UK ke Kedah



Sebuah keluarga seramai enam orang dari Malaysia, bakal menghasilkan rekod baru dengan balik kampung dari United Kingdom ke Kedah, Malaysia hanya dengan memandu sebuah Caravan iaitu sejenis van yang mempunyai kelengkapan seperti di dalam rumah. Menariknya disini, mereka melakukan trip balik ke kampung ini pada bulan ramadhan. Kalau di negara barat, menggunakan Caravan untuk berpindah satu tempat ke satu tempat memang dah perkara biasa, cuma perbezaannya adalah jarak. Perjalanan keluarga ini akan merentasi 38 buah negara, selama 75 hari, dan sejauh 28, 646 km merentasi dua benua.

 

 


Keluarga ini yang terdiri dari Jamal Ismail, 44, bersama-sama isterinya, Sofinee, 38, dan 4 orang anaknya, iaitu Sabeera, 17, Sumrah, 13, Syameem, 15, dan Seif, 10, akan menggunakan Caravan jenis Mercedes Sprinter 1998, dari Durham, UK ke Kubang Pasu, Kedah.  

Apa yang berbeza?



Perbezaan terbesar di antara jentera pasukan pengeluar Yamaha dan jentera pasukan satelit adalah tangki bahanapinya. Ia juga mungkin menjelaskan mengapa penunggang Yamaha Tech3 Cal Crutchlow terpaksa berhempas pulas lebih sedikit dalam beberapa pusingan awal berbanding dengan Jorge Lorenzo dari pasukan pengeluar. Ia jelas kelihatan di perlumbaan MotoGP Itali di Mugello baru baru ini.

Kunci kepada perlumbaan Lorenzo adalah reka bentuk tangki minyak yang telah dialihkan ke belakang dan juga lebih rendah untuk mewujudkan kestabilan pada brek. Di awal perlumbaan sewaktu bahagian atas tangki masih mengandungi bahan api, jentera tersebut perlu dikendalikan dengan berhati-hati, tetapi apabila bahan api itu surut di bawah paras tertentu dalam tangki bahan api yang terletak di bawah pelana, jentera Yamaha M1 tersebut mula berubah kendaliannya menjadi lebih stabil. Sebagai perbandingan, Crutchlow perlu menunggu untuk beban bahan api surut dahulu sebelum dia benar-benar mampu mengorak langkah cabaran tunggangan yang lebih laju, manakala Lorenzo awal awal lagi telah mampu mendesak jenteranya.

Tunggangan tahunan untuk pemilik Kawasaki CKD


Kawasaki baru-baru ini menganjurkan tunggangan kembara berkonvoi untuk para pemilik motosikal Kawasaki CKD nya dari Shah Alam ke Pulau Pinang dan Lumut, Perak. Konvoi ini merupakan acara tahunan bagi KMSB dan tahun ini adalah merupakan kali yang ke-enam KMSB menganjurkan konvoi untuk pemilik-pemilik motosikal Kawasaki. ada tahun ini, hampir 130 buah motosikal telah mendaftar untuk menyertai konvoi pada pagi ini dengan 150 jumlah peserta.

Acara tahunan Kawasaki CKD Ride 2013 itu dilepaskan dari premis Kawasaki Malaysia di Glenmarie, Shah Alam pada 26 April 2013 lepas. Jarak perjalananan konvoi ini adalah lebih kurang sejauh 1000km pergi dan balik, bermula dari KMSB Shah Alam menuju ke Johor Bahru dan seterusnya ke Kuala Rompin, Pahang sebagai destinasi terakhir sebelum pulang semula ke Shah Alam. 

 Sekali lagi, konvoi tahunan ini telah berjaya dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Kawasaki Malaysia bagi para pelanggan mereka. Layari www.kawasaki.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.



















Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS memasuki edisi ke-20


Majlis pelancaran Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 yang memasuki edisi ke-20 pada tahun ini diraikan bersama-sama penaja utama, PETRONAS, rakan-rakan korporat, pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba dengan pengenalan format baru perlumbaan khususnya bagi kategori CP115 di Kuala Lumpur, hari ini.

Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) memperkenalkan peraturan baru ‘Shoot Out’ bagi menentukan grid pelumba di dalam saingan kelas perlumbaan CP115, menggantikan pusingan saringan yang diguna pakai pada tahun-tahun terdahulu.

Format ini menyaksikan 10 pelumba terbaik pada sesi ujian masa secara automatik akan layak ke pusingan ‘Shoot Out’ dan akan bersaing bagi menentukan grid permulaan untuk perlumbaan akhir.

Berbeza dengan sesi Superpole yang digunakan di dalam kategori CP130 di mana pelumba akan keluar ke litar bersendirian, 10 pelumba ini akan bersaing secara serentak untuk mendapatkan catatan masa terpantas manakala baki pelumba lain akan ditentukan grid mereka berdasarkan catatan terpantas sesi ujian masa.

Selain itu, antara perubahan lain yang turut diperkenalkan ialah peningkatan jumlah pusingan perlumbaan akhir bagi tiga kelas terbuka di mana kategori  CP130 kini menjadi 18 pusingan berbanding 15 pusingan, kategori CP115 ditambah kepada 15 pusingan berbanding 12 pusingan dan pertambahan dua pusingan di dalam kategori Wira menjadikan 12 pusingan keseluruhan.

“Melihat keputusan positif selepas memperkenalkan Superpole, kali ini kita memperkenalkan pula ‘Shoot-Out’. Tujuannya adalah untuk melihat setiap pasukan dan pelumba lebih giat mempersiapkan jentera dan lebih bersedia pada sepanjang minggu perlumbaan. Pada masa sama, pelumba-pelumba juga dapat melakukan catatan masa terpantas mereka di dalam kelompok yang lebih kecil. Sama seperti Superpole, kami percaya format baru ini pasti memberi lebih debaran dan keseronokan kepada peminat-peminat yang hadir di venue perlumbaan,” kata Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg.

Bercakap tentang harapannya menjelang pusingan pembukaan Cub Prix yang akan berlangsung di Batu Kawan pada 6 dan 7 April ini, Ron berkata, “Musim 2013 akan menjadi musim yang sangat menarik kerana empat pengeluar motosikal di Malaysia, Honda, Yamaha, Suzuki dan Modenas mengambil bahagian –satu perkembangan baik buat industri permotoran negara,” jelasnya.

“Selain itu, kita dapat melihat ramai pelumba baru, khususnya di dalam perlumbaan satu pengeluar yang diterajui oleh Honda, Yamaha dan Suzuki. Sambutan yang diterima terhadap setiap pengeluar oleh remaja-remaja yang ingin menceburkan diri dalam Kejuaraan ini cukup menggalakkan di mana kami menerima lebih 500 permohonan bagi mengisi 60 slot yang disediakan.

“Seperti kebiasaanya, saingan untuk memburu takhta Kejuaraan pastinya semakin sengit dan musim 2013 ini akan cukup mencabar dan sukar untuk diramalkan,” jelas Ron.


Di luar litar, pihak penganjur Cub Prix mengadakan kerjasama dengan pihak kerajaan bagi mendidik orang awam terutama remaja tentang dunia perlumbaan motosikal dan pada masa sama mendedahkan mereka dengan kesedaran dan keselamatan di jalan raya melalui program Klinik Perlumbaan Cub Prix yang akan dilangsungkan di semua venue perlumbaan tahun ini.

Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Motorsports, Pn. Anita Azrina Abdul Aziz memuji semua pihak yang terlibat dengan Kejuaraan ini sehingga menjadikan ia sebagai acara sukan yang cukup berprestij pada hari ini.

“Bagi kami di PETRONAS, jalinan kerjasama dengan Cub Prix ini sangat-sangat kami hargai. Kejuaraan ini berkembang menjadi satu penanda aras di dalam industri perlumbaan motosikal negara dan kepada semua yang terlibat, penaja-penaja, pasukan dan pelumba pastinya turut berbangga dengan pencapaian ini. Semoga ia akan terus berkembang dan juga mudah-mudahan kita dapat lihat juara dunia dari Malaysia akan dilahirkan dalam sedikit masa lagi.”

Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS diwww.malaysiancubprix.com


BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW HP4 Serba Baharu


BMW Group Malaysia telah memperkenalkan BMW HP4 serba baharu, iaitu motosikal berprestasi tinggi yang terkini dengan menampilkan keupayaan enjin termaju dan teknologi lengkap untuk tahap keselamatan dan pemanduan dinamik yang tiada bandingan.
Ketika memperkenalkan motosikal terbaharu BMW ini pada 27 Mac 2013 di Litar Antarabangsa Sepang, , Dr. Gerhard Pils, Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “Sebagai pengeluar kenderaan premium yang terkemuka untuk kereta dan motosikal di dunia, BMW terus menunjukkan kepakaran inovasi kami dengan memperkenalkan HP4, motosikal berkuasa besar empat silinder yang paling ringan dan dinamik di dunia untuk pasaran Malaysia. HP4 yang baru diperkenalkan ini sudah tentu akan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jualan BMW Motorrad pada tahun 2013."

BMW HP4 serba baharu menandakan kesinambungan siri model BMW Motorrad High Performance yang bermula pada tahun 2005. Selepas pengenalan model enjin boxer pada HP2 Enduro, HP2 Megamoto dan HP2 Sport, HP4 adalah motosikal berkuasa empat silinder yang pertama dalam keluarga High Performance yang dibina menggunakan bahan bermutu tinggi dan teknologi termaju serta ciri direka dengan jitu yang mencerminkan komitmen BMW untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

Inovasi teknikal untuk prestasi sport yang mantap.
Dilengkapi dengan enjin 4-silinder sebaris S1000RR dengan jumlah sesaran 999 cc, BMW HP4 serba baharu menghasilkan kuasa sebanyak 152 kW (193hp) pada13,000 rpm. Motosikal ini juga berupaya mencapai kelajuan enjin maksimum sehingga lebih 200km/jam dan bacaan tork maksimum sebanyak 112 Nm pada putaran 9,750 rpm. Pencapaian hebat ini membolehkan motosikal berkuasa tinggi ini untuk memecut 0-100km/j hanya dalam masa 2.9 saat.
Melalui pemasangan enjin berorientasikan prestasi, HP4 serba baharu turut menyaksikan peningkatan tork dalam kelajuan enjin peringkat sederhana. Tidak seperti model S 1000 RR, jumlah outputnya adalah sama bagi semua mod – “Hujan”, “Sport”, “Lumba” dan “Licin” – dengan keluk pendikit yang serupa bagi respons yang sama seperti di litar perlumbaan. Mod "Hujan" dalam HP4 serba baharu kini memberikan output yang lebih lancar dengan keluk tork antara 2,500 rpm dan 8,000 rpm. Walaupun dengan keupayaan prestasi yang hebat, HP4 yang baharu ini dapat mencapai kadar kecekapan yang tinggi dengan purata penggunaan minyak sebanyak 5.9 l/100km pada kelajuan sehingga 120kmj.

Selain sistem elektrik yang sama seperti model BMW Motorrad kontemporari yang lain, HP4 baharu turut dipasang dengan sistem elektrik CAN bus (rangkaian kawasan pengawal) yang menghubungkan kelompok peralatan dan pengawal enjin serta pelumpuh elektronik dan sistem penggera anti kecurian yang disediakan sebagai peralatan opsyenal. Kelompok peralatan bukan sahaja mempunyai muka dail reka bentuk baharu dengan inskripsi HP4 tetapi turut menyediakan pelbagai maklumat dan fungsi seperti menu pilihan Dynamic Damping Control serta tahap pelarasan Dynamic Traction Control yang terperinci dan Launch Control Activation.

Dynamic Damping Control (DDC) yang dipasang pada HP4, iaitu sistem yang pertama bagi mana-mana motosikal, meningkatkan lagi teknologi suspensi. Sistem ini melibatkan penggunaan pemampatan dinamik dan peredaman peringkat pantulan untuk menyesuaikan motosikal mengikut situasi terutamanya di jalan yang tidak rata. Sistem suspensi semi-aktif bertindak balas secara automatik terhadap pergerakan seperti membrek, memecut dan mengambil selekoh pada pelbagai permukaan jalan dan menetapkan tahap redaman yang betul melalui injap pantulan yang digerakkan secara elektrik.


Tetapan asas bagi DDC dihubungkan kepada semua mod yang ada - “Hujan” untuk permukaan basah, “Sport” untuk jalan biasa, “Lumba” untuk litar lumba dengan tayar supersports dan “Licin” untuk litar lumba dengan tayar licin, semuanya mudah dipilih dengan hanya menekan butang. Dalam mod “Hujan” dan “Sport”, tumpuan tetapan DDC ialah redaman penuh dan selesa yang selalu digunakan di jalan luar bandar manakala dalam mod “Lumba” dan “Licin” pula, tetapan DDC adalah untuk gaya tunggangan sport yang lebih sesuai di litar perlumbaan. Tetapan redaman adalah ketat dan ia memberikan penunggang maklum balas secara terus sepanjang masa. Unit DDC memberikan daya tarikan maksimum bagi penggunaan kuasa enjin sepenuhnya semasa pecutan, dan membolehkan HP4 menyediakan tetapan optimum untuk peringkat pantulan dan mampatan peredam dalam setiap keadaan.

Dynamic Traction Control (DTC) yang pernah dipasang pada motosikal RR sebelum ini turut dioptimumkan untuk penggunaan supersports HP4, dan menetapkan tanda aras baharu bagi segmen yang popular ini. Semasa menunggang dalam mod "Licin", DT yang boleh dilaras ini memberikan penunggang pilihan untuk memberikan respons secara lebih fleksibel terhadap keadaan persekitaran seperti suhu udara dan asfalt, perubahan cengkaman tayar dan keadaan permukaan jalan.

Sebagai bonus kepada para peminat perlumbaan, HP4 turut dipasang Race ABS dengan tetapan IDM untuk prestasi membrek yang terbaik terutama sekali di litar lumba. Sebagai pembuat motosikal yang menjadi peneraju dunia kepada pemasangan sistem anti-kunci ABS pada motosikal, BMW Motorrad kini turut mengambil langkah yang sama untuk BMW HP4 Serba Baharu dengan memasang sistem yang lebih terperinci untuk kegunaan di litar lumba. Dalam mod “Hujan”, “Sport” dan “Lumba”, Race ABS beroperasi sebagai bahagian penting di mana brek pada roda belakang digerakkan secara automatik apabila brek roda depan diaktifkan. Ini memastikan motosikal berada dalam keadaan stabil semasa membrek dan membolehkan jarak membrek yang sangat pendek.
Tetapan IDM yang baharu telah direka semasa Kejohanan Superbike Jerman dan memberikan impuls kawalan yang terperinci serta membolehkan nyahpecutan maksimum pada had cengkaman tayar. Diaktifkan semasa mod "Licin", kedua-dua pengesan kenaikan tayat belakang dan fungsi ABS dinyahaktifkan pada roda belakang untuk membolehkan penunggang yang mahir mengawal HP4 menggunakan brek tayar belakang untuk melakukan drift brek.

BMW HP4 Serba Baharu juga merupakan motosikal BMW pertama yang memperkenalkan fungsi Launch Control serta pengesan wheelie, yang disokong oleh pembantu syif untuk pemecutan yang optimum dan permulaan yang sempurna di litar lumba. Bagi memastikan pecutan sepenuhnya daripada permulaan, Launch Control menghadkan tork enjin untuk membolehkan penghantaran tork maksimum daripada roda belakang setiap kali dalam keadaan pendikit tidak dipulas. Ini membolehkan penunggang tidak terlalu tertumpu kepada pendikit kerana pecutan dikawal sepenuhnya oleh klac.

Apabila Launch Control diaktifkan, tork enjin turut dikurangkan sebaik sahaja sistem mengesan roda depan terangkat bagi memastikan wheelie tidak dikehendaki semasa memecut. HP4 juga membolehkan penunggang melakukan pertukaran gear serta merta tanpa sebarang gangguan, hasil daya tarikan daripada pembantu syif yang dipasang sebagai peralatan standard.

Kemasan supersport untuk penunggang sporty.
Edisi terbaru dalam keluarga BMW High Performance benar-benar memenuhi aspirasi dinamiknya dari segi penampilan visual yang selaras dengan aspirasi supersport untuk litar lumba dan tunggangan jalan luar bandar yang dinamik. Selain daripada penampilan monoposto, BMW HP4 serba baharu dilengkapi dengan spoiler enjin dua bahagian yang lebih panjang berbanding S 1000 RR dengan pelindung angin berwarna untuk menonjolkan ciri HP4 yang dinamik.

Lampu isyarat LED diintegrasikan secara tertutup pada BMW HP4 dan nombor siri ukiran laser pada bahagian atas penghubung garpu mencerminkan ciri eksklusif motosikal ini. Kemasan cat berbilang warna yang rapi dengan pilihan Racing Blue Metallic dan Light White memberikan penampilan yang sporty disokong dengan tayar belakang dalam format 200/55 ZR 17” yang baharu.

Sebagai motosikal supersports empat silinder paling ringan sehingga kini dalam kelas 1000cc, BMW HP4 serba baharu hanya mencatatkan berat keseluruhan 199kg yang termasuk Race ABS dan tangki minyak 90% penuh. Supersports BMW terkini turut menyaksikan penurunan berat yang ketara terutama sekali dengan roda aloi tempa 7 jejari, yang teranod dalam warna hitam serta pembawa sprocket baharu yang lebih ringan, seterusnya memberikan penurunan berat sebanyak 2.4kg berbanding S 1000 RR. Tambahan lagi, sistem ekzos diperbuat secara keseluruhan dengan titanium dan menjimatkan 4.5kg selain menyumbang kepada mutu pengendalian yang lebih baik untuk HP4.
HP4 dengan Competition Package.
Untuk gaya yang lebih sofistikated dan penampilan yang lebih sporty, BMW HP4 serba baharu dengan Competition Package untuk perlumbaan turut disediakan sebagai pilihan. Pakej ini menawarkan bahagian karbon HP yang lebih rapi seperti spoiler enjin, sistem alas kaki penunggang, tuil brek dan klac boleh lipat dan kemasan roda dalam warna Racing Blue Metallic dengan kit pelekat penaja istimewa yang meningkatkan lagi gaya eksklusif motosikal supersports.
Harga jualan runcit bagi BMW HP4 yang baharu (atas jalan, tanpa insurans) ialah:
  • BMW HP4 : RM144,444.00
  • BMW HP4 Competition Package: RM158,888.00