Anupab Sarmoon (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 49 mata
2 Rheza Danica Ahren (INA) Astra Honda Racing Team 48 mata
3 Mario Suryo Aji (INA)  Astra Honda Racing Team 46 mata
4 Muklada Sarapuech (THA) AP Honda Racing Thailand 42 mata
5 Rafid Topan Sucipto (INA) Yamaha Yamalube KYT TJM WR Super battery 39 mata

UB150
1 Md Izzat ZAIDI (MAS) RCB Yamaha YY Pang Racing 16:23.831s
2 Md Helmi AZMAN (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 16:23.947s
3 Wahyu Aji TRILAKSANA (INA) Yamaha Racing Indonesia 16:23.968s
4 Md. Aiman AZMAN (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 16:24.253s
5 Md Akid AZIZ (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 16:26.286s

Kedudukan Keseluruhan
1 Md Izzat Zaidi (MAS) RCB Yamaha YY Pang Racing 58 mata
2 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 56 mata
3 Wahyu Aji Trilaksana (INA) Yamaha Racing Indonesia 36 mata
4 Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All 34 mata
5 Md Amirul Ariff Musa (MAS) Yuzy Honda Vietnam Racing Team 31 mata

Rentak terkawal 600 cc ARRC kurangkan kehausan tayar

Azroy pamer aksi positif
Kehausan tayar yang cepat merupakan kebimbangan utama di kalangan penunggang SuperSports 600cc pada hari pertama acara latihan bebas pada Pusingan 2 di The Bend Motorsport Park, Australia. Asfalt litar baharu itu terbukti tidak mesra tayar.

Walaupun begitu, persaingan masih sengit di grid dengan Yuki Ito yang menentukan rentaknya. Pelumba Pasukan Yamaha Racing Team Asean itu mencatat 1'57.332s untuk berada di atas carta catatan masa. Turut mencatat masa dalam lingkungan yang sama adalah Decha Kraisart dan Keminth Kubo yang merupakan pelumba pasukan Yamaha Thailand Racing Team, masing-masing dengan 1'57.552s dan 1'57.964s.

Pelumba Wildcard Broc Pearson pula dilihat berpotensi menjadi ancaman podium. Penunggang Australia yang sudah biasa dengan tahap persaingan seperti dalam Kejohanan Racing Road Asia, mencatat masa terpantas keempat pada 1'58.034s. Tomoyoshi Koyama dari pasukan MUSASHi Boon Siew Honda tamat kelima terpantas dengan 1'58.288s.

Kekurangan data di litar baharu semakin jelas. Hari pertama latihan bebas telah membawa hasil yang berbeza-beza di antara 10 teratas. Irfan Ardiansyah dari Pasukan Astra Honda Racing merupakan yang keenam terpantas dengan 1'58.338s, sementara Ahmad Yudhistira dari  Manual Teknikal KYT Kawasaki Racing mencatatkan ketujuh sementara rakan sepasukannya, Azlan Shah Kamaruzaman, mencatatkan kesepuluh terpantas,  konservatif dengan masa 1'58.641s.
Azlan Shah kesepuluh
Rookie Malaysia Azroy Hakeem Anuar juga menghasilkan keputusan yang boleh dibanggakan, kelapan terpantas dengan 1'58.561s. Wildcard Tom Toparis menurutinya kesembilan terpantas selepas hari pertama latihan ini tamat.

Dalam saingan Asia Production 250cc, duo Astra Honda Racing Team, Rheza Danica Ahrens dan Mario Suryo Aji menguasai sesi latihan bebas hari pertama dengan catatan 2’08.675s dan 2’08.724s diikuti Muklada Sarapuech (AP Honda Racing Thailand) ketiga, 2’08.846s.


Pelumba wildcard dari Filipina, McKinley Kyle Paz yang membawa cabaran pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor mencipta kejutan apabila muncul pelumba terpantas Underbone 150cc dengan masa 2’18.393s mengatasi Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing) yang mencatat masa terbaik 2’18.737s diikuti Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) ketiga, 2’18.922s.



KEPUTUSAN LATIHAN BEBAS

SS600

1 Yuki ITO (JPN) Yamaha Racing Team Asean 1:57.332s

2 Decha KRAISART (THA) Yamaha Thailand Racing Team 1:57.552s

3 Keminth KUBO (THA) Yamaha Racing Team Asean 1:57.964s

4 Broc PEARSON (AUS) Persendirian 1:58.034s

5 Tomoyoshi KOYAMA (JPN) Musashi Boon Siew Honda Racing 1:58.288s

*8 Azroy HAKEEM ANUAR (MAS) Musashi Boon Siew Honda Racing 1:58.561s

*10 Azlan Shah KAMARUZAMAN (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 1:58.641s



AP250

1 Rheza Danica AHRENS (INA) Astra Honda Racing Team 2:08.675

2 Mario Suryo AJI (INA) Astra Honda Racing Team 2:08.724

3 Muklada SARAPUECH (THA) A.P. Honda Racing Thailand 2:08.846

4 Anupab SARMOON (THA) Yamaha Thailand Racing Team 2:09.014

5 Andy Muhammad FADLY (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 2:09.535


UB150

1 McKinley Kyle PAZ (PHI) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:18.393s

2 Md Helmi AZMAN (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 2:18.737

3 Wahyu Aji TRILAKSANA (INA) Yamaha Racing Indonesia 2:18.922s

4 Md Akid AZIZ (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:19.326s

5 Md Haziq Md FAIRUES (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:19.640s

 

ARRC di litar Australia julungkalinya bermula esok

Seluruh kontinjen Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) sudah tidak sabar dan bersedia untuk memulakan aksi buat pertama kali di bumi Australia esok, menjelang pusingan kedua saingan musim 2018 yang akan berlangsung di Litar The Bend Motorsport Park, Australia pada 20 hingga 22 April ini.

Selain perlumbaan ARRC, perlumbaan minggu ini turut dijalankan serentak bersama saingan Kejuaraan Australia Superbike (ASBK) di litar sepanjang 4.95 kilometer yang terletak berhampiran Tailem Bend, 100 kilometer di selatan Adelaide itu.

Selepas tamat pusingan pertama di Buriram, Thailand, Anthony West (webike IKAZUCHI Racing) mendahului kedudukan keseluruhan SuperSports 600cc diikuti Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) kedua dengan 32 mata dan Thitipong Warokorn (Core Kawasaki Thailand Racing Team) ketiga, 25 mata.

Kategori Asia Production 250 di Anupab Sarmoon (Yamaha Thailand Racing Team) dengan 38 mata, Muklada Sarapuech (AP Honda Racing Thailand) kedua dengan 31 mata dan Rafid Topan Sucipto (Yamaha Yamalube KYT TJM WR Super battery) ketiga, juga 31 mata.

Kelas Underbone 150cc dikuasai oleh tiga pelumba Malaysia, diketuai Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing) dengan 36 mata, Md Izzat Zaidi (RCB Yamaha YY Pang Racing) 33 mata dan Md Affendi Rosli (Team One For All) ketiga, 30 mata.

Enam kategori perlumbaan akan berlangsung dengan tiga kategori bagi ARRC iaitu SuperSports 600cc, Asia Production 250cc dan Underbone 150cc manakala tiga kategori ASBK iaitu Superbike ASPK, SuperSports ASBK dan SuperSports 300 ASBK.

Penggiliran Uma Racing sasar bentuk pasukan Asia

Juara berpasukan kategori Underbone 150cc, Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team menggunakan sistem penggiliran pelumba wildcard bersama-sama dua pelumba Malaysia, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairuez bagi mengharungi siri Kejuaraan Motosikal Asia FIM yang memasuki pusingan kedua di Litar The Bend Motorsport Park, Australia, minggu ini.

Menurut prinsipal pasukan, Yong Ying Hoe, penggiliran pelumba dari negara Vietnam, Filipina dan Indonesia ini adalah sebagai inisiatif awal untuk merealisasikan matlamat utama mereka membentuk sebuah pasukan Asia yang berjaya pada tahun 2019.

“Matlamat kami adalah untuk mempromosikan kepelbagaian dalam perlumbaan. Terdapat ramai pelumba muda diluar sana menantikan sumber dan peluang untuk membawa mereka ke peringkat serantau. Pada masa sama kami berharap dapat membentuk sebuah pasukan terdiri dari pelumba muda berbakat dari Malaysia, Vietnam dan Filipina, dan sudah tentu dari Indonesia,” jelas Yong.

“Idea ini masih diperingkat awal. Untuk tahun 2018, pelumba-pelumba wildcard ini juga sebenarnya dalam proses pemilihan uuntuk mengisi tempat di dalam pasukan pada masa akan datang.”

Perlumbaan Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, pasukan Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team meletakkan pelumba Vietnam, Hyunh Minh Sang sebagai pelumba wildcard dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 namun mengalami masalah mekanikal jentera pada Perlumbaan 2.

Pelumba Filipina, McKinley Kyle Paz menjadi taruhan pasukan di Australia minggu ini selepas persembahan memberangsangkan sewaktu ujian pra-musim lepas.

MODENAS Dominar 400 sports tourer dilancar

 MODENAS Dominar D400 kini tampil sebagai motosikal besar pertama Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) yang dinanti-nantikan sejak dua dekad lepas. Pelancaran motosikal sports tourer Dominar D400 mengembalikan segmen sports touring ke dalam jenama MODENAS seperti model Jaguh yang popular di tahun 1999.
 Dominar D400 dikuasakan enjin satu selinder empat injap sejukan cecair 373 cc dengan sistem nyalaan digital tiga percikan (DTS-i) dan suapan pancitan bahan api bagi menghasilkan kuasa maksimum 35 hp pada 8,000 rpm.

Berasaskan motosikal 400 cc antara yang terbaik di India keluaran Bajaj, sejumlah 35 Nm tork tersedia, dengan 28 Nm darinya didapati seawal 3,000 rpm, bagi menawarkan tunggangan lancar dan berkuasa.
Kuasa enjin ini disalurkan melalui transmisi enam kelajuan yang dikawal cekam atau klac gelincir (slipper clutch) dan ia juga dilengkapi dengan ABS dwi-saluran untuk memberikan prestasi, pengendalian dan keselamatan yang terbaik. Sistem suspensi terdiri daripada topang teleskopik 43mm hadapan dan penyerap kejutan tunggal boleh laras berbilang peringkat di belakang untuk tunggangan yang sporty. Keseluruhan pakej ini seberat 182 kg dan berbekalkan bahan api sebanyak 13 liter, bagi membuatkannya sesuai untuk pecutan jarak pendek dan juga pengembaraan jarak jauh.

Ia menawarkan gabungan kuasa yang mantap untuk pecutan pendek dan perjalanan enjin yang lancar untuk pengembaraan jarak jauh. Motosikal ini merupakan sports tourer lengkap yang memiliki reka bentuk dan kedudukan postur yang meningkatkan lagi pengalaman menunggang.
Sekali lagi MODENAS telah mengejutkan pasaran dengan mengumumkan harga mampu milik yang amat kreatif pada RM13,788.00 sebagai harga asas.

Ketua Pegawai Eksekutif – Pengagihan Automotif, Pertahanan, Pembuatan & Kejuruteraan, DRB-HICOM Berhad, Dato’ Abdul Harith Abdullah yakin Dominar D400 mampu menarik minat rakyat Malaysia menerusi reka bentuk yang moden dan berbeza serta harga yang kompetitif, menjadikan motosikal ini paling sesuai untuk kegunaan kerja harian dan motosikal pengembaraan pada hujung minggu.

“Permintaan terhadap motosikal street dijangka meningkat kerana semakin ramai belia yang memilih gaya hidup pantas untuk dinikmati. Kejayaan Pulsar dan V15 di pasaran tempatan telah mengukuhkan lagi kepercayaan kami bahawa madanya telah tiba untuk memperkenalkan produk baharu yang sudah tentu akan meningkatkan pengalaman menunggang motosikal di kalangan peminat motosikal di Malaysia,” kata beliau.

Naib Presiden Bajaj Auto Limited, Dinesh Kulkarni pula berkata bahawa Dominar D400 dibina untuk memberikan pengalaman pengembaraan yang hebat dan bilangan pemilik yang berpuas hati dengan motosikal ini kini semakin bertambah di seluruh dunia; dari Amerika Latin dan Eropah hingga ke Asia Selatan dan kini di Asia Tenggara.

“Baru-baru ini, motosikal Dominar D400 telah berjaya menamatkan salah satu daripada perjalanan motosikal paling jauh, Trans-Siberian Odyssey meliputi 15,000 km dalam masa 53 hari. Perjalanan dari Uzbekistan ke Rusia dan merentasi enam buah negara telah berjaya ditamatkan tanpa sebarang kerosakan. Ini membuktikan tahap keselesaan dan kuasa motosikal serta kehebatannya
sebagai sebuah sports tourer yang sebenar,” tambah beliau.
MODENAS Dominar D400 merupakan produk keempat dalam segmen motosikal jalan raya hasil kejayaan kerjasama antara syarikat dengan Bajaj. Motosikal jalanan jenis “naked” Pulsar NS200, motosikal lumba RS200 dan motosikal retro V15 telah menyaksikan gabungan jualan melebihi 4,500 buah unit sejak dilancarkan pada Mei 2017. Ini membolehkan MODENAS menawan 23% daripada bahagian pasaran segmen motosikal jalanan 250 cc dan ke bawah. Dalam tahun kewangan 2017/18, MODENAS telah berjaya menjual lebih daripada 41,800 unit motosikal iaitu peningkatan sebanyak 47% berbanding tahun kewangan 2016/17.